Perihal domino yang sulit disetkan tetapi dengan mudah,
dijatuhkan untuk persembahan
Kakinya melangkah lemah menaiki anak tangga ke tingkat
teratas menuju ke satu unit teratak batu yang menjadi tempat teduhan selama
ini. Ada dibilang jumlah anak tangga yang diinjak tetapi kiraannya luput di
tengah jalan mengenangkan hiba yang tidak mahu diusir keluar oleh distraksi
yang dibuat-buat.
Selepas memastikan bahawa keadaan selamat untuk masuk ke
dalam rumah, disua kunci ke dalam setiap mangga dan pintu yang setia menjaga
kediamannya walhal dia sangat berharap akan ada penjenayah yang menyusup keluar
dari mana-mana unit rumah kosong di sekeliling datang menerkam dan menamatkan
riwayatnya yang sememangnya sedari dahulu amat menyedihkan. Untung nasib bisa
jadi peneman roh seorang India yang mati mabuk di unit bertentangan dan
bersahabatkan kegelapan yang selama ini menyelubungi hidup secara kiasan. Oh,
dan juga roh seorang opah yang selalu berlegar-legar di tingkat teratas ini.
Seketika kemudian, dia duduk di hadapan komputer selepas
selesai menanggalkan topeng muka berlabel 'gembira' dan melucutkan sarung badan
berjenama 'hamba kapitalis' dan berbogel seperti mahunya. Bebas. Malam ini,
teman serumah berada di Kuching, Sarawak menunaikan tuntutan tugas dan
lain-lain, jika ada. Perkara pertama yang dibuat sebaik sahaja berada di atas
talian adalan menonton sebuah video rakaman jatuhan domino yang paling 'awesome'
di dunia, dicatat ke dalam Buku Rekod Dunia Guinness.
Ralit dia memerhatikan kepingan-kepingan domino itu jatuh
menyembah lantai dalam pelbagai formasi, menjemput sorakan dan tepukan ramai
penonton di dalam dewan. Begitu teruja. Selepas beberapa minit, video itu tamat
serentak dengan tamatnya tempoh putaran mesin basuh yang sempat dia aktifkan
sebelum duduk tadi untuk membilas baju-baju yang tidak pernah berkesudahan
diulang-basuh.
Dia bingkas bangun. Air harus disaling sebelum diputar
sekali lagi untuk mengelakkan pakaiannya berbelak sisa sabun. Saat melangkah ke
balkoni belakang yang menempatkan mesin basuh usang itu, dia terdengar seperti
ada kepingan-kepingan domino jatuh menyembah lantai rumahnya. Difikirkan video
tadi secara tidak sengaja diulang main tetapi tiada pula bunyi sorakan dan
tepukan gegak gempita. Dia melangkah lagi dan bunyinya makin galak.
Ditoleh ke belakang dan dilihat ada kepingan-kepingan hati
yang sisinya bergerigi dan kelihatan buruk sekali, tersusun di atas lantai,
bertimpa-timpa setiap satunya. Ah, ini domino yang dipersembahkan dari hatinya
yang melerai. Ada juga dicatat rekodnya yang tersendiri. Dia pemegang rekod si
patah hati yang paling kecewa di dalam dewan (rumah) sendiri. Tiada penonton,
tiada laungan semangat, tiada sorak, tiada tepuk, tiada liputan, tiada apa-apa.
Cuma hantu-hantu di luar rumah menjengah dari pintu yang terbuka dan kegelapan
yang bakal menyatu saat lampu rumah dipadamkan.
***
No comments:
Post a Comment