Showing posts with label Kay T. Show all posts
Showing posts with label Kay T. Show all posts

7 Nov 2015

KARKAS #203: HANTU

"Banggggg!!!! Bangggggg!!"

Amir terkocoh-kocoh keluar dari bilik air. Tualanya sedikit terlucut menampakkan tulang pinggangnya. Dadanya turun naik. Laju. Mukanya memutih lesu. Pucat.

"Woi, kau kenapa Jai? Kena sampuk ke? Buat terkejut aku je la. Lahabau kau!"

Bajuku basah. Cawan Nescafe 3 in 1 memuntahkan air tepat ke putingku. Ada rasa menyengat yang menyinggah. Ah, bengang betul aku! 

"Bang tolong bang. Ni tengok ni bang."

Jai atau nama kampungnya Zaidi meninggikan tangan kanannya yang separa menggigil. Ada juraian rambut yang ikal dan panjang. Kalau diukur, mungkin rambut anak gadis yang panjangnya mencecah ke pinggul. 

"Rambut kan tu? Haaa dah tu apa masalahnya hawau? Eh kau ni. Meminta diseligi betullah!" aku mengeraskan sedikit nadaku.

"Yelah bang. Rumah kita ni mana ada perempuan bang. Kita semua lelaki. So, dari mana pulak datangnya rambut ni? Entah-entah......"

"Woi kau jangan macam-macam. Aku hempuk kau dengan gitar ni kang."

"Bang, saya takut ni bang."

Jai membatalkan niatnya untuk mandi di bilik air luar. Dia meminta izin untuk masuk ke bilikku. Katanya nak tumpang mandi di bilik air aku. Aku tak sampai hati untuk menolak permintaan Jai melihatkan dia menggigil ketakutan. 

******

"Sayang, makin teruklah rambut I gugur. Tengok ni. Lurut sikit je banyak gugur. Heee stress I tau macam ni," rengek Suzy sambil dia menyandarkan kepalanya di bahuku.

"Takpelah baby. Nanti kita beli syampu bawang yang Jackie Chan guna tu ya. Kot lah nanti boleh elok ke. Dah, janganlah menyandar. Kang lekat pulak rambut you yang panjang tu dekat baju I," pujukku sambil mencuit hidung mancung ala Punjabi Suzy.

***

6 Jun 2015

KARKAS #176: LANTAI

Aku mundar-mandir di dalam bilik sambil tangan kanan mencapai kemeja kotak-kotak yang tergantung di belakang pintu sebelum haruman kegemaran aku semburkan ke seluruh badan.

Aku menuju ke almari solek mendapatkan cincin pemberian Azmir namun tiba-tiba tumitku terasa pedih seperti tertusuk objek tirus yang halus.

"Aduh", aku terus terduduk di atas lantai bilikku sambil membelek tumit yang berlumuran darah dengan kening berkerut.

Ada sesuatu menembusi kulitku yang penghujungnya berbentuk jarum peniti tetapi berkilau.

Aku merenung lama objek yang berbentuk jarum peniti itu sebelum perlahan-lahan aku mencabutnya keluar dari tumit.

Nah, ia bukan jarum peniti seperti yang aku sangka kerana mana mungkin jarum peniti panjangnya melebihi sejengkal!

Lama aku membelek objek di tangan sehinggalah ada sesuatu yang terdetik di hati - kenangan dulu!

Macam mana aku boleh terlepas pandang tentang itu tapi persoalannya kenapa ia terbiar di lantai sedangkan sudah aku simpan rapi di dalam kotak perhiasan lama?

Aku bingkas bangun dari duduk dan berjalan ke arah katil dengan langkah terhincut-hincut - merenung lama objek di tangan dengan helaan nafas panjang.

Tidak, aku takkan sesekali membenarkan darah aku mengalir dek luka dari senjata yang aku tusukkan ke jantung Azmir dan merenggut segenap nafas yang dia ada.

***