Pulangnya ketika embun jantan sedang galak dirembes langit,
menjemput dingin malam nan syahdu sebaik enjin kereta dimatikan. Yang
kedengaran hanyalah bunyi unggas yang setia menjadi bunyi latar alam di kawasan
bukit persendirian di pinggir kota di mana banglo empat tingkat ini tersergam
indah.
Di dalam persekitaran itu, aku menjadi satu bersama alam.
Memerhati gerak-geri sasaran dari kejauhan menerusi lensa binokular mod malam,
di antara pepohon hutan sekunder yang masih terpelihara di sekeliling banglo
ini.
Selepas seketika, lampu rumah yang tadinya menyala satu
persatu menyambut kepulangan sasaran mula dimatikan berperingkat. Suasana malam
terus menghambur keseluruhan banglo tersebut, menjadikan ia seperti satu set
filem seram dengan kabus yang tiba-tiba kelihatan jelas menyeliputi seluruh
kawasan bukit itu. Aku keluar dari persembunyian dan menyusup perlahan menuju
ke laman rumah. Di dalam pandangan yang berbalam itu, aku ketemukan pintu
belakang untuk menyelinap masuk menerusi dapur.
Profesion ini sudah pasti menjadikan aku seorang pemecah
rumah paling ampuh. Tiada satu pun sistem keselamatan yang tidak dapat aku
atasi. Saat pintu terkuak, tangan sudah siap-siaga menggenggam sepucuk Walther
PPK bersuakan peredam bunyi. Aku tuju sahaja ke tingkat atas di dalam rumah
yang bercahaya malap di beberapa bahagian. Ketika aku menolak perlahan pintu
bilik tidur utama dan tangan sudah sedia menarik picu untuk memuntahkan peluru
menembusi tengkorak sasaran, tiba-tiba langkah aku mati, kejap pada lantai
ibarat dipakukan.
Sasaran sedang lena terlentang dipeluk isterinya dari sisi
kanan sementara sisi kirinya pulanya dipeluk seorang anak lelaki kecil, mungkin
berusia antara tiga ke empat tahun. Seorang lagi anak perempuan kecil berpaut
pada pinggang di celahan ruang antara sang isteri dan sasaran.
Aku mungkin seorang pembunuh profesional. Tetapi aku masih
ada kod yang aku turutkan. Jari di picu berdenyut perlahan. Muncung pistol
meleret turun dan naik dalam kegeletaran. Malam ini, segalanya tampak tidak
jelas.
***
No comments:
Post a Comment