Suhaimi bingkas bangun dari tidur. Dia pening. Pada setiap igauannya nombor itu akan menjelma pada satu pintu. '57.' Pintu 57 akan membawanya ke alam di mana harapan adalah 57 ekor unta yang berjalan tersengguk-sengguk dalam satu garis tak berapa lurus dan keyakinan adalah seorang makcik 57 tahun yang gemar terkinja-kinja menari Zumba dengan X-Box 360 yang dipinjam dari jiran sebelah. Tersengguk dan terkinja adalah kontradiksi tapi Suhaimi yakin maksudnya sama kerana lepas buat dua-dua perkara itu, paling best ialah buat perkara yang sama iaitu membuta di bawah kipas yang berputar laju dengan memakai baju pagoda dan kain pelekat sahaja.
Kerana itu bila dia penat berlari mengejar pintu nombor 57, Suhaimi akan berhenti macam dalam perlawanan lumba lari kura-kura dan arnab untuk membuta. Suhaimi tentu sahaja tidak mengaku dirinya arnab kerana dia memang tahu nafsu seksnya lemah sejak terkejut ibunya masuk bilik ketika dia sedang bermasturbasi pada umur 23 tahun jadi tak mungkin dia boleh melompat macam arnab yang ghairah sepanjang masa. Tapi dia juga tidak mahu mengaku dia kura-kura kerana dia sentiasa pakai haruman tanpa alkohol yang dijual oleh artis nasyid yang dah lama takda show, sebab itu ketiaknya langsung tak berbau hamis macam kura-kura. 'Habis kau jadi apa lah baghal?' Tanya Ahmad Bakthiar yang baring di sebelahnya sambil mengorek telinga dengan pengorek telinga besi (kerana pakai cotton bud hanya akan menolak tahi semakin ke dalam, kata cikgu sekolah rendah). Dia tak suka betul bila Suhaimi guna bahasa diri ketiga.
'Aku jadi pokoklah, tempat arnab tidur!' kata Suhaimi.
Ahmad Bakhtiar tak faham sepatah haram apa yang Suhaimi cerita. 'Kalau kau jadi pokok habis apa kena mengena pintu 57 dengan arnab dan kura-kura?' Ahmad Bakhtiar mula nak naik angin. Suhaimi selalu cerita benda tah hapa hapa.
'Entah aku pun tak tau. Kau suka tak makan maggi kari?' tanya Suhaimi sambil memejam mata dan membayangkan kekenyalan mi maggi panas dalam kuah kari, sedapnya imaginasi itu sampai jari-jarinya yang kotor asyik menarik-narik rambut pintal dreadnya yang kusut selepas 3 tahun tak mandi dan tinggal bawah jambatan. Sesekali dia menggaru-garu badannya yang hanya memakai baju pagoda lusuh dan spenda. (sebab Ahmad Bakhtiar pinjam kain pelekat untuk memukat ikan petang tadi)
Sampai malam ikan belum tersangkut di kain pelekat. Sampai sekarang Suhaimi masih lupa jalan pulang ke rumahnya yang pintunya bernombor 57.
***
Margolas: Markonah Maximus
No comments:
Post a Comment