23 Nov 2015
KARKAS #230: GELABAH
20 Nov 2015
KARKAS #226: GAYDER JATUH CINTA
Rony menyinsing baju Melayu sehingga ke pergelangan tangan. Api dinyalakan untuk membakar rokok yang bernilai RM17. Matanya meliar mencari mangsa yang seterusnya. Dia sanggup, demi menyahut cabaran rakan sekumpulan.
--------------
"Hello sayang, you kat mana ?" Kedengaran suara lunak perempuan yang dipancing sebulan yang lepas.
"Dengan kawan ni, i'll text you back, once i reach home." Talian dimatikan. Remy menjungkitkan bahu, tanda ingin tahu. Rony membalas dengan gelengan. Malas mahu melayan kembarnya. Espresso yang sudah lama sejuk, diteguk pantas.
"Settlekan Syasya tu cepat doh, sampai bila kau nak macam ni?" Remy menegur kembarnya, tegas.
"Aku tengah usaha lah ni, kau sabar boleh tak?" Suara dinaikkan satu oktaf.
"Mangsa kau yang sebelum ni, kau cekau cepat je, apasal kali ni susah sangat ?"
"Aku suka dia lah !" Akui Rony
"Bullshit ! Sejak bila kau suka perempuan ni ?" Bentak Remy geram. Azan maghrib berkumandang selepas mereka beredar dari kafe kopi Yahudi.
---------
Rony selalu mengurung diri di dalam bilik selepas tamat waktu kuliah. Hal ini membuatkan abang kembarnya risau. Sudah lama dia tidak merasa nikmat bersenggama. Seringkali dia ternampak adiknya tersenyum sendirian sambil menghadap telefon bimbit permberian Syasya. 'Aku kena selamatkan dia, buat cemarkan grup 'GAYDER' je, kalau dia betul jatuh hati ke Syasya' getusnya.
-----
"Kita putus." Rony melontarkan suara sejurus selepas mereka mengambil tempat masing - masing.
"You, dah jatuh cinta dengan i?" Syasya menduga. Dia cuba untuk berlagak cool dan rileks. Rony mengalihkan pandangannya ke arah pengunjung yang gemar melepak di kafe kopi Yahudi sehingga larut malam.
"You, dah tak boleh hidup tanpa i eh, haa?" Syasya mengusik lagi dengan nada sindiran di hujungnya.
"Jangan merepeklah, i rasa kita dah tak sehaluan." Terang Rony tangannya digenggam kemas di bawah meja. Terketar macam terkena penyakit parkinson.
"You jangan ingat i bodoh lah, i tahu semua rancangan bangang you ni dengan team gayder you tu" Rony menelan liur. Tekaannya tepat. Syasya seorang yang licik dan misteri.
Rony bangun seraya mahu beredar, sepantas kilat Syasya merentap lengan Rony, membuatkam telefon bimbit yang dipegang terjatuh ke dalam cawan espresso milik Rony.
"Fuck it ! Iphone 6 plus aku lah gila!" Bentak Rony dengan kuat, serentak itu, satu tamparan hebat singgah di pipi Syasya.
---------
Pancaran sang mentari sudah mencucuk mata, Rony tersedar dari lenanya yang panjang. Dia mengalihkan pandangan ke sebelah, kelihatan Remy terbaring kepenatan setelah melangsaikan bil- bil air yang tertunggak. Rony tersenyum puas, kini hidupnya kembali normal selepas mangsanya yang ke - 200 dihapuskan pada malam terakhir mereka berjumpa.
KARKAS #225: HUBUNGAN KELAMIN TERAKHIR DI DALAM DUNIA
Kita berdua bersumpah-setia untuk mencintai satu sama lain. Tapi, kau sendiri gemar meniduri jasad lain, sama sepertiku jua. Tidak mengapa; kita sudah pasti menumpahkan syahwat bersama-sama tanpa mengira tahap kesetiaan kita setara mana, walaupun kau jauh di seberang samudera. Apa yang telah diwar-warkan kepadamu tentang enaknya hubungan kelamin, itu dusta belaka. Kononnya, menjamin perkembangan manusia dan ketamadunan. Itu tidak benar. Sudah pasti kau tidak pernah ketahuan bahawa ada sanggama yang membawa kepada lupusnya nyawa-nyawa mereka yang sedang berahi. Kau hanya perlu menunggu kisah gelap itu tiba mendakapmu.
Pada asalnya, kisah gelap ini telah menimpa wilayahku, terjadi ke atas bekas kekasihku. Perihal ini berlaku di sebuah rumah agam di tengah-tengah kota. Rumah agam ini dipunyai oleh pembesar-pembesar dan orang-orang kaya negeri. Rumah ini hanya meriah pada waktu malam. Ketika lampu pertama dinyalakan, maka berbondong-bondonglah wanita menyergah masuk ke dalamnya. Isteri-isteri orang, anak-anak dara, dan wanita lanjut usia. Habuan wang diberikan kepada mereka, sangat sedikit. Kesempitan hidup, memaksa mereka untuk berdagang. Barang dagangan mereka hanya tubuh. Tubuh yang dijual untuk tempoh satu malam.
Khabarnya ada seorang gadis yang digila-gilakan oleh semua pembesar. Namanya Loci. Loci mempunyai dada berlurah nipis. Lengkung gebu pinggulnya menewaskan sabut kelapa. Lesung pipitnya seakan ingin bersambung ke telinga. Kulitnya putih, sebersih mayat. Gadis ini dipaksa hadir atas desakan keluarga. Belum sempat Loci didagangkan pada malam itu, dia telah diculik oleh Aram, pembesar wilayah timur. Aram mengurungnya di kandang kuda di belakang rumah agam. Bertubuh lampai mencecah setengah jengkal dari palang pintu, dengan kumis rapi dan jambang yang didandan teliti, Aram mampu menggoyah setia sebarang wanita pertiwi. Pada mulanya, Loci begitu asyik. Permainan cinta ini difikirkannya adalah jalan singkat ke syurga, rupa-rupanya jambatan terhampir ke neraka. Loci, ditambat selayaknya mirip seekor kuda sebagai hamba abdi kelamin Aram.
"Izinkan aku mengucupmu, sayang." Sebelah tangannya menggarit dada Loci dan sebelah lagi terkocoh-kacah mengepal di dalam celana.
"Lepaskan aku, iblis! Tolong!!! Perogol!!!" Jeritan Loci tidak ubah sama kuatnya dengan nafsu Aram. Aram menggembleng keringat dan Loci semakin longlai. Serpihan relau pedati ditonyoh ke semua rongga terbuka di tubuh Loci. Loci disentak seraya melutut-sujud.
"Eh, mulanya dulu kau suka. Mengapa tidak sekarang?" Aram memulakan lagak binatang mengawan—membidik sabut kelapa gebu Loci. Jeritan Loci, hanya menepu ke udara.
Keluarga Loci diselesaikan oleh Aram dengan peledak. Loci pula dikurung bertelanjang di dalam kamar kecil. Kamar itu dipenuhi darah-darah kuda yang pernah melahirkan anak dan tikus-tikus yang membusuk sebagai teman. Tiada seekor kuda pun yang tinggal, kesemuanya sudah mati kerana tertular hawar dek tikus-tikus di situ.
Loci seperti sebuah patung kelamin. Kakinya dirantai. Lidahnya dikerat. Sudah tiga purnama dia dijamu syahwat Aram. Dadanya menggelebeh, pinggulnya bertompokan darah. Kelangkangnya hanyir. Menjelang malam ini, Loci mahu langsaikan segalanya dengan Aram.
Loci menangkap seekor tikus liar. Dia menggit-gigit belakang badan tikus, hidup-hidup. Lalu disentil perut, jantung, dan lidah tikus itu. Dimamahnya dengan begitu tenang, setenang otaknya memikirkan Aram bakal tidur tidak terjaga-jaga. Mamahan itu tidak memualkan, kerana deria rasanya telah pun pupus. Lendir-lendir bulu, lidah dan kelenjar kencing tikus kemudian diperah-perah masuk ke dalam mulutnya. Kemam—sambil menunggu Aram.
Aram masuk ke kamar. Seperti lazimnya, sebagai pembuka selera, dia akan menjamu bibir Loci sekedapnya terdahulu. Ya! Itu saat yang ditagih Loci! Loci lalu memuntahkan ribut bendalir yang dikemamnya ke dalam mulut Aram ibarat hujan lebat yang rakus ditakung. Hujan perahan sisa-sisa tikus tadi terus diluakkan masuk ke tenggorokan Aram. Dipicitnya lubang nafas Aram, agar hujan itu ditelan-licin. Setelah semalaman menghabiskan pusingan-pusingan penodaan; telinga dan hidung Loci tersembur darah. Dia terkulai hilang daya melawan, membiarkan sahaja tikus-tikus berkeliaran mengunggis liang-liang di mukanya.
Aram, matanya merah, nafasnya resah. Dia berlari terhuyung-hayang kelesuan, lantas terlelap di pondok anjing, betul-betul berhadapan rumah agam. Anjing itu pun bangkit— kehausan, serentak menghirup bekas airnya yang telah penuh dengan muntahan dari tenggorokan Aram. Kepala Aram mengeras, matanya terjegil tidak berkedip lagi.
Keesokannya, anjing itu memanja-manjakan diri bersama pembesar-pembesar lain. Habis dijilat manusia-manusia di dalam rumah agam itu. Air liurnya bertetesan ke sini-sana. Menjelang malam, proses perdagangan tubuh wanita pun berlaku. Pembesar-pembesar yang dijilat anjing tadi terus memulakan selera syahwat bersama wanita dagangan dengan upacara tusuk-menusuk lidah ke lidah— hingga selesai.
Kemudian, wanita-wanita itu pulang ke rumah masing-masing lalu bersanggama dengan para kekasih dan suami mereka. Apabila hari meninggi, kekasih-kekasih dan suami mereka pula pergi menagih cinta di rumah-rumah urut-kelamin. Tukang urut di situ selanjutnya pulang ke rumah-rumah kecil di tepian sawah dan ladang ternakan untuk bermadu-mesra dalam dakapan suami masing-masing. Seterusnya, barangan pukal dari ladang ternakan akan dipikul suami mereka membanting ke atas kapal di pelabuhan; lalu laki-laki itu semua diberikan upah untuk menghabiskan sisa senja— membaham dayang-dayang milik nakhoda kapal.
Sesiapa yang bersetubuh sedari itu, tidak kelihatan muncul di mana-mana lagi. Baik di rumah agam, di ladang, meskipun di desa-desa. Negeri ini semakin sunyi dan tengik. Yang hanya semakin giat membiak, adalah tikus.
Itu yang berlaku di wilayah tempat tinggalku. Sekarang, desas-desus membingar, bahawa hawar itu sedang menular menyeberangi benua. Kau usah risau berlebihan, sayang. Kau hanya perlu tenang menantiku. Aku nekad untuk pergi menemuimu, dan meninggalkan wilayah ini selamanya. Berahi kita akan bertaut gaya Loci, Aram dan yang lainnya. Akan aku gigit bibirmu dan muntahkan hujan ke tenggorokanmu. Kerana aku pasti yang kau juga gusar. Takut-takut hubungan kelamin kita berdua yang pertama kelak, hubungan kelamin yang terakhir di dalam dunia.
***
19 Nov 2015
KARKAS #224: KARMA KASIH SAYANG
Lembut angin meniup helaian rambut Sara hingga menutupi separuh daripada rautnya yang putih mulus. Bibirnya nipis merah jambu. Alur badannya mampu menderaikan rusuk rusuk para budiman. Hari ini dia berbaju kurung kain kapas berona pastel. Anggun.
''Sara, jom lepak library! Aku nak cari bahan assignment Dr. Wan sikit ni.'' pelawa Liyana sambil menunaikan janjinya dengan Farok yang telah lama memendam cinta terhadap Sara.
Dalam ramai-ramai lelaki yang rebutkan Sara, Liyana tidak tahu kenapa dia merasa ringan tulang ingin membantu Farok mendapatkan cintanya. Bukan tidak pernah lelaki-lelaki lain meminta pertolongannya, cuma dia tidak mahu mencampuri urusan jual beli hati orang lain. Kali ini, dia tidak mampu untuk berkata tidak kepada Farok.
''Malaslah. Aku penat. Nak balik bilik, tidur.'' rungut Sara yang tidak tahu menahu tentang agenda Liyana.
''Jomlah weyy. Aku malaslah nak tangguh-tangguh kerja. Siap cepat, rilek cepat.'' Liyana cuba memancing Sara.
''Ye lah. Ye lah. Jom.'' Sara setuju memandangkan dia memang seorang yang tidak suka melengah-lengahkan sesuatu kerja.
Sepuluh minit kemudian, Farok tiba di meja mereka dan duduk berhadapan Sara. Liyana berpura-pura bangun untuk mencari bahan ilmiah lain di rak yang berada sedikit jauh dari mereka.
Farok menundukkan sedikit kepalanya kepada Liyana tanda terima kasih di atas ruang dan peluang yang diberikan. Sara kelihatan terpinga-pinga memandang Farok.
*****
''Sara! Sara! Nak ke kafe ke tu?'' laung Farok dari jauh.
''Ye la. Lapar kot malam-malam hujan gini.'' jawab Sara sebaik sahaja Farok berada di sisinya.
''Jom! Farok belanja. Sara cakap je Sara nak apa.''
''Sara nak... Farok jangan kacau Sara lagi boleh? Sara rimaslah.''
Farok kelu. Langsung dia berhenti berjalan beriringan dengan Sara. Sara meninggalkan Farok dan terus sahaja berjalan menuju ke kafe. Kemudian, dia memilih menu makanan yang mampu merangsang nafsu laparnya. Sedang matanya liar melihat menu makanan, Farok menghampirinya.
''Nah! Mee goreng basah tak de sayur.'' hulur Farok. Dia tahu Sara tidak gemarkan sayuran.
''Eh! Sara dah order dah lah.'' Sara menolak untuk menerima walaupun sebenarnya dia belum membuat sebarang tempahan menu.
''Makan kenyang-kenyang tau!'' Farok berlalu meninggalkan bungkusan mee goreng di atas meja bersebelahan Sara.
8 gelas air hujan sehari cukup untuk melegakan tenggorokannya. Farok mengacau campuran kahak dan air liurnya ke dalam bekas-bekas kecil dan disejukkan di dalam peti ais agar tidak tercemar. Dia dapat merasakan bahawa Sara akan menjadi miliknya tidak lama lagi.
''Rasakan kau, Sara!'' bisik Farok sambil mengulang ingatannya semasa menuang campuran kahak dan menggaulkannya dengan sudu plastik ke dalam mee goreng basah untuk diberikan kepada Sara sebentar tadi.
Sara mengeluh kecil sambil membawa bungkusan rezeki tersebut pulang ke biliknya. Sesampai sahaja di bilik, dia menghulurkan bungkusan mee goreng itu kepada Liyana, rakan sebilikya sambil mahu menyiapkan makan malamnya, maggi asam laksa.
''Ra, asal kau beli tapi kau bagi aku pulak? Tadi kemain merungut laparlah apa lah. Ni, dah beli-beli redah hujan...'' bebel Liyana.
''Yana, sebenarnya kau nak ke tak mee goreng tu?'' sampuk Sara sebelum Liyana menghabiskan bebelannya.
''Nak.''
''Kalau nak, diam. Makan kenyang-kenyang, okay?''
''Okay. Siapa belan...'' belum pun dia habis menyoal, Sara sudah menjelingnya.
''Nak ke tak nak mee goreng tu?'' ugut Sara.
''Okay.'' balas Liyana langsung diam sambil menikmati rezekinya.
*****
Hari demi hari, Sara mulai jatuh hati dengan segala usaha Farok untuk memikatnya sehingga membawa mereka ke jinjang pelamin.
''Bang, semoga kita bahagia sampai syurga ya?'' Sara menuang bancuhan kahaknya ke dalam gulai kari kepala ikan kegemaran Farok.
Farok berselera menikmati hidangan yang disediakan oleh isteri kesayangannya itu sehingga pinggan yang kelima.
*****
KARKAS #223: WARKAH SANG MANTAN
"Kalau memang cinta tak lagi wujud dalam hatimu, dan kalau memang kau memang mahu aku segera pergi, tak mengapa. Aku kini sedar siapa aku dalam hatimu. Seorang perempuan yang bodoh dan terlalu mengejar cintamu. Aku ini perempuan yang kau pijak hatinya berkali-kali dan tetap aku berdiri teguh di sisimu. Tak apa. Aku pergi. Dan kali ini pergi aku takkan pernah kembali lagi untukmu. Selamat tinggal, Malik."
Surat itu saya lipat lalu saya masukkan ke dalam sampul berwarna biru. Warna kegemaran dia. Di atas sampul itu telah saya tulis siap-siap alamat rumahnya. Surat yang hanya mengandungi beberapa baris ayat tetapi itulah isi hati saya. Bukan tidak boleh saya menghubunginya di sana, Tltetapi saya tidak punya kekuatan.
Seperti semalam rasanya dia mengatakan cintanya kepada saya. Berjanji setia. Janji apa saja halangan dan cubaan, dia berusaha untuk menang. Dan saya inilah pingatnya. Dan hari ini saya ditinggalkan sendiri. Mengenang kembali cinta kami. Mengumpul semula perca mimpi yang diracik tanpa ihsannya.
Segalanya bermula hampir dua bulan yang lalu. Ketika sedang saya duduk di anjung rumah sambil membaca buku, seorang gadis manis datang menegur. Tidak saya perasan kehadirannya.
Wajahnya manis sekali tetapi terlihat kesedihan di matanya. Lalu saya mempelawanya masuk dan menjemputnya di kerusi yang dipisahkan oleh sebuah meja kopi.
"Siapa namamu dan apa tujuanmu datang ke rumahku?"tanya saya. Jika tidak ada hal yang mustahak, tak mungkin dia ada di sini.
Dia tersenyum. Memperlihatkan lesung pipit di pipi kirinya.
"Saya Fatimah. Saya tunangnya Malik."
"Tunang?"
Fatimah mengangguk. Waktu itu saya terasa seolah hati saya dihiris-hiris. Empangan di tubir mata saya ini, bila-bila masa saja boleh pecah.
"Sejak bila? Malik tidak ada memberitahu saya apa-apa. Menyebut namamu juga tidak pernah? Bagaimana kalian boleh bertunang?"tanya saya bertalu-talu.
Fatimah mengeluarkan sepucuk surat lalu dihulurkan kepada saya. Saya ambil dan kemudian saya selitkan di dalam buku tadi.
"Nanti saya baca. Fatimah pulanglah dulu."
"Kakak bacalah surat itu nanti. Segalanya ada Malik terangkan di dalamnya."
Dia bangun berdiri. Tangannya dihulur. Lambat-lambat saya menyambut. Kepergian dia saya hantar dengan linang air mata.
Buku di atas meja saya capai lalu saya menuju ke kamar saya. Kemudian buku itu saya letakkan di atas meja kecil bersebelahan katil dan surat tadi saya ambil.
Sampulnya yang berwarna merah, sana seperti darah yang terhasil daripada kelukaan di hati saya. Saya koyak sampulnya dan surat itu saya keluarkan. Melihatkan tulisan tangan Malik, meyakinkan saya bahawa surat ini sememangnya daripadanya.
"Menemuimu Khadijah. Aku bukanlah lelaki yang hebat. Yang berani berhadapan dengan masalah yabg diciptanya sendiri. Maka biarlah surat ini menjadi pengganti diriku. Maafkan aku di atas perkhabaran yang dibawa oleh Fatimah. Dia tunanganku sejak empat bulan yang lalu dan jika diizin Tuhan, pernikahan kami akan berlangsung pada bulan hadapan. Pertunangan ini sememangnya atas kehendak kami. Kehendakku terutamanya. Cintaku pada Fatimah berputik sewaktu aku menjagamu ketika kau sakit di hospital. Dia jururawat di situ. Maafkan aku Khadijah. Aku tidak mampu menafikan rasa yang mula tumbuh di hatiku ini. Maafkan aku Khadijah. Kumohon kau lupakanlah segala tentang kita. Sekiranya kau mahu aku ini dianggap sudah mati, aku faham. Kudoakan kebahagiaanmu. Yang benar,MALIK."
Sejak dari hari itu, setiap hari saya menangis berterusan. Saya mengadu pada Tuhan. Tangis menghujani dari wajah hingga ke tenggorokkan. Membuat saya lemas dengan tangis saya sendiri.
Saya tidak tahu apa kesudahan cinta saya. Saya bukanlah seorang peramal. Cuma jika masih ada cinta Tuhan kepada saya, sudilah kiranya menghadirkan seorang lelaki yang tulusnya dia hanya mencintai saya seorang. Agar hujan ditenggorok saya ini pergi diganti dengan cerahnya hari.
Matahari itu walau panasnya menyengat, hadirnya tetap membawa rahmat.
KARKAS #222: KEMATIAN YANG TIDAK DISAMBUT
Dia berlari tanpa arah tuju. Dari satu lorong ke satu lorong, dari satu kota ke satu kampung. Meredah segala semak, longkang, sungai mahupun bendang. Ketakutan, wajahnya pucat memutih. Dia akhirnya menyusup bersembunyi di sebuah gubuk yang hampir runtuh. Menggigil keseorangan, dia memeluk tubuh.
Semalam polis mencarinya, merata-rata. Cerita mereka, dia terlibat dalam kes pembunuhan seorang gadis desa. Mayat itu ditemui tanpa kepala. Dia gusar sendiri saat mengetahui, cerita yang tersembunyi kini menjadi topik hangat bicara pagi. Perasaan tidak tenteram merajai hati. Tanpa lengah, segera dia melarikan diri ke luar kota.
Namun polis pantas menghidu tindak tanduknya. Jejak kehilangannya tidak sukar dikesan. Hanya diperuntukkan beberapa waktu, sebelum dinihari tempat persembunyiannya dibongkar. Dia terkedu. Masih dia mahu meloloskan diri sebelum polis tiba, namun jalan yang ada seakan tidak mengundangnya. Tertutup segala kemungkinan untuk lari, hanya satu cara yang pasti. Pisau yang di jumpai di gubuk itu, digenggam erat penuh nekad. Bunuh diri!
*****
Dia tersedar. Pandangannya kabur. Matanya melilau cuba mencari kepastian, apakah ini syurga atau neraka?
Beberapa saat kemudian kedegaran siren polis menghampiri. Ada suara memberi amaran, menyerah atau dilawan.
Dia pasti bahawa dia belum mati. Mungkin dengan mengelar tangan kiri tidak cukup membunuhnya. Dia cuba cara lain. Kali ini, nekad menikam pisau di leher. Tenggorokannya dihujani darah. Dia pasti, sebelum segalanya sunyi kembali.
*****
Akhirnya dia akur. Dia tak mampu lari ke mana-mana. Entah bagaimana, saat sedarnya dia sudah digari dan diheret ke kereta polis. Tiada tanda-tanda dia melawan. Diperiksa lehernya sendiri, tiada darah mahupun luka pada pantulan wajahnya di cermin kereta polis. Persoalan demi persoalan terus mengasak minda. Kenapa dia masih tidak mati?
****
"Apa benar kamu nekad mahukan ilmu ini?"
"Benar tok. Aku nekad. Biar apa juga pantang larang mahupun cabaran akanku kuat menghadapinya."
"Baiklah. Persiapkan dirimu. Ingat, hanya buluh runcing ditikam di tapak kakimu, yang bisa meragut nyawamu."
*****
Mahkamah memutuskan dia bersalah. Dia dihukum gantung sampai mati. Saat hukuman dibaca, ada semacam ketakutan menyelubungi. Dia menggigil lagi. Kali ini lebih ngeri.
Dalam kegelisah dia tertanya sendiri; apakah azab di dunia ini nanti lebih menakutkan dari sebuah kematian?
*****
Dia merasa azabnya tidak terhingga; lehernya hampir putus. Nafasnya sukar, tersangkut-sangkut. Tenggorokannya sempit. Seluruh tubuh membiru dan kaku. Pandangannya gelap dilitupi kain hitam. Lidah terjulur menitik air liur--kain hitam itu basah.
Perutnya kian lapar, tekaknya perit membakar--kekeringan.
*****
"Dia masih belum mati, tuan."
"Apa? Gantung dia sekali lagi, dan lagi. Usahakan sehingga dia mati."
KARKAS #221: SECANGKIR KOPI SUAM
Aku merenung lama cawan biru di hadapanku. Suasana hingar di dalam ruang kafe yang hanya memuatkan sebilangan meja dan kerusi tidak aku endahkan. Masih terus merenung cawan yang berasap nipis.
Aku mengalihkan fokus mataku pada kerusi kosong -- bertentangan denganku. Senyuman ditarik melepasi bibir. Entah bagaimana bentuknya -- senget barangkali.
Raut wajah dengan lesung pipit di pipi kiri terbias di ruang mata sebelum bayangan itu hilang apabila bunyi loceng hasil dari pintu kafe yang dibuka menyapa telinga. Jantung terus berdegup laju. Aku cuba menangkap bunyi derap langkah menghala ke arah mejaku. Berharap ada tangan yang akan memeluk erat tubuh dengan kucupan di dahi seperti selalu. Tiada.
Aku menolehkan kepalaku ke arah pintu kafe. Sekumpulan lelaki melangkah masuk, terus ke arah kaunter untuk membuat pesanan. Aku mengeluh hampa. Entah kenapa, aku terlalu berharap, yang melalui pintu itu adalah dia -- si empunya lesung pipit di pipi kiri.
Air mata mula bertakungan di tubir mata. Kata-katanya lewat tiga hari lepas masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Tiada satu pun yang terlupa. Kata maaf atas harapan yang diberikan aku telan dalam kepayahan. Dalam sekelip mata, di hadapan rumahku bertemankan suara ibu memanggil dari dalam, mimpi yang aku anyam direnggut pergi.
Pelayan lelaki di hujung kaunter yang aku kira sudah jemu melihatkan aku ke situ melemparkan senyuman. Entah apa maknanya di sebalik senyuman itu. Melihatkan aku keseorangan tanpa dia, pasti pelayan itu sudah dapat meneka kondisi aku ketika ini. Ketawalah! Aku sudah pun kecundang.
Telefon bimbit di tangan aku renung tanpa rasa. Kata maaf yang tidak putus-putus aku terima melalui aplikasi Whatsapp aku biarkan tidak berbalas. Biarlah. Tiada apa lagi yang perlu dikatakan apatah lagi untuk dimaafkan.
Aku bingkas bangun dari kerusi. Langkah kaki aku atur ke arah pintu.
"Cik." Si pelayan lelaki yang setia berdiri di hujung kaunter memanggil lembut.
Aku menoleh dengan senyuman di bibir. Menutup segala rasa yang mungkin terbias di wajahku.
"Telefon bimbit cik…"
Aku mengerling sekilas ke arah meja di sudut kanan kafe itu. Meja aku dan dia. Meja kenangan.
"Tempatnya memang di situ. Dalam bancuhan kopi yang bukan lagi kegemaranku."
Terus, aku melangkah keluar tanpa menoleh ke belakang. Biar pun untuk sedetik cuma.