30 Dec 2015

KARKAS #237: RUMAH KENANGAN

Angin laut yang berpupuk lembut menerbitkan rasa damai di hati. Sudah lama aku tidak ke sini. Sebuah daerah yang pernah melakar sejarah cintaku yang tidak kesampaian. Dahulu, di sinilah menjadi tempat aku menyulam kasih bersama Irwan. Pasir, pohon dan laut di mataku inilah saksinya. Betapa katanya aku inilah pemilik hatinya. Belahan jiwanya. Dan aku terbang bagaikan diawangan. Terbuai dengan segala ucap manisnya itu.

Namun, semenjak dia berhijrah ke bandar besar, sikapnya berubah. Tiada lagi kata-kata manis yang menemani lena malamku. Tiada lagi sumpah janjinya yang selama ini memaku hatiku hingga ke dasarnya agar setia untuknya. Sesuatu yang ditinggalkan untukku hanya kesunyian. Kesunyian yang menggigit sanubariku.

Sejak daripada hari itu, aku menjadi seorang pemurung. Kamarku adalah duniaku. Kamar yang dihiasi dengan foto kami berdua. Setiap kali terpandangkan foto itu, air mataku turun bagaikan hujan. Dan di dalam hatiku, bahnya sudah lama menenggelamkan segala kenangan. Lemas aku dengan segalanya. Ibarat menunggu malaikat datang mencabut nyawaku pergi.

Terkadang, hati ini tertanya sendiri, ke manakah hilangnya pemilik rusuk kiriku ini. Apakah kematian sudah menjemputnya? Atau dia sendiri yang menempah kerandanya sendiri?

Tuhan. Rindu aku padanya tak pernah padam. Malah semakin marak. Hanya hujan air mataku ini pengganti bicara.

Hari ini, di persisir laut ini aku cuba himpunkan kembali segala kenangan yang wujud. Aku susun satu persatu seperti mana batu bata disusun untuk dibina sebuah rumah. Lalu aku pakukan tiangnya dengan sumpah setianya, agar rumah itu kekal berdiri di situ selamanya. Kemudian, atapnya pula adalah janji manis yang pernah dikarangnya untuk aku. Biar rumah kenanganku ini sentiasa damai selalu. Jendelanya, aku hiaskan dengan tirai impian. Sesuatu yang sering kami kisahkan bersama waktu dahulu. Dan di hadapan pintunya nanti, di situlah aku akan selalu berdiri menunggu dia untuk kembali.

Aku pejamkan mata. Menghayati indahnya rumah kenanganku. 

"Laila!"tepukan di bahu mengembalikan aku ke alam nyata. Aku menoleh ke sisi. Suria, sahabat baikku rupanya.

"Marilah pulang. Sejak tengah hari tadi kau di sini. Pulanglah. Ibumu di rumah kerisauan."

"Aku tenang di sini Su. Kau pulanglah dulu. Nanti aku akan pulang sendiri sebelum matahari terbenam."

"Sampai bila Laila kau mahu hidup begini? Apa kau tak kesian dengan ibumu? Atau setidaknya dengan dirimu sendiri?"soal Suria dengan suara yang keras. Setelah itu nafasnya dihela perlahan. Kekecewaan terlakar diwajahnya yang putih bersih.

"Irwan dah mati sebulan yang lalu Laila. Kau lupa? Kau sendiri yang memangku kepalanya. Kau sendiri yang mengajarnya mengucap. Dan kau juga yang menaburkan bunga di atas pusaranya. Lupakah kau Laila? Pulanglah. Tak ada yang mampu kau ubahkan lagi." Suaranya dikendurkan. Tidak sekeras tadi. Bahuku dipaut erat.

Nasihat yang dilontarkan Suria itu sedikit sebanyak mencuit hatiku. Ada benarnya dengan apa yang dikatakan Suria. Dan pula ini bukanlah pertama kalinya dia cuba menasihatiku.

Ya, aku ini adalah orang yang terlalu menyerah pada nasib. Menyerah segalanya kepada Sang Pencipta. Aku takut untuk mengubah apa yang telah sebati dengan hidupku. Hingga aku lupa yang aku ini manusia yang seharusnya berusaha untuk mengubah nasibku sendiri.

"Aku rindu Irwan. Tuhan mengambilnya di waktu aku belum bersedia. Kepulangannya kutunggu Su dan kepulangannya itu adalah kematiannya. Aku tak tahu bagaimana untuk kurawati hati aku ni Su." Luahku bersama esak tangis yang tertahan-tahan. Suria memaut bahuku lebih erat.

"Berserah padaNya. Jadilah kau fatalis yang akan berubah. Fatalis si mantan. Yang inginkan perubahan demi kebaikan masa depanmu."

Aku menundukkan wajah. Air mata di wajah aku seka dengan belakang tangan. Allah ada. Allah ada dan Allah takkan pernah biarkan aku sendiri.

24 Dec 2015

KARKAS #236: MENGUSUNG RINDU

Setiap hari, Aidil akan menunggu dia di simpang jalan. Melihat dia pergi dan pulang dari kerja. Tak pernah lewat. Hal ini menjadi rutin Aidil semenjak tiga bulan yang lalu. Aidil akan berdiri di balik tiang, merenung dia yang menunggu bas di simpang jalan. Bukan Aidil malu atau takut untuk menegur. Tetapi kenangan lalu yang menghentam perasaannya setiap kali merenung gadis itu, menghalang.

Aidil rindu. Rindu padanya takkan pernah berhenti. Sampai mati.

- - - - -

Hujan turun rintik-rintik. Payung ditangan segera dibuka. Tidak mahu kebasahan. Hari masih awal dan Ayuni taknak basah lencun bila sampai di sekolah. Beg yang tergalas dibawa ke depan. Sebelah tangan memegang payung sebelah lagi memeluk beg.

Sekolah hanya 200 meter lagi. Ayuni berlari-lari anak. Elok sampai di depan pintu pagar, loceng sekolah berbunyi. Phew! Sempat!

Ayuni berjalan melepasi pintu pagar sekolah. Ada seorang pengawas lelaki di situ.

"Lain kali jangan lambat, Ayuni."

Ayuni memberhentikan langkahnya. Dia segera berpaling. Pengawas lelaki itu buat-buat sibuk mencatit sesuatu di atas buku notanya.

"Mana awak tahu nama saya"tanya Ayuni. Dia menghampiri pengawas lelaki itu.

"Saya Aidil. Budak kelas sebelah awak."
"Oh. Maaflah. Saya tak tau. Saya pergi dulu ya."
"Next time jangan lambat sebab saya tak janji boleh lepaskan awak sekali lagi atau tak."

Ayuni tersenyum manis. Dia meninggalkan Aidil dengan tugasnya. Entah kenapa hati Ayuni berbunga-bunga pagi itu.

- - - - -

"Saya taknak awak hubungi saya lagi! Kita putus!"

"Tapi saya cintakan awak, Ayuni! Jangan tinggalkan saya. Tolonglah. Saya merayu sangat!"

Ayuni tak mengendahkan kata-kata Aidil. Dia menolak kasar kerusi yang didudukinya. Wang kertas RM10 diletakkan di atas meja

Aidil dipandangnya tanpa perasaan lagi. Sudah tiada cahaya cinta di matanya. Cuma tiga tahun. Dan cinta di hatinya telah mati buat Aidil.

"Ni semua sebab budak tu kan? Budak yang selalu hantar awak balik. Betulkan?"tanya Aidil tiba-tiba. Dia juga turut bangun berdiri. Pandangan mata pelanggan lain tak dihiraukan.

"Apa awak ni! Bukanlah. Saya yang dah bosan dengan awak! Hey, saya dah nak habis belajar. Tapi awak? SPM pun gagal! Saya taknak hidup dengan lelaki macam awak!"

Aidil tertunduk. Malu. Sampai hati Ayuni mengeluarkan kata-kata begitu terhadapnya. Tak apa Ayuni. Hari aku akan tiba nanti.

- - - - - -

Pisau ditangan menitiskan darah merah pekat. Dua jasad yang terbaring di lantai dipandang puas. Dia tersenyum sendiri.

"Bukan salah aku Ayuni. Tapi kau yang buat aku macam ni.  Kau yang salah!"

Aidil menjatuhkan lututnya di sisi jasad kaku Ayuni. Diselak rambut yang menutup wajah gadis yang telah sekian lama mencuri hatinya itu.

"Kau bodoh Ayuni! Kau mainkan perasaan aku. Kau buang aku macam aku tak ada harga. Kau tak pernah nak nampak cinta aku kat kau. Kenapa Ayuni? Kenapa buat aku macam ni?!"ratap Aidil sepenuh hati. Dia benar-benar kecewa dan kekecewaannya dibalas dengan kematian.

Pisau ditangan di angkat tinggi lalu dibenamkan di dada kiri Ayuni. Darah merah memercik ke wajahnya. Selepas itu, dia bangun berdiri lalu berjalan perlahan meninggalkan rumah kosong itu. Sarung tangan yang dipakai ditanggalkan lalu dicampakkan ke kerusi belakang kereta.

Ayuni mati. Mati ditangan bekas kekasihnya sendiri.
- - - - -

Tajuk akhbar hari ini ;

SEPASANG KEKASIH DITEMUI MATI DIBUNUH.
Bersama laporan akhbar, turut disertakan nota yang ditinggalkan oleh pembunuh.

"Setiap detik jantung berdetak,
setiap nota jiwaku berlagu.

Dan,
Bila malam hadir,
Sepi tak pernah pergi.
Memeluk diri, memujuk hati,

Dibilangnya cinta tak mati.
Cinta takkan pernah mati.
Tapi yang mati itu adalah jiwa.

Jiwa yang pernah berjanji."

KARKAS #235: MIMPI YANG MEREALISASIKAN IMPIAN

'Izinkan saya merealisasikan impian anda.'

Kau pasti teruja melihat papan tanda di hadapan pintu masuk itu, bukan? Ayuh, apa lagi yang membuatkan kau tercatuk di situ? Usah kau gusar dan ragu. Memang benar inilah tempatnya kau akan mencapai segala yang kau hajati. Mungkin ini sekadar mimpi, namun sebutkan saja impianmu, di sini kami akan berusaha menunaikannya, tanpa prasangka.

Kau tidak percaya? Cukup-cukuplah memerhati sekeliling dengan tanda tanya. Benar, tempat ini sedikit usang dan buruk. Sekadar taman tema yang telah lama ditinggal sepi. Kau mungkin menganggap ayat di papan tanda itu sekadar slogan taman tema untuk kanak-kanak yang datang berhibur di sini suatu ketika dahulu. Tapi bukan. Bukan begitu sebenarnya. Slogan itu adalah untuk kau. Ya, untuk kau seorang! Mereka menjemput kau eksklusif untuk menunaikan segala angan dan khayalan kau yang belum tertunai. Kau perlu tahu, kau terlalu istimewa. Kau insan terpilih. Kau perlu berbangga.

Jadi, sekarang khabarkan impian kau yang masih tersimpan. Oh, sebelum itu pilih salah satu pintu dari tiga pintu berwarna biru, merah atau hijau di hadapanmu itu. Ia akan membawa kau ke tempat yang pasti membuatkan kau terpegun. Benar, kau jangan khuatir. Wah, kau kelihatan teruja. Bagus!

Oh, kau sudah pilih. Pintu berwarna biru? Sudikah kau berkongsi kenapa pintu itu yang kau pilih? Oh, tak mengapa. Tak apa jika kau malu. Baiklah, mari kita lihat apa yang ada di sebalik pintu itu. Di sana nanti, kau ceritakan apa impian kau. Kau tak perlu malu. Tiada siapa yang mendengar. Ah, kau mahu menceritakan impianmu di sini? Boleh, boleh saja.

Baik. Sekarang kita sudah melepasi pintu berwarna biru. Kau nampak seorang gadis berdiri di sana? Gadis sederhana yang menangis seorang diri di pakir rumahnya? Adakah kau kenal gadis itu? Tidak? Baiklah. Mari kita masuk ke dalam rumahnya. Usah khuatir, dia tidak akan nampak kelibat kita.

Kau jangan pelik. Inilah kehidupannya. Ya, memang teruk pada pandangan mata kau. Dinding rumah yang comot dan menggelupas, cermin-cermin tingkap pecah sekadar ditutupi kotak-kotak terpakai. Awas, kerana atap zinknya bocor dan syilingnya pecah sana sini. Lebih baik kau berhati-hati. Bimbang nanti syilingnya runtuh dan menimpamu.

Mahu teruskan ke dapur atau ruang bilik? Ah, mengapa kau enggan? Bukankah sepatutnya pemimpin sepertimu perlu melihat sendiri kehidupan daif rakyatnya? Eh, mengapa kau duduk di sudut itu? Bangunlah. Orang hebat dan penting seperti kau tidak selayaknya duduk di sudut itu. Itu sudut milik gadis yang menangis di luar sana. Tempat kau bukan di sini. Bukankah kau mahu kekayaan yang luar biasa? Jadi untuk apa kau terduduk di sudut itu?

Ah, belakang kau!

–Gelap–

Baguslah kau sudah sedar. Pasti kau pelik bukan? Oh, perkenalkan, gadis yang menggenggam cangkul ini namanya Izzati. Kau ingat? Benar. Dia adalah isteri yang mana suaminya kau sumbat di penjara hanya kerana kau bimbang kedudukan kau terjejas. Maaflah. Kau jangan meronta berlebihan. Kau memang takkan terlepas. Tangan dan kakimu sudah dirantai ke dinding. Kau perlu tahu, rantai itu sangat utuh memasung kau di sini. Ah, darah di kepala kau nampaknya membuak-buak.

Hahaha. Kau mahu menyuap gadis itu? Berapa? $2.6 billion? Kau rasa cukupkah? Kau lupa agaknya. Derita dan azab yang dia rasakan selepas apa yang kau lakukan lebih dari nilai itu. Lebih dari apa yang kau mampu.

Oh, gambar di dinding. Gambar kau bersama mereka, bukan? Itukah yang membuatkan kau terduduk di sudut tadi? Kau tidak perlu risau. Cerita kau, berakhir di sini. Esok, kau takkan bangkit dari lenamu malam ini, selamanya. Ini adalah penghujung jalan, tempat menyaksikan kau rebah.

Cukuplah setakat ini. Biarlah Izzati melaksanakan tugas terakhirnya malam ini. Selamat malam, Tuan Presiden.

*****

Kertas muka depan akhbar atas meja itu melayang-layang dibawa angin kencang, jatuh tepat di hadapan seorang lelaki berkot hitam labuh dan fedora di kepala. Lelaki itu menatap tajuk utamanya. Dia tersenyum, sinis.

PRESIDEN MATI SESAK NAFAS DIHIMPIT ISTERINYA YANG GENDUT.

22 Dec 2015

KARKAS #234 : MENCARI MAKNA


Orang kata saya ni pembawa sial. Siapa-siapa yang sayang saya, tak lama lepas tu dia mati. Tapi bukan saya bunuh. Ada yang mati tercekik biji durian, tertelan gula-gula getah, kemalangan dengan lori sampah. Eh, banyak lagilah! Sampai saya sendiri tak ingat. Dan orang semua tunding jari pada saya. Katanya sayalah punca mereka mati. Pembawa sial.

Sejak kebelakangan ni, saya mulai rapat dengan Ali. Pelajar tahun akhir Fakulti Komunikasi di universiti. Dia pelajar berbangsa cina. Tapi muka melayu. So saya panggil dia Ali. Nampak mesra sikit.

Setiap hari, kami akan makan bersama di kafe atau membuat latihan tutorial di perpustakaan. Berdua. Tapi, sejak dua hari lepas saya tak nampak muka Ali di kelas. Tutorial pun tak masuk. Saya cuba hubungi dia langsung tak ada balasan. Saya tak sedap hati.

Saya bimbang Ali juga mati.

Jadi malam itu, saya ke rumah Ali. Saya nak tengok sama ada Ali sihat atau tidak. Sampai sahaja di depan rumah Ali, saya menekan loceng berkali-kali. Seorang perempuan membukakan pintu untuk saya.

"Ali ada amoi?"

"Dunno. You go up and check. You know his room?"

"Yes. Thank you."

Tangga yang menghubungkan aras bawah dan aras atas itu saya panjat naik. Bilik Ali di sebelah kanan. Pintunya saya ketuk berkali-kali sambil memanggil namanya. Namun tiada yang membukanya. Saya ketuk lebih kuat. Tiba-tiba pintu bilik sebelah yang terbuka.

"Dia tak ada leh. Lu pigi tengok rumah 508. Cari itu budak nama Lilian. Itu girlfriend dia. Lu ketuk sampai pecah pun tak guna."

Pintu biliknya ditutup semula meninggalkan saya yang termanggu-manggu sendirian.

508? Lilian? Saya berlari menuruni tangga lalu terus mencapai basikal saya. Runah Lilian saya tuju. Sampai sahaja di depan rumahnya, saya menjerit memanggil namanya berkali-kali. Lima minit kemudian, wajah Lilian muncul di muka pintu.

"Where is Ali?"

"Who is Ali?"

"Wong Park Chu. Where is him?"

Lilian menggaru-garu kepalanya. Dia menggelengkan kepala laju-laju.

"I tak kenal loh. Ali or whatever Wong you said just now. Sorry ah."

Dia mula berpusing untuk berlalu. Saya cepat-cepat menahannya.

"Wait! But his housemate told me that you are Ali's girlfriend."

Dia menggaru kepalanya sekali lagi.

"I tak kenal. I tak tau siapa you cakap. I pun aaaa tak ada boyfriend oooo."

"Tak apalah. Sorry ganggu you,"kata saya sambil mencapai basikal dan terus menunggangnya pulang ke rumah. Di dalam kepala saya tertanya-tanya ke mana Ali? Ali sakitkah?

* * * * *

Dua minggu. Ali hilang tanpa jejak. Saya dah cari dia merata-rata. Bertanya kepada sahabat rapatnya juga sudah. Sampai saya rasa nak jumpa bomoh.

Saya rindu Ali. Sangat.

Petang itu, seorang perempuan datang menemui saya di perpustakaan. Dia menghulurkan sepucuk surat. Katanya daripada Ali. Sebaik sahaja perempuan itu berlalu, saya segera membuka sampulnya untuk mengetahui apa isi di dalam.

JUMPA SAYA DI DEPAN PERKARANGAN MASJID NEGARA ESOK PUKUL 10 PAGI.

ALI

Saya membaca isi surat itu berkali-kali. Esok hari Jumaat. Kebetulan saya tak ada kelas. Boleh saya ke sana.

* * * * *

"Aku naik saksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah."

Saya meraup wajah berkali-kali. Brsyukur ke hadrat Illahi kerana membuka hati Ali untuk memeluk agama Islam.

Saya nampak Ali berjalan menghampiri saya lalu berlutut di depan saya. Dia tersenyum. Segak. Berbaju melayu kuning air, bersongkok dan bersampin, menambahkan ketampanan yang dimilikinya.

"Assalamualaikum Maisarah. Dah lama saya nak beri salam pada awak tapi saya tau, tak boleh,"katanya sambil membetulkan duduk.

"Waalaikumussalam, Ali. Hehehe!"

"Sorry sebab hilang macam tu je. Saya pergi berguru dengan seorang ustaz di Kedah. Saya mendalami agama awak Maisarah. Saya nak kenal Islam. Awak dah tunjuk sesuatu kepada saya sehingga saya terbuka hati untuk memeluk agama awak."

"Apa yang saya buat?"

Ali mengajak aku berdiri. Kemudian kami berjalan keluar ke kaki lima masjid lalu melabuh duduk di situ.

"Awak selalu kata, awak pembawa sial. Terus terang, saya tak percayakan hal itu. Saya cari dalam Al-Quran kalau-kalau ada gelaran sebegitu ada manusia. Tapi tiada. Dan takdir menemukan saya dengan Pak Taufiq. Saya semakin mengenali Islam. Maisarah, berhentilah berfikiran seperti itu. Awak bukanlah punca kematian mereka. Kalau benar awak begitu, dah lama saya ni mati."

Saya terdiam mendengar hujahnya yang panjang lebar. Terlalu mendalam.
"Saya takut menyayangi, apa lagi disayangi. Kenangan dulu terlalu membayangi hidup saya. Tapi jujur, masa awak tak ada, merata-rata saya cari awak. Saya risau kalau-kalau terjadi sesuatu pada awak."

Ali tersenyum. Dia menanggalkan songkoknya lalu diletakkan di atas riba.

"Sebelum saya rebah di hujung jalan tanpa pegangan yang benar, saya ingin sekali menjadi seorang manusia yang punya agama. Alhamdulillah. Hari ini saya seorang Islam."

"Syukur alhamdulillah. Kalau awak tak tau apa-apa, awak tanya saya."

"InsyaAllah. Kita mula semula ya? Ehem! Assalamualaikum. Nama saya Ali Mukhriz bin Abdullah. Boleh berkenalan?"

"Ehem. Waalaikumusalam. Saya Maisarah Umairah. Boleh! Hahahaha!"

Saya rasa hari ini adalah hari yang amat membahagiakan. Lelaki yang saya sayang dan menyayangi saya sudah selangkah ke hadapan. Mungkin benar, sebelum rebah di hujung jalan dalam kesia-siaan, ada banyak hal yang perlu kita perbetulkan. Selagi mana ianya belum terlambat.

1 Dec 2015

KARKAS #233: LELAKI SENJA DAN BIDADARI

"Hei orang tua, ceritakan kepadaku riwayat yang banyak dikhabarkan orang di sini!"

Dengan lagak yang angkuh, kau menegur seorang lelaki di tepi surau. Lelaki itu senyum. Senyumannya memukau.

"Baiklah anak muda. Biar aku ceritakan... "

*****

Dia adalah lelaki senja. Usia, wajah, dan peribadinya adalah senja yang terlukis pada seorang manusia. Tubuhnya tak lagi gagah, hanya menanti waktu rebah. Namun rezeki diusaha sendiri dicari seluruh pelusuk desa, meredah segala sungai—hulu ke muara.

Lelaki senja, sepertimana gelarannya, adalah sebuah kesunyian. Sendiri hidup di gubuk buruk dan usang. Pun, lelaki senja tidak pernah lelah dari mendekati Tuhan. Sejadah buruk di ruang gubuk, seakan tidak pernah berganjak. Terbentang kemas menjadi lapik sujudnya setiap masa yang tersisa. Begitulah, lelaki senja terkenal dalam kalangan orang alim desa sebagai al-abid.

Kisah bermula, ketika lelaki senja terserempak seorang gadis di denai hutan. Gadis bermata biru terlantar longlai tidak berpakaian. Lengguk lekuk tubuh gadis itu mengujakan, lelaki senja terkelu tidak keruan. Melihatkan seorang lelaki asing, gadis itu cuba melindungi tubuh, merengkok dengan lengan menutupi lurah.

Lelaki senja tergamam. Segera pandangan dikalih, sebelum nafsunya menggelegak perih. Jubah lusuh, yang koyak bertampal dan kusam, dilucutkan lalu dihulur ke arah gadis. Si gadis menyambut lesu, tersenyum malu dan berterima kasih. Pipinya kemerahan. Pantas, jubah lusuh itu si gadis sarungkan ke tubuh. Dia sedikit selesa.

Dari mata, perkenalan mereka pun bermula. Ada debar di hati lelaki senja, berdegup kencang hampir terbang melayang. Gadis itu, menurut ceritanya adalah mangsa noda. Lelaki senja kasihan, lalu dipapahnya gadis lemah itu pulang ke desa.

Di desa, riuh warganya ketika terlihat kelibat, lelaki senja bersama bidadari syurga. Gadis itu terlihat bersinar, cantik mempersona, memukau tiap mata yang memandang. Mereka disambut mesra penuh ceria, namun di hati sebaliknya. Para jejaka, tua muda mahupun remaja pantas memasang angan. Para wanita, gadis mahupun anak dara, mula terlihat riak kegelisahan. Desas-desus mula tercetus, ada yang mengusulkan, agar lelaki senja dan bidadari syurga segera dinikahkan.

Usul ini dibantah keras kaum adam!

Mereka berbalah, apakah layak lelaki tua uzur mahu menjaga gadis muda berlurah ghairah? Sedang di sisi kaum hawa, mereka melahirkan khuatir akan suami yang matanya mula meliar. Malah, ada yang persoal–siapa sebenarnya gadis itu? Apakah hadirnya mahu memporakperandakan desa?

Akhirnya, si gadis bersuara–'aku menerima lelaki senja sebagai teman hidup, cinta dan setia'. Maka, terkatup-kuncilah mulut warga desa, tanpa pertikaikan apa-apa. Namun masih ada yang menggumam sendiri, berbasa-basi tidak puas hati. Bisik-bisik terdengar,  gadis itu syaitan bertopengkan bidadari syurga.

Malam menjelang pada hari pernikahan, gubuk buruk lelaki senja dibakar, hangus tanpa sisa. Maka rentunglah gadis itu sendirian. Entah siapa punya angkara. Lelaki senja, ketika itu sedang asyik di rumah ibadah tekun mensyukuri nikmat. Hanya sejadah usang yang terselamat, tidak terjejas oleh api marak. Sejadah itu dipeluk erat lelaki senja, amarah mula memijak sabar. Cinta lelaki senja pada gadis telah terputik meliar, berkembang mekar sejak pandangan mata saling bertukar. Kerana itu, memaafkan pengkhiatnatan ini terlalu sukar .

Cinta yang mendalam telah menjelmakan sejadah kepada gadis yang dirindui.

Air mata yang tumpah dari mata lelaki senja berlarutan hingga sebulan lamanya. Sejadah itu, terpeluk erat olehnya. Hingga satu malam, saat pohon-pohon sujud ke bumi, sejadah itu membawa lelaki senja terbang ke 'syurga'. Di sana, dia bertemu gadis tercinta berhias indah terkalah bidadari–sempurna. Namun wajahnya keruh, seakan ada hajat yang belum dilabuh.

"Usah menangis lagi sayang, aku akan sentiasa bersamamu. Sejadah ini, adalah jelmaanku. Kelak, balaslah dendammu untukku." Lelaki senja khusyuk mendengar. Cintanya, melumpuhkan akal dan sabar.

"Seperkara lagi, usah kau biarkan sesiapa jua melihat sejadahmu ini. Kerana nanti, mereka pasti cuba membinasakan kita. Mereka mengatakan aku ialah syaitan. Tolong, hapuskanlah mereka."

Lewat senja itu, seluruh desa musnah terbakar. Dengan sekali hayunan, sejadah berubah menjadi naga yang murka, membaham seluruh desa dengan api marak menyala. Jerit pekik warga desa terdengar sayup, sebelum segalanya tenggelam dalam kobar api menggila.

Kisah terakhir lelaki senja yang diketahui,  dia mengusung sejadahnya ke mana saja. Namun tiada seorang pun yang pasti, ke mana lelaki senja itu pergi. Kerana, setiap mereka yang pernah menemui lelaki itu ditimpa bencana, maut dibaham neraka.

*****

"Begitulah, riwayat yang diceritakan oleh penakanku, anak muda. Riwayat yang diwarisi leluhurku." Lelaki itu tersenyum—manis.

Kau memandang curiga pada lelaki itu. Ya, di bahunya sejadah aneh—bercahaya!