Showing posts with label Abul Junosid. Show all posts
Showing posts with label Abul Junosid. Show all posts

22 Feb 2023

KARKAS #254 : ANTARA TANGGAPAN DAN KENYATAAN

 


Hari itu, seisi wilayah Timur terkejut dek gempa yang terjadi di wilayah Barat. Boleh dibilang, seluruh wilayah Barat nyaris-nyaris menjadi puing. Begitu hebat gempa yang melanda. Sampaikan penduduk di Timur turut merasakan sisa-sisa goncangan. Semuanya buru-buru keluar ke tengah jalan menjauh dari bangunan. Siapa sangka, wilayah Barat yang selalu dicanang sebagai wilayah di mana penduduknya kuat agama malah dilanda hal-hal sedemikian.


“Tuhan sudah tidak peduli siapa pun. Bala tidak kenal siapa-siapa!” laung seorang penduduk di Timur.


Lorong-lorong dan jalan-jalan raya di wilayah Timur padat dengan manusia. Gegak gempita tangisan anak kecil dan teriakan orang-orang bagaikan hari itu ada perayaan besar-besaran. Tidak ada seorang pun yang berani pulang ke rumah. Takut kalau-kalau ada goncangan susulan. Hampir semua penduduk yang rumahnya di tingkat paling bawah menarik wayar panjang ke luar rumah dan mengeluarkan TV. Begitu juga dengan kedai-kedai makan. TV dinyalakan dan beramai-ramai mereka menonton siaran langsung berita tentang gempa yang terjadi di wilayah Barat seperti menonton kejohanan Piala Dunia.


Usaha pencarian dan menyelamat giat dilakukan. Satu per satu mayat berhasil ditemukan. Menjelang petang, jumlah mayat menjadi ribuan. Semua penduduk, baik di wilayah Timur dan sisa-sisa penduduk di Barat semuanya berdoa agar menemukan setidak-tidaknya seorang yang masih hidup. Barangkali, itulah doa mereka yang paling bersungguh-sungguh pernah dipanjatkan. Saat peluang menemukan yang hidup terasa kian menipis, mendadak seekor anjing menyalak diikuti seorang penyelamat yang berteriak, “Ada seorang nenek masih hidup!”


Para penyelamat yang lain buru-buru ke arah yang dimaksudkan. Begitu juga dengan para media yang berlumba-lumba mahu mendapatkan rakaman pertama si nenek itu. Nenek itu berhasil ditemukan di antara reruntuhan batu-batu bangunan. Beliau terhimpit dan sama sekali tidak boleh bergerak. Dengan suaranya yang terdengar perlahan dan terketar-ketar, beliau meminta air untuk solat. Sejenak semua orang yang ada di situ bergeming bagaikan baru melihat hantu. Tidak ada yang menyangka bahawa itulah permintaan pertama si nenek. Mereka semua jadi kagum kerana sebegitu kuatnya pegangan agama si nenek. Alih-alih minta diselamatkan, malah beliau meminta air terlebih dulu.


Wajah si nenek disoroti cahaya lampu kamera oleh para media bagaikan terjadi kilat berulang kali di depan wajahnya. Sebotol air diberikan dan beliau solat dengan air mata yang bercucuran. Di dalam hati, si nenek berazam andai dirinya diberikan kesempatan untuk hidup lagi setelah hari itu, dia tidak mahu mengabaikan solat lagi.

19 Nov 2015

KARKAS #218: MANUSIA VS SYAITAN

Satu persatu fail yang berselerak di atas meja, dikemas semula. Buku-buku juga diletakkan semula di tempat asalnya di tepi tingkap. Sejenak dia termenung melihat pemandangan malam dari balkoni. Dia sukakan kehidupannya sekarang. Walaupun tampak mudah namun hanya dia yang tahu betapa gementarnya dia untuk melakukan tugas setiap hari.

Dalam pekat malam, tiba-tiba ada satu tahi bintang yang melintas. Tetapi kali ini ia seolah-olah terlalu hampir di ruang udara kediamannya bagaikan kapal terbang sedang melintas dengan kelajuan yang maksimum. Jelas terlihat ekor api yang membiru melatari langit untuk beberapa saat. Hampir berputar kepalanya untuk menyaksikan tahi bintang yang lalu di atas kepala. Pantas dia memejamkan mata, meminta hajat di dalam hati.

“Makotooo...” Satu suara tiba-tiba muncul di telinganya. Entah kenapa seluruh anggota seakan lumpuh. Dia terhuyung hayang masuk ke bilik sebelum rebah ke lantai. Pandangannya gelap serta merta.

***

Matanya ditenyeh-tenyeh. Pedih. Berpinar matanya dek cahaya silau di dalam bilik. Matanya dipejam semula.

“Makotooo...” Cekap telinganya menangkap satu suara memanggil namanya. Matanya dibiar pejam. Berharap yang itu adalah mimpi belaka.

“Bukaklah mata kau, Makoto. Ini bukannya mimpi.” Dahinya berkerut. Dia membuka mata perlahan. 

Seketika dia mendongak ke belakang. Dapat dia lihat meja kerjanya dengan pandangan yang terbalik dan di atasnya terdapat makhluk berambut rapi tanpa sehelai pakaian sedang mencangkung memandangnya dengan mata yang bersinar kebiruan. Makoto bingkas duduk menyandar pada dinding. Dadanya kembang kempis.

Diamati makhluk tersebut. Luarannya hampir sama seperti manusia. Kulitnya cerah tetapi menggerutu. Berjanggut sejemput tanpa hidung. Sesekali dia menyeringai hingga ke telinga menampakkan taring-taring kecil. Di belakangnya terdapat ekor yang melilit ke tengkuknya sendiri. Dari muka turun ke badan, dari badan beralih ke tangan. Dari tangan terus ke tempat sulit.

Bahagian kemaluannya rata tanpa ada tanda lelaki mahupun perempuan. Kakinya hanya terdapat ibu jari manakala yang lain melekat menjadi satu. Kembali mereka bertentang mata. Saling serius sebelum makhluk itu tersenyum lebar tiba-tiba.

“Puas dah menilai? Jadi, apa keputusan kau?”

“Keputusan apa?”

“Tentang aku.”

“Kenapa tentang kau?” Makoto tidak mengerti. Makhluk itu bangkit berdiri di atas meja sambil menepuk tangan perlahan.

“Manusia memang hidup dia penuh persoalan, kan? Apa kata kau jawab dulu soalan aku yang awal tadi. Manusia. Hanya tahu soal, soal, soal...” Makoto kelu. Cuba menghadam tiap butir kata yang keluar dari mulut makhluk aneh itu. Susah untuknya berfikir secara rasional apabila pertama kali berdepan dengan makhluk yang dia sendiri tidak tahu jenis apa.

“Jadi, dah ada jawapan?” Sekali lagi dia bertanya. Kepalanya diteleng ke kiri dan kanan.

“Kau ni makhluk apa sebenarnya? Kau nak apa dari aku? Aku tak kacau kau, kenapa kau kacau aku?” Bertalu Makoto bertanya.

“Hehehe...soalan lagi. Aku tak kacau kau pun.”

“Dahtu ni semua apa benda? Gurau?” Spontan soalan tersebut terpacul dari mulutnya. Bagaikan bersembang dengan manusia.

“Aku nak main dengan kau je."

“Kenapa aku?" Makoto tidak puas hati. Bertimpa persoalan sedang bermain di fikiran. Pandangannya sedikit pun tidak beralih dari makhluk itu. Hendak bangkit melawan, dia tahu itu bukanlah lawannya. Hendak keluar melarikan diri, sudah pasti pintu terkunci.

Tiba-tiba...

PAAFFF!

“Kau jangan banyak tanya boleh ke, wahai presiden?" Terbeliak matanya melihat makhluk itu menyeringai dengan kening terangkat-angkat tiba-tiba berada di sebelah mukanya. Hampir terkucil dia saat itu. Entah bila dia berubah tempat. 

“Hehehe...bukan kau ke yang seru aku tadi?" Sekali lagi Makoto terdiam. Ada saja jawapan balas dari makhluk tersebut. 

“Bila?” Soal Makoto masih tidak faham. Makhluk itu kekal merenungnya.

“Tadi. Hajat di dalam hati. Kau lupa?”

“Bukan kau yang aku hajatkan! Gila!”

“Tapi kau berhajat pada aku. Heh! Manusia ni bodoh, tahi bintang yang kau tengok tu adalah aku, dan itu bukanlah tahi bintang tetapi penanggal! Manusia ni pantang nampak benda cantik sikit, terus buat hajat. Hahaha!” Berdekah makhluk itu hingga tersembur air liurnya yang melekit.

“Jadi macam mana? Aku boleh tunaikan apa yang kau hajatkan asalkan kau sanggup berjanji dengan aku. Kalau kau nak tahu, aku ni makhluk yang berpegang dengan janji. Hehehe...” Makoto semakin jengkel dengan tingkah makhluk tersebut.

“Janji apa? Pergi mampuslah kau setan!”

“Kau ni memang dari tadi asyik bertanya je kan. Bagus. Aku suka manusia yang macam ni. Kau suka aku tak, wahai presiden?"

“What the fff!"

“Hehehe...aku kena pulang ke tempat asal aku sekarang. Harapnya takde manusia lain yang seru aku. Tapi kalau kau nak seru aku sekali lagi pun apa salahnya. Kita kan jadi kawan.” Makin lebar dia menyeringai. Lidahnya menjilat hujung telinga Makoto. Makoto cuba menepis dalam ketar.

Tidak semena-mena dia hilang, bertukar tempat, dari satu penjuru ke satu penjuru yang lain.

PAFFF! PAFFF! PAFFF! PAFFF!

Akhirnya dia berhenti betul-betul di hadapan muka Makoto. Kesekian kalinya dia mencangkung. Matanya bertukar merah. Ekornya kembali terlilit kemas pada tengkuk.

“Kau nak tak?”
“Nak apa?”
“Hadiah."
“Hadiah? Dari syaitan macam kau?! Pergi jahanam la!”
“Anggap je pemberian dari seorang kawan. Siapa tahu kalau satu hari nanti kita jumpa lagi, kan?” Semakin meleret senyumannya. Ringo panas hati. Mahu juga dia bangkit menghayun penendang namun mengenangkan dia hanyalah manusia biasa, lagi sekali niatnya terbantut.

“Bak sini tangan kau.” Makhluk tersebut menghulurkan tangan. Ternyata Ringo tidaklah mudah untuk diperdaya. Tetapi tetap saja makhluk itu menyeringai.

“Jual mahal? Takpe. Kita ni sebenarnya takde beza pun, kan? Sama-sama sombong. Hehehe...”

“Bahalol! Aku taknak berurusan dengan syaitan la bangang! Kau carilah mangsa lain. Aku bukan makanan kau la!” Tempik Makoto menghasilkan gema di dalam bilik. Sebolehnya dia tidak mahu mempamerkan ketakutannya ketika itu. Tetap dia menggagahkan diri untuk terus tampak berani. Tajam dia memandang makhluk di depannya yang menyeringai tak henti-henti.
“Okey, takpe. Aku kena pergi sekarang,” Makhluk itu bangun melihat jam yang tergantung di atas pintu. “Ingat, jangan sia-siakan hadiah yang aku bagi.” Sambungnya lagi dengan tawa kecil.

“Hadiah apa lahanat?!” Ringo memeriksa di sekelilingnya untuk melihat hadiah apa yang ditinggalkan. Tiada.

“Tenang, hadiah tu dah ada dalam badan kau. Hehehe...”

“Jahanam! Bila masa kau masukkan ni?!”

“Hehehe...apa guna kau pengsan lima minit tadi? Ingat aku ni sama macam manusia ke yang suka sia-siakan masa? Hehehe...” Gelaknya semakin galak. Taring-taring bersama lelehan air liur mula kelihatan.

“Argghhh! Setan betul!” Sambil meraung Ringo cuba mengorek dadanya sendiri. “Nanti dulu!” Teriak Makoto. Langkah makhluk itu terhenti di hujung balkoni.

“Kau ingat aku bodoh ke, ha?! Penanggal konon. Penanggal apa ada kaki semua ni. Kau la sebenarnya yang bodoh! Nak menipu manusia konon. Hahaha!” Makoto serta merta menjadi berani. Dia bangkit berdiri tanpa ada secebis pun ketakutan. Di hujung balkoni makhluk itu berpaling memandangnya. Tetap dengan senyuman. Perlahan dia menggeleng kepala.

“Aku syaitan la. Aku syaitan! Ikut suka aku la nak berpenampilan macam mana pun. Kahkahkah!” Serta merta dia hilang dari pandangan. Hanya tinggal gema tawa yang panjang. Makoto kembali serabut. Kepalanya berdenyut hebat. Pandangannya bertukar gelap. Sekali lagi dia rebah.

6 Nov 2015

KARKAS #196: DINDING-DINDING YANG BERSUARA

Skrin semakin menerang saat lampu kamar dimatikan dan dia masih setia menanti curahan idea di hadapan komputer demi sebuah cerita. Namun setiap abjad bagai dilaknat Tuhan, terapung-apung seakan roh yang tidak tenteram. Dalam zulmat, tanpa muzik yang melatari jari-jemarinya cuba mengatur tari menulis kisah-kisah bohong agar tercipta lorong pada plot-plot yang kosong.

‘Sejujurnya menipu itu indah. Mampu mengubat resah dan menghilang gundah. Asalkan kau tahu...’ Taipannya terhenti. Sejenak tubir matanya ditutup.

Memori lama kembali menerjah tentang kejadian pada suatu malam di mana dia sedang berhempas pulas menyiapkan cerita tentang si buta. Tiba-tiba serentak kesemua empat sisi dinding di kamarnya berkata dia sama sekali tidak layak menjadi pengarang. Tulisan-tulisannya lebih layak dijamah anai-anai dan dibiar reput tidak dikenang. Suara-suara itu bergema memenuhi ruang. 

Spontan secangkir kopi hangat yang pekat disimbah ke salah satu dinding. Dinding berasap-asap dan menggelembung. Dengan sendirinya ia terkopek menjadi keping-keping lalu tertanggal tiap satunya. Perkakas di atas meja berhamburan di lantai. Kebecokan dinding serta-merta bertukar bisu. Tiga rakannya saling pandang diikuti bisik-bisik tanpa serik.

“Hanya orang yang betul-betul buta layak menulis tentang perihnya hidup tanpa mata. Usah dibohongi pembaca dengan tulisan-tulisan reka.” Jelas terdengar bisik-bisik mereka yang keras. Menggelupur hatinya dek darah muda sepertinya dia yang dijirus air panas.

Marahnya meledak. Tanpa fikir dia mencungkil sebelah biji matanya hingga terkeluar bergolek di atas meja. Darah merembes laju membasahi sebelah pipi. Perlahan dia menyandar dan mendongak menahan sakit. Kesemua dinding terkesima. Tidak menyangka akan tindakannya sejauh itu.

Bertakung darah di liang matanya yang lohong. Dalam sakit setitis air jernih tumpah di dahinya. Sebelah mata yang terpejam, dibuka perlahan-lahan. Mendadak dia sebak. Sakit yang ditanggung semakin berkurang. Seolah ada malaikat yang datang membawa kesakitan itu terbang sebelum menghilang tanpa bayang-bayang.

Bersaksikan dinding, dia menatap siling yang sedang menangis kesedihan. Katanya, pengarang yang baik tidak mudah berang kerana pengarang seharusnya pemikir panjang. Dia tersentak. Dinding-dinding bungkam. Rasa bersalah mula berkepung di dada sebelum kata-kata maaf berlantun sesama mereka.

“Siapa aku pada hari ini semuanya kerana kamu.” Dia mengelus lembut dinding yang dahulunya pernah melepuh kepanasan. Hari ini ia cantik dihiasi lukisan tangan.

Malam itu jarinya lincah menaip sampaikan papan kekunci berketik tanpa henti hingga terbitnya pagi. Berbekalkan satu mata dia menyiapkan satu cerita tentang dinding-dinding yang bersuara. 

“Sejujurnya menipu itu indah. Mampu mengubat resah dan menghilang gundah. Asalkan kau tahu bila waktunya untuk berhenti.” Ucapnya saat menaip penutup cerita. 

Di dalam kamar, berenam mereka tersenyum nyaman.

***

1 Jul 2015

KARKAS #184: CERITANYA BEGINI

“Ceritanya begini...” Dia diam sejenak. 

Irama cengkerik sedari tadi beralun senada tanpa henti di balik semak di hadapannya. Air liur direguk. Halkumnya turun naik. Kotak rokok rona putih berbelang merah jambu yang masih kemas di dalam balutan plastik diketuk padu beberapa kali di telapak tangan. 
Plastik yang membalut dicarik-koyak. Sebatang rokok ditarik suku dari kotak sebelum disua kepada rakan sekerja yang duduk di sebelahnya.

“Aku tak suka strawberi.” Sulung menolak. Nordin angguk perlahan lalu dikepilkan rokok berkenaan di bibir setelah pelawaannya ditolak.

“Ceritanya macam mana?” Tanya Sulung. 

Nordin menghembus asap rokok ke atas. Bertempiaran seketika nyamuk yang tadinya rancak merempit di sekitar muka dan hujung telinga. Bunyinya tidak ubah seperti enjin motosikal Yamaha 125Z yang ditarik panjang. Menjengkelkan tiap telinga yang mendengar.

“Ceritanya begini...”

***

Malam itu adalah hari pertamaku di hostel. Dua bilik yang telah penuh dihuni pekerja lain memaksa aku untuk tidur di ruang tamu. Di bawah kipas siling, berlapikkan tikar mengkuang aku baring termenung sendiri. 

“Esok pagi, kamu ikut Aziz pergi kerja. Dia akan tunjukkan tempat mana kamu akan jaga.” Terngiang-ngiang pesanan bos kepadaku petang tadi. 

KTAK.

Pintu dikuak. Muncul seorang lelaki di muka pintu. Dia menanggalkan kasut hitam berkilat. Sepertinya baru balik dari kerja. 

“Kau Nordin, eh? Budak baru?” Dia tanya. Aku angguk. 

“Aku Aziz. Esok kau ikut aku tau. Jangan bangun lambat pulak.” Pesannya sambil perkenalkan nama. 

Hanya itu butir bicaranya sebelum dia masuk ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup. Aku termenung kembali sehinggalah mata lelap dengan sendirinya. 

***

Badan terasa gatal-gatal. Dalam tidur tanganku ligat menggaru di beberapa bahagian. Sesekali aku menarik seluar yang londeh sedikit demi sedikit. Dari mengiring, kini aku terlentang mengadap siling dengan mulut ternganga. Lena. 

Sekali lagi seluarku seakan ditarik-lucut. Timbul geli apabila paha disentuh sesuatu. Aku terjaga. Mataku buntang. 

“Woi! Apa ni?!” Pantas aku menepis tangannya yang cuba menyeluk ke dalam seluarku. Mukanya merah menahan malu.

Tanpa alasan, tanpa kata-kata maaf dia beredar masuk ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup. Aku lihat jam tangan. Tiga pagi. Tidak kusangka, ada golongan sejenis di dalam rumah. Orang itu pula yang bakal aku ikut esok hari. 

Celaka. 

***

Esoknya aku lebih berhati-hati. Sempat aku dapatkan tali tebal dari kedai perkakas. Sebelum tidur, aku lilitkan di pinggang seluar sebelum ditamatkan dengan simpulan mati. Hanya itu cara yang terlintas di fikiran. 

Malam itu aku tidur dengan keyakinan yang tinggi. Jangan harap dia mampu melondehkan seluarku untuk kali yang kedua. Tali setebal itu jangankan gunting, pisau juga sukar untuk memutuskannya. 

Sedang asyik aku lena, terasa geli di hujung-hujung alat sulit. Semakin lama dibiar, semakin kuat nafsuku bergetar. Sesekali terbit sakit bagaikan digigit. Tidak semena-mena aku terjaga. Mataku buntang. Hatiku pasrah. 

Mahu melawan, diugutnya gigit. Bertambah celaka bilamana tali tebal yang aku lilitkan tidak terusik walau sedikit. Celakalah diriku pada malam itu apabila aku lupa bahawa seluar yang aku pakai mempunyai zip di bahagian kemaluan. 

Waktu itu sayup-sayup terdengar suara serak basah Hazama di corong radio yang terpasang di dalam biliknya... 

Ku relakannn jiiiwaaa...

Fak!

***

29 Apr 2015

KARKAS #158: HAKIKAT II

Lagu See You Again yang diulang putar berkali-kali dimatikan. Plug wayar speaker jenama Altec Lansing dicabut dari port jack iPhone miliknya. Dinyalakan sebatang rokok sebelum dia duduk bersandar merenung kosong pada meja yang di atasnya terdapat novel yang baru habis dibacanya malam semalam. Dia menolak naskhah novel berkenaan ke tepi. Beg galas yang terletak di kaki kerusi dicapainya sebelum sebuah komputer riba dikeluarkan lalu diletak di atas meja. 

Komputer riba dihidupkan. Disambungkan wifi dari iPhone miliknya sendiri. Hanya tethering yang mampu dilakukan tatkala kos sara hidup semakin meningkat saban tahun. Hendak melanggan modem wifi terlalu mahal baginya. Lagi pula, dirinya telah pun disenarai hitamkan oleh salah satu syarikat telco —Celcom. 

Pantas jari jemari menaip laman sesawang untuk melihat kembali tragedi yang telah meragut nyawa seseorang yang dia kagumi. Segala maklumat tentang insiden berkenaan dicatat pada sekeping kertas. Beberapa minit masa dihabiskan di hadapan komputer riba sebelum dimatikan lalu bersandar sambil menghembus asap rokok ke atas. Sekali lagi jam yang tergantung di hadapannya menjadi tumpuan. 'Boleh ke aku buat ni?' 

Ringo memejamkan mata. Rokok yang hampir habis dihisap diludahnya ke tepi tanpa risau akan bara yang masih berbaki. Kedua belah tangannya memegang erat pada bucu kiri dan kanan meja. Dia menarik nafas panjang sebelum dihembus keluar perlahan-lahan. Genggamannya semakin kuat. Degupan jantung semakin kencang. Meja bergegar menyebabkan novel terjatuh ke lantai. Komputer riba turut bergerak akibat gegaran yang terhasil pada meja. Ya, hanya pada meja gegaran itu berlaku. 

Dalam pejam bebola matanya liar bergerak ke serata arah. Sesaat bertukar dua. Dua menginjak tiga. “Ahhh!” 
—PUUFFF!! 

***

Degupan jantung kembali normal. Ringo membuka mata perlahan-lahan. Pandangannya sedikit berbalam. Di hadapannya terdapat novel bertajuk Punah manakala sebungkus milo ais kosong tergantung elok pada bucu meja. Matanya melirik ke atas melihat jam yang baru menginjak ke dua pagi. Dia menghela nafas lega. Bersama anggukan kecil terlakar segaris senyuman —puas. 

“I knew it! I knew it, I can do it! Let's do it more. Wait for me...Pablo.”

***

23 Apr 2015

KASRKAS #150: HAKIKAT


Novel betajuk Punah ditutupnya selepas sehari suntuk dia menghabiskan masa membaca tiga ratus muka surat yang sarat dengan imaginasi gila sang penulis. Ringo bersandar pada kerusi memandang kulit keras novel berkenaan. Anak matanya dilarikan ke atas melihat jam yang tergantung —dua pagi. Dia menghirup sedikit milo ais kosong yang tergantung pada paku kecil di tepi meja. Tawar.

Ais yang mencair menitis ke lantai. Walaupun titisan kosong tetap saja ia dihurung semut bagaikan pesta. Ringo kembali menatap buku di hadapannya. Terlintas di fikirannya tentang penulis yang menulis novel tersebut. Bagaimana bisa penulis mampu menggambarkan secara teliti tentang segala kuasa yang ada pada watak ciptaannya? Adakah penulis pernah merasai atau ia hanyalah rekaan yang di dalamnya terkandung kebetulan semata-mata?

Ringo mengeluh kecil sebelum bangkit menyelak jendela di tepi katil. Kelihatan deretan rumah teres dua tingkat kebanyakannya sudah bergelap pada waktu itu. Mungkin hanya dia yang masih berjaga di dalam bilik memerhatikan kawasan kejiranan yang sunyi dimamah malam. Dua tiga minit dia merenung jauh ke luar. Tekaknya dirasakan kering. Halkumnya digaru-garu tanpa sebab.

Kotak rokok yang terletak di atas meja bersebelahan dengan novel yang dibacanya sebentar tadi diperhatikan dengan keinginan yang meninggi. Matanya berkelip beberapa kali memandang jarum saat yang berdetik. Tepat pada saat yang ketiga puluh, dia hilang di telan masa.

PUUFFF!
—Ringo mencapai kotak rokok.

PUUFFF!
—Ringo duduk semula di tepi jendela dengan sebatang rokok siap terbakar terkepil kemas pada bibir.

Langsir berterbangan ditiup dek angin yang terbit mengejut dengan kehadirannya Ringo di tepi jendela. Anak matanya ditebak pada jam yang tergantung. Dia melihat jarum saat yang baru menginjak pada saat ketiga puluh dua. Terlakar senyuman sinis pada bibir. Ringo memandang semula ke luar jendela. Hatinya gundah. Fikirannya celaru.
—'Aku sorang je ke yang ada kuasa dalam dunia ni?'

***

25 Mar 2015

KARKAS #137: MUSIM PANAS

“Panas sungguh kedai kamu ni Husin. Nak duduk mengopi pun tak senang dibuatnya.” Keluh Leman sambil mencicip sedikit teh tarik yang baru dipesan. Husin hanya menggeleng dengan senyuman sambil membancuh air untuk pesanan seterusnya. 

“Betullah tu Husin. Zaman sekarang ni orang tak pakai zink dah Husin. Panas merelit bahang zink ni haaa.” Tambah Mael yang duduk semeja dengan Leman. 

“Nak buat macam mana. Dah nak panas. Tak baik mengeluh bebanyak ni.” Husin bersuara sambil menghulurkan sebungkus teh ais kepada seorang budak lelaki yang sedari tadi menunggu pesanannya siap. 

“Bukan mengeluh Sin. Ini untuk keuntungan kedai kamu jugak. Kedai sejuk, pelanggan pun ramai ye dak?” Jawab Mael sebelum dia mencapai surat khabar percuma di atas meja. 

“Mudah-mudahanlah hujan petang ni. Sedap sikit nak tido.” 

“Amboi, sedap betul kau Leman. Aku ni kau tak pikir pulak. Petang ni aku ada keja kat kebun tu haaa. Kau mintak hujan habislah keja aku kena tangguh. Duit pun lambat masyuk. Doa tu agak-agaklah. Taulah kau tu penganggur terhormat dalam kampung ni.” Surat khabar kembali Mael letakkan di atas meja. Panjang lebar dia membebel ke Leman. Leman hanya mencebik malas mahu melayan. Hanya orang gila yang tidak mahukan hujan ketika cuaca dilanda terik sebegini. 

“Woi!” Terkejut ketiga-tiga mereka apabila mendengar jeritan dari arah belakang. Segera mereka berpaling. 

“Sorang mintak hujan. Sorang lagi taknak hujan. Kalau aku jadi tuhan pun entah doa yang mana satu aku nak makbulkan. Sebab manusia tamak macam hangpa ni la yang menjahanamkan muka bumi. Mintak itu ini. Semua benda nak mintak kat tuhan. Manja!” 

BAMMM!! 

Lelaki berambut panjang berkenaan menepuk meja sekuat hati sebelum beredar dari warung tersebut sambil menghayunkan kepala ke kiri dan kanan dengan tangan yang ditadah seolah-olah sedang berdoa.

***

24 Mar 2015

#KARKAS 123: KEPUASAN

Matanya memicing meneliti mata pisau yang tajam berkilat. Dell memperkemaskan pegangan pisau di genggaman. Di hadapannya terdapat tiga manusia. Masing-masing dengan tangan yang terikat, duduk melutut dengan kepala setiap daripada mereka disarungkan kain hitam.

Perlahan-lahan Dell melangkah membuat beberapa pusingan sebelum berhenti di belakang mereka bertiga. Bermula dari kanan, Dell mendongakkan kepala salah seorang daripada mereka. Dell menusuk pisau tepat pada bahagian kanan rengkung.

“Ini untuk orang yang dah tahu tapi masih berlagak tak tahu dan terus-terusan buat seperti dia tidak tahu.” Ujarnya perlahan. Perlahan-lahan dia menoreh dari kanan hingga ke kiri rengkung. Darah memancut keluar. Pisau masih kemas di genggaman. Jatuh terjelepok lelaki berkenaan. Kini matanya beralih kepada lelaki di tengah-tengah.

“Ini untuk yang dah tahu tapi simpan sorang-sorang dan rendah-rendahkan orang yang tidak tahu.” Dengan cara yang sama, Dell mengelar leher lelaki berkenaan tanpa sebarang masalah. Kini tumpuan sepenuhnya diberikan kepada lelaki terakhir.

“Ini untuk yang dah tahu. Untuk yang dah sebar pengetahuan semata-mata nak orang tahu yang dia tahu. Nak orang tunduk dengan apa yang dia tahu.” Dell mencucuk terus pisau berkenaan ke tengah halkum. Terdengar bunyi tulang-tulang kecil berlaga. Direntapnya ke atas namun tersekat dek tulang-tulang halus. Darah memercik hebat. Naik dan turun pisau itu diperlakukan oleh Dell. Menghancurkan rengkung lelaki berkenaan sebelum dilepaskan menyembah lantai.

“Dan ini, untuk orang yang sering tak puas hati dengan semua benda.” Pantas Dell menikam perutnya sendiri. Menghamburkan sisa-sisa yang ada sebelum mati terduduk melutut.

***

17 Mar 2015

KARKAS #116: ISNIN

Isnin. Aku bangun seawal pagi untuk bersiap-siap memulakan perjalanan menuju ke tempat kerja. Walaupun malam semalam aku tidur agak lambat. Lambat kerana aku tidak suka hari Isnin makanya aku cuba untuk melambatkan proses bertukar hari dengan berjaga hingga lewat malam. Aku tahu aku bodoh. Tetapi itulah aku, seorang budak pejabat yang tidak sukakan hari Isnin. 

Dari rumah aku berjalan kaki ke stesen LRT Tasik Selatan. Dari situ aku terus menuju ke Masjid Jamek untuk membuat pertukaran laluan menuju ke Bangsar. Sedang kesemuanya beratur panjang untuk menggunakan 'escalator', tiba-tiba aku dirempuh dari belakang. Rempuhan itu menyebabkan aku tertolak seorang makwe di depan yang juga mengakibatkan tolakan demi tolakan berlaku hingga ke baris yang paling depan. 

Aku yang hampir jatuh terduduk lekas menoleh ke belakang mencari punca. Dapat aku lihat seorang Bangla dengan sebuah beg besar tenang memotong barisan. Aku jadi marah. Marah aku tanpa kata-kata sebaliknya sebuah penerajang singgah ke rusuk kanan Bangla tadi. Dia hanya tertunduk menahan sakit. Dalam dia tertunduk, aku sempat menujah satu lagi sepakan tepat pada kepala. Mujurlah waktu itu dia menunduk maka memudahkan aku untuk menyasarkan pada bahagian berkenaan. Dan mujur juga aku hanya mengenakan kasut Converse pada pagi itu. Dia mengerang kesakitan, aku menahan sakit pada kaki. Mungkin jari-jari kaki tersalah urat ketika membuat aksi sepakan sebentar tadi. Orang ramai mula riuh. Ada yang menarik aku, ada juga yang cuba memapah Bangla tadi untuk kembali bangkit.

Aku bertambah geram. Barisan yang tadi terbentuk kemas kini mula berpecah kekalutan. Semuanya gara-gara aku. Aku rentap tanganku yang dipegang oleh seorang Mat Saleh dan terus aku berlari anak untuk melompat sambil melakukan sepakan sekali lagi. Tetapi kehadiran sekumpulan Bangla yang entah dari mana datangnya memaksa aku berhenti dari meneruskan niat tadi. Sepuluh orang berkumpul menuju ke arah aku. Ada boroi, ada kurus, ada tegap. Tiada siapa pun yang berani menahan kemaraan mereka waktu itu. 

Aku sangkut tak boleh lari. Rasa marah yang membuak sebelumnya kini hilang serta merta. Kedua belah tanganku dipegang sebelum satu tumbukan padu ditujah ke muka. Sakit macam babi. Tulang pipi sebelah kanan rasa macam nak hancur. Kulit muka rasa berdesing. Rasanya tiga empat kali aku kena dekat muka sebelum aku tersembam dilepaskan ke lantai. Sepertinya ada darah yang hadir di tepi bibir. Aku dapat rasakan ia mengalir perlahan tapi aku tak mampu untuk mengesat. Malahan tiada siapa pun yang datang mengangkat aku. Sekumpulan Bangla masih ada di sekeliling. Bangla yang aku kerjakan tadi kini berdiri gah sambil tersenyum ke arah aku. Aku dapat rasakan, dia ingin menghayun satu sepakan ke muka aku. Aku pejamkan mata menanti kesakitan yang bakal tiba. 

Dua tiga minit terpejam sebelum aku membuka mata berpisat-pisat. Di sebelahku ada Angah sedang tidur. Aku perhatikan jam yang mula menggenap ke angka enam. Pagi Isnin. Aku benci Isnin.

***

KARKAS #113: MASA

Similir angin menyapu lembut mukanya yang mulus. Dari langit, pandangannya bertukar kepada sebatang ranting yang sedang digenggamnya. Seketika dia menoleh ke kiri di mana kedengaran hilai tawa sekumpulan anak muda tidak henti sedari tadi. Pandangannya kembali tertumpu kepada ranting di tangan. Dia bangkit dari sebatang pohon yang melunjur sambil sebelah tangannya menepuk-nepuk punggung, membersihkan pasir yang melekat pada seluar. Perlahan dia melangkah ke depan sebelum tertunduk-tunduk mengukir sesuatu di atas pasir di tepi pantai menggunakan ranting yang dikutipnya sebentar tadi. Siap menuliskan sesuatu, ranting tersebut dicampakkan ke tepi sebelum dia menjeritkan kembali apa yang tertulis di atas pasir. 

“Penang! I'm here!” 

Suaranya tiba-tiba tersekat. Ombak yang sedari tadi menghempas pantai kini mulai surut mengering. Dada langit yang terbentang luas kini seakan-akan retak sejuta menjadi kepingan kaca yang perlahan-lahan jatuh umpama hujan di sekelilingnya. Pasir di mana tempat dia berpijak semakin hilang dek pusaran besar yang sepertinya menyedut kesemua isi yang ada. Kumpulan anak muda di sebelah kirinya turut sama menghilang. Menjadi butiran pasir lantas naik ke langit yang memecah dari paras kepala hingga ke paras kaki. Kembali dia menatap dirinya yang turut sama hilang sedikit demi sedikit. Dari kaki, naik badan. Dari badan, naik ke leher. Dengan mata yang terpejam, dia tersenyum sebelum senyumannya itu turut hilang menjadi butiran pasir yang tidak bisa disentuh. 

—KRINGGGGGGG!!! 

“Cilaka! Mimpi rupanya. Punya rindu aku dekat Penang sampai masuk ke mimpi.” Terjaga Juno dari tidur sambil menyapu muka menggunakan kedua tapak tangannya. Juno mencapai jam di atas meja kecil di sebelahnya. 

“Nakharun! Lewat dah!” Kalut Juno bangkit mencapai tuala lalu berlari anak ke bilik air untuk mandi.  Usai mandi, Juno bersiap-siap mengenakan pakaian kerja. Sambil merapikan rambut, Juno melihat sekeliling untuk memastikan tiada apa yang tertinggal. Sebelum keluar dari bilik, sempat dia mengambil kunci  motor lalu berjalan laju menuju ke pintu utama. Kasut hitam disarungkan sebelum pintu dibuka. 

—BAAMMMMM!! 

“Woi, Sid! Bangunlah dah pukul berapa ni?!” Terjaga Rashid dari tidur setelah pintu biliknya dihempas oleh rakan serumahnya —Juno. 

“Babi, jadah apa aku mimpikan Juno tadi..” Getus Rashid sendiri di atas tilam.

***

14 Mar 2015

KARKAS #110: PELUANG

Kedua belah kakinya dirapatkan. Pandangannya ditala jauh ke depan sebelum beransur perlahan memandang sayup ke bawah di mana terdapat sekumpulan manusia sedang sibuk berjalan kaki.

Dari puncak yang paling atas dapat dilihatnya manusia yang bagaikan semut sedang menghurung sesuatu. Naik peluh di tapak kakinya yang hanya bersarungkan stoking tanpa kasut. Ruang fikirannya kosong tanpa ada lagi suara-suara yang terlepas di kepala. Dengan mata yang terpejam sambil nafas dihela perlahan, dia merelakan saja pergerakan badannya yang seakan-akan ditiup angin melayang ke depan.                           

BAAMMMMM!!

Satu tembakan dilepaskan dari arah belakang tepat mengena kepala. Tangannya dipaut lalu ditarik sebelum jatuh ke bawah.

“Bodoh! Daripada kau bunuh diri hancur berkecai satu badan, baik kepala kau aku hancurkan. Yang lain aku boleh jual.”

Tersenyum puas seorang lelaki bersenjatakan pistol sambil memapah mayat berkenaan ke tepi.

***

11 Mar 2015

KARKAS #70: DOLLAH LAGI

Dollah terjaga agak lewat petang itu. Seperti biasa perutnya mula kelaparan. Dollah dengan bermalas-malas bangkit mencapai tuala untuk mandi. Dia berjalan menuju terus ke bilik air. Bilik rakannya yang lain masih elok tutup berkunci.

'Bawak awek mai bilik kot depa ni semua..' bisik hatinya.

Berbogel Dollah di bilik air. Baru saja hendak memicit ubat gigi, terdengar bunyi ketukan pada pintu bilik air.

“Oiii, ada orang tak kat dalam?”

“Haa apa dia? Tak dengar. Ulang lagi sekali.” Ujar Dollah yang tidak menangkap apa yang dikatakannya kali pertama.

“Ada orang tak kat dalam?” soal seseorang dari luar.

“Haa ada ni. Ada.” Jawab Dollah bersahaja.

BRAHHHHH!! BRAHHHHH!!
Percikan air menghempas pada lantai. Sedap Dollah mandi sambil berdekah sendiri.

***

KARKAS #62: SI DOLLAH

Dollah mengusap lembut perutnya yang sedang lapar. Dollah teringat pesan ibunya ketika dia masih kecil.

“Kalau makanan tu kotor, kamu tiuplah tiga kali. InsyaAllah boleh makan lagi. ”

Dollah melihat ayam goreng yang digenggamnya. Dollah menarik nafas sedalam-dalamnya. Lalu meniup tiga kali berturut-turut ke arah ayam goreng berkenaan.

“Fuhh! Fuhh! Fuhh! Ngappp!”  Isi ayam diratahnya penuh nikmat sambil berlari keluar dari warung Pak Mat.

“Woi! Ayam goreng aku!” Jerit Pak Mat yang tidak larat untuk mengejar.

***

KARKAS #47: SATU MALAM DI SENAWANG

Punyalah sengit perlawanan di antara aku dan Angah. Setiap kali menjaringkan gol kemenangan, akan terdengar jeritan sampai ke tingkat bawah. Keesokannya bila aku bangun dari tidur, permainan konsol itu sudah tiada. Aku faham tanpa perlu berfikir panjang.

Tetapi lain pula ceritanya buat Angah. Dibantainya pula permainan komputer milik mereka. Sehinggalah satu hari tu, plug untuk komputer juga disorokkan. Barulah Angah sedar akan di mana silapnya. Sejak dari hari tu, aku mula tidak selesa untuk duduk lebih lama di rumah berkenaan. Maka, perjalanan harus diteruskan.

Sebelum dihalau, baik angkat kaki. Sebelum dibenci, baik mengundur diri.

***

KARKAS #42: JAMBAN

“Mindfuck gila cerita ni!” Tanpa teragak-agak Kerri membaling buku tersebut ke luar tingkap. Setiap babak yang terkandung di dalam buku tersebut masih kuat bermain di fikirannya.

“Ahhh, tak boleh jadi ni.” Kerri segera menuju ke bilik air. Di sinki berhadapan cermin, berkali-kali dia membilas mukanya dengan air. Mukanya yang basah ditenung lama di dalam cermin. Sesekali dia mengusap pipinya perlahan-lahan. Kerri menoleh memandang mangkuk tandas yang terletak di sebelahnya.

“Ini betul-betul gila.” Getusnya sendirian yang kembali melihat refleksi dirinya di dalam cermin. Dia memandang kembali mangkuk tandas di sebelahnya. Kali ini diiringi langkahan penuh berhati-hati.

“Harapnya menjadilah. Satu, dua, tiga..”

***

“Hello! Bomba! Encik, encik! Kawan saya kaki dia tersangkut dalam mangkuk tandas. Tolong encik datang cepat selamatkan dia.” Gagang telefon diletak.

“Aihh apa nak jadilah dengan kau ni Kerri. Baca buku Harry Potter sampai terikut-ikut nak teleport ikut mangkuk tandas dah kenapa.” Rungut rakannya Rosli sambil menunggu kedatangan bomba.

***

Margolas: Abul Junosid

KARKAS #39: PENTAS

Phewwwitttt!!

Bunyi siulan nyaring kedengaran diiringi tepukan gemuruh para penonton yang hadir pada malam itu menghangatkan lagi suasana di dalam dewan. Di atas pentas gah dia berdiri berseorangan. Laju dia menuturkan kata. Habis semua kaum dipukul rata. Gelak sakan penonton yang terdiri dari pelbagai kaum. Sedang dewan dipenuhi dengan gelak tawa, ada seorang insan hanya duduk cuba menghadam tiap patah kata dari seorang pelawak di atas pentas.

“Chineseeeeee...” hanya sepatah kata yang diucapkan di atas pentas sambil matanya dikecilkan ala-ala Cina.
Habis bergegar seluruh dewan akibat gelak ketawa yang terhambur keluar dari jiwa-jiwa yang dahagakan keceriaan. Cukup sekadar satu perkataan sudah mampu mengundang tawa yang maha hebat. Dia di kerusi yang paling hadapan semakin bingung. Begertapan giginya menahan marah. Entah di mana lawaknya. Sebaliknya dia merasakan terhina dengan lawak-lawak berbaur perkauman.

Pantas dia bangkit meluru ke pentas dengan kedua tangannya didepakan. Tangan yang didepa segera diletakkan menyentuh permukaan pentas. Bergegar seluruh pentas dengan seorang pelawak yang tadinya membodohkan sekumpulan manusia kini merangkak ketakutan seorang diri di atas pentas. Tiada lagi lawak bodohnya melainkan hanya dia yang terlihat sedemikian.

PUUFFF!!

Hilang pentas dihilangkan lelaki misteri berambut panjang. Keesokannya gempar berita kehilangan seorang pelawak terkenal.
—Russell Peters.

***

Margolas: Abul Junosid

KARKAS #17: SRI KOTA

"Siap!" Tersandar Ringo setelah selesai menulis laporan tugasnya hingga ke pukul tujuh pagi pada malam itu. Walhal jam ketika itu baru saja mencecah sepuluh malam. Sengaja dia menulis siap-siap kerana dia yakin keadaan pada malam itu pastinya sentiasa berkeadaan baik dan terkawal.
Dilihatnya dari jauh di hujung jalan terdapat dua jururawat perempuan sedang berjalan ke arahnya. Sebenarnya bukanlah ke arahnya yang sebetul-betulnya tetapi mereka ingin keluar melalui pagar yang berada berhampiran dengan pondoknya bertugas. Niatnya untuk merokok sebentar tadi dibatalkan seketika.  Reputasi perlu dijaga.

Sedang mereka menghampiri pagar untuk keluar tiba-tiba salah seorang dari mereka berhenti mengeluarkan sebungkus makanan lalu diberikan kepada kucing yang galak bermain di kawasan berhampiran. Di muka pintu pondok, Ringo mengamati bungkusan tersebut yang tak ubah seperti bungkusan burger. Kagum Ringo sebentar dengan keperibadian yang ditunjukkan oleh jururawat itu. Sepanjang dia bekerja di situ pun belum pernah lagi dia memberikan makanan untuk kucing-kucing yang setiap hari pasti saja kakinya disondol manja dek kucing-kucing tersebut. Sudah namanya Ringo, hanya akan tewas dengan manjanya seorang perempuan. Manja kucing, sikit pun tidak dipedulikan.

Setelah kedua jururawat tadi beredar, Ringo kembali melihat bungkusan yang diletakkan. Tiada seekor kucing pun yang menyerbu untuk makan. Ringo mula kehairanan. Sebelum dia berjalan untuk melihat bungkusan tersebut sempat dia menyalakan sebatang rokok. Segera dia pergi ke bungkusan makanan tersebut untuk melihat apa yang tidak kena.

"Memilih betul kucing hospital ni. Burger makwe bagi pun taknak makan." Bebelnya sendiri sambil membelek bungkusan itu. Dibukanya perlahan-lahan plastik yang membalut.

"Laaaaa! Roti ja dia bagi. Daging burger dia mana? Roti pun dah ada bekas gigit. Cilaka punya makwe. Tak memahami selera kucing langsung!"

Kembali Ringo duduk membuang masa di dalam pondok selepas membuang bungkusan berkenaan.


***

Margolas: Abul Junosid

KARKAS #6: PUASA KEDUA

Sedang asyik menghayati lagu Perang Belum Tamat, datang seorang lelaki menyapa dari belakang.

"Kau puasa tak?" Soalnya kepada aku sambil berdiri bersandar dipintu.

"Aku puasa lagi ni." Jawabku penuh yakin tanpa ragu ragu.

"Aku tak boleh tahanlah. Buat kerja kat dalam panas." Luahnya tanpa segan silu. Aku hanya senyum memahami.

"Kau ada lighter tak?" Sambungnya lagi. Aku menggeleng menandakan tiada. Lalu aku bertanya.

"Kalau panas kat dalam, minumlah. Cari lighter nak buat apa?" Tenang sahaja dia mendengar soalan aku. Dan dengan tenang juga dia menjawab.

"Sebab panaslah aku cari lighter. Aku nak hisap rokok sejuk

***


Margolas: Abul Junosid

10 Mar 2015

KARKAS #2: OTAK

Perlahan-lahan dia mengeluarkan gumpalan otak dari tempurung kepala. Di atas meja dia meletakkan penuh cermat. Berwajah sugul dia mengusap lembut luaran bahagianya otak. Dibukanya perlahan setiap lipatan. Tajam matanya meneliti tiap lipatan yang telah dibuka. Dari segumpal otak, kini sudah terbentang luas di atas meja. Mengeluh dia diiringi gelengan kecil. 

"Haram betul, idea satu pun takde ni. Lipat baliklah."

***

Margolas: Abul Junosid