24 Mar 2015

KARKAS #121: KIAMAT

Baru sahaja aku keluar dari kedai emas. Hari ini sepatutnya merupakan hari paling bahagia aku. Hari ini aku bercadang untuk melamar teman wanita aku. Sudah 10 tahun kami bercinta dan sepanjang itu jugalah aku telah mengumpul duit untuk membeli cincin berlian idamannya. Setelah bersusah payah bekerja, akhirnya aku mampu membelinya. Aku bersungguh mahu melamarya hari ini.

Namun, kita hanya mampu merancang. Sesudah aku keluar dari kedai emas itu, apa yang aku nampak bukanlah bandar yang tenang seperti selalu. Semuanya porak peranda. Orang berlari  mencari orang tersayang masing-masing. Ada yang ke sana, ada yang ke sini. Aku lihat bangunan banyak yang telah hancur.

Aku menahan seorang nenek yang sedang berlari entah mahu ke mana. Aku bertanya apa yang sedang berlaku dan dia hanya menjerit,

"Hari sudah kiamat nak! Lari lah kau!"

Kiamat? Tak mungkin! Hari ini sepatutnya hari bahagia aku. Aku terus berlari mencari kekasih aku. Hampir seluruh pelusuk bandar sudah aku pergi, namun gagal. Aku menjerit sekuat hati aku walaupun aku tahu itu hanyalah usaha yang sia-sia.

Tiba-tiba aku merasa satu gegaran yang kuat. Gempa bumi! Beberapa bangunan mula runtuh. Aku berlari mencari perlindungan. Kemudian, aku nampak beberapa puting beliung yang besar mula menuju ke arah bandar ini. Apa yang aku boleh lakukan sekarang?

Aku melutut pasrah. Aku tidak pernah percaya akan agama. Aku tahu aku silap. Baru sahaja sebentar tadi bandar ini aman damai seperti selalu. Kini, dunia hancur di depan mata aku sendiri. Aku mengangkat kedua belah tangan aku dan cuba membuat sesuatu yang telah lama aku tinggalkan. Berdoa.

"Oh Tuhan, aku memohon belas kasihanMu. Selamatkanlah aku dari malapetaka ini".

Sesudah aku habiskan doa aku itu. Aku mendengar satu suara yang kuat. Bunyi seperti orang sedang mengeluh. Aku lihat sekelilingku, namun seperti tiada siapa mendengarnya. Hanya aku seorang sahaja yang dengar suara itu. Suara itu kedengaran sekali lagi.

"Haih, bosan".

Aku menangis. Adakah ini balasannya? Balasan untuk orang yang kufur? Mana mungkin taubatku akan diterima. Sudah kiamat. Aku menyesal.

****

"Haih, bosan". Aku mengeluh sendirian.

Kemudian satu suara muncul dari tingkat atas.


"Woi Ali. Hang dok main Sim City apa lagi tu? Mai connect DOTA cepat. Tak cukup lagi seorang ni!"

***

No comments:

Post a Comment