Showing posts with label El Joe. Show all posts
Showing posts with label El Joe. Show all posts

5 Jan 2016

KARKAS #241: CATATAN SYURGA

Pening. Aku bangun dari lantai rumah semasa anak sekolah rendah pulang dari penjara mereka. Baju yang sedikit comot, aku buka dan aku campakkan di depan pintu mandi; berseluar aku berjalan dengan kepala yang berat dan rambut yang kusut menuju singki dapur.

Saat lama aku tenungkan tembus cermin di singki, bahu kanan tiba berdenyut laju. Tanpa fikir, aku cabut dan aku buang ke bawah singki.

Lama termenung, aku terus bogel membuka seluar dan berjalan tanpa seurat benang ke kamar mandi, bersiap untuk satu lagi parti seperti malam semalam.

Parti, apa lagi selain wanita, arak, zina dan musik keras dimainkan sepanjang malam? Seperti semalam, aku juga turut mabuk dek disuap hirup air todi dan vodka oleh perempuan-perempuan cantik berbikini.

Ini syurga!

"Mungkin mereka juga sudah buang bahu kanan mereka di bawah singki." Otak separa waras aku membuatkan aku bermonolog di tengah lantai tari.

******

Ayam jantan sedang menggeliat dalam rebannya, dan parti telah tamat dengan rebahan manusia mabuk di setiap penjuru lantai tari.

Aku gagahkan diri untuk memandu pulang ke rumah, tidak selesa tidur bersama bau muntah yang merata.

Sampai di rumah, aku menghempaskan diri pada lantai rumah. Seperti semalam, aku akan terus hanyut di lantai ini. Dalam aku terdampar hampir hanyut, aku terdengar satu erangan di bawah singki.

Lantas hati hitam sendiri bersuara, "Mungkin Roqib sedang memanggil aku untuk mencatat sesuatu buat aku ke syurga kelak."

6 Nov 2015

KARKAS #197: TEMPE GORENG

"Ok, one day, one word ok?" 

Angguk berseling senyum. Usai aku hulurkan piring dipenuhi Tempe goreng padanya, laju kertas nota kecil dikeluarkan dan batang pen entah bila sudah kelihatan digenggam kemas pada tangannya; masih lagi tersenyum.

Laju tiga kali matahari dan tiga kali bulan bersilih ganti, dan tiga perkataan yang diajar, lengkap menjadi sebaris ayat. Hari ini, Tempe goreng lagi yang dimahukan, sedang gerai aku punya berpuluh menu makanan lain. Cuma hari ini, tiada pula kelihatan dia memegang batang pen dan menyediakan nota kecil seperti hari hari lalu. Tidak aku tanyakan kenapa, kerna melihat senyumnya sambil meratah Tempe goreng itu sendiri melemaskan aku dalam masa; indah.

Lamunan aku terganggu dengan suaranya yang perlahan memanggil nama aku, "Ammar, you'd taught me this words but I've never hear you say it in a sentence, why?"

Soal dan dirinya aku biarkan sendiri. Bingkas aku berlalu dari mejanya dan meluru ke dapur gerai. Terduduk dan termenung. Setelah 10 minit tidak keruan aku di ruang dapur, aku menggerakkan diri ke meja tadi. Tiga langkah, dan aku menjengah mencari susuk tubuh yang bikin aku sasau sebentar tadi. Yang kelihatan cuma piring dan cawan kopi.

Sesal seakan mengapan aku dari terus bernafas, segala pergerakan jadi teliti, tiap bunyi jadi bingit. Menyesal!

Dalam sesal itu, aku terus ke meja itu untuk mengutip kemas piring dan cawan. Piring aku angkat, dan bawahnya terlipat satu kertas. Aku buka, kemas tulisannya, mudah dibaca. 

"I dont know what's wrong with you, it is not our fault. It's been a year and my father already passed away. His word and races is not the reason why we can't be in love. Kulo tresno sampean, Ammar."

Tandatangan halus mengakhiri tulisan di hujung kertas; Xi Yi.

***

KARKAS #194: TIGA NAFAS AKHIR

Suara budak berteriak kasar mengembalikan roh yang melayang jauh kembali semula ke dalam jasad yang sedang enak berbaring beralas kepingan span panjang dan dalam keadaan separuh sedar, suara pekik memekik sepasang suami isteri muda mula aku dengarkan jelas dalam selingan tangis budak yang seakan tiada niat untuk berhenti apabila bunyi tali pinggang dilibas-libas bak tali pecut yang mengawal manusia dalam sawai sang kuda.

Pagi Ahad, berjalan malas aku ke kamar mandi dan masih lagi telinga ini dijamahkan suara suara rumah sebelah yang terpekik melolong. Dalam siraman air kolah yang pertama, hati ini seakan bertanya entah kepada siapa walhal awalnya tahu yang ia tidak akan sama sekali terjawab; 'Kenapa dihadirkan kalau wujudnya kelak hanya untuk tempat melampiaskan amarah?' 'Kenapa tidak diberi kesempatan sedang yang ini amat membutuhkan?'

Buih-buih sabun yang meliputi badan aku bilaskan dengan siraman siraman akhir. Dalam gopoh-gapah, tuala kering digapai bagi mengeringkan tubuh.

Saat kaki melangkah keluar dari kamar mandi, suara lembut kudengar dari sudut paling jauh di dalam rumah "Abang, cepatlah, nanti lambat pula kita ke klinik." Aku tersenyum.

Seluar jean lusuh yang aku pungut dari lantai, aku sarungkan. Baju melayu yang siap digosok malam tadi, aku pakaikan. Rambut yang kusut, aku rapikan.

Pintu utama rumah dibuka dan limpahan cahaya matahari berlumba lumba masuk menerawang ruang tamu, sedikit silau.

Dalam kelip kelip kelopak mata yang mula menerima cahaya mentari, pandangan yang samar mula tertumpu pada bangkai yang mereput di laman rumah. Sengaja aku biarkan ia mereput, tak akan aku alihkan.

Aku masih lagi berdiri di muka pintu, melihat bangkai itu. Setelah lama terpaku, selipar yang haus tapaknya aku sarungkan. Pintu aku tutup dan aku manggakan, kuncinya aku sembunyikan di bawah lapik pasu kosong tiada pokok. 

Dalam perjalanan keluar dari laman, aku seretkan jari lembut sepanjang  bangkai itu dari hidung hingga ke punggungnya. Masih sempurna, tiada apa yang hilang, cuma bahagian kirinya hancur teruk. 

Aku meneruskan perjalanan. Entah mengapa, bibir dan kotak suara bergerak sendiri, memaki diri sendiri bila saja mengenangkan kesilapan diri yang menjadi saksi hembusan tiga nafas akhir seorang isteri.

***

1 Jul 2015

KARKAS #191: GORILLA PUJAAN

Pagi itu aku bangun dengan sakit kepala. Mungkin akibat kesan sampingan alkohol yang aku teguk dengan jumlah yang banyak semasa menonton pertunjukan sarkas semalam; pening.

Entah macam mana aku sampai di rumah aku ini pun aku tidak tahu. Yang penting, samada aku sedar, mabuk atau mimpi, semalam aku saksikan mahluk yang seperti aku idam idamkan dalam khayalan zaman kanak kanak aku.

Yang lebih mengejutkan, makhluk itu berada di hadapan pintu sekarang; merenung tajam mataku.

"Mati tak mamat semalam tu?" Soal aku pada dia yang tercongok senyum di hadapan pintu.

"Bakal." Jawabnya mudah.

Dalam selingan jawabnya itu, aku renungkan setiap helai bulu yang melitupi badan dan mukanya, bagai mimpi jadi realiti. Dengan mudah dia merodok pisau ke dadaku; aku terima dengan gembiranya.

Hairannya, tidak aku melenting mahupun mengamuk, tapi aku seolah akur nyawaku berakhir di tangan Gorilla pujaan aku selama ini.

"Untuk kau gorilla. Untuk kau." Aku ucap berkali-kali, tanda setuju.

***

6 Jun 2015

KARKAS #175: BUNGA

Gigitan tikus semakin berkudis. Kelopak ku gugur bertaburan.

"Ah, warna apa ni?" Sapa ku setelah meraba.

Ada tikus mencicip lagi. Perlahan aku rasakan perih. Jadi benarlah peri alam. Tidak selamanya kita hidup.

"Tanah dan tikus, kau...."

Esoknya, tikus senang lenang.

***

29 May 2015

KARKAS #164: POKEMON MASTER

"Aku nak kau basuh kasut aku ni! Tapi aku nak kau jilat sampai bersih, dengan tapaknya sekali, jangan guna air langsung. Aku tahu, lagi setengah jam, kasut aku dah bersih!"

Itu jeritan sang juara baru arena Pokemon kepada kawannya yang dulu memperlekehkan beliau tentang Pokemon.

Tiga bulan terdahulu, selalu sahaja sang juara itu diperlekeh, diejek, digelak. Hingga sampai suatu saat, pernah jua dia dipukul kerana Pokemon.

"Anjing, kau tunggulah nanti, sampai masa aku dapat Arceus. Masa tu, aku akan jadikan bumi ni, neraka bagi kau." Getus sang juara saat dia rebah dibuli rakan rakannya kerana Pokemon.

Merayaulah sang juara ke dalam hutan, mencari Pokemon lagenda idaman hati, sepurnama dia mengorek isi alam demi mendapatkan niat peri.

"Manalah Pokemon yang 'power' ni? Semua Pokemon lemah, banyak SlowPok je aku jumpa, tak guna betul." keluh sang juara pada hari ke 43 dia di dalam hutan.

Muncul malam hari, seperti biasa, dia akan berhenti untuk lena seketika dari misi mencari Pokemon lagenda. Sewaktu berbaring, otaknya hanya memikirkan tentang manusia yang mengejeknya, begitu benci dia pada mereka.

Pada waktu dia mengalamun, datang satu Pokemon tidak pernah dia lihat seumur hidup. Pokedex dikeluarkan, ternyata sia sia, kerana tiada apa maklumat dinyatakan.

Belum sempat dia berlari, Pokemon itu bersuara, "Kau benci mereka?"

Berpeluh sang juara cuba menerima akal bahawa Pokemon itu yang mengajukan soalan. Dengan gagap dia menjawab, "Mereka siapa? Manusia yang memperlekehkan aku? Ya, aku amat benci!"

"Aku akan bersatu dengan mu. Mulai kini, engkau adalah 'Pokemon Master."

Semenjak kejadian itu, dia mula mencabar semua nama nama hebat arena Pokemon, dan akhirnya berjaya merangkul gelaran 'Pokemon Master'.

Manusia yang memperlekehkan dia dahulu kini menjadi abdi sang juara.

***

28 May 2015

KARKAS #160: SE-TEM

"Tolong, aku merayu, kau orang amiklah duit aku, mainan aku, tapi bukan tu. Tolonglah, aku merayu sangat."

Keluh Megat tidak dipeduli, malah tubuh kecilnya yang awal tadi dipijak pijak serta ditumbuk, ditambah lagi sakit dengan dihempap pelepah sawit yang berduri. Sifat perikemanusiaan seolah tiada secebis lahir dari hati mereka; kaki pembuli kampung.

"Benda buruk ni yang beria kau nak sangat? Apahal dengan kau ni? Bodoh. Tapi, kalau dah kau kata boleh amik duit dengan mainan kau, kita orang amik la ea. Terima kasih ea budak pelik."

Maka berlalulah Halim dan rakan rakannya selepas seronok membelasah Megat dan merampas duitnya.

Mengalir air mata Megat, mulut digemam erat menahan teriak kerna kesan luka luka dek dihempap pelepah sawit. Tangan kanannya tergenggam erat sambil dia menggerakkan pelepah yang menghepapnya, dibangunkan basikal yang tumbang, dan menepuk nepuk baju seluarnya yang kotor.

Dengan baki sedu dari menahan tangis, Megat dengan perlahan membuka genggaman tangan kanannya yang digenggam erat sejak dari mula dia dikroyok dengan Halim dan rakan rakannya.

Tersenyum...

Kayuhan yang terpaksa membuatkan Megat sampai ke rumah usangnya, dan dengan perlahan dia menyorong basikal buruk milik dia yang kemek bakul depannya dek dipijak Hassan kawan si Halim sebentar tadi.

Disorong basikal itu ke bawah rumah, disandarkan pada tiang lalu diselimutkan. Dengan dengkot, dan barang yang masih digenggam, Megat berlari anak ke anak tangga depan rumahnya, bergegar seluruh rumah saat dia mula menaiki anak tangga kerna seluruh rumahnya diperbuat dari kayu.

"Mak! Ohhh mak!!! Makk! Megat dah dapat dah benda yang mak suruh beli tadi."

Matanya merayau ke seluruh pelusuk rumah mencari ibunya, Indah.

Mula Megat mencari ke dapur dan tiada jasad ibunya disitu, lalu dia ke belakang rumah dan dia jeritkan ibunya, masih juga tiada. Megat mula risau, jam jam begini, biasanya ibunya ada di dapur untuk menyiapkan makan malam untuk keluarganya.

 "Tambahan lagi, barang yang dikirim mak katanya penting gila, masakan mak boleh tiada di rumah? Mana pulak mak ni." Getus Megat bermonolog di pintu belakang rumahnya saat dia menuju ke bilik tidur ibunya.

Gerak langkahnya dilajukan, anak tangga pintu tengah yang menjadi pemisah antara ruang tamu dan dapur, dilangkau dengan sekali langkah.

Dengan sedikit peluh dan degup dada yang semakin kencang, Megat mengetuk pintu bilik ibunya dengan harapan nyautan suara dari ibunya.

"Mak, mak ada dekat dalam tak? Megat dah beli dah barang yang suruh beli tadi, ni ada dekat tangan Megat ni mak."

Sayang, tiada sebarang sautan suara ibunya dari bilik. Lantas dia membuka pintu bilik untuk menjenguk, dan seperti yang dia tidak inginkan, jasad ibunya juga tiada disitu.

Megat terduduk, air mata yang tadinya baru sahaja kering, banjir lagi, kali ini, lebih deras dan ditemani teriak suara sedunya. Tiba tiba, dirasai ada satu susuk tubuh berdiri di sebelahnya. Perlahan Megat dongakkan kepala melihat susuk itu, ternyata, itu ibunya yang sedang berdiri sambil menghulur sesuatu kepadanya sambil mulut ibunya laju terkumat kamit dengan dahi yang berkerut.

Megat kembali senyum, air mata terhenti dalam sekelip mata, laju dia menggapai benda pada huluran ibunya dan memasangnya pada telinga.

Sebaik sahaja benda itu terpasang lengkap pada telinga, maka dengarlah satu suara bergempita, "Hang dah tau hang pekak, tak dengaq, len kali hang pakai la alat pendengaran nuh! Aku nak berak pun tak senang hang tau dak?? Haa, mana barang aku suruh beli tu?"

Dengan sengih kerang dan bekas basahan air mata yang ada jelas pada pipi, Megat hulurkan barang yang digenggam erat tadi.

"Baki duit mana?"

Megat terdiam, degup jantungnya menggila.

"Baki hilang dah, mak habaq setem ni penting gila, tuh ceq bagi kat samseng kampung. Ceq perlindung setem mak. "

Kini Indah pula terduduk dan menangis melolong sambil setem yang dipegangnya tadi dilepaskan.

"Awat mak teriak?" Soal Megat.

"Awat aku teriak hang tanya? Aku bagi hang 100RM hang tau dak? Setem ni baru 30sen!"

Megat ternganga dan bisu.

Pada pagi esoknya, seluruh ahli keluarga Megat ke meja dapur untuk bersarapan, seperti pagi pagi biasa, memang keluarga mereka akan bersarapan bersama.

Setelah semua ahli keluarga duduk di meja makan, bapa Megat membuka tudung saji berwarna biru, besar tertelungkup di atas meja makan.

"Ehhh, Indah! Padia benda hat ni duk dalam bekas? Sarapan mana??"

"Haaa, harini kita semua pakat makan setem ni ja, anak awak pi bagi duit kat kawan dia, setem dia bawa balik rumah"

***

29 Apr 2015

KARKAS #153: RAHSIA

Bukit tinggi belakang sekolah aku daki berlari dengan nafas yang tak teratur, anak mata begitu asik menjeling kebelakang; takut ada yang mengekori aku ke destinasi.

Peluh jantan mengalir keluar, langkah laju tapi berhati-hati. Dalam hati senyum sendiri, puncak makin akan aku tawan.

Sesampai, terus aku campakkan bag galas yang penuh dengan kertas kertas yang telah dibukukan ke dalam belukar tebal dan dengan perlahan pintu pada tanah aku buka; bercahaya.

Wangian bunga cempaka merebakkan baunya. Hati teruja mahu meneroka kawasan baru. Kawasan yang hanya aku tahu.

Sebagai mana perlahan aku bukakan pintu tadinya, perlahan jua aku menapak ke bawah "Hai Chipster, maaf aku lambat dan tak banyak makanan yang aku bawa hari ini"

Chipster menyambut makanan dengan wajah ceria. Cepat-cepat bungkusan dibuka dan disumbat dalam mulut. Lapar sangat barangkali.

Wajahnya aku tatap, bulunya yang hitam memekat panjang aku belai perlahan. Kasihan aku melihat sahabat ku yang asing ini, sampai bila harus aku merahsiakan kewujudannya pada mata dunia.

Chipster aku temui dua minggu lepas, masa itu dia cedera akibat terkena jerat penduduk kampung. Aku rawat dan jaga dia sehingga sembuh.

"Ahmad! Ahmad! Mana kau?? Aku tahu kau dan 'kawan' kau ada di sini! Keluar kau!" Tiba tiba kedengaran suara yang aku kenal; ayah.

Muka aku tiba-tiba jadi pucat, melilau mata mencari jalan untuk menyembunyikan Chipster. "Chipster, dalam bahaya jika ia diketahui umum." Genus aku. Kalau aku boleh jadi halimunan pasti mudah.

***

23 Apr 2015

KARKAS #149: DARIPADA JOJO


"Ayah! Sakit ayah! Sakit! Jangan ayah!"

Jerit tubuh kecil menjerit besar. Mungkin salah aku, tapi kewarasan aku sendiri memikirkan balasan yang setimpal atas perbuatan. 'Anak kutip', 'anak haram', 'anak angkat'; semua bermain di dalam kepala kecil ini.

Tidak berbaju, tidak berselipar, masih aku ingat, aku cuma bercelana pendek dengan cetakan gambar Ultraman. Gigih aku larikan kaki yang diberi pengajaran. Sambil mata mengatakan sakit dan hati menginginkan tempat adu.


"Atok yan! Atok yan! Tolong kita atok!!"


Jerit aku yang kecil memanggil insan yang aku anggap 'guardian angel' aku.


"Jojo! Kenapa ni? Meh sini masuk."


Wajahnya yang menyambut aku di muka pintu cukup menenangkan. Tangisan aku berhenti mengilat.

Aku diberi makan, aku dimandikan. Aku ditidurkan dengan suaranya. Setiap saat bersamanya aku ingat, takkan padam.


Cuma sekarang, pada siapa mahu aku jeritkan sakit diri? Pada siapa mahu aku bercerita? Ibu, adik sendiri tidak memahami aku.

Sebiji lagi mutiara gugur dari muka bumi selepas insan yang namanya aku bawa dalam nama aku.


Aku rindu.



***

p/s: Takziah. Al-Fatihah untuk nenda El-Joehan. 

KARKAS #148: POPEYE


Kipas aku matikan. Segala tingkap aku tutup rapat. Aku lihat segenap sudut bilik, memastikan tiada ruang angin untuk masuk.

Lalu aku bersila utuh di atas katil, kotak kecil yang aku sorok di dalam almari, aku gapai. Aku keluarkan satu persatu isi kotak. Lighter, penyedut minuman, putik kapas dan botol kaca. Aku pasangkan tiap satu menjadi 'dapur' hikmat.

Dalam gelap bilik, aku meraba poket seluar, mencari bahan larangan mengandungi kimia berbahaya. Aku sukatkan bahan tersebut dan aku masukkan pada dapur. Api kecil tergantung nyalaan lighter aku nyalakan berhati hati.

Malam itu, aku dalam dunia aku sendiri. Bahan larangan yang banyak aku beli hasil duit PTPTN, aku habiskan seorang diri. Sukatan demi sukatan, nyalaan demi nyalaan, dan makin lama aku makin lemas dalam realiti.

Akhirnya aku mati sementara.

Bangun aku disilaukan cahaya lampu kalimantang yang terang. Terasa sakit di bahagian lubang dubur, dan keliling aku dipenuhi manusia pakainya putih.

Tidak sempat aku bersuara, lantas satu gema menarik perhatian aku.

"Al Joehan, semalam awak pengsan. Kawan bilik awak bawak awak ke hospital. Usus perut teruk koyak. Jadi kami masukkan kamera kecil melalui lubang dubur awak."

Tiada apa yang mahu aku katakan. Aku dirogol kamera hospital kerana dadah. Aku hilang teruna kerana dadah.

***

KARKAS #143: ULTRAMAN AKHIRNYA TEWAS

Nyalaan saganya berkelip-kelip, melemahkan tempurung lutut sambil berdiri tempang di depan Raksasa Ketam.

Hati Ultraman Tora cuma mengidamkan teman seperjuangnya hadir, Ultraman Siput yang telah lama hilang untuk mempertahankan negara Ikan.

Selain telah memusnahkan tukun-tukun Ikan Talapia, Sembilang dan Patin, Raksasa Ketam menepuk-nepuk perutnya bersaksikan Ultraman Tora yang tak henti-henti bersyahadah, menahan lapar.

Namun Ultraman Tora tetap mengerahkan kuasanya hingga ke penghujung walaupun perutnya berbunyi lagu deathmetal, dia lantas bangun dan mula bertafakur, mengumpulkan Cakura Musang Durjana.

PIUUUUU!!! PIUUUUUU!!

"Ambik kau Ketam Batu cilaka! Rasakan Cakura Musang Durjana!" 

Jerit Ultraman Tora selepas selesai bertafakur sambil mengunyah-nguyah Jamu Mak Dara.

Raksasa Ketam mengelak dengan jurus Orang Minyak Tanah, mula menyerang Ultraman Tora yang semakin lemah dengan jurus Poseidon Langit tepat ke arah punggung Ultraman Tora yang terdahulu cedera akibat digigit Raksasa Ketam di awal pertarungan.

"Aduhhhhhh! Tak aci lah sodok bontot! Makkk... Tora sakittttt...."

Ketawa besar Raksasa Ketam sambil melihat Ultraman menangis teresak-esak terlompat-lompat memegang punggungnya itu.

PELEPAPP!!! 

Melekap satu pelempang deras ke muka Padhil dengan tidak semena-mena; dan kedengaran suara ibunya, "Kau dengan adik pun tak boleh mengalah sikit pun kan?"

Pojan keriangan melihat 'Raksaksa Ketam' ditampar penghulu segala alam, sambil lidah dijelirkan dan pelbagai bunyi dikeluarkan. 

"Wekk... Hahaha! Boooo... Hahahaha!"

Tamatlah riwayat kedua Ultraman Tora dan Raksaksa Ketam pada hari ini, mungkin esok, mereka akan menggegarkan bumi sekali lagi.

Ibu memimpin tangan Pojan yang berbaju Ultraman Tora meninggalkan dapur; sambil abangnya, Padhil, masih menahan amarah melihat mangkuk Coco Crunch yang telah licin di atas meja.

***

KARKAS #140: GAGAL

Sunyi. Bunyi kipas berpusing mampu aku dengar dengan peka. Kertas di hadapan muka lencun dek peluh yang berjurai.

Aku hairan, ke mana perginya semua yang aku rancangkan sedari aku memulakan langkah mengejar perkara ini, yang secara harfiahnya tidak aku yakin akan berjaya.

Jarum saat bagai kilat bergerak walhal ia bergerak dalam detik perlahan dan suara garau bagai Azazil mula berkata, "Masa menjawab tinggal 30 minit sahaja lagi."


Aku semakin kaget, bilamana peluh dingin mula memercik di dahi, sambil benak mula ligat memikirkan jawapan kepada soalan-soalan yang tidak punya signifikasi kepada aku yang ketika itu buntu.

Belakang pensel aku gigit kuat, sesekali ada juga aku jelingkan anak mata pada meja sebelah yang khusyuk menulis semacam sebentar lagi akan kiamat.

Aku hairan, apa bezanya aku dan mereka? Hinggakan aku tenang seperti ozon sebelum ribut; diam, tetapi pada masa yang sama bakal membawa kemusnahan besar-- kepada diri sendiri.

Ah! Aku makin gabra dan dengan fikiran yang bercelaru, aku tamatkan menjawab dengan ayat biasanya anak darjah dua sahaja yang melakukannya, sedang aku di tingkatan lima, "Assalamualaikum cikgu, saya anak yatim cikgu, tolong saya ya, Allah sendiri mengarahkan hamba-Nya menolong satu sama lain."


***

26 Mar 2015

KARKAS #138: SE-DARAH

Aku yang terawang diulit mimpi dijagakan dengan api diri dia yang marak membakar entah kenapa. Dengan mata yang separuh buka, aku dilempar dan diterajang bagai anjing yang hina. Terpinga, ternganga, tidak tahu apa punca serta mana silapnya.


Aku terus diperlaku bagai binatang, selama itu aku terus mempertanyakan diri sendiri "Apakah aku bukan darah daging mu ayah?"

Selama itu juga aku sakit, tapi mata ini menyeka airnya sendiri dari melimpah keluar, aku pertahankan.

Hingga satu masa, datang satu berita, darah yang tadi memperlaku aku seperti binatang itu mati, lantas hilang dari permuka dunia. Darah daging yang lain sibuk menangis menggila, mungkin berpura-pura. Tapi tidak aku, aku sendiri bingung, samada untuk menyahut berita itu dengan tawa atau duka.

Aku mandikan, aku kucup dahinya, aku sembahyangkan, aku usungkan. Selama itu jua air mata tidak pernah sekali untuk muncul, tidak sesekali hingga tiba tanah pertama aku timbuskan. Saat itu aku kalah, air mata tidak keruan berlumba-lumba untuk keluar.

Ayah, aku pohon kau hentikan kebingungan ini. Tolong. 


***

11 Mar 2015

KARKAS #89: SANG JUARA

Esok cuti sekolah, jadi malam ni ramai budak budak keluar bermain di sekitar lorong lorong kawasan perumahan. Bagusnya budak budak ni, dia orang main permainan tradisional, macam acah galah, polis entri wan tu jaga(aku tak tahu eja), sorok sorok, dan permainan lejen, baling selipar.

Jadi pada malam tu mereka memutuskan untuk main baling selipar dan sesi pembahagian 'team' pun terbentuk. Senang je dia orang ni bahagi, lorong 7 lawan 'team' lorong 5.

Permainan pun berlangsung, dan sampai ke giliran si raja kampung membaling selipar untuk merobohkan bangunan tiga selipar bagi menandakan permainan akan bermula.

Kecepesssss! Roboh bangunan tiga selipar tu dan mereka bertaburan berlari, 'team' musuh akan membaling selipar pada pihak lawan bagi mengeluarkan mereka dari permainan.

Saat Ali membaling seliparnya ke arah Leman, lantas terdiam sukma semuanya kerana jeritan Leman

"Adoii !!!!! Sakit la gilee ! Agak agak la main baling selipar guna terompah kayu pulak ! Kau tahu sakit tak ?! Akai tak dak!"


Leman lantas menangis pulang dan Ali dikeroyok ramai.

***

KARKAS #85: PISANG

Mulut terkancing rapat, gigi diketap kuat, tekak berkali kali menelan saliva likat, menahan lapar.

"Halamak ai, kereta tak ada, nak naik motor seram, *-+$: betulah" lalu mata terpandang sebuah kenderaan yang jarang dilihat berada di jalan raya, jalan kampung mahu pun jalan bandar.

Getus hati lagi "ahhh tak ada kereta, binatang ni pun bedalah !"

Dengan perlahan punggung dilabuhkan pada tempat duduk kenderaan itu sambil memperbetul kedudukan. Dengan lafaz bismillah, aku mula memandu dari perkarangan rumah menuju ke kedai Pisang Goreng Cik Rani.

Berpeluh, penat, tercungap semua dapat dirasai pabila menaiki kenderaan itu. Terpaksa naik turun bukit, dikejar anjing dan manusia yang anjing.

Sesampai di kedai, semua mata menumpukan tajam pada aku dan kenderaan, dan Cik Rani mula mendekati lantas bersuara "kau ni gila ke dari rumah berkereta roda sampai ke sini ? Kalau apa apa jadi tadi siapa susah ??"

Aku tersenyum dan disenyumkan oleh yang lain yang berada di kedai itu. Fikir ku hanya satu, Pisang Goreng Rojak Tempe !


-Based On True Story-

***

KARKAS #80: SUARA DALAM KOTAK

"Yaaaaa selamat petang dan salam satu Malaysia. Anda kini bersama DJ, Syaaaaaaaaamil ! Yang akan menemani anda di sepanjang hayat anda di muka bumi ini"

Itu lah yang sudah aku dengari selama aku hidup acap kali ingin mencari rezeki pada awal pagi.

Terlintas difikiran, tidakkah manusia bernama DJ radio ini bosan untuk menghiburkan manusia lain walhal hati sendiri tidak terjaga.

Usai memikirkan, aku langsung mati dilanggar lori susu sementara mendengar suara DJ itu menjadi talkin aku untuk masa hidup.

***

KARKAS #71: JENG JENG JENG JENG JENG JENG

Makin lama makin kuat pula bunyinya yang tak berhenti-henti ni. Dari balad, pop, jazz, rock, metal dan keroncong semua ada, semua bunyinya padu dan kuat macam dalam panggung wayang.
"Ish tak boleh jadi ni, duduk rumah sorang. Nak tak nak, kenalah buat jugak" getus hati yang memikirkan dari tadi setelah kecur melihat iklan pizza yang berharga RM5.

Perlahan  berinjit di dalam rumah ke suatu sudut. Satu, dua... haaaa, kasilah tiga, biar puas hati aku.

Dah selesai, aku hias dengan cecair warna merah dengan sikit kepingan rangup dan dengan rakus aku rogol pemandangannya dari setiap sudut dengan mata yang terjojol.

Dengan lafaz bismillah, aku mula makan mee segera berjenama Mee Sedap sambil ditemani air nenas.

***

KARKAS #63: MUNGKIN ANAK AKU

Dihujung kampung nun jauh disana ada satu tempat mandi mandi yang bertaraf lima bintang bagi budak sekolah, tak kiralah sekolah kebangsaan mahupun sekolah jenis kebangsaan, parit.

Kelihatan pada pagi Ahad tu ada dua orang budak sedang menenggek di atas pokok kelapa yang tumbang dek kerana faktor usia, Amin dan Mat.

"Engko tahu Mat ? Pokemon pertama yang bagi nyawa namanya Arceus ? Diikuti pokemon lagenda macam Giratina, Palkia, Rayquaza,dan Dialga."

"Perh powernya kau Amin tahu semua. Tapi ada satu yang kau tak tahu"

"Apa ?"

"Harini hari Ahad, memang sekolah lain cuti Amin, tapi kita ni duduk Johor, patutnya pergi sekolah. Yang kau ajak aku lepak sini buat apa ?! Sembang pokemon pulak tu."

"Heeeeeee"

***

KARKAS #56: AGAMA KAU?

Masa mandi tadi aku terfikir, macam mana kalau aku ni seorang munafik yang beragama kerana keturunan aku ? Macam mana kalau pada masa ni jugak, tempat yang sama, tapi aku dalam agama Hindu, penyembah Dewa Ramayana. Adakah aku akan mempersoal kan kewujudan Allah dan segala suruhan nya seperti mana aku mempersoalkan kesahihan kewujudan dewa agama Hindu dan Budha. Adakah aku ni sudah pun dikira murtad sebab fikir macam ni ? Banyak lagi perkara terlintas, tapi ini je mampu tertulis, takut orang pulak akan mempersoalkan aku.

***

KARKAS #53: BATU PAHAT

Petang isnin yang panas ini sama sahaja macam petang isnin yang lepas, dimana aku masih lagi ada luka di sepanjang kaki kanan dan barangkali mencecah ke hati aku yang dah lama mereput dek kerana wanita. Yang membezakan petang Isnin kali ini ialah aku berada di rumah berbanding petang Isnin lepas dimana aku berada di Hospital Besar Batu Pahat. Tapi, ada beza, ada sama, pun tak ada guna rasanya bila sebilangan nikmat dunia dah tak dapat nak aku rasa; berlari salah satu nya. Jadi petang Isnin kali ni, aku masih lagi malas seperti petang Isnin yang lepas, aku nak berbaring sepanjang hari sambil layan COC dan group whatsapp baru.

***