30 Mar 2015

KARKAS #139: EKSTASI SOLUSI

Perlahan aku alihkan ia dari tepi rak buku masuk ke dalam kereta. Keyboard Korg M3 ini adalah melodi kehidupan aku. Aku selalu meribakannya dan memicit-micit tombol-tombol di badannya mengacah bermanja tika bersama berdua. Ada pun instrumen muzik kegilaan aku ini, namanya Nazof. Nazof dan aku sudah ibarat Iblis dan Syaitan, ibarat Caklempong dan Gamelan, sukar dipisahkan. 

Aku tenung Nazof rapat-rapat, memerhatikannya agar ia bersandar empuk pada baldu kerusi hadapan keretaku. Aku tak mahu secebis calar merobek kecantikannya. Dia selesa. Aku gembira. Kami bakal berhibur sebentar lagi. Dalam perjalanan menuju ke gig Indie-Fest di Batu Pahat, ada getus panik menunjal saraf tunjangku. 

Gig akan bermula 4-5 jam lagi dan aku sekarang meluncur di atas lebuh raya tanpa solusi ultimaku. Aku meraba di poket kiri bersambung pula ke poket kanan, ke poket belakang, ke dalam beg biru di kerusi belakang, ke dalam ruang kecil di sebelah stereng.... Jadi solusi, memang tiada. 

'Babi! Mana ekstasi aku ni! Babi!' 

Aku tidak boleh malah tidak punya se-badang kekuatan untuk terkinja di atas pentas memetik Nazof tanpa ekstasi. Aksi aku bakal hambar, melodi aku bakal buruk bergetar. Ekstasi bagiku solusi. Ekstasi tuhan melodi. 

Kepala aku bertambah denyut, hanyut di belakang pentas gig. Komeng dan Buzo datang menempik. Aku faham, tiba giliran kami untuk naik ke pentas tatkala orang ramai sudah mula bersorak dengan nama kumpulan kami. 

OLIE WALKS!!! OLIE WALKS!!! 

"Zan, apa kau tunggu lagi?" 
"Buzo, aku tak boleh main lah hari ni. Solusi aku habis."
"Kau merepek apa ni Zan? Dah jum naik cepat!"
"Tak boleh Buzo. Aku kena ada ekstasi. Aku tak tau main kalau takde ekstasi." 
"Kau mabuk ke mende ni?"

Aku palingkan badan menunduk seolah mahu mengikat tali kasut lalu aku cepat-cepat larikan diri ikut pintu belakang. Berjaya aku loloskan diri sendiri, aku kini masuk berdiri bersama orang ramai yang masih bersorak memanggil kumpulan muzik aku. Aku lihat pentas di depanku dengan kelibat Komeng, Buzo dan...aku? 

Kenapa aku ada di atas pentas? Mimpi apakah ini? Aku masih memegang Nazof erat di tanganku tetapi aku melihat diri aku sendiri di atas pentas bersama Nazof. Aku jadi serba kalut sambil memiut perutku sekuat hati kerana aku mahukan situasi ini bertukar menjadi mimpi.

Realiti. Ya, ini sah realiti. Aku melihat diri aku yang satu lagi itu rancak bermain lagu 'To Emily' di atas pentas. Aku cuit bahu kanan jejaka di sebelahku. 

"Bro, siapa yang main keyboard tu bro?"
"Oh, itu Fauzan."
"Fuck off lah. Aku lah Fauzan! Dia tu siapa?"
"Dia tu Fauzan yang tanpa ekstasi bro."

Hatiku berdegup sekencang desibel corong bunyi di belakangku. Aku cepat-cepat melutut di tengah-tengah orang ramai lalu membuka sarung yang membalut Nazof. 

Nazof tiada. 

***

No comments:

Post a Comment