“Panas sungguh kedai kamu ni Husin. Nak duduk mengopi pun tak senang dibuatnya.” Keluh Leman sambil mencicip sedikit teh tarik yang baru dipesan. Husin hanya menggeleng dengan senyuman sambil membancuh air untuk pesanan seterusnya.
“Betullah tu Husin. Zaman sekarang ni orang tak pakai zink dah Husin. Panas merelit bahang zink ni haaa.” Tambah Mael yang duduk semeja dengan Leman.
“Nak buat macam mana. Dah nak panas. Tak baik mengeluh bebanyak ni.” Husin bersuara sambil menghulurkan sebungkus teh ais kepada seorang budak lelaki yang sedari tadi menunggu pesanannya siap.
“Bukan mengeluh Sin. Ini untuk keuntungan kedai kamu jugak. Kedai sejuk, pelanggan pun ramai ye dak?” Jawab Mael sebelum dia mencapai surat khabar percuma di atas meja.
“Mudah-mudahanlah hujan petang ni. Sedap sikit nak tido.”
“Amboi, sedap betul kau Leman. Aku ni kau tak pikir pulak. Petang ni aku ada keja kat kebun tu haaa. Kau mintak hujan habislah keja aku kena tangguh. Duit pun lambat masyuk. Doa tu agak-agaklah. Taulah kau tu penganggur terhormat dalam kampung ni.” Surat khabar kembali Mael letakkan di atas meja. Panjang lebar dia membebel ke Leman. Leman hanya mencebik malas mahu melayan. Hanya orang gila yang tidak mahukan hujan ketika cuaca dilanda terik sebegini.
“Woi!” Terkejut ketiga-tiga mereka apabila mendengar jeritan dari arah belakang. Segera mereka berpaling.
“Sorang mintak hujan. Sorang lagi taknak hujan. Kalau aku jadi tuhan pun entah doa yang mana satu aku nak makbulkan. Sebab manusia tamak macam hangpa ni la yang menjahanamkan muka bumi. Mintak itu ini. Semua benda nak mintak kat tuhan. Manja!”
BAMMM!!
Lelaki berambut panjang berkenaan menepuk meja sekuat hati sebelum beredar dari warung tersebut sambil menghayunkan kepala ke kiri dan kanan dengan tangan yang ditadah seolah-olah sedang berdoa.
***
No comments:
Post a Comment