Laila merupakan murid perempuan tahun enam dia Sekolah
Kebangsaan Chubadak. Rambut Laila kerinting kenyal. Melantun-lantun dia bahunya
bila dia berlari. Jika dipanah suria ia bersinar keperangan. Dia tahu, ramai
yang menyimpan hati terhadapnya tetapi hatinya hanya setia pada seorang.
Seorang yang belum ditemuinya.
Dia sedar, ada seorang murid lelaki, kalau tak silap,
namanya Mustafa suka mengintainya tiap kali kelas pendidikan jasmani. Mana
mungkin dia tak perasan kalau setiap minggu pun muka dia dan seorang murid
perempuan bertenggek di balkoni blok A berhadapan padang sekolah.
Pada suatu hari, dia menerima sepucuk surat yang diletakkan
di bawah mejanya. Surat itu berbunyi 'jika awak tak keberatan, sila jumpa saya
di bawah pokok ara. Saya tunggu awak.' Begitulah isinya. Laila mencebik apabila
melihatkan 'initial' M di hujung surat itu.
Seperti yang diminta, Laila pun pergilah ke pokok ara untuk
bertemu si M yang dia tahu adalah Mustafa. Sebelum ke tempat yang dijanjikan,
dia sempat singgah membeli keropok lekor dari mak cik kantin memandangkan dia
lapar.
Setibanya di pokok ara itu, dia nampak susuk tubuh Mustafa
sedang bersandar pada batang pokok tersebut. Langkah kaki diatur menghampiri
Mustafa sambil mengunyah keropok lekor. "Apahal?" Laila bertanya
sedikit kasar sambil mulutnya masih mengunyah keropok lekor. Wajah Mustafa
hanya dipandang sipi. Entah kenapa timbul rasa jelek di hatinya.
"Ini hati saya." Mustafa menyerahkan satu
bungkusan putih yang masih berdarah. "Sudi tak awak..."
"Tak hingin!" Laila merampas bungkusan putih itu
dengan rakus dan mengeluarkan hati Mustafa yang berdebar-debar itu lalu
memasukkan hati Mustafa ke mulutnya dan mengunyahnya bersungguh-sungguh. Darah
merah pekat menjejeh-jejeh keluar dari celahan bibirnya. Hati yang sudah lumat
dikunyah ditelan sebelum Laila berpusing dan meninggalkan Mustafa.
"Hati aku juga sudah tiada. Jadi biarlah ada yang
merasa apa yang aku rasa. Rasa bagaimana hidup tanpa hati." Bisiknya
perlahan.
No comments:
Post a Comment