Showing posts with label Nian Fruelin. Show all posts
Showing posts with label Nian Fruelin. Show all posts

22 Feb 2023

KARKAS #255 : ARCA KRISTAL TWO SISTERS

 Aku bangun daripada tidur. Rasa sengal seluruh badan akibat main badminton tanpa pemanasan. Badan dah lama dalam zon selesa, terkejut dengan aktiviti fizikal yang mendadak. Aku lemau. Tiba-tiba aku teringat mimpi aku malam tadi, _epic_!


Aku cuba mengingat setiap perincian dalam mimpiku. Watakku bernama Aisy, ada dua perempuan yang asalnya baik tapi bertukar jadi ahli sihir yang membuat satu ritual menidurkan manusia untuk dijadikan arca. Ada lelaki yang, dia tidak bisu tapi dia tidak bercakap dan namanya Muhd Yusuf. Dia sentiasa memakai _hoodie_ dan tak lekang dengan _headphone_. Dia selalu bersendirian tanpa seorang kawan pun. Macam mana aku tahu nama dia Muhd Yusuf? Dia tanyakan nama aku dengan menulis di sekeping papan menggunakan sebiji batu;

- Siapa nama?

- Aisy. Siapa nama awak?

- Muhd Yusuf. 

Itu sahaja, sesi perkenalan kami. 


Suasana dalam mimpi aku sejuk dan bersalji, mungkin pengaruh daripada keadaan sebenar aku yang kesejukan tanpa selimut. 


_Okay_, aku mulakan dengan pertemuan aku dan dua perempuan yang sangat baik pada awalnya. Perempuan berdua ini ada sebuah kedai makan yang katanya semua menu di situ sedap-sedap belaka. Aku di sini sudah hampir 9 tahun tapi aku tidak pernah kenal perempuan berdua itu dan tidak pernah singgah di kedai makan mereka. Kata penduduk setempat, mereka adalah ikon masyarakat. Mereka akan hadir semua jenis majlis dan memberi pelbagai bentuk sumbangan serta mereka kenal baik dengan semua orang. 


"Aisy, esok marilah makan tengah hari di kedai akak."

"Akak buka kedai siang sahaja ke?"

"Akak buka kedai sampai pukul 10 malam. Tapi menu siang dah tak adalah. Malam, menu istimewa." Dia kenyit mata.

"Kalau macam tu, saya pergi kedai akak malam ni lah ye."

"Pukul berapa tu Aisy?" Aku jadi pelik, kenapa perlu aku beritahu pukul berapa.

"Saya tak pasti kak."

"Oklah, tak apa. Akak tunggu, jangan tak datang ye."


Ah, sejuk, berangin dan bersalji. Cari pasal sungguh berjanji untuk datang malam. 

---

Aku pergi ke kedai makan 'kakak' itu. Tapi aku tidak terus masuk, aku mengintai dari luar. Senyap. Di sebalik dinding, aku nampak semua pelanggan rebah di atas meja, seolah-olah mereka sedang tidur termasuklah Muhd Yusuf. Aku tidak nampak sesiapa melainkan pelanggan sahaja. Aku terus masuk untuk mendapatkan Muhd Yusuf.


"Yusuf, Yusuf." Aku berbisik sambil menggerakkannya. Dia bangun dan meletakkan telunjuk ke bibirnya. Aku cuba menggerakkan pelanggan di meja sebelah. Namun Muhd Yusuf menggelengkan kepalanya lalu kami terus keluar.


"Kenapa? Mereka, awak?" Muhd Yusuf cuma menyentuh _headphonenya_ dan aku faham.

"Ada mantera?" Dia mengangguk.

"Untuk apa." Dia menunjuk ke arah tasik. Tasik kosong lagi beku.

"Apa?" Aku tidak faham. Dia mengajak aku ke tasik tersebut. Bila aku jenguk ke dalam tasik, ada beberapa arca kristal yang aku tidak pasti haiwan atau manusia. 

"Satu arca memerlukan tulang temulang daripada tiga manusia." Aku berpaling. Kelihatan perempuan berdua itu memandu satu kereta kuda salji. Mereka kelihatan seperti ratu salji jahat dalam filem Narnia. Aku tergelak sekuat-kuat hatiku. Tiba-tiba mereka terkumat-kamit membaca sesuatu dan Muhd Yusuf memakaikan aku _headphonenya_. Tiada lagu melainkan bunyi seperti notifikasi yang bertalu-talu. 


Notifikasi? Ya betul. Aku terjaga dek notifikasi yang bertalu-talu daripada telefonku. 20 mesej? Ah, _spam_ daripada satu nombor. Ada gambar dan mesej yang berbunyi;


_Jemput datang ke kedai makan Two Sisters. Ada banyak menu menarik. Buka sampai pukul 10 malam. Psst, menu malam, menu istimewa tau. Jangan tak datang ya, kami tunggu!_


Aku _click_ pada gambar. _Loading_ agak lama, dan gambar di paparan adalah perempuan berdua tersebut.


Aku menampar pipiku, sakit!

_Ah, sudah!_

7 Nov 2015

KARKAS #212: ULANG

Rokok, Coke dan sebatang sniper dari atas bangunan agam itu menemaninya. Menemaninya melunaskan dendam yang gagal dipuaskan, dulu. Dia penembak tepat tersohor. Dari Malaysia hingga ke Indonesia namanya gah, hinggalah...

"Bodoh, aku suruh kau tembak orang lain, kau tembak orang lain!" Tembakan berharga 50 ribunya itu tersasar akibat pundi kencingnya yang perit. Hari gagalnya itu, puas dia memaki hamun pundi kencinganya. Dia menutup mata, sebal dan malu yang teramat! Kali ini dia kembali, menuntut nyawa itu semula. Pundi kencingnya dikosongkan, bimbang sejarah berulang.

5 tin Coke, nyawa yang ditunggu tak kunjung tiba. 5 bulan dia merisik keberadaan perempuan itu, hari ini perempuan itu menghadiri perjumpaan dengan kedutaan Australia namun sudah hampir 1 jam setengah dia menunggu.

'Sabar...' Bisiknya meredakan ketidakselesaannya

"Hah, itu dia!" Kelihatan perempuan itu sedang berjabat tangan dengan lelaki-lelaki Australia.

"Ah, jahanam! Peritnya pundi kencing aku!" Dia takkan ulang sejarah itu. Zip ditarik melimpahkan air seninya dan,

BAM!

Perempuan itu terkulai.

Menang!

***

13 Jun 2015

KARKAS #178: KOMIK

Komik itu dihempas ke lantai. Hatinya mendidih. Mana mungkin komik sebagus ini dikritik hebat dan ditolak. Ah! Dia lempar dan memijak komik tersebut berulang kali demi melepaskan kemarahannya.

“Sakitlah bodoh! Cuba kalau aku pijak kau pulak!” Jemi terkejut.

“Siapa? Siapa?!” Jemi menjerit-jerit.

“Akulah.” Satu tepukan hinggap di bahunya. Jemi terduduk dan menggigil ketakutan.

“Sakit tahu tak.” Karakter di hadapannya mengeliat.

“Kau... Kau... Akil?”

“Yelah, akulah.” Lelaki itu mencangkung di hadapan Jemi. Hampir bertemu wajah mereka. Peluh jantan mengalir deras. Ini ketakutan dari neraka.

“Kau buat cerita macam sampah lepas tu kau nak penerbit terima komik kau. Aku pun malu jadi Akil dalam komik kau tu. Terus jadi lelaki yang tak ada maruah!” Lelaki itu memeluk tubuh. Jemi naik angin.

“Kau patutnya sokong aku! Aku yang buat kau! Aku lukis kau kacak-kacak lepas tu kau kutuk aku!”

“Rupa hensem kalau bodoh, tak guna kau tahu tak. Ada ke lepas selamatkan nenek tua tu, aku kau kahwinkan dengan nenek tu, sebab harta pulak tu. Dapat kereta idaman, rumah banglo, happy-ending kejadahnya.” Jemi hilang sabar dan melepaskan penumbuknya. Bibir lelaki itu berdarah.

“Tengok, kau buat aku lelaki lembik. Dah! Sini kau, biar aku yang buat komik!”

***

“Wah baguslah kau ni, Akil. Cerita macam real jek. Mana kau dapat jalan cerita macam ni?” Ujar Nani membelek komik Akil.

“Daripada cerita sebenarlah.” Ujar Akil bangga. Kedengaran tawa Nani memecah suasana.

“Kenapa? Kau tak percaya?” Akil merapatkan wajahnya ke wajah Nani.

“Memang pun aku keluar dari komik tu lepas si bodoh tu pijak-pijak aku. Memang pun aku yang sumbat komik bodoh tu dalam mulut Jemi sampai dia mati tercekik.” Ujar Akil separuh berbisik.

“Aku bukan manusia, Nani. Aku cuma karakter.” Akil ketawa dan berlalu pergi. Nani pula, lekas-lekas dia melempar jauh komik di tangannya.

*** 

24 Mar 2015

KARKAS #136: TANGGA

Beban kerja buat aku sesak nafas lalu aku di sini, di tangga pejabatku menghisap rokok sambil memandang sisa hutan yang bakal ditarah lagi untuk meluaskan parkir kereta. Ada pelbagai jenis kereta terkini, aku jugalah yang berkancil merah.

Haaa. Lega. Rokok, aku cucuh ke tong sampah untuk memadamkan baranya. Aku naik ke tingkat atas, tidak terus ke stesen kerjaku. Aku ingin meregangkan tulang belakangku seketika. Aku capai tombol pintu, ah, berkunci pula. Aku naik lagi dan memulas tombol yang masih lagi berkunci. Terpaksa pula bersenam petang-petang ni! Aku naik dan naik lagi, kenapa semua pintu berkunci? Aku mula tak sedap hati. Aku menjenguk ke luar. Tiada sebiji kereta pun di parkir! Aku memandang jam tanganku, pukul 7! Aku jadi bingung, ketika aku keluar tadi belum pun pukul 5.

Aku memanjat naik dan terus naik. Sekejap! Kali ini aku panik. Bangunan ini hanya ada 5 tingkat dan aku pasti aku sudah naik lebih daripada 5 tingkat. Aku tarik nafas dalam-dalam. Baik! Aku akan turun ke tingkat 1 dan terjun daripada situ kalau perlu.

Di luar semakin gelap dan aku masih lagi menuruni anak tangga sambil memeriksa kalau-kalau ada pintu yang tidak berkunci. Aku semakin cemas-aku masih tidak sampai ke tingkat 1 dan jam sudah menunjukkan pukul 9. Lampu berkelip-kelip seperti ingin padam. Ah! Apa pula kali ini?

Ya, lampu betul-betul padam dan aku bersuluhkan telefon bimbit nokiaku. Aku terdengar tombol pintu di tingkat bawah dipulas kasar. Aku segera turun.

"Allahuakbar! Tolong! Tolong!"

"Amin, kau kenapa?" Aku menggigil lantas memeluk Azri.
"Pintu...tangga..."

--

Lelaki di hadapanku ini bercerita dengan bersungguh-sungguh.

"Masa Azri jumpa dia tu pukul berapa?"

"Pukul 4.30. Selepas daripada itu, Amin tak kerja lagi di sini. Mungkin trauma."

"Afsham Rahman."

"Eh, nama saya dah dipanggil. Doakan saya berjaya dalam temuduga ni dan saya doakan awak juga." Aku bersalam dengan lelaki itu dan pergi ke kaunter.

"Awak berbual dengan lelaki berbaju biru, berseluar hitam dan berkaca mata, kan?" Aku senyum canggung. Iyalah, dengan siapa lagi. Kami berdua sahaja yang ada di ruang menunggu.


"Arwah Amin tu. Dia meninggal kerana jatuh dari tingkat 5. Ok, awak masuk bilik nombor 2 tu ya." Aku terpempan.

***

17 Mar 2015

KARKAS #119: SIRR

Hatinya rasa serba tak kena. Langit yang berbumbungkan pualam itu tidak mampu menenangkannya. Alamat mimpinya semalam akan ada lelaki gagah berhati dura. Kerana mimpi itu akhirnya dia di sini, di bawah air mata Ledang, bersuluk mencapai sukma yang paling tenang. 

Telinganya masih terdengar irama serdam yang ditiup semalam, seolah-olah dia telah dimanterakan dengan syair pengasih ken tambuhan. Tangannya longlai memegang busur, kijang dihadapannya tersenyum mengejek. Buruannya menari dan hilang.

Silanya sudah tidak lagi kemas. Dia pulang ingin mengambil busur namun dia dikejutkan dengan seekor cintamani dan kijang semalam. Mengapa pula siluman cintamani ini mendendami dia? Dan kenapa pula kijang semalam datang dengan selendang sutera bianglala? 

Dia akhirnya jatuh dipatuk cintamani dan kijang itu membawa dia ke sebuah istana yang diperbuat daripada campuran hablur dan pualam. Pendar yang dihasilkan bagaikan muka laut! Indah!

Indah?
Dia kenal perempuan yang duduk di sebalik dupa tembaga suasa itu. 
"Kau datang berlengan Khatamunn Nubuwwah, berkunci Lam Jalalah untuk membunuh aku?" Dan rupanya dialah lelaki berhati dura. Dia menangis semahunya. Adiratna yang ditunggu sudah bertuhankan iblis.

Dia memperkemas sila. Segera air matanya diseka. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembus perlahan-perlahan, seakan ditahan-tahan.  Indah meratib mencapai khusyuk namun dia terkejut dengan serangan Budi. Budi sudah bersatu dengan udara bawaan alam. Saranan angin yang mengena membuatkan telinganya berdesing. Dia menekup telinga, sakit! Ah! Pendengarannya sudah rosak tatkala dia melihat darah di tapak tangannya. 

Nampaknya lelaki dihadapannya sudah 'hilang'. Indah kembali meratib namun dia masih gagal apabila saranan kedua dari Budi adalah 7 kali penutup Kursy. Sarung Taghut tertanggal dari tubuh Indah. Dan sekarang dia hanya perempuan lumpuh di hadapan lelaki ampuh itu.

"Mari pulang." Huluran Budi tidak bersambut. Indah menggeleng.

"Kau masih isteri aku. Aku akan pimpin kau semula." Kali ini Indah bertindak. Dia mencucukkan sebatang jarum beracun ke nadi Budi. Melihat Budi yang kesesakkan nafas, Indah ketawa semahunya. 
"Darah kau sudah mula mengalir terbalik, Budi. Aku menang!" Darah mengalir dari hidung, mata dan telinga Budi. Budi tidak mampu bertahan. Dia menghantar serangan terakhir - mengubah angin menjadi sebilah kerambit yang mencantas tenggorok Indah. Indah mati dengan mata terbelalak celik.

"Aku ingat kau boleh berubah, Indah." Pandangan Budi malap, terus gelap.

***

KARKAS #114: AMUK ii

Aku semakin ragu-ragu dengan Wahi. Aku sudah bertemu Darma kelmarin. Darma sudah ceritakan semuanya selepas aku menerima serangannya bertubi-tubi.
"Manusia sebenarnya penjajah. Kalian datang dan memusnahkan semuanya. Membunuh anak-anak kami. Ketika kami memohon jalan damai, tiada siapa yang peduli. Sekarang apabila manusia sudah diambang kejatuhan, kenapa permohonan damai itu perlu aku perkenankan?" Lelaki separuh manusia dan separuh serigala itu menyeringai marah. Namun, kami berdua telah mencapai kata sepakat untuk menghentikan peperangan yang tidak menguntungkan. Dan hari ini Wahi mengadu yang puak Ashman terus membunuh. Bila mana aku tidak percaya, Wahi bernekad untuk memerangi aku.
"Aku rasa, Wahi bukan manusia." Walaupun aku kecewa dengan sahabatku, Wahi tapi itu bukan ruang untuk Darma menghukum lebih-lebih lagi dia dari puak Ashman yang selama ini aku perangi.
"Aku kira, lebih baik kau jaga bahasamu, Darma."
"Aku pernah berdepan dengannya. Aku kenal baunya." Ya, aku jadi marah.
"Aku rasa, keputusan untuk berdamai dengan puakmu adalah kegagalan aku!"
"Manusia memang bodoh. Sudahlah menyimpan iblis, sombongnya pula dihidang sekampung!" Pencak bertingkah pencak. Cucuk sanggul pemberian nenda Runika tercampak entah kemana. Aku cedera dan Darma juga.
--
Disebalik pohon meranti ada yang memerhati dan tersenyum sinis.
"Aku kira, ini kejayaanku."

Sambung--

***

14 Mar 2015

KARKAS #100: AMUK

'Seri lepaskan panah makrifat dari tarkasmu.' Bisikan itu buat Seri yakin
.
"Aku takkan kalah." Jebat bersiaga dengan luk 7 berpamur bunga tanjung, berhulu Jawa Demam. 

Panah Seri berjaya dielak dari mengena titik mati namun dada kanannya menjadi mangsa. Sesak dadanya dihambat bisa serangan Seri.

"Aku berikan kau peluang kerana kau perempuan, Seri!"

"Kita sama-sama pendekar dan aku tak pernah memohon belas daripada kau, Jebat!" Jebat mengamuk! Seri melepaskan busurnya dan memperkukuhkan kekudanya. Jebat menyeru alam.

"Bersatu denganku!" Tanah di bawah kaki Seri bergegar hebat. Jebat memusatkan seluruh tenaganya kepada Seri. Seri meraung, rengkungnya seperti direnggut!

"Hoi!" Ribut amukan Jebat terhenti. Seri dilepaskan.


"Korang main tekken jek pon. Jangan over boleh? Jangan sampai aku campak PS2 ni kebawah! Seri lah, Jebatlah." Kedengaran along mengomel.

***

11 Mar 2015

KARKAS #64: JIWA

Aku memberontak marah dan mula menyalahkan Tuhan. Aku cuba mencapai sedarku namun aku gagal dan mula melampiaskan amukku.
"Kau kenapa? Dah gila?" Tanya Ali di muka pintu bilikku.
"BRIM aku, tak lulus. Aku dah janji dengan awek aku nak belikan teddy bear sama besar dengan dia." Aku menangis. Kedengaran Ali mendengus.
"Sebelum kau terus terkubur dalam maqam an-nafs, lebih baik kau berkhalwat dulu." Pintu ditutup keras.

***

KARKAS #57: ZINE

"Hai (nama sebenar)." Saya senyum.

"Buku Jalanan Titi bila ye?"

"Minggu depan kalau tak silap saya. Nak pegi?"

"Saje je tanye.. Eh, ape pendapat awk tentang indie ey? Penulisnya tak ikut hukum2 bahasa pun." Saya diam sahaja.


"Saya pernah nampak zine atas meja encik 1 dan encik 2." Saya angguk je.


"Ada sesetengah penulis mainstream cakap penulis indie ni adalah penulis yang lahir dari aliran yang gagal."


"Oh ya? Ok nnti saya tanya kawan-kawan saya, segagal mana kitorang ni."


"Bukan saya yang cakap tau. Penulis yang ckp. Saya editor je."

***

KARKAS #50: KEMBOJA

Setelah lima tahun mengarang cerita cinta, Arman akhirnya menanam sepohon kemboja di hatiku.
"Cerita cinta kita sudah tiada harapan. Tiada apa yang berubah sepanjang lima tahun ini kecuali hati aku." Dan aku, perempuan yang mengutip kuntuman-kuntuman kemboja di kuburan sendiri.

***