Laila murid perempuan tahun enam tercantik di Sekolah
Kebangsaan Chubadak. Rambut Laila kerinting kenyal. Melantun-lantun di bahunya
bila dia berlari. Jika dipanah suria ia bersinar keperangan. Mustafa suka intai
Laila ketika pendidikan jasmani dari balik pokok ara tepi padang. Mustafa
kasmaran inginkan Laila menjadi kekasihnya.
Pada satu pagi yang bersejarah Mustafa menunggu Laila di
bawah pokok ara. Dia sudah merasuah seorang pengawas dengan separuh duit
tabungnya untuk memanggil Laila ke situ. "Apahal??" Laila bertanya bila dia tiba sambil mulutnya mengunyah
keropok lekor. Matanya yang sedikit sepet memandang sipi sahaja kepada Mustafa.
Bagi Mustafa itulah mata paling cantik pernah dia lihat.
"Ini hati saya." Mustafa menyerahkan satu bungkusan kain
putih yang masih berdarah. Hatinya berdebar-debar hingga tapak tangannya
menggeletar. "Sudi tak awak..."
"Tak hingin!" Laila rakus merampas bungkusan putih itu dan
mengeluarkan hati Mustafa yang berdebar-debar itu. Tanpa teragak-agak dia memasukkan
hati Mustafa ke mulutnya dan mengunyahnya bersungguh-sungguh dan menelannya
sebelum berpusing dan meninggalkan Mustafa.
"Perempuan cantik memang kejam. Sebab itu saya dah tiada
hati lagi."
Mustafa bangun dan meninggalkan Jasmin di hujung kantin.
Jasmin mengutip kembali hatinya yang jatuh ditolak lelaki tiada hati.
***
No comments:
Post a Comment