Showing posts with label Mialara Lavendy. Show all posts
Showing posts with label Mialara Lavendy. Show all posts

24 Feb 2023

KARKAS #256 : PADA SUATU MALAM SEMASA HARI HUJAN

 


“Betul kamu tak ingat apa-apa?”

Geleng. Cahaya kilat memancar membuat aku membuang pandang ke luar jendela. Langit gelap, padahal jam di telefon bimbitku baru menunjukkan pukul 2.10 minit petang.

Saat aku buka mata lima belas minit yang lalu, aku sedar yang aku bukan berada di dalam bilik tidur di rumahku, sebaliknya di katil hospital dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya Inspektor Sahak, sedang berdiri di sisi katil.

“Kamu dijumpai tak sedarkan diri di lorong belakang Jalan Kenari malam tadi. Apa yang kamu buat kat situ di malam hari?’’

Aku garu kepala. Geleng lagi. Bingung. Tak ingat apa yang berlaku beberapa jam sebelumnya.

“Saya tak pernah ikut laluan lorong belakang. Saya biasanya turun bas terus ikut laluan pejalan kaki nak balik ke rumah. Apa sebenarnya yang berlaku?’’

“Kami jumpa kamu terbaring tak sedarkan diri tak jauh dari lokasi pembunuhan.” Dia mendekatkan badannya ke telingaku. “Kamu mungkin adalah saksi utama kes pembunuhan itu.”

Mata aku hampir terjojol keluar mendengarkan itu. “Pem… pembunuhan?” Mata aku mencari kesahihan di riak wajahnya yang tenang.

Inspektor Sahak mengeluarkan sesuatu dari fail yang dibawa. Sekeping gambar di tayangkan depan muka aku dimana ada seseorang sedang terbaring dengan tompokan merah di bahagian perut. Terus aku alihkan pandangan, ngeri nak melihat terlalu lama. Aku kira mangsa itu adalah seorang perempuan berdasarkan kain yang menutupi kepala mangsa, walaupun hanya melihat sekali imbas.

“Jadi kamu memang tak ingat macammana kamu boleh pengsan kat situ?” Gambar itu kembali disimpan dalam fail.

“Tak, saya tak ingat langsung! Macam ada ingatan dalam kepala saya yang tak wujud. Hilang.”

Inspektor itu merenung muka aku seolah-olah ingin menduga adakah aku sedang berkata benar atau menipu dia. Aku alihkan pandangan. Renungannya yang tajam seperti sedang membogelkan semua buah fikiran dalam kepalaku.

 “Kalau kamu tiba-tiba teringat sesuatu, cepat cepat beritahu saya.” Kad namanya dihulur.

Aku sambut, tapi pegangan kad masih tidak dilepaskan. Aku pandang matanya, seraya dia berkata “ingat, kamu saksi utama kes ini. Kamu kena ingat sesuatu.” Seusai pesanan itu dia sampaikan, kad beralih tangan.

Inspektor Sahak menjinjit fail maklumat tadi dan beredar dari katil sambil bersiul.

Siulan yang mendayu-dayu, akan tetapi terasa seperti pernah didengari.

Langit yang tadinya gelap kini mula memuntahkan hujan. Guruh tiba-tiba berdentum. Saling bersahut-sahutan dengan bunyi siulan tadi menerpa masuk ke gegendang telingaku.

Aku kembali ke masa itu.

 Malam dimana kilat dan guruh saling berdentum dan memancarkan cahayanya diiringi hujan lebat. Aku yang ketika itu turun dari perut bas hanya beralaskan beg sebagai penutup kepala, berdiri seorang diri di hentian bas, berniat untuk menunggu sehingga hujan reda sebelum berjalan pulang ke rumah.

Tiba-tiba aku terdengar suara jeritan perempuan seperti meminta tolong. Pandang sekeliling, tak ada seorang manusia pun kelihatan di sekitar.

Aku seharusnya tunggu sahaja dimana aku berada sehingga hujan reda. Tapi kali kedua aku mendengar jeritan yang panjang dan seperti merayu agar ditolong itu, aku jadi tak sampai hati untuk abaikan apa yang aku dengar.

Sejak kecil aku memang mempunyai deria pendengaran yang sangat tajam. Ibu kata aku seperti manusia yang mempunyai deria keenam yang boleh mendengar bunyi yang tidak didengari manusia lain.

Aku mencari arah jeritan itu di lorong belakang kedai yang tak jauh dari tempat hentian bas. Mungkin ada sesiapa yang terjatuh ke dalam longkang atau ditimpa musibah dalam hujan lebat ini. Walaupun aku terpaksa berbasah lencun, sekurang-kurangnya aku mungkin boleh menyelamatkan nyawa seseorang.

 Kadang kala aku benci dengan kelebihanku yang satu ini. Ia membuatkan aku perlu terjebak dalam masalah orang lain.

Pada ketika itu, aku ternampak seseorang seperti sedang terbaring dengan tangan terkapai-kapai, aku lajukan langkah ke arah itu. Semakin hampir, baru aku perasan ada seseorang lagi yang sedang berdiri dalam pakaian baju hujan menutupi dari kepala sampai ke lutut, hanya berdiri memandang manusia yang terbaring di hadapannya.

Situasi itu sangat mengelirukan aku yang tidak dapat melihat dengan jelas asbab air hujan menerpa ke muka. Tapi saat kilat memancar, aku terpandang sesuatu di tangan orang yang berdiri itu. Sesuatu yang bersinar, seperti….

Pisau!

Saat sel-sel otak aku sudah memahami situasi ketika itu, kaki aku terus berlari mencari tempat perlindungan. Malangnya kewujudan aku disitu telah disedari oleh si pemegang pisau. Aku tahu aku diekori, tapi tak ada tempat lain lagi untuk aku bersembunyi selain membenamkan diriku dalam longgokan sampah sarap di tepi dinding ini walaupun peratusan untuk dijumpai sangatlah tinggi.

 Sayup-sayup kedengaran bunyi siulan mendayu-dayu seperti mendengar panggilan maut. Semakin lama semakin jelas kedengaran. Seluruh badan aku menggigil, entah ketakutan atau kesejukan.

Satu persatu bunjut sampah terasa dialihkan seseorang. Aku hanya berfikir untuk berlari sekuat hati saat bungkusan sampah di badan aku ini diangkat si pembunuh itu. Dalam kiraan lima, empat, tiga, dua…

Satu!

Aku terus berdiri dan melangkah beberapa tapak, buk! Belakang kepala aku dihentak dengan sesuatu yang keras dan tumpul.

Gelap.

Dentuman guruh mengembalikan aku ke alam realiti.

Celaka! Aku sepatutnya terus buang ingatan itu selama-lamanya!


23 Nov 2015

KARKAS #231: BUAH HATI RAKYAT MALAYSIA


Menjadi Buah Hati Rakyat Malaysia tidaklah semanis seperti yang semua orang lihat. Sedekad sudah berlalu, dari beribu-ribu pujian kepada berjuta-juta makian sudah dia hadam. Namun dia masih mampu berdiri dan melangkah setiap hari dengan senyuman, dan terus mengekalkan status penyanyi nombor satu terbaik di Malaysia.


Terbaharu, seorang Datin dalam lingkungan lewat usia 40-an membuat kenyataan di Melodi (dengan namanya dihitamkan) bahawa suaminya sedang menjalin cinta dengan seorang penyanyi terkenal (juga identiti penyanyi itu dihitamkan) sejak beberapa bulan kebelakangan ini.


Apabila ditanya apakah motif kenyataan ini dibuat, wanita itu mendedahkan yang penyanyi itu merancang untuk  berkahwin dengan suaminya sedangkan dia tidak bersetuju untuk berpoligami. Akibatnya dia diminta untuk memilih samada berpoligami mahupun berpisah. Pilihan yang diberikan sangatlah berat sebelah dan langsung tidak memihak kepada dirinya sedikit pun.

Lalu wanita ini menggunakan medium 'Melodi' untuk meraih simpati jutaan rakyat Malaysia agar keadilan berpihak kepadanya.

Skuad Melodi yang terkenal dengan 'Terjah!' mencari penyanyi yang dimaksudkan akan tetapi sudah beberapa kali terjahan mereka terganggu kerana ketiadaan penyanyi itu di Malaysia ketika ini. Menurut sumber yang boleh dipercayai, penyanyi itu sedang bercuti di London sehingga minggu hadapan. 


Segelintir manusia yang bersembunyi di sebalik identiti Pahlawan Kekunci dengan mudahnya dapat menebak siapkah penyanyi yang dimaksudkan setelah mereka menonton Melodi dan mengikuti perkembangan penyanyi itu di Instagram. Lalu muncullah gossip di blog-blog hiburan dengan tajuk sensasi:


‘Mariyyah punca keretakan rumah tangga orang.’

  
‘Mariyyah bakal berkahwin dengan suami orang.'


‘Mariyyah bakal menamatkan zaman bujang.’ 


Seluruh rakyat Malaysia menantikan kepulangan Mariyyah, penyanyi nombor satu Malaysia itu untuk memberi kenyataan balas bagi pertuduhan dan gosip yang telah tersebar ini. Berita perkahwinan Mariyyah adalah satu hal yang paling dinanti-nantikan oleh semua peminatnya dari luar dan dalam negara. 


***


Mariyyah sedar yang rahsia besarnya telah terbongkar. Sebentar lagi pihak wartawan akan mengejarnya sehingga ke lubang cacing. Dia akan dicincang dengan soalan-soalan yang bisa memuaskan hati-hati seluruh rakyat Malaysia. Di dalam bilik kebal itu, dia tanggalkan telinganya dan disimpannya di dalam peti besi. Diambilnya rambut yang paling mengerbang, lalu disarung ke kepalanya. Kelihatan di depan cermin, membiaskan rupa Buah Hati Rakyat Malaysia yang anggun. Tiada siapa yang pernah tahu rahsia ketenangannya tika berhadapan amukan manusia-manusia di luar sana. 

***

“Mariyyah, betul ke dakwaan mengatakan you akan berkahwin dengan suami orang?” Tanya wartawan yang bertudung dengan rokok di tangan.


“Adakah lelaki itu akan menceraikan isterinya?” Tanya wartawan botak bertatu di lengan, yang macam pondan. 

“Mariyyah, apa pendapat awak tentang poligami?” Tanya wartawan wanita tua yang berskirt-mini kemanja-manjaan. 

Dia dikeremuni lebih daripada sepuluh orang wartawan dan diajukan soalan bertalu-talu namun dia masih mampu tersenyum, riak wajahnya langsung tidak menampakkan garis-garis kelelahan mahupun tekanan.

“Mariyyah apa istimewanya Datuk J?"

Mariyyah langsung tidak mendengar setiap satu soalan yang diajukan, dia cuma melihat kumat-kamit wartawan. 

“Hehe. No komen.” Jawabnya, mudah... 

...senyuman manis terus terlukis di bibirnya, mengekalkan status Buah Hati Rakyat Malaysia, selagi belum melepasi tarikh luput status itu yang ditentukan oleh Melodi dan Pahlawan Papan Kekunci. 


***

KARKAS #230: GELABAH


Sejak kerusi kosong di meja hadapan aku telah diduduki, aku telah terjatuhkan pen, terbangkan kertas. Mengeluh sebab tersalah taip sebanyak sepuluh kali dan sekarang aku telah menarik perhatian lelaki di meja hadapan ini. Bodoh! Aku tak mahu dia memandang aku dan melihat buruknya rupa aku menyiapkan kerja pada minit terakhir!


Microsoft word yang masih putih skrinnya aku pandang sepi. Secawan kopi berasap nipis di sudut kanan sudah tiga kali bertukar cawan dan disebelahnya telefon bimbit yang asyik berbunyi datang dari group whatsapp ‘KarKas’. Kurang dari satu jam, aku perlu menghantar certot kepada Karkas, Lewat satu minit dari waktu yang ditetapkan, aku  akan ‘ditendang’ keluar dari group. Ditendang keluar selama-lamanya!


Urat-urat kepala semakin berselirat. Akal aku cuba mengaitkan suatu jalan cerita yang berkaitan dengan mangkuk tandas. Selingan bunyi yang datang dari telefon menambahkan tekanan.


“Mangkuk tandas.”


“Mangkuk tandas ini benar-benar menguji.”


“Mangkuk tandas menguji kesabaran.”


“Mangkuk....” *Notifikasi whatsapp group* “ayun, kau dah kenapa tak boleh senyap?” Kecik besar kecik besar je aku tengok handphone ni.


Aku memicit-micit kepala sambil membayangkan satu situasi di dalam tandas. Samar-samar aku melihat satu ‘jalan cerita’sedang terlayar di minda separuh sedar. *Notifikasi whatsapp group* Dan bayangan itu hilang.


Urgghhh... Telefon bimbit ini benar-benar menguji! Saat dia berbunyi untuk kesekian kalinya, aku celupkan terus dia dalam cawan kopi. Senyap. Tenang. Dan bayangan itu datang lagi.


Lima belas minit sebelum jam 10 malam, jari jemari aku lancar menari di atas papan kekunci, mencoretkan jalan cerita dari minda bawah sedar tentang mangkuk tandas yang benar-benar menguji dannnn... siap!


Satu minit sebelum 10 malam. Telefon bimbit dalam air kopi dah ‘mati’. “Nikhirimm... macammana aku nak send kat Karkas ni??!” Aku macam pacat yang terkena garam dan menunggu masa untuk mati.


Lelaki di meja hadapan memandang aku aneh.



7 Nov 2015

KARKAS #208: MANGKUK TANDAS

Lara seorang gadis lewat usia yang belum bertemu Mr. Rightnya. Dia selalu dilabel ‘Andalusia’ dan orang kata dia akan terus membujang sampai ke tua. Tak ada apa yang kurang tentang Lara melainkan dia menghidap penyakit-tidak-begitu-kronik dimana dia selalu risau akan sesuatu perkara yang tidak penting. Atau orang panggil ocd, sehinggakan buat dia rasa yang dia mungkin tidak akan bertemu dengan lelaki yang akan terima dia seadanya.

Suatu hari, Lara bertemu dengan lelaki idamannya. Lelaki idaman Lara tak rumit mana, cukup sekadar dia mampu buat jantung lara bergetar, Lara pasti itulah lelaki yang telah tercipta untuknya. Sehingga akhirnya mereka membuat keputusan untuk berkahwin. Itupun selepas menjalani fasa percintaan selama 3 bulan yang penuh warna warni seperti warna pelangi. Sejak itu Lara nekad untuk menjadi isteri solehah.

Setiap hari adalah proses mengenali. Dia tukang kutip tuala setiap kali selepas suami mandi. Dia tukang kutip pinggan setiap kali selepas suami makan. Dia tukang kutip baju setiap kali suami salin baju. Dia lakukan semuanya walaupun dalam hati ada rasa sikit tak puas hati. Demi menjadi isteri solehah, dia telan semua benda.

Satu pagi, Lara bangun dari tidur dengan perut yang memulas-mulas.  Pintu bilik air diketuk menyuruh si suami supaya cepat keluar.

Pintu bilik air dibuka. “Kenapa?” soal suaminya.

“Tak tahannn..” Lara terus meluru masuk dan mengunci pintu. Sebaik dia berpusing dan menghadap mangkuk tandas dadanya berombak kencang.

Dia sudah bertahan dengan perangai suaminya selama hampir 8 bulan sejak mereka berkahwin, tapi mangkuk tandas ini benar-benar menguji tahap kesabarannya. Dia terus terlupa tentang niatnya untuk menjadi isteri solehah, mahupun tentang perut yang sedang memulas-mulas, dia cuma mahu meluahkan semuanya.

“Awak lepas buang boleh tak tolong flush?!”

***

KARKAS #201: BUDAK ILP

Aku rapat dengan dia secara tak sengaja. Kami berkawan secara senyap-senyap.  Dia baik sangat, kalau orang kata kawan itu adalah ketika kita senang dan ketika kita susah, then dialah orangnya. Bila aku nak balik kampung, dia akan tolong belikan tiket keretapi, bila aku tak ada kawan nak pergi kl sentral dan aku si budak kampung yang tak berani nak keluar malam seorang diri, dia tawarkan diri untuk temankan, dia baik. Terlalu baik bagi aku. Setiap kali aku ucap terima kasih, dia akan jawab,

“Siapa lagi nak tolong kawan kalau bukan kawan?”

Walaupun aku percaya hati aku semacam ada rasa lain, tapi status kawan yang dia selalu ucapkan buat aku jadi keliru. Kalau betul kawan, kenapa baik sangat? Kenapa kawan-kawan lelaki aku yang lain tak pernah layan aku macam dia buat?

Dah lima tahun sejak kali terakhir kami berjumpa. Dan kami bertemu lagi di majlis perkahwinan kawan lama. Walaupun ‘perasaan’ bila jumpa dia tu dah tak sama macam dulu, tapi aku masih merindui dia sebagai seorang kawan lama yang selalu ada waktu susah aku dulu. 

“Hey, Paez!”

“Eh, hey.. budak ilp!”

Oh.

Budak ILP. Itukah perkara pertama yang ada dalam fikirannya saat melihat aku?

***

1 Jul 2015

KARKAS #186: RUTIN

Pintu lutsinar aku tolak, seat yang berdekatan dengan pintu aku tuju – duduk menghadap cermin besar di dinding. Pelayan perempuan dengan uniform merah datang hulur buku menu. Tak perlu selak buku itu aku sudah tahu apa yang aku mahu, 

“Brown....”

Seorang perempuan tiba-tiba datang tarik kerusi dan duduk. “Brownies lagi? Secret recipe ada berpuluh-puluh jenis kek untuk dimakan, kenapa mesti brownies?” Soal dia.

“Sebab saya suka.”

Dia tarik buku menu dan menyelak satu persatu. Pelayan tadi masih menunggu dengan buku nota dan pen di tangan. Memandang aku dengan kening yang dijongket.

“Biar saya pilihkan untuk awak.” Dia mengetuk-ngetuk jarinya pada dagu sambil menyelak menu. 

“Saya suka carrot cake, tapi saya tak makan carrot cake setiap kali, saya  gila cheese, tapi saya tak makan cheese cake selalu. Kadang-kadang apa yang kita suka makan bukan sebab kita memang suka, tapi sebab itu adalah benda yang kita dah biasa buat. Itu rutin.”

Aku biarkan dia membebel tentang kek yang meleret kepada entah apa benda. Aku cuma peluk tubuh dan pandang dia tak berkelip. Dia sangat comel bila berakap tanpa henti. Dia sangat jelita dengan tudung bawal yang kadang-kadang serabai bila dia stress, dan kemas bila mood dia baik. Tudung bawal tu dah macam lantunan mood dia pada satu hari itu. Yang dia tak tahu, aku selalu ‘baca’ mood dia daripada gaya tudung bawal yang dia pakai.

“.... jangan terus hidup dalam zon kawasan selamat, awak kena keluar dan cari hidup yang baru.” Dia pandang aku dengan muka sayu.

“Encik?” Pelayan perempuan itu tadi memanggil aku. Siap mengawang-awangkan tangan dia kat muka aku lagi.

Aku tersedar dan perempuan yang duduk kat kerusi depan aku ni tadi dah tak ada.

“Encik termenung?” Soal si pelayan.

Aku pandang muka si pelayan. ‘Awak kena keluar, cari hidup yang baru...’ ayat itu terngiang-ngiang di telingaku.

Aku senyum pada pelayan ini. “Dah lama awak kerja sini?” 

Aku sedang melangkah setapak, mencari ‘hidup’ aku yang baru.

***

13 Jun 2015

KARKAS #180: HELLO KITTY

"Pergi! Pergi! Bawak benda tu pergi jauh dari aku!" Fatin terjerit-jerit macam kena histeria sebaik melihat patung Hello Kitty yang dibawa oleh sepupunya yang baru berusia lapan tahun. 

Matanya memerah dan terbuka besar seolah-olah melihat sesuatu yang menakutkan. Dia terjelepok di tepi dinding sambil menarik-narik rambutnya sendiri. 

"Aku kata pergi!!!" Jeritnya lebih kuat seraya melihat budak kecil itu masih berdiri kaku memandangnya.

"Fatin? Kenapa terjerit-jerit ni?" Emak Fatin dan makciknya datang sebaik mendengar jeritan Fatin.

Fatin menunjuk ke arah Hello Kitty di tangan Sara, sepupunya. 

"Dulu Fatin suka sangat dengan Hello Kitty, katanya dia geram dengan anak patung yang ada reben kat telinga, comel sangat!" Emak Fatin tersenyum saat mengimbau kembali kenangan lama Fatin sewaktu kanak-kanak.

"Entah di mana silapnya, satu hari Fatin meracau-racau dalam tidur, bila dia bangun dia terus tak mahu tengok patung tu lagi sampai sekarang. Kalau dia nampak dia akan jadi macam tadilah." Keluhan berat keluar dari mulut emak Fatin.

"Kakak, Kitty kata dia nak main dengan kakak, dia rindu kakak." kata Sara sambil mengunjukkan Hello Kitty di tangannya ke muka Fatin.

Kitty itu sedang tersenyum lebar dengan mata yang merah. "Hai Fatin...." Patung itu berkata-kata dalam hilaian yang panjang.

Fatin menjerit ketakutan. 

***

KARKAS #177: NOTA

"Hai."
Dia senyum segaris. Macam tak sudi nak berbual.

"Lama kan kita tak jumpa?"
"Kita memang dah tak berjumpa sejak habis sekolah, lupa?"

Aku senyum. "Ya, mana pernah lupa. Kaulah terus hilang macam tu je."

"Heh!"

"Kau buat apa lepas sekolah?"

"Aku stay kat rumah uncle, kerja. Setahun lepas tu aku sambung belajar."

"Memang tak aktif kat Myspace, Friendster? Ingat tak zaman tu kita tak pakai Facebook lagi." Aku ketawa kecil.

Dia angguk sambil senyum. Mula nampak selesa nak berbual. 

"Tak."

"Kenapa?" 

"Tak ada sebab...."
"Dah lama aku cari kau."

Dia pandang aku. Lama.

"Kenapa cari aku? Kau lupa apa perjanjian kita?" Soalnya.

"Perjanjian?" Aku kerut kening.

Dia pandang aku lebih lama. Aku balas dengan pandangan tak faham maksud kata-katanya.

"Kau masih simpan ke buku nota sains kau?" Soalnya.

"Tak, dah bu.... Er, tak pasti pulak kalau masih ada dalam stor. Kenapa?" 

"Kau tak pernah baca nota kat mukasurat terakhir buku tu?"

"Err... Tak."

Dia senyum lebar. "Teja, aku rindu kau. Sangat!" Katanya.

Aku senyum sedang dalam fikiran terfikir-fikir di mana aku simpan buku nota sains tingkatan lima dahulu. Apa nota yang Ariff tinggalkan?

***

5 Jun 2015

KARKAS #171: PELURU EMAS

Bertemankan nyamuk, aku masih setia di dalam semak samun menanti jawapan kepada masalah yang melanda. Aku terpaksa abaikan masak lemak cili padi yang terhidang semata-mata mencari bukti.

Dua orang lelaki di sebalik pondok bercakap sesuatu yang butir bicara tak jelas di telingaku.

Aku mengatur langkah menghampiri pondok itu, sengaja aku rapatkan telingaku ke dinding agar butir bicaran mereka dapat aku tangkap. Senapang patah aku pegang erat, risau jika ada perkara tak terduga.

"Berapa lama kita nak simpan dia ni?" Soal suara garau.

"Sampai kita dapat apa yang kita naklah!" Balas suara yang lain agak meninggi nadanya. 

Aku intai dari celah-celah dinding, tapi kabur je yang aku nampak. Dada aku berombak, beribu persoalan muncul. Pantas kocek seluar aku raba, peluru tinggal dua butir. Jika tembakan tersasar, mungkin aku yang mati.

Peluru aku masukkan dalam senapang, tangan di picu, perlahan aku menapak ke muka pintu pondok sambil mengacukan mulut senapang ke muka pintu. Daun pintu aku kuak, terbuntang mataku melihat longgok pakaian di lantai.

Lelaki-lelaki itu panik melihat aku muncul dengan senapang patah di tangan.

"Siapa kau?" tanya salah seorang dari mereka.

"Jangan tanya aku siapa, persoalannya apa yang korang buat dengan baju ni, patutlah orang kampung mengadu banyak hilang pakai diampaian."

"Err.." mereka berpandangan sesama sendiri,

Kurang berpuas hati dengan jawapan itu, aku tanpa teragak-agak mengacukan senapang tepat ke muka mereka. 

PANG! 

"Lain kali, kalau nak tidur basuh kaki dulu. Dah lah mengigau lepas tu pijak perut aku pula." Aku terpinga-pinga, tampar abang buat aku berjaga sepanjang malam.

***

3 Jun 2015

KARKAS #168: BALDU BIRU

Atap usang di pondok itu meniupkan halwa geselan bingit, setiap kali tibanya musim tengkujuh.

Lantai rumah kebasahan akibat lubang-lubang di bumbung yg bocor

Di celah-celah lubang atap, dia sering merasakan ada mata-mata yang memerhatinya—sejurus dia mula mahu memulakan kerja-kerja menjahit.

Bunyi bising mesin jahit  tak mampu memadamkan rasa tak enak di hati

"Ah! Bodoh..." Jari manis Marionette berdarah, tercucuk jarum dek paluan perasaan yang memikirkan jasad yang samar-samar di atas atap.

Habis baldu biru itu terkena tompokan darah, walau apapun terjadi, baldu biru ini harus segera dijahit.

TAK! 
TAK!! 
TAK!!!

Ada bunyi ketukan yang semakin kuat datangnya dari arah pintu pondok, lantas Marionette mengibas-ngibaskan baldu biru di atas mesin jahit.

Hati marionette kegelisahan. "Dia dah datang ke?" marionette menghabiskan saki baki kerja yang belum selesai.

Bombik akhirnya muncul di pintu pondok dan sebagai seekor ulat sutera gergasi, dia mahukan baldu itu dipulangkan segera.

Mujur saja saat Bombik muncul, persalinan pernikahan Bombik sudah Marionette siapkan. Dia menarik nafas lega lantas menyerahkan kain baldu biru itu kepada Bombik.

***

KARKAS #165: LEGA

Sejak ada budak perempuan baru kerja kat stesen minyak Shell tepi jalan besar itu, Leman makin rajin pergi isi minyak kat situ. Setiap kali dia cuma isi rm10. Selang masa dua atau tiga hari sekali dia akan mengisi minyak semula.

Budak perempuan berkulit cerah itu suka pandang Leman atas bawah bila Leman nak bayar duit kat kaunter, tapi Leman tak peduli dengan pandangan dia tu, Leman balas je balik dengan kenyitan mata terus budak perempuan tu berhenti pandang Leman atas bawah, dia pandang duit baki yang perlu dipulangkan saja.

"Heh!" Leman sengih nakal.

Dua hari kemudian, Leman datang lagi. Kali ini dengan kawan-kawannya. Budak perempuan itu tersipu-sipu malu bila Leman memandang ke arahnya sambil berjalan ke kaunter. Habis membayar duit, mengambil duit baki dan mengenyitkan mata pada budak perempuan itu, Leman kembali ke kereta. Pian sedang mengisi tangki minyak, Opie sedang bermain candy crush game dan Leman sedang termenung sambil gigit jari. Ada sesuatu yang difikirkannya.

"Weh, aku tak tahan ar..." kata Leman bila Pian masuk kereta.

Opie dan Pian serentak memandang Leman.

"Tak tahan apa kau ni?" Soal Pian.

"Nak kencing pergilah cepat, nak gerak dah ni" kata Opie, kembali bermain game.

"Ishh... aku tak tahan dah ni!" Makin kuat Leman gigit jari. Muka Leman macam orang tak senang duduk.

"Tak tahan, tak tahan! Tu tandas kat belakang tu." Jerkah Pian

"Arghh.. aku tak tahan!" Leman terus keluar dari kereta, dia berjalan pantas ke kaunter, matanya memandang tepat ke muka budak perempuan itu yang sedang tersipu-sipu sambil memandang ke tempat lain.

Leman tak tahan. Dia memang dah tak boleh tahan nak cakap kat perempuan tu yang...

"Awak cantik!"

Terkebil-kebil budak perempuan tu dibuatnya.

"Fuhh.. lega." 

Leman terus masuk kereta, hidupkan enjin dan pergi. Dua hari kemudian dia pasti akan datang lagi.

***