29 Apr 2015

KARKAS #158: HAKIKAT II

Lagu See You Again yang diulang putar berkali-kali dimatikan. Plug wayar speaker jenama Altec Lansing dicabut dari port jack iPhone miliknya. Dinyalakan sebatang rokok sebelum dia duduk bersandar merenung kosong pada meja yang di atasnya terdapat novel yang baru habis dibacanya malam semalam. Dia menolak naskhah novel berkenaan ke tepi. Beg galas yang terletak di kaki kerusi dicapainya sebelum sebuah komputer riba dikeluarkan lalu diletak di atas meja. 

Komputer riba dihidupkan. Disambungkan wifi dari iPhone miliknya sendiri. Hanya tethering yang mampu dilakukan tatkala kos sara hidup semakin meningkat saban tahun. Hendak melanggan modem wifi terlalu mahal baginya. Lagi pula, dirinya telah pun disenarai hitamkan oleh salah satu syarikat telco —Celcom. 

Pantas jari jemari menaip laman sesawang untuk melihat kembali tragedi yang telah meragut nyawa seseorang yang dia kagumi. Segala maklumat tentang insiden berkenaan dicatat pada sekeping kertas. Beberapa minit masa dihabiskan di hadapan komputer riba sebelum dimatikan lalu bersandar sambil menghembus asap rokok ke atas. Sekali lagi jam yang tergantung di hadapannya menjadi tumpuan. 'Boleh ke aku buat ni?' 

Ringo memejamkan mata. Rokok yang hampir habis dihisap diludahnya ke tepi tanpa risau akan bara yang masih berbaki. Kedua belah tangannya memegang erat pada bucu kiri dan kanan meja. Dia menarik nafas panjang sebelum dihembus keluar perlahan-lahan. Genggamannya semakin kuat. Degupan jantung semakin kencang. Meja bergegar menyebabkan novel terjatuh ke lantai. Komputer riba turut bergerak akibat gegaran yang terhasil pada meja. Ya, hanya pada meja gegaran itu berlaku. 

Dalam pejam bebola matanya liar bergerak ke serata arah. Sesaat bertukar dua. Dua menginjak tiga. “Ahhh!” 
—PUUFFF!! 

***

Degupan jantung kembali normal. Ringo membuka mata perlahan-lahan. Pandangannya sedikit berbalam. Di hadapannya terdapat novel bertajuk Punah manakala sebungkus milo ais kosong tergantung elok pada bucu meja. Matanya melirik ke atas melihat jam yang baru menginjak ke dua pagi. Dia menghela nafas lega. Bersama anggukan kecil terlakar segaris senyuman —puas. 

“I knew it! I knew it, I can do it! Let's do it more. Wait for me...Pablo.”

***

KARKAS #157: KHIANAT

"Kanda, alangkah baiknya jika kita segera berangkat."

"Nanti dulu dinda. Kanda mahu memastikan duduk sebenar perkara ini. Mustahil semua ini boleh terjadi. Kanda tak percaya."

Mawar kalih pandangan. Sang Arjuna tertunduk. Titis-titis air mata mula membasahi pipi. Manakan mungkin desa yang dahulunya terkenal makmur dan permai kini huru-hara. Perompak berkuasa. Rumah-rumah banyak yang hangus dibakar. Anak dara menjadi mangsa nafsu, mayat bergelimpangan. Kanak-kanak kecil menangis di tepi jalan. Mujur, mereka tidak dimangsakan. Desa ini tidak lagi tenang. Malah, darurat telahpun sepurnama dulu diisytiharkan. 

Anehnya, langsung tiada bala tentera sultan yang kelihatan. Mana pergi panglima, pendekar dan segala macam pahlawan? Itulah yang menjadi persoalan bagi sisa-sisa rakyat yang masih hidup, bersembunyi jauh ke dalam hutan. 

"Kanda mahu siasat."

"Apa lagi yang mahu disiasat wahai kanda. Bukankah telah jelas kesemua pendekar kita mati di medan tempur?"

"Benar dinda. Namun ada perkara yang menimbulkan keraguan kanda."

"Apakah ia?"

"Bukankah pendekar desa kita ini telah terkenal dengan kepahlawanan mereka? Malah sejak berdekad lamanya tiada musuh yang berani menjejak kaki mereka ke sini. Apatah lagi mahu bertempur dan menewaskan pendekar-pendekar kita?"

"Mudah sahaja kanda. Dek kerana mereka itu hanya gah pada nama, maka mereka cuai untuk terus melatih diri. Nah, sekarang terbukti mereka tidak segagah yang dikhabarkan. Bukan?"

"Jadi apalah ertinya kanda diam di sini jika tanah sendiri tak mampu kanda pertahankan?"

"Maksud kanda? Kanda mahu amuk sendirian? Melawan musuh yang tak tentu lagi bilangannya, begitu?"

"Kanda sebagai ketua 13 pendekar harapan desa takkan berdiam lagi. Jika kanda tahu ini semua akan terjadi, tidaklah kanda merantau ke negeri orang sepurnama nan lalu."

"Jika begitu, kanda bersiaplah!" Serentak dengan itu kepala sang arjuna bergolek-golek di lantai. 
______

"Beta cukup berbangga denganmu Mawar. Tidak sia-sia beta memberi kepercayaan kepadamu. Hahahaha..."

Sultan terus sahaja tertawa sambil meratah gadis muda dan darah rakyat dihadapannya, sementara Mawar pula hanya tersenyum gembira. 

***

KARKAS #156: RUMAH SAKIT

Aku bertugas syif malam pada hari ini. Sebelum-sebelum ini aku memang tidak pernah ditugaskan untuk syif malam. Maklum sajalah aku pun baru beberapa bulan menjawat jawatan di rumah sakit ini. Kalau sudah namanya rumah sakit, pasti saja tidak terlepas dari cerita-cerita misteri nusantara, cerita makhluk ghaib dan cerita ngeri yang lain. Begitu jugalah halnya di sini. Cerita-cerita hantu itu sama bergentayangan dengan hantu-hantunya. Bertebaran ke seluruh ceruk rumah sakit ini. Maklumlah cerita panas seperti ini memang pantas sahaja menjadi sebutan.

Berbalik pada kisah aku. Kerja syif malam sangat menuntut kesabaran yang tinggi. Lebih-lebih lagi saat kau terbayang rakan serumah kau sedang enak dibuai mimpi sedang kau pula hanyut dibuai sakit hati. Manakan tidak, waktu tidur kau diganggu dan kau pula dipaksa melaksanakan tugas. Itulah yang aku rasa sekarang. Berjaga malam di antara pukul 11 malam hingga 7 pagi. Sedangkan aku selalu masuk tidur pukul 10 malam. Tepat dan tidak pernah lewat.Inilah bahana berkerja makan gaji. Bertabahlah.

Aku mulakan tugas rondaan tepat pukul 12 tengah malam. Berjalan menuju ke blok Wad X. Wad yang terletak di hujung dan jauh terpencil di kawasan rumah sakit ini. Pintu wad aku tolak perlahan, melangkah masuk dengan kerisauan. Cerita-cerita hantu mula berlegar satu-persatu di ruang ingatan. Pun begitu, aku cuba tenang. Keadaan dalam wad sedikit kelam. Hanya beberapa lampu utama dihidupkan. Suasana sepi. Cuma deru angin kipas jelas kedengaran.

Aku menutup semula pintu wad setelah melangkah masuk. Awal-awal masuk saja aku telah disapa seorang pesakit wanita. Wajahnya kosong tanpa rupa, berbaju putih dengan rambut yang panjang dan lurus. Aku sedikit terkejut. Sangkaku semua pesakit di sini sedang tidur. Wanita itu tersenyum dan perlahan-lahan hilang di sebalik dinding.

Aku terus saja melangkah jauh ke dalam wad. Masih ramai lagi rupanya pesakit yang belum pun tidur. Di katil no. 1- untuk pesakit kritikal, seorang lelaki tua sedang duduk sambil membelakangiku. Aku cuba mengamati apa yang dilakukannya. Aku melangkah mendekatinya. Perlahan-lahan lelaki itu menoleh, jelas terlihat wajahnya yang berkedut seribu dengan mulut yang berdarah-darah sedang menggigit kaki kirinya sendiri. Aku melihat kakinya pula hampir putus digigit. Aku tersenyum. Perlahan menyapanya;

"Pak cik tak tidur lagi ke?"

Hrrrmmm... Hrrrrmmmmm....

"Oh, tak mengapalah pak cik."

Hhhrrmmmm... Hrrmmmmm....

Hanya dengusan saja yang kedengaran. Pak cik itu menoleh semula membelakangiku dan menyambung meratah kaki kirinya.

Aku meneruskan langkah kaki. Di kiri kananku riuh dengan pelbagai aksi pesakit-pesakit di Wad X. Ada yang berjalan tidak jejak bumi, ada yang tercari-cari kepalanya yang tanggal, ada yang berjalan menembusi dinding. Yang berterbangan dan yang mengilai usah diperkatakan lagi. Bersepah. Aku tersenyum sendiri. Kadang-kadang geli hati melihat telatah pesakit di sini. Kadang-kadang kasihan pun ada. Pun, apa lagi yang mampu aku lakukan selain memberi kata-kata semangat kepada mereka.

Sedang aku meneruskan langkah kaki, aku di halang seorang gadis, bertubuh kecil memakai cermin mata. Dia berdiri betul-betul di depan laluanku. Entah bila dan dari mana dia muncul, tidak pula aku sedari. Dia merenungku, tajam. Dari kedua-dua matanya mengalir darah deras ke pipi cengkungnya. Dia tersenyum. Aku turut senyum.

"Tak tidur lagi ke? Dah lewat malam ni. Tak takut ke?" Aku bertanya.

"Andai bidadari terbang ke hulu, dimudiknya senja melurut ke bahu..."

Gadis itu senyum lagi, terlihat taringnya yang tajam dan sisa darah pada celahnya.

"Saat purnama sembunyi, lagu dendang tak lagi berbunyi... Saat gadis ini menyanyi, alam terhias tak lagi sunyi...."

Gadis itu terlihat keriangan. Tangannya diangkat-angkat seperti sedang menari, lembut. Gerak jari jemarinya terasa seperti angin yang bertiup perlahan, badannya mula melintuk-liuk mengikut irama nyanyiannya. Ringan, terlihat seperti kapas terbang di awangan. Aku semakin asyik.
 Melihat si gadis yang juga pesakit di wad ini- menyanyi dan menari tarian yang agak janggal namun harmoni.

Tiba-tiba gadis itu berhenti menyanyi, lalu menangis teresak-esak. Aku bingung seketika.

"Abang... Saya takut... Tsk... Tsk...."

"Adik takut apa dik? Cuba bagitau abang." Aku meminta kepastian.

"Hantu!!!"

Serta merta gadis itu hilang dari pandangan. Aku sedikit resah. Hantu. Ya, hantu. Subjek yang menjadi topik hangat setiap perkerja di rumah sakit ini, setiap hari. Aku mula gentar. Kulihat sekeliling, satu persatu pesakit tadi mulai lenyap ke alam mimpi. Aku semakin takut, bimbang tidak lagi ditemani pesakit-pesakit seperti tadi. Aku mempercepatkan langkah kaki. Baru kusedar, jam telah beranjak ke pukul 3 pagi. 

Aku tiba di pintu wad, saat ingin kubukakan pintu, aku semakin takut. Wajah dan ketiakku mula dibasahi peluh. Aku tahu, ada hantu di luar sana. Menunggu. Penuh setia pada mangsa yang lemah seperti aku. Aku tahu.

Lalu aku ambil keputusan untuk duduk sahaja di dalam wad ini, di temani pesakit-pesakit yang nyenyak tidur. Biarlah, aku rasa lebih selesa. Lebih berani. Kerana aku tahu aku takkan mampu menghadapi hantu-hantu di luar sana.

***

KARKAS #155: ALASAN

'Rintik hujan gugur bersama rindu, 
Lalu aku tersungkur depan pintu hatimu.'

Fatin meneliti semula surat yang ditulisnya itu. Dia gusar. Masih ragu-ragu untuk memberikan surat yang ditulis ringkas kepada si pencuri hati. Kadang-kadang, Fatin tersenyum sendiri, kadang-kadang pula, dia menangis, memikirkan apakah reaksi jejaka yang dipuja. Namun, surat yang terlipat itu masih dipegang kemas.

'Gegar di bumi jejak terasa, 
Debar di hati tak siapa menyangka.'

Jantung Fatin semakin berdebar. Malah, saat dia berdiri bersebelahan jejaka itu, jantung Fatin seakan mahu melompat keluar dari dada. Apatah lagi saat Fatin melihat jejaka itu tersenyum, hampir-hampir saja Fatin pengsan di situ.

'Kupulangkan semula hati ke tanah, 
Kerna di situlah tempat ia rebah.'

Fatin menangis. Dia berlari-lari anak sambil tangannya menyeka bulir-bulir air mata di pipinya. Sungguh tidak disangka, jejaka itu mengecewakannya.

Masih teriang-iang di telinga Fatin kata-kata jejaka tersebut saat surat bertukar tangan. Fatin benar-benar kecewa. Kalau sekadar menolak dengan alasan 'kita masih muda'  atau 'saya sudah berpunya', Fatin masih boleh terima. Namun alasan yang diberi itu sangat tidak logik. Sampai mati pun alasan itu tetap tidak mampu diterima!

"Maaf, saya datang dari masa depan."

***

KARKAS #154: MIMPI 2

"Man bangun Man... Man mimpi eh.... "

Terdengar olehku suara lembut seorang wanita. Aku perlahan-lahan membuka mata. Terlihat di hadapanku, seorang wanita dalam lingkungan usia 30-an. Dia duduk di kerusi sebelah pemandu kereta. Di kananku, terlihat seorang kanak-kanak perempuan sedang lena.

"Ki...ki...kita kat ma...mana ni...ni...." Aku bersuara. Tergagap-gagap.

"Kita kan nak balik kampung. Man dah lupa ke? Itulah, ibu dah pesan sebelum tidur baca doa dulu. Mesti Man mimpi bukan-bukan lagi ni." Wanita itu bersuara. Dia memalingkan sedikit badannya untuk melihat aku. Aku bingung. Bukankah....

"Panggil doktor cepat! Pesakit dah ada tindak balas."

"Anak mata ada reaksi pada cahaya. Tekanan darah meningkat ke 110/80mmHg..."

Aku membuka mata. Pantas aku menoleh ke kanan dan kiri. Aku berada di satu bilik putih. Terbaring di atas sebuah katil. Aku bingung. Kelihatan beberapa orang gadis berpakaian jururawat di sekelilingku. Tubuhku dicucuk beberapa wayar jernih. Aku bangkit dari pembaringan. Jururawat-jururawat tadi menoleh ke arahku. Mereka tersenyum.

"Awak dah sedar. Baguslah."

"Aku kat mana ni?"

"Awak rehatlah dulu. Keadaan awak masih lemah."kata seorang dari jururawat itu. Dia datang menghampiriku. Di tangannya, ada picagari yang sedia untuk disuntik. Dia tersenyum.

"Masa awak masih belum tiba. Kembalilah ke tempat asal awak..." Dengan lembut, picagari tadi dicucuk ke lenganku. Aku membiarkannya. Perlahan-lahan penglihatanku kabur. Bayangan jururawat yang tersenyum itu semakin lama kelihatan semakin menakutkan, seperti sedang mengejekku.

"Man, lori depan tu Maannn!!!"

Farhan menjerit kuat di sebelahku. Aku tersentak. Aku dengan pantas mengalihkan tumpuan ke hadapan semula. Kelihatan lori besar seberat 5 tan di hadapan sedang meninggikan lampunya. Stering kereta aku putarkan ke kiri dengan kedua-dua tangan, cuba mengelak dari bertembung lori di hadapan kami.

HHOOONNNNNN!!!!!

***

KARKAS #153: RAHSIA

Bukit tinggi belakang sekolah aku daki berlari dengan nafas yang tak teratur, anak mata begitu asik menjeling kebelakang; takut ada yang mengekori aku ke destinasi.

Peluh jantan mengalir keluar, langkah laju tapi berhati-hati. Dalam hati senyum sendiri, puncak makin akan aku tawan.

Sesampai, terus aku campakkan bag galas yang penuh dengan kertas kertas yang telah dibukukan ke dalam belukar tebal dan dengan perlahan pintu pada tanah aku buka; bercahaya.

Wangian bunga cempaka merebakkan baunya. Hati teruja mahu meneroka kawasan baru. Kawasan yang hanya aku tahu.

Sebagai mana perlahan aku bukakan pintu tadinya, perlahan jua aku menapak ke bawah "Hai Chipster, maaf aku lambat dan tak banyak makanan yang aku bawa hari ini"

Chipster menyambut makanan dengan wajah ceria. Cepat-cepat bungkusan dibuka dan disumbat dalam mulut. Lapar sangat barangkali.

Wajahnya aku tatap, bulunya yang hitam memekat panjang aku belai perlahan. Kasihan aku melihat sahabat ku yang asing ini, sampai bila harus aku merahsiakan kewujudannya pada mata dunia.

Chipster aku temui dua minggu lepas, masa itu dia cedera akibat terkena jerat penduduk kampung. Aku rawat dan jaga dia sehingga sembuh.

"Ahmad! Ahmad! Mana kau?? Aku tahu kau dan 'kawan' kau ada di sini! Keluar kau!" Tiba tiba kedengaran suara yang aku kenal; ayah.

Muka aku tiba-tiba jadi pucat, melilau mata mencari jalan untuk menyembunyikan Chipster. "Chipster, dalam bahaya jika ia diketahui umum." Genus aku. Kalau aku boleh jadi halimunan pasti mudah.

***

KARKAS #152: KULTUS PEROKOK TEGAR

Sedari tadi, aku hanya mampu merenung dalam puntung rokok terakhir yang aku janjikan pada diri sendiri beberapa hari lepas. Rokok terakhir daripada kotak terakhir yang aku beli dengan duit terakhir daripada gaji terakhir daripada kerja terakhir aku. Banyak betul terakhir, kan? Tapi nak buat macam mana. Memang yang terakhir.

Sejak aku berhenti daripada kultus itu, aku sudah tak punya sumber untuk sepuntung rokok. Kalau dulu, aku tak pernah ada masalah kesempitan rokok. Di dalam kultus itu, rokok adalah dewa. Rokok itu umpama tuhan kepada setiap ahli. Cakap sahaja rokok apa yang dimahukan, semuanya ada. Dunhill, Winston, Camel. Namakan sahaja. Ada sahaja stok di belakang bar yang dipenuhi pelbagai jenis rokok dan sigar.

Tapi, itulah. Kultus. Mereka mendewakan tiap-tiap puntung yang telah habis dihisap. Diletakkan di dalam balang kaca yang dihias indah, dikumpul hingga penuh ke bibirnya. Setelah penuh, di tanam seperti mayat-jenazah manusia juga, dengan upacara-upacara sendiri. Peh. Seram pun ada juga. Kadangkala aku terfikir. Bagaimana aku boleh terjebak dengan kultus sebegitu.

Tapi, ada juga buruknya aku keluar kultus tersebut. Sekarang, nak mencari rokok sama susahnya dengan mencari teman wanita. Pergi ke kedai, alasan sama diberikan oleh tuan kedai.

"Stok tak ada."
"Harga dah naik."
"Rokok hidup adalah. Nak?"

Haih. Tapi tu lah. Aku tak boleh terus menerus berada di dalam kultus tersebut. Aku bukan sealiran agama 'Rokokiyah' seperti mereka. Simpang 44 malaikat! Mereka-mereka adalah penyembah rokok, dan aku masih waras. Maaf!

Namun, sekali kau menyertai Kultus Perokok Tegar, kau tak boleh keluar. Sekarang, aku terpaksa menyembunyikan diri. Melarikan diri daripada pemburu-pemburu yang telah menghalalkan darah aku untuk dibuat sebagai bahan sembahan Tuhan mereka.

Shh! Aku terdengar sesuatu! Aku kena pergi dahulu. 

Ingat pesan aku. Kalau ada yang datang mengetuk pintu, jangan sesekali dibuka. Bahaya!

Salam malam, orang yang tidak aku kenali.

***

23 Apr 2015

KARKAS #151: KEPAK-KEPAK KEKASIH


Petang itu cuacanya mendamaikan. Aku mengalas punggungku di atas bangku usang. Di hadapanku, terbentang sebuah tasik yang jernih airnya. Paluan angin utara dingin, dan kocak-kocak kecil air tasik, langsung menyerap segala tekanan emosiku. Di seberang tasik, gaya seorang perempuan mimiknya, turut asyik sepertiku; memerhatikan tasik.


Perhatilah pula aku ke tengah-tengah tasik, kelihatannya seperti ada seekor itik. Ah, ya—memang itik. Itik itu berenang-renang riang. Senyum simpul aku kepadanya seolah-olah dibalas ria. Ada pun itik itu rancak kepaknya menguak ke arah aku. Semakin lama, semakin menghampiri tebing.

Aku lantas tersentak diperlihatkan itik itu. Dia mempunyai paruh runcing dan sepasang mata, mirip bekas kekasihku. Dalam ingatanku, setiap inci dan rona roman si binatang itu—masih segar. Bekas kekasihku adalah jenis binatang yang tiada dalam kamus fauna.

Oh, perempuan di seberang tasik tadi, telah tiada. Kini, tinggallah aku seorang diri menemankan itik dan tasik.

"Awak, lamanya awak tengok tasik?" Tidak semena-mena aku disapa dari arah belakang. Aku menoleh. 'Mengapa tiba-tiba dia datang?'

"Hari-hari saya teman tasik ni. Awak... Buat apa kat sini?" Balasku kepada bekas kekasihku yang muncul tak terduga. Dihulurnya sebuah kad undangan perkahwinan berwarna merah hati kepadaku lalu dia berbisik.

"Saya datang nak ajak awak datang resepsi saya, tapi kalau awak masih boleh buka hati untuk terima saya, kita sama-sama lari dari dunia realiti ni." Aku terdiam. Sambungnya lagi.

"Awak....." Dia memegang tanganku. Segera aku tepis cubaannya untuk merapatiku.

Perlahan-lahan kepak di rusuk belakangku tumbuh dan membesar—berwarna putih. Tapak kakiku melebar dan bibir merahku beransur-ansur bertukar menjadi paruh.

Aku terjun ke dalam tasik, menguak-nguakkan kepakku dengan deras. Aku berenang menemani seekor itik di dalam tasik yang sedari tadi riang memandangku. Kami berdua berenang menjauhkan diri dari tebing.

Angin utara yang mendingin itu, mengocakkan permukaan tasik, menghanyutkan kami berdua ke arah laut.

***

p/s: pemurnian oleh pengarang lanjutan garapan idea di DBP kelolaan Saifullizan Yahaya. 

KASRKAS #150: HAKIKAT


Novel betajuk Punah ditutupnya selepas sehari suntuk dia menghabiskan masa membaca tiga ratus muka surat yang sarat dengan imaginasi gila sang penulis. Ringo bersandar pada kerusi memandang kulit keras novel berkenaan. Anak matanya dilarikan ke atas melihat jam yang tergantung —dua pagi. Dia menghirup sedikit milo ais kosong yang tergantung pada paku kecil di tepi meja. Tawar.

Ais yang mencair menitis ke lantai. Walaupun titisan kosong tetap saja ia dihurung semut bagaikan pesta. Ringo kembali menatap buku di hadapannya. Terlintas di fikirannya tentang penulis yang menulis novel tersebut. Bagaimana bisa penulis mampu menggambarkan secara teliti tentang segala kuasa yang ada pada watak ciptaannya? Adakah penulis pernah merasai atau ia hanyalah rekaan yang di dalamnya terkandung kebetulan semata-mata?

Ringo mengeluh kecil sebelum bangkit menyelak jendela di tepi katil. Kelihatan deretan rumah teres dua tingkat kebanyakannya sudah bergelap pada waktu itu. Mungkin hanya dia yang masih berjaga di dalam bilik memerhatikan kawasan kejiranan yang sunyi dimamah malam. Dua tiga minit dia merenung jauh ke luar. Tekaknya dirasakan kering. Halkumnya digaru-garu tanpa sebab.

Kotak rokok yang terletak di atas meja bersebelahan dengan novel yang dibacanya sebentar tadi diperhatikan dengan keinginan yang meninggi. Matanya berkelip beberapa kali memandang jarum saat yang berdetik. Tepat pada saat yang ketiga puluh, dia hilang di telan masa.

PUUFFF!
—Ringo mencapai kotak rokok.

PUUFFF!
—Ringo duduk semula di tepi jendela dengan sebatang rokok siap terbakar terkepil kemas pada bibir.

Langsir berterbangan ditiup dek angin yang terbit mengejut dengan kehadirannya Ringo di tepi jendela. Anak matanya ditebak pada jam yang tergantung. Dia melihat jarum saat yang baru menginjak pada saat ketiga puluh dua. Terlakar senyuman sinis pada bibir. Ringo memandang semula ke luar jendela. Hatinya gundah. Fikirannya celaru.
—'Aku sorang je ke yang ada kuasa dalam dunia ni?'

***

KARKAS #149: DARIPADA JOJO


"Ayah! Sakit ayah! Sakit! Jangan ayah!"

Jerit tubuh kecil menjerit besar. Mungkin salah aku, tapi kewarasan aku sendiri memikirkan balasan yang setimpal atas perbuatan. 'Anak kutip', 'anak haram', 'anak angkat'; semua bermain di dalam kepala kecil ini.

Tidak berbaju, tidak berselipar, masih aku ingat, aku cuma bercelana pendek dengan cetakan gambar Ultraman. Gigih aku larikan kaki yang diberi pengajaran. Sambil mata mengatakan sakit dan hati menginginkan tempat adu.


"Atok yan! Atok yan! Tolong kita atok!!"


Jerit aku yang kecil memanggil insan yang aku anggap 'guardian angel' aku.


"Jojo! Kenapa ni? Meh sini masuk."


Wajahnya yang menyambut aku di muka pintu cukup menenangkan. Tangisan aku berhenti mengilat.

Aku diberi makan, aku dimandikan. Aku ditidurkan dengan suaranya. Setiap saat bersamanya aku ingat, takkan padam.


Cuma sekarang, pada siapa mahu aku jeritkan sakit diri? Pada siapa mahu aku bercerita? Ibu, adik sendiri tidak memahami aku.

Sebiji lagi mutiara gugur dari muka bumi selepas insan yang namanya aku bawa dalam nama aku.


Aku rindu.



***

p/s: Takziah. Al-Fatihah untuk nenda El-Joehan. 

KARKAS #148: POPEYE


Kipas aku matikan. Segala tingkap aku tutup rapat. Aku lihat segenap sudut bilik, memastikan tiada ruang angin untuk masuk.

Lalu aku bersila utuh di atas katil, kotak kecil yang aku sorok di dalam almari, aku gapai. Aku keluarkan satu persatu isi kotak. Lighter, penyedut minuman, putik kapas dan botol kaca. Aku pasangkan tiap satu menjadi 'dapur' hikmat.

Dalam gelap bilik, aku meraba poket seluar, mencari bahan larangan mengandungi kimia berbahaya. Aku sukatkan bahan tersebut dan aku masukkan pada dapur. Api kecil tergantung nyalaan lighter aku nyalakan berhati hati.

Malam itu, aku dalam dunia aku sendiri. Bahan larangan yang banyak aku beli hasil duit PTPTN, aku habiskan seorang diri. Sukatan demi sukatan, nyalaan demi nyalaan, dan makin lama aku makin lemas dalam realiti.

Akhirnya aku mati sementara.

Bangun aku disilaukan cahaya lampu kalimantang yang terang. Terasa sakit di bahagian lubang dubur, dan keliling aku dipenuhi manusia pakainya putih.

Tidak sempat aku bersuara, lantas satu gema menarik perhatian aku.

"Al Joehan, semalam awak pengsan. Kawan bilik awak bawak awak ke hospital. Usus perut teruk koyak. Jadi kami masukkan kamera kecil melalui lubang dubur awak."

Tiada apa yang mahu aku katakan. Aku dirogol kamera hospital kerana dadah. Aku hilang teruna kerana dadah.

***

KARKAS #147: TANGEN 90°


"Baiklah murid-murid, apa yang penting kamu kena ingat, tangen 90° nilainya adalah infiniti manakala tangen 0° nilainya adalah sifar."

"Baik cikgu."

Loceng berbunyi. Murid-murid di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru bergegas mengemas beg, bersiap untuk pulang. Namun tidak bagi aku, yang masih termenung mengenangkan kata-kata cikgu sebentar tadi.

'Cinta kita sama seperti dua garis selari. Selalu beriringan, selalu di sisi.'

Aku tertunduk hiba. Ada semacam sakit yang menyucuk kuat di dada kiri. Menikam berkali-kali. Pedih. Namun aku terpaksa membiarkan saja. Benar, aku tidak mampu berbuat apa.

'Bila garis itu selari, maka selamanya takkan pernah bersilang. Jarak antara mereka kekal sama, sampai bila-bila.'

Beg, aku kemas perlahan-lahan. Lemah. Usai saja, aku bangun lalu menuju ke pintu kelas, dan dalam setiap langkah itu, masih lagi aku memikirkan namanya...

Lalu dia muncul depan pintu.

Dengan senyum manis terukir, dia menegur. Aku senyum--juga; tapi kosong. Tidak semanis senyumannya.

"Kenapa nampak lemah je?"

"Tak ada apa... "

" Cakaplah. Dengan I pun nak berahsia ke?"

Ada nada merajuk di hujung kata-katanya. Aku merenung; jauh ke hadapan.

"Kita adalah garis selari, sentiasa di sisi namun takkan pernah bersilang sampai mati. Infiniti. Kita takkan dapat bersama. Selamanya. Tak mungkin."

"Kenapa?"

"Sebab awak lelaki, saya pun lelaki."

***

KARKAS #146: AMANAH


Usai memandikan mayat, sesi mengafankan mayat bermula. Along menghulurkan kain kafan yang sudah kekuning warnanya dan hampir reput. Semua yang di ruang tamu hairan.

"Amanah ayah." Kata Along ringkas seraya mata berkaca.

Tepat jam empat, ayah selamat dikebumikan. Sayu dan sedih menyelubungi saat kami melangkah meninggalkan ayah di rumah barunya.

"Moga ayah baik-baik saja, jawablah pertanyaan dengan tenang dan tunggu doa dari anak-anak ayah, iya." Itu bisikan terakhir aku pada ayah.

Dalam perjalanan pulang, aku mendapatkan Along untuk bertanyakan tentang kain kafan tadi.
"Itu strategi ayah untuk lepas dari soalan-soalan kubur. Bijakkan ayah kita." Jawab Along sambil tersengih dan aku terpinga-pinga.


***

KARKAS #145: CELIK


Aku hairan melihat buku nota anak perempuanku yang baru memasuki darjah dua. Hanya garis lurus yang dilukisnya. Aku pun bertanya,

"Adik. Kenapa tak tulis apa yang cikgu tulis di depan? Kenapa buat garis je ni?"

"Tapi cikgu memang buat garis banyak-banyak je kat depan. Adik ikut la."

"Eh? Adik duduk belakang ke? Tak nampak eh?"

"Tak la. Adik duduk depan sekali."

Selepas mendengar jawapan anak aku itu, aku membuat keputusan untuk berjumpa dengan cikgu tersebut keesokan harinya. Aku menanyakan mengapa dia hanya melukis garisan di hadapan. Akan tetapi, dia mengatakan dia tidak melukis sebegitu. Malah, buku pelajar lain juga cantik tertulis nota-nota seperti yang sepatutnya.

"Adik. Adik tak nampak eh apa yang cikgu tulis di depan?" Aku menyoal anakku.

"Nampak. Cikgu lukis garis garis." Jawab anakku. Senyuman jelas di mukanya. Seakan dia yakin dengan jawapannya.

Aku terus membawa anak aku ke kedai cermin mata. Aku tahu anak aku sebenarnya tidak dapat melihat dengan jelas. Pekerja kedai tersebut mengatakan anak aku memang rabun. Malah, rabunnya agak teruk juga.

Selang seminggu, cermin mata anak aku siap dan ayat yang keluar dari mulut anak aku membuat aku sedar bahawa aku buta selama ini. Celik tapi buta.

"Waahh. Lawanya dunia. Cantiknya mama." Kata anak aku sambil memegang pipiku.


***

KARKAS #144: LALI, GITAR & POLAROID


LALI


Aku sudah lama mati. Setelah dilibas berkali-kali oleh lidah bercemeti. Sudah kebas mahu berdiri. Belum bebas mahu berlari.



GITAR


Joned mengusap lembut lekuk-lekuk tubuh kekasihnya yang sedang menanti di birai katil setelah kurang lebih sebulan mereka tidak bertemu.



''Mak, terima kasih sebab tak biarkan gitar Joned ni berhabuk.''



 POLAROID


Aku mahu gambar polaroidmu mengusut segenap abdomen kamar supaya dapat dipenuhi dengan senyumanmu juga garis-garis kecil di bucu mata kecilmu atau gambar bersahaja; sedang bercumbu bersama nikotin dengan tulisan ''separa roman kamu telah mencuri pandang dan senyumku.''


***

KARKAS #143: ULTRAMAN AKHIRNYA TEWAS

Nyalaan saganya berkelip-kelip, melemahkan tempurung lutut sambil berdiri tempang di depan Raksasa Ketam.

Hati Ultraman Tora cuma mengidamkan teman seperjuangnya hadir, Ultraman Siput yang telah lama hilang untuk mempertahankan negara Ikan.

Selain telah memusnahkan tukun-tukun Ikan Talapia, Sembilang dan Patin, Raksasa Ketam menepuk-nepuk perutnya bersaksikan Ultraman Tora yang tak henti-henti bersyahadah, menahan lapar.

Namun Ultraman Tora tetap mengerahkan kuasanya hingga ke penghujung walaupun perutnya berbunyi lagu deathmetal, dia lantas bangun dan mula bertafakur, mengumpulkan Cakura Musang Durjana.

PIUUUUU!!! PIUUUUUU!!

"Ambik kau Ketam Batu cilaka! Rasakan Cakura Musang Durjana!" 

Jerit Ultraman Tora selepas selesai bertafakur sambil mengunyah-nguyah Jamu Mak Dara.

Raksasa Ketam mengelak dengan jurus Orang Minyak Tanah, mula menyerang Ultraman Tora yang semakin lemah dengan jurus Poseidon Langit tepat ke arah punggung Ultraman Tora yang terdahulu cedera akibat digigit Raksasa Ketam di awal pertarungan.

"Aduhhhhhh! Tak aci lah sodok bontot! Makkk... Tora sakittttt...."

Ketawa besar Raksasa Ketam sambil melihat Ultraman menangis teresak-esak terlompat-lompat memegang punggungnya itu.

PELEPAPP!!! 

Melekap satu pelempang deras ke muka Padhil dengan tidak semena-mena; dan kedengaran suara ibunya, "Kau dengan adik pun tak boleh mengalah sikit pun kan?"

Pojan keriangan melihat 'Raksaksa Ketam' ditampar penghulu segala alam, sambil lidah dijelirkan dan pelbagai bunyi dikeluarkan. 

"Wekk... Hahaha! Boooo... Hahahaha!"

Tamatlah riwayat kedua Ultraman Tora dan Raksaksa Ketam pada hari ini, mungkin esok, mereka akan menggegarkan bumi sekali lagi.

Ibu memimpin tangan Pojan yang berbaju Ultraman Tora meninggalkan dapur; sambil abangnya, Padhil, masih menahan amarah melihat mangkuk Coco Crunch yang telah licin di atas meja.

***

KARKAS #142: PUTERI KEJORA

Muncullah puteri berkepak yang hanya akan keluar pada malam bulan mengambang.

Saat itu aku mengerti, endapan aku padanya haruslah dijelmakan menjadi aktiviti intaian malam yang berterusan.

Malam ini aku sudah tidak boleh bertahan lagi. Kami harus bersapa. Aku tahu dia sedar akan kehadiran ku.


Hingga suatu hari, tepatnya di hari yang ketiga puluh dua aku menyorok-intai, tibalah masa aku menyapanya—menyembunyikan sisik-sisik di lenganku dengan berbaju lengan panjang.

Sebaik aku dengar ranting patah, petanda jasad ditunggu sudah tiba aku segera keluar dari persembunyianku dan kudapati dia....tiada. Ada bunyi debur air dan ketawa kecil. "Kau lewat", katanya.

Aku keliru. Suara siapa yang membisik. Ah! Persetankan penyamaran! Aku melompat dan terjun ke dalam tasik, sisikku membelah air, menyusup di bawah riak menghampirinya yang sedang didakap erat jasad tidak bermuka.


Si jasad menoleh, menampakkan wajahnya yang kosong--putih, serentak itu juga kakiku ditarik lebih maju ke dalam air.

🙈
Tiba masanya aku menyelamatkan puteri berkepak terus menuju ke bintang Kejora. Keharmonian bahagia kami tidak kesampaian ke penghujungnya setelah mendapati di bintang Kejora, tiada sekelumit air pun, lalu...


Aku terbang semula ke bumi, memandikan sisik-sisikku untuk ia kekal bernafas. 

***

KARKAS #141: MANGSA PEMANGSA


Kilat semakin galak menyambar kaki langit. Hujan menempur singgah menyengit di atas bumbung hentian bas, tempat aku berteduh. Gadis berbaju kurung putih di hujung sana menggigil kesejukan. Hanya kami berdua berteduh di sini.


"Mahu cikedis?"  Aku meramahkan diri menegur gadis itu sambil menghulurkan bungkusan makanan ringan yang kebetulan kubawa dalam beg sandang.



"Maaf, saya tak makan cikedis." Jawapan dia lembut tapi matanya merenung aku seperi harimau lapar.



"Eleh. Sombong. Tak nak sudah. Blahlah. Mentang-mentang cun. Perasan." Aku baru patah hati dan aku sudah tidak meyakini perempuan lagi.



Aku merenung jauh ke dalam hujan, rintik-rintik air itu semakin galak menimpa bumi. Sesekali kukalihkan pandangan pada jam di tangan, masih terlalu awal.Tiba-tiba aku terasa ada sapaan lembut di bahuku. Sejuk ke tulang sum-sum. Aku berpaling. Kata si gadis berbaju kurung putih di belakangku, "Saya tak nak makan cikedis tapi saya nak makan awak!"



"La, kenapa tak cakap awal-awal." Aku yang mulanya terkejut perlahan-lahan mengukir senyuman; menampakkan taring.



Hujan pula, semakin lebat.

***

KARKAS #140: GAGAL

Sunyi. Bunyi kipas berpusing mampu aku dengar dengan peka. Kertas di hadapan muka lencun dek peluh yang berjurai.

Aku hairan, ke mana perginya semua yang aku rancangkan sedari aku memulakan langkah mengejar perkara ini, yang secara harfiahnya tidak aku yakin akan berjaya.

Jarum saat bagai kilat bergerak walhal ia bergerak dalam detik perlahan dan suara garau bagai Azazil mula berkata, "Masa menjawab tinggal 30 minit sahaja lagi."


Aku semakin kaget, bilamana peluh dingin mula memercik di dahi, sambil benak mula ligat memikirkan jawapan kepada soalan-soalan yang tidak punya signifikasi kepada aku yang ketika itu buntu.

Belakang pensel aku gigit kuat, sesekali ada juga aku jelingkan anak mata pada meja sebelah yang khusyuk menulis semacam sebentar lagi akan kiamat.

Aku hairan, apa bezanya aku dan mereka? Hinggakan aku tenang seperti ozon sebelum ribut; diam, tetapi pada masa yang sama bakal membawa kemusnahan besar-- kepada diri sendiri.

Ah! Aku makin gabra dan dengan fikiran yang bercelaru, aku tamatkan menjawab dengan ayat biasanya anak darjah dua sahaja yang melakukannya, sedang aku di tingkatan lima, "Assalamualaikum cikgu, saya anak yatim cikgu, tolong saya ya, Allah sendiri mengarahkan hamba-Nya menolong satu sama lain."


***