Sudah terlalu lama rasanya aku tidak kejatuhan.
Di balik tabir imaginasi, walau dari setinggi mana sekalipun
aku jatuh, aku pasti akan cuba bangkit kembali, menyapu pergi debu-debu pada tubuh
dan menapak perlahan selepas beberapa regangan otot dan memastikan
tulang-tulang terletak pada tempat seasalnya.Di atas pentas kesedaran diri
pula, pada setiap kali kejatuhan, pasti langit akan bergema dengan lagu Bangkit
hasil komposisi trio D.J. Fuzz, Altimet, dan Salam yang datangnya entah dari
mana.
Tetapi, mungkin sahaja kerana sudah lama aku tidak berasa
"jatuh" -- lupa pada setiap tertib seadanya; kesan dan akibat di
sebelum, semasa, dan selepas. Lupa pada segala hukum fizik dan hukum alam; graviti,
inersia, daya, dan seangkatan. Lupa pada qada' dan qadar; jaluran kemungkinan
yang pelbagai.
Lupa yang selama ini, aku mungkin sahaja meniti kepulan awan
yang indah -- berlatar-belakangkan kepingan pelangi Xbertujuh warna cantik
melengkung -- tetapi sebenarnya cukup rapuh.
Saat segalanya melerai ke bawah kerana tidak tertampung
segala berat yang disusun bertimpa-timpa ke pundak (dan badan yang sedia
berat), terhumbanlah aku dari taman permainan jiwa rasa nun jauh di atas sana,
menjunam ke permukaan bawah, disusuli gema muzik ♪ bangkit! bila ditolak jatuh,
bangkitlah semula, bangkit! bila diluka nanti, pulihlah semula, bangkit! biar
bersusah dulu, nanti senang semua, sakit pada luka, akan pulih semula ♫
Sedang aku di udara, mata tertutup rapat namun ada airmata
yang tidak sempat diseka melayang terbang kerana arus deras udara menerjah
bagai gila pada kelajuan yang tidak tercatat sementelahan otak berkira-kira ini
semua sudah dijangka, mengabaikan aku pada satu lagi keadaan, permukaan yang
bakal dihempas tidak semestinya rata. Nah, di bawah sana, berceracak
tiang-tiang setajam pisau tinggi belaka, bersedia menghunus tubuh badan lalu
menceraikan setiap bahagian menjadi ketulan yang tidak mungkin bercantum
kembali.
Aku, cubalah bangkit semula (?)
***
No comments:
Post a Comment