12 Jan 2016

KARKAS #244: SEBATANG PENCUNGKIL GIGI DI TANGAN BIDADARI


Hujan semakin lebat di luar. Kamu, petang ini kelihatan lebih cantik dari biasa. Seperti ukiran bidadari yang melenyapkan semua mimpi-mimpi ngeri. Kamu termenung sendirian di kaki lima yang hingar dengan manusia berlalu pantas dan sesak mengejar bayang-bayang mereka. Melihatmu di situ, seakan waktu terhenti dan manusia-manusia lainnya terpadam dari titik fokus mata.

Aku cuma memerhati dari sini. Sudah beberapa hari aku mengintai kamu dari jauh tanpa sedikitpun keinginan untuk menegur. Sememangnya, kamu tidak pernah menyedari kehadiranku malah kamu hilang dari alam nyata, sekadar jasadmu yang kaku di sana. Entah jasad itu atau dirimu sendiri yang kekal cantik, namun kecantikan kamu masih kekal serupa seperti saat pertama kita berkenalan di akademi beberapa tahun lalu.

Tahun-tahun itu adalah tahun yang terbaik sepanjang hidupku.

Malang sekali tahun-tahun itu telah lama lenyap dibawa derasnya arus masa. Ketika kita hampir terjatuh ke lembah emosional, kamu menghilang. Lama sekali jejakmu tidak dapat dikesan. Sehinggalah aku diberitahu akan keberadaan kamu di sini.

Kedatanganku kali ini punya niat yang berbeza. Untuk hari ini sahaja, beberapa kali sudah niatku diset semula. Rasional harus menjadi panduan. Tujuan asalku bukan mahu memperihalkan kecantikanmu. Sungguh, kecantikanmu mampu meruntuhkan tembok akal seorang lelaki. Namun berdirinya aku di sini bukan untuk kembali menagih cintamu, jauh sekali untuk merayu melutut padamu. Aku datang kerana tugas, arahan maha penting dari Majlis Tertinggi.

Kamu, salah seorang daripada 12 elit, pakar di antara pakar Skuadron Tempur Khas sub-unit Skuad Khas yang terlatih dan paling digeruni, lari dari organisasi kerana tidak sependapat dengan Majlis Tertinggi. Secara mudahnya, kamu adalah antara 12 orang terhebat di dunia, yang diiktiraf secara tidak rasmi. Organisasi kita, sebuah Pusat Penyelidikan Manusia Super (Institute of Superhuman Research) merupakan organisasi subversif bawah tanah. Diwujudkan bagi melumpuhkan pentadbiran negara yang menyeleweng namun permainan politik di dalam organisasi sendiri adalah perkara yang benar-benar tidak dapat dielakkan.

Kamu mahu mencipta revolusi sendiri.  Tapi sayangnya, emosimu mempengaruhi setiap keputusan. Kemampuan analitikalmu diragui. Begitulah yang diberitahu kepadaku, tertulis di fail sulitmu berdasarkan statistik tingkahlaku. Namun kemampuanmu membaca fikiran dan emosi orang lain benar-benar menakutkan. Pasti kamu sudah mampu menduga niatku jika kamu terlihat aku di sini. Untungnya aku juga seperti kamu. Bezanya, pengkhususan aku adalah penyamaran, risikan, sabotaj dan serang hendap (espionaj). Sedang kamu, pakar memanipulasi psikologi manusia dan haiwan.

Senja, dan hujan kali ini disertai ribut yang menggila. Manusia-manusia alpa kalut berlari-lari mencari pelindung. Entah mengapa, aku dan kamu tidak pula sibuk seperti manusia-manusia itu. Sekarang hanya kita berdua, di kaki lima saat hujan gila membasahi kita.

Pandangan kita bertaut. Api membakar marak di mata. Visual pertarungan sengit kita terpancar di layar mindaku. Sewaktu di akedemi dahulu, kita adalah dua gergasi yang paling digeruni di gelanggan beladiri. Sentiasa saja, keputusan pertarungan kita menjadi seri gara-gara kita sama-sama rebah di akhir perlawanan--kepenatan. Mungkin hari ini adalah hari, di mana penentuan secara personal antara kita diputuskan--siapa yang lebih layak dinobat sebagai pelatih terbaik sebenarnya.

Jujur aku katakan, jika kamu tidak membeloti organisasi, kamu adalah bidadari paling sempurna di mataku yang pernah wujud. Namun bidadari ini harus mati di tanganku, dan aku tidak akan sekali-kali membunuhmu secara sembunyi-sembunyi seperti tikus yang menyusuri lorong-lorong sunyi.

Kamu di sana sekadar tersenyum sinis. Aku memulakan langkah. Satu tumbukkan kulepaskan namun sia-sia, sepertinya aku sekadar menumbuk illusiku sendiri. Tanpa sempat otakku memproses segala maklumat persekitaran yang diterima, tubuhku lunyai dibelasah bertubi-tubi. Berulangkali tumbukan dan tendanganku berlalu seperti angin yang bertiup kosong. Entah kamu yang semakin licah dan pantas atau aku yang sebenarnya semakin sebu dan lembab.

Aku terdampar longlai. Pelik. Sejak bila kamu menjadi begitu hebat? Kamu berdiri  memerhatiku sambil tersenyum menayangkan sesuatu di tanganmu--berkilauan.

Sebelum pandanganku gelap dan pendengaranku pekak, baru aku sedar bahawa aku hanya seorang 'badut mekanikal' yang tidak punya apa-apa keistimewaan tanpa pencungkil gigi emas yang kamu curi dariku--kunci yang membuka titik kognitifku.

9 Jan 2016

KARKAS #243: LEBUH RAYA UTARA SELATAN

''Kira-kira 10, 000 ekor lipas mengerumuni Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke utara tanah air sejak dua puluh lima minit yang lalu?'' Megat mengulangi semula berita yang baru didengarinya sebentar tadi dengan tonasi suara yang perlahan. Dia mulai cemas kerana dia bercadang untuk bertemu Medina buat kali pertama setelah menjalinkan hubungan cinta selama 6 bulan yang lalu.

''Sayang, ada tengok berita pukul 1.30 petang tadi tak?'' Megat menghubungi kekasihnya yang berada jauh di utara.

''Tak tengok pun. Kenapa?'' soal Medina yang kepenatan baru pulang dari bertemu pelanggan-pelanggannya.

''Saya rasa kita tak dapat jumpa la malam ni, sebab saya baru tengok berita tadi. Lebuh Raya Utara Selatan dipenuhi ribuan ekor lipas.'' Suara Megat sedikit terkucil membayangkan lipas-lipas tersebut sedang mencumbui kakinya lalu memenuhi batang tubuhnya.

Medina menghamburkan ketawa. Walhal, dia sudah sedia maklum bahawa Megat sememangnya geli terhadap serangga itu.

''Awak, bukan ke awak naik kereta? Lenyek je lah lipas-lipas tu. Kalau geli sangat, awak tukar laluan menuju lebuh raya ke hati saya. Aman sejahtera.'' Medina menyambung tawa sehingga anak matanya tidak kelihatan.

''Sayang, awak ni...'' Panggilan dimatikan. Megat berang. Tawa Medina sebentar tadi seakan mencabarnya. Dia pantas mencapai kunci kereta di atas meja dan sebotol penyembur serangga lalu memulakan perjalanan.

Keretanya telah melepasi tol Port Docksin. Pada bila-bila masa sahaja, Megat akan tiba di kawasan ribuan ekor lipas yang dilaporkan oleh pemberita sebentar tadi. Dia juga sudah bersiap siaga untuk berperang dengan serangga tersebut demi menemui Medina.

''Lautan lipas sanggupku redahi demimu... Medinaaa...'' Jeritan Megat yang berkobar kobar pada mulanya menjadi sayup setelah dia ternampak seperti logamaya hitam bergerak di atas lebuh raya. Megat memperlahankan kenderaannya supaya dia berada dalam keadaan yang tenang sekiranya apa yang berlegar-legar di fikirannya itu benar.

Butir-butir peluh kian dirasai di permukaan dahinya. Keretanya semakin menghampiri entiti tersebut.

''Ya Allah! Aku dah agak dah! Lipas! Gelinya woi!!! Buat apalah korang banyak-banyak kat sini?! Ini kawasan manusialah, wey!'' Bebel Megat dengan riak badan yang menggelejat. Kenderaan-kenderaan lain mula menghimpit ke lorong paling kanan setelah dua lorong yang lainnya sudah dipenuhi oleh ribuan ekor lipas tersebut. Masing-masing memperlahankan kenderaan untuk melihat keajaiban yang berlaku. Sejarah pertama dalam dunia!

Kerumunan lipas tersebut tidak menyerang dan mengganggu manusia seperti dalam imaginasinya. Malah, ia kelihatannya sedang menghurung sesuatu. Tidak kurang juga yang memberhentikan kenderaan untuk merakam momen aneh seperti itu supaya boleh dihebahkan ke serata dunia dan menjadi tapak tinggalan sejarah suatu hari nanti atau memuat naik gambar serta video dengan tajuk 'Dunia sedang Berakhir!'

Megat turut terpengaruh untuk menghentikan kenderaannya dan memberanikan diri mendekati kerumunan tersebut. Dia juga tidak mahu ketinggalan merakam kejadian itu untuk dikirimkan kepada Medina dengan kadar segera sebelum dia sempat bercerita. Biarlah rakaman ini menjadi bukti kesungguhan cinta dan keberaniannya terhadap Medina dalam merempuh kesesakan sang lipas.

Usai tiba ditempat kejadian, ada sebatang tubuh lengkap berpakaian badut telah kaku dengan hanya dipertonton tanpa tindakan. Manakala di sekitarnya terdapat lambakan makanan ringan yang bertaburan. Ia seakan menjadi medan makanan serangga-serangga itu memenuhi selera.

Rakamannya sepanjang melihat keadaan yang mengerikan dan menggelikan tadi, telah berjaya dihantar oleh Megat kepada Medina. Belum pun sempat dia berada jauh dari tempat kejadian, tiba-tiba dia terdengar seperti ada orang yang menyebut-nyebut namanya.

''Pesanan daripada Megat... Pesanan daripada Megat... Pesanan daripada Megat...'' Suara itu memeranjatkan seluruh penonton yang berada di situ termasuk dirinya dan kebetulan nama yang disebut tanpa henti itu serupa dengan namanya. Hatinya berkecamuk. Megat lekas melihat rakaman yang dihantar kepada Medina melalui aplikasi 'Whatsup' tetapi masih belum mendapat respon daripada Medina. Megat cuba menghantar beberapa pesanan lagi kerana dia seakan dapat merasai sesuatu yang tidak kena.

''Pesanan daripada Megat... Pesanan daripada Megat... Pes...'' Megat meluru ke arah badut tersebut lalu menekan butang yang terdapat pada batang tubuh badut itu untuk menghentikan suaranya. Dia kemudiannya memilih menu 'pesanan' yang terdapat di dada badut mekanikal itu. Ianya dipenuhi dengan pesanan dan log panggilan antara mereka berdua. Megat memilih pula menu 'draf'. Ada pesanan yang tidak sempat ditamatkan dan di hantar.

'Meg, Sorry gelakkan awak tadi. Saya pergi kerja dulu. Ada dua tempat saya nak pergi petang ni. Malam nanti…'

Jantung Megat berdegup deras. Tangannya menggeletar. Kelopak matanya berkaca menanti pecah. Megat mengeluarkan kad memori berbentuk pencungkil gigi daripada dada kiri Medina yang tertera di atasnya 'Med'.

''Mangsa cedera parah. Kepalanya hancur. Van yang menyediakan perkhidmatan parti dan badut mekanikal telah dilanggar lari. Jumlah bilangan lipas yang mengerumuni kawasan kejadian juga beransur kurang.'' Lapor seorang wartawan ke unit berita utama.

''Terima kasih untuk wasiat ini, sayang.'' Kad memori itu digenggamnya erat dan pipi aluminium Medina yang berkecai dari muka diciumnya rapat. Cebisan serpihan bibir Medina diambilnya senyap.

KARKAS #242: CARI SAMPAI JUMPA

''Aku kira sampai 20 eah? 1... 2... 3... 4...'' jerit Halim sambil rakan rakannya yang lain bertebaran lari ke setiap bucu yang boleh menempatkan diri masing masing daripada dijerkah Halim sekiranya dijumpai nanti.

Kelihatannya masing masing sudah lenyap dan senyap. Noah masih terpinga pinga mencari tempat persembunyiannya. Kawasan permainan hanya di sekitar rumah Nek Jah sahaja. Nek Jah merupakan nenek kepada Halim.

''19... 20!!!'' Halim sengaja menekan nada suaranya sebagai tanda kiraannya sudah tamat lantas memulakan pencarian.

''Ah! Masuk je lah bawah ni!'' Noah masuk ke bawah singki yang berkabinet itu lalu pintu kabinet ditutup rapat. Untung sahaja  tubuhnya bersaiz sederhana. Mudah baginya untuk mengerekot dalam ruang tersebut.

Noah mula bosan menunggu Halim menjerkah dirinya langsung dia terlelap dalam kepenatan.

''Fuad dah jumpa! Rahim dah jumpa! Muhsin dah jumpa! Noah?'' Halim mengira bilangan rakan-rakannya apabila dia merasakan seperti kekurangan salah seorang daripada mereka.

''Weyyy, korang nampak Noah tak dia pergi mana?'' soal Halim kepada rakan-rakannya.

''Tak nampak, sebab tadi aku terus berlari menyorok bawah rumah Nek Jah.'' Jawab Fuad sambil membayangkan keadaannya pada masa itu yang tergopoh gapah berlari hingga seliparnya putus.

''Aku dengan Muhsin pun tak perasan dia lari arah mana, sebab kitorang tak sama sama dengan dia tadi.'' Jelas Rahim yang turut sama buntu dalam misi pencarian tersebut.

Sayangnya, tiada siapa yang nampak kelibat Noah kerana masing masing mahu menyelamatkan diri untuk bersembunyi. Mereka mula berasa cemas dan berkira kira untuk memberitahu keluarga Noah. Jika tidak diberitahu, takut diserang pula. Jika diberitahu, takut dimarahi pula.

''Ha! Apa kata kita minta tolong dengan nenek kau Halim! Nek Jah. Minta tolong dia bagitahu kat mak ayah Noah yang dia hilang masa kita main nyorok nyorok tadi ni. Nek Jah kan dah tua. Mesti dorang kesian nak marah Nek Jah lebih lebih.'' Muhsin bersuara mengutarakan cadangannya.

Tanpa berfikir panjang, mereka terus memujuk Nek Jah untuk bersemuka dengan ibu bapa Noah dan memaklumkan tentang kehilangan Noah.

''Ha! Main bukan bukan lagi petang petang gini! Aku dah cakap dah petang petang nak senja ni jangan main sorok sorok! Karang kena sorok dengan hantu tetek! Tu la! Degil! Entah entah Noah tu dah jadi anak hantu tetek! Lepas tu malam karang, dia cari korang pulak! Tunggu je lah!'' bebel Nek Jah kepada mereka seraya wajah mereka bertukar menjadi pucat. 

''Nek...'' Halim memeluk neneknya erat.

''Dah! Cuba engkorang tengok bawah singki tu! Aku ada dengar bunyi suara apa tah bawah tu. Orang berdengkur ke suara orang mengigau aku tak tahulah. Ada latu Noah kat situ tu.'' Nek Jah ketawa kecil melihat riak mereka. Pantas mereka menuju ke singki dan melutut untuk membuka kabinet tersebut. Mereka benar benar berharap Noah berada di situ.

Sebaik sahaja pintu kabinet itu dibuka, mereka saling berpandangan sesama sendiri.

''Mana ada sesiapa kat sini, nek!!!'' jerit Halim dengan perasaan kecewa.

Segera dia menutup semula pintu kabinet tersebut.

''Tapi Lim, aku ada terdengar macam suara mengerang dalam ni tadi. Cuba kau buka lagi sekali.'' tegur Rahim tiba tiba.

Halim mengangguk dan membuka semula kabinet tersebut. Dia memasukkan sedikit kepalanya ke dalam kabinet tersebut dan ternampak sesuatu yang bercahaya. Dia kaget lalu mencapainya.

 ''Telefon bimbit!'' Halim membuat gerakan bibir sahaja supaya suaranya tidak didengari oleh Nek Jah.

Telefon bimbit itu tertera aksi aksi di ranjang dengan erangan yang mengghairahkan. Mereka menghabiskan tontonan itu yang berbaki 5 minit lagi sebelum mereka memulangkannya kepada Noah.

''Ada tak?'' laung Nek Jah dari biliknya.

''Ada! Ada!'' balas Halim ringkas.

''Esok je lah kita pulang barang Noah ni. Lagipun dah senja ni. Nanti kena sorok dengan hantu tetek.'' Kata Fuad dengan mata yang bercahaya.

''Noah tak cari kita kan malam nanti?'' soal Muhsin serba  salah.

''Dia tengah tidur tu kat rumah. Rileks la. Kalau tak, mesti mak ayah dia dah cari kita punya!'' jelas Halim dan ternyata memberi ketenangan kepada jiwa Muhsin.

Malam itu, mereka bertiga bermalam di rumah Nek Jah bersama Halim sambil berbasahan basahan.

''Ahhh....''

5 Jan 2016

KARKAS #241: CATATAN SYURGA

Pening. Aku bangun dari lantai rumah semasa anak sekolah rendah pulang dari penjara mereka. Baju yang sedikit comot, aku buka dan aku campakkan di depan pintu mandi; berseluar aku berjalan dengan kepala yang berat dan rambut yang kusut menuju singki dapur.

Saat lama aku tenungkan tembus cermin di singki, bahu kanan tiba berdenyut laju. Tanpa fikir, aku cabut dan aku buang ke bawah singki.

Lama termenung, aku terus bogel membuka seluar dan berjalan tanpa seurat benang ke kamar mandi, bersiap untuk satu lagi parti seperti malam semalam.

Parti, apa lagi selain wanita, arak, zina dan musik keras dimainkan sepanjang malam? Seperti semalam, aku juga turut mabuk dek disuap hirup air todi dan vodka oleh perempuan-perempuan cantik berbikini.

Ini syurga!

"Mungkin mereka juga sudah buang bahu kanan mereka di bawah singki." Otak separa waras aku membuatkan aku bermonolog di tengah lantai tari.

******

Ayam jantan sedang menggeliat dalam rebannya, dan parti telah tamat dengan rebahan manusia mabuk di setiap penjuru lantai tari.

Aku gagahkan diri untuk memandu pulang ke rumah, tidak selesa tidur bersama bau muntah yang merata.

Sampai di rumah, aku menghempaskan diri pada lantai rumah. Seperti semalam, aku akan terus hanyut di lantai ini. Dalam aku terdampar hampir hanyut, aku terdengar satu erangan di bawah singki.

Lantas hati hitam sendiri bersuara, "Mungkin Roqib sedang memanggil aku untuk mencatat sesuatu buat aku ke syurga kelak."

KARKAS #240: TIA TERSELIUH


Menemukan dia hampir setiap petang di hujung jalan, membuat jantungku bergendang tak berhenti. Makin hampir, paluan makin hebat. Saat berselisihan jalan dengannya, aku cuma menunduk. Malu mahu bertentang mata. Wajahnya terlalu indah. Dia memiliki sepasang mata yang amat mempersona. Saat dia melarikkan senyumannya, aku seakan terawangan.

Dialah, gadis idamanku semenjak aku mula injak ke menengah atas.

Dia anak ketua kampung. Gadis yang tak mudah untuk didekati. Sentiasa dikawal selia. Ayahnya tidak sewenang-wenangnya melepaskannya untuk keluar. Dunianya hanyalah sekolah dan rumah.

Namun satu hari itu, ketika aku melalui jalan yang serupa, aku nampak dia duduk di hujung jalan sambil memegang kakinya yang sakit. Wajahnya berkerut-kerut. Dia tidak menyedari kehadiranku. Mulutnya berdecit sambil mengurut-urut buku lalinya.

Aku cuba menegurnya.

"Tadi, aku tidak nampak lubang itu lalu kakiku termasuk ke dalamnya dan kini ia membengkak."

"Kau mahu kalau aku memapahmu pulang ke rumah?"

Dia mengangguk perlahan. Kemudian aku membantunya berdiri. Tanganku memaut pinggangnya sementara dia memaut leherku. Perjalanan ke rumahnya yang biasanya sepuluh minit menjadi tiga puluh minit.

Barulah aku tahu yang namanya Tia. Umur sebaya denganku. Kami tidak banyak berbual kerana dia menahan sakit di kakinya sejak tadi.

Sebaik saja sampai di depan rumahnya, aku membantu dia duduk di kaki tangga. Kemudian aku memanggil-manggil nama ayahnya.  Tidak lama kemudian, ayahnya muncul di muka pintu. Melihat Tia yang terduduk di kaki tangga dia pantas menerpa.

"Kaki Tia terseliuh tadi. Mujur ada dia. Dialah yang membantu Tia berjalan pulang ke rumah."

Tiba-tiba ayahnya memelukku sambil mengucapkan terima kasih. Aku hanya tersenyum senang.

Ketika aku berpaling untuk pergi dari situ, telingaku mendengar sesuatu.

"Boleh tak Tia berkawan dengannya ayah?"

"Boleh. Ayah benarkan."

Waktu itu aku rasakan bagai bulan jatuh ke riba. Bagaikan bulan menyahut panggilan pungguk saban malam. Bahagianya! Kalau aku tahu begini mudah, dari dulu aku membuat lubang jalan yang sama. Tidak perlu menunggu begini lama.

Kalau berkehendak, apa saja pasti akan dilakukan!

KARKAS #239: REBAH DI HUJUNG JALAN

'Lukisan yang sangat cantik dan nampak hidup, biarpun cuma sebatang jalan yang hujungnya ada cahaya, di tengah jalan itu pula ada perempuan terkelempai sayu tanpa seurat benang.'

*******

Saya seorang pengkarya seni. Kebanyakan karya lukisan saya dipamerkan di Galeri Balai Seni Negara. Ramai orang memuji dan mengatakan lukisan saya nampak seakan hidup. Wartawan juga selalu mengajukan soalan yang sama, apakah rahsianya? Saya menjawab rahsia juga.

Saya tinggal di sebuah banglo usang terletak di Bukit Persekutuan. Memang aman, jauh sekali dari kesesakan ibukota. Hanya van Pak Akub sahaja yang sering lalu di hadapan banglo saya. Kalau melihat saya sedang berehat di perkarangan banglo, pasti Pak Akub membunyikan honnya yang suram lagi seram kedengaran.

Pada suatu malam, datang seorang pelacur mengetuk pintu banglo saya. Dia kata dia lari daripada ibu ayamnya. Saya tidak menanyakan sebarang soalan, mungkin dia perlukan perlindungan sementara, menunggu keadaan kembali reda entah bilanya. Katanya mungkin 3 atau 4 hari. Saya hanya diamkan diri, tidak membantah dan membenarkan dia menetap sementara di banglo saya. "Lepas mandi, kita makan malam bersama."

Makan malam sudah saya siapkan, pelacur itu kelihatan segar dan berbau harum, dia memperkenalkan diri sebagai Sherry sambil tersenyum; dengan tubuh genit yang mengiurkan, payudara yang sederhana, putih gebu, mungil, cukup sempurna bagi saya.

Semasa makan, saya perhatikan Sherry asyik memandang kiri kanan. Seperti ada yang mengganggu fikiran dan perasaannya. Resah dan keliru.

"Mengapa? Tidak sedapkah masakkan saya?" saya bertanya.

"Awak ni, pengkarya seni ke? Banyak lukisan dan patung-patung arca manusia di sini dan nampak seakan hidup?" soalan saya tadi tidak dijawab, malah seperti menunggu saya memulakan berbicara.

"Sekadar hobi saja," terlalu segan untuk memberitahu siapa saya sebenarnya.

"Bolehlah lukiskan potret atau arca saya nanti?" permintaan dia kali ini dengan senyuman manis yang diberikan membuat saya yakin, dia cukup sempurna.

"Saya fikirkan kemudian." saya berasa malas untuk berbasa-basi.

Sherry menawarkan dirinya untuk mencuci pinggan mangkuk yang telah digunakan. Saya tidak membantah dan alangkah senangnya jika saya ada isteri. Saya menghampiri Sherry dari belakang dengan perlahan, pada fikiran saya dia seorang pelacur dan dia tidak mungkin marah atau menyesal dengan perbuatan saya nanti. Saya mencapai senduk kayu, dengan sekali hayunan di kepalanya, Sherry pengsan.

Di belakang banglo saya telanjangkan dan menanam Sherry hidup-hidup, cuma kepalanya sahaja yang kelihatan. Tubuhnya pula diikat mengikut struktur liuk tubuh yang saya bayangi untuk karya saya nanti. Kepalanya saya gerudikan hingga menembusi tengkorak, kemudian saya curahkan raksa yang panas pada lubang tengkoraknya. Kerja saya masih belum siap lagi, kena tunggu 4 atau 5 hari dan mengharapkan cuaca panas sepanjang hari.

Selepas 4 hari saya gali kembali, dan dengan mudah saya menarik kulitnya dengan sempurna. Saya perlu kulit Sherry untuk lukisan terbaru saya. Seluruh tubuhnya yang diseluputi raksa sangat sempurna dijadikan patung arca untuk hiasan rumah saya.

*******

Pak Akub memberhentikan vannya di depan rumah saya. Memang selalu saya meminta pertolongan Pak Akub untuk menghantar lukisan saya ke galeri.

"Wah, lukisan baru? Apa tajuknya?"

"Rebah Di Hujung Jalan."

KARKAS #238: RAHSIA DI TALI GANTUNG


Di hadapanku, tali gantung yang aku tunggu-tunggu setelah sekian lama. Aku mengambil satu langkah ke hadapan. Kini tali gantung itu betul-betul dekat dengan mukaku. Mukaku disarung dengan beg hitam. Menutup mukaku dari dilihat oleh orang ramai ketika aku digantung nanti. Semua memori-memori lama mula menyelinap masuk ke ruang kepala. Entah macam mana semua ini boleh berlaku. Aku rindukan ibu. Entah apa yang dibuatnya sekarang. Adakah dia sedang menangis mengenangkanku yang dituduh membunuh seseorang yang aku gelar bapa dan bakal digantung sebentar sahaja lagi? Sudah tentu ibu sedang menyalahkan dirinya. Dia seorang ibu yang baik. Menyayangi anaknya lebih dari menyayangi dirinya. Aku juga sayangkan ibu. Sebab itu aku harus lakukan semua ini dan tali gantung adalah balasan yang harus aku tanggung untuk ibu.

Kalaulah aku boleh berjumpa dengan ibu buat kali terakhir. Aku mahu memegang pipinya dan katakan padanya betapa aku mencintai dirinya. Oh Tuhan, kau jagalah ibu sebaik-baik dia menjagaku. Tali gantung diketatkan kemas di leherku. Terasa sedikit tercekik. Inilah masanya. Lantai yang aku pijak terbuka dan aku terus jatuh. Aku menutup mata menunggu roh dicabut malaikat. Tapi sudah ditakdirkan badanku bertemu lantai. Beg hitam di kepala tercabut. Aku boleh lihat semula. Di leherku masih tersemat tali gantung yang terputus. Serta-merta aku teringatkan Ibu. Aku terus mencari jalan keluar.  Beberapa orang polis cuba menghalangku melarikan diri. Dengan tubuhku yang besar, aku terus merempuh mereka dan terus lari dari situ.

Aku berlari menuju ke rumah. Disebabkan tanganku masih bergari, aku merempuh masuk rumah. Aku menjerit memanggil ibu. Tapi tiada siapa yang menyahut. Aku terus masuk ke dapur mencari kelibat ibu. Ada satu erangan kecil memecah sunyi. Rupanya suara itu milik adik yang sedang duduk di bawah sinki. Adik duduk memeluk tubuh. Matanya merah dan bengkak seperti dia menangis dengan teruk sebelum aku sampai ke sini. "Kenapa adik menangis ni?" Adik hanya diam membisu. Matanya masih memandang ke lantai. Tapi bila aku menanya tentang ibu, adik terus merenung tajam tepat ke mataku. Cuma, dia masih diam.

Aku dengar bunyi siren polis datang dari jauh. Aku perlu cari ibu dengan segera. Biarlah sebelum aku mati, aku mahu cakap dengan ibu bahawa semua ini bukan salah dia. Aku terus naik ke tingkat atas dan menjerit memanggil ibu. Aku merempuh masuk ke dalam bilik ibu. Kini, baru aku tahu kenapa adik nangis sebegitu. Baru aku tahu kenapa tiada sahutan bila aku menjerit memanggil ibu. Ibu tergantung di hadapanku. Mukanya pucat dan tubuhnya kaku tergantung di siling. Ada satu nota di atas meja berdekatan. Aku tidak perlu baca untuk mengetahui isi kandungan nota itu. Tentu ibu menyalahkan dirinya kerana aku mengambil tempatnya di tali gantung.  Kenapa kau perlu menghukum diri kau juga? Bukankah aku sudah kata yang aku akan tanggung semuanya?