Nama aku Laila. Siapa yang tidak kenal aku? Murid perempuan
yang paling cantik di Sekolah Kebangsaan Chubadak. Rambut kerinting kenyalku
yang menjadi idaman setiap gadis. Jelas ternyata perasaan cemburu di mata
mereka melihat rambutku melantun-lantun di bahuku bilabaku berlari. Jika dipanah
suria, rambutku bersinar keperangan.
Walaupun begitu, aku tetap mencemburui dengan keanggunan
Jasmin. Jasmin dan aku merupakan kawan karib sejak tadika lagi. Perwatakan
Jasmin yang lemah lembut sering membuat aku mahu menjadi seperti dia.
Aku perasan Jasmin selalu menemani Mustafa mengintai aku di
balik pokok ara itu. Mustafa merupakan pelajar contoh di sekolahku. Dia murid
yang baik. Hampir semua murid perempuan di sekolah ini menaruh harapan untuk
menjadi kekasihnya. Termasuklah aku. Namun, aku simpan sahaja niatku kerana
persahabatan aku dan Jasmin lebih berharga.
Pada satu hari, Jasmin datang ke kelasku dan mahu aku
mengikutnya ke pokok ara tersebut. Katanya ada seseorang mahu berjumpaku. Bila
aku tanyakan siapa, Jasmin hanya menjawab "Mr. M". Aku pasti Mr. M
itu merujuk kepada Mustafa.
Perasaan aku bercampur aduk. Gembira kerana Mustafa mahu
berjumpa dengan aku. Aku pasti dia mahu meluahkan rasa cintanya terhadap aku.
Tetapi terselit juga rasa bersalah terhadap Jasmin. Aku sayangkan Jasmin. Tapi
aku juga mencintai Mustafa. Yang mana satu harus aku pilih?
Sengaja aku memberi alasan untuk ke kantin sebentar untuk
membeli keropok lekor. Sedangkan aku mahu sedikit masa untuk berfikir dahulu.
Dan akhirnya aku membuat keputusan untuk memilih Jasmin. Aku tidak sampai hati
untuk mematahkan hati sahabat aku itu.
Aku dan Jasmin tiba di pokok ara itu. Terlihat Mustafa
berdiri di bawah pokok itu sambil memegang satu bungkusan putih yang berdarah.
Tidak aku sangka Mustafa mahu hadiahkan hatinya kepada aku. Hati yang telah
menjadi idaman aku.
Namun aku tetap dengan pendirian aku. Biarlah aku tidak
dapat hati lelaki idaman aku, asalkan kawanku bahagia.
Di saat Mustafa mahu melafazkan kata cintanya, aku terus
merampas bungkusan putih itu dengan rakus dan mengeluarkan hati Mustafa yang
berdebar-debar itu lalu aku memasukkannya ke dalam mulut. Mustafa dan Jasmin
tergamam melihat perlakuanku. Aku mengunyah bersungguh-sungguh dengan harapan
Mustafa tidak akan menyukai aku lagi. Selepas menelannya, aku terus berpusing
dan meninggalkan mereka berdua. Aku tidak mahu mereka melihat air mata aku. Aku
tidak mahu Jasmin tahu yang aku buat semua ini untuk dia.
Biarlah Jasmin membenciku. Aku mahu dia bahagia bersama
Mustafa.
"Inilah peluang kau Jasmin. Jangan lepaskannya."
***
No comments:
Post a Comment