Melangkah masuk ke kafe-kafe untuk menyisip kopi di tengah-tengah kesibukan kota raya. Kalau diikutkan resam darjat kepuk keduniaan, gerombolan yang miskin akan pergi kafe-kafe yang pintunya kafe harus ditolak-buka dengan tangan sendiri. Tatkala bagi gerombolan yang sedikit kaya, pintu kaca kafe tidak pula perlu ditolak buang tenaga. Akan ada sahaja hamba abdi kapitalis di balik ukiran bewarni pintu kaca tesebut; yang pakainya putih kemas, nukilan sengihan di hunus bibir yang direka-reka -- lalu tertunduklah ia membuka gerbang kafe mengalukan pelanggan menjengket kaki masuk ke dalam. Pintu kaca itu akan ternganga sendiri seolahnya pelanggan itu, tuan; pelayan itu, hamba. Masuk, pesan kopi, duduk, buka zip kantung hitam di sisi meja. Sebenarnya, tidak hanya berlaku di kafe-kafe sahaja, kotak mesin penyambung maklumat dunia akan di bawa kemana-mana sahaja. Mesin itu; ibarat suatu alat ibadah dunia yang hukumnya wajib disayangi oleh setiap manusia.
Seperti biasa, hubungan dunia kini berdindingkan latar skrin bercahaya di hadapan mata. Ayuhlah, kita pegang papan pepunat tidak berwayar, lalu kita tekan mulus ia. Jikalau dahulunya si tuan mengarahkan si hamba menekan punat radio usang di balik langsir, tetapi kini sesiapa sahaja mempunyai hamba yang berkhidmat dengan mereka. Kerana godekan kesaratan maklumat di dalam mesin yang dipanggil komputer riba itu, pastinya dikahwinkan dengan gudang pustaka maya bernama Internet; dan dipandu oleh hamba bernama cencorot.
Terkadang kita lupa, kitalah tuan kepada si hamba cencorot hikmat itu. Kitalah yang mengarahkan cencorot hikmat, mengarahkan ia berkedip mendetikkan gudang-gedung ruangan maya yang membunuh sel otak logika manusia. Atau, kita arahkan cencorot berbentuk anak panah keputihan (selalu juga ia menjelma menjadi jam pasir) membuka gedung ilmu sambil kita berpesan-pesan kepada kebaikan dan berpesan-pesan kita kepada kesabaran.
Ditakdirkan satu hari nanti cencorot menjadi penyair, tak terkejutkah nadi kewarasan kita andai bait-baitnya berbunyi:
Kau ketik sahaja, aku buka,
Buraikan amalmu walau seketika,
Instruksikanlah aku,
Wahai tuan-ku,
Si pemilik gedung--
Neraka.
Ketiklah lagi.
***
Margolas: Pok Pok Kuzawa
No comments:
Post a Comment