24 Mar 2015

KARKAS #136: TANGGA

Beban kerja buat aku sesak nafas lalu aku di sini, di tangga pejabatku menghisap rokok sambil memandang sisa hutan yang bakal ditarah lagi untuk meluaskan parkir kereta. Ada pelbagai jenis kereta terkini, aku jugalah yang berkancil merah.

Haaa. Lega. Rokok, aku cucuh ke tong sampah untuk memadamkan baranya. Aku naik ke tingkat atas, tidak terus ke stesen kerjaku. Aku ingin meregangkan tulang belakangku seketika. Aku capai tombol pintu, ah, berkunci pula. Aku naik lagi dan memulas tombol yang masih lagi berkunci. Terpaksa pula bersenam petang-petang ni! Aku naik dan naik lagi, kenapa semua pintu berkunci? Aku mula tak sedap hati. Aku menjenguk ke luar. Tiada sebiji kereta pun di parkir! Aku memandang jam tanganku, pukul 7! Aku jadi bingung, ketika aku keluar tadi belum pun pukul 5.

Aku memanjat naik dan terus naik. Sekejap! Kali ini aku panik. Bangunan ini hanya ada 5 tingkat dan aku pasti aku sudah naik lebih daripada 5 tingkat. Aku tarik nafas dalam-dalam. Baik! Aku akan turun ke tingkat 1 dan terjun daripada situ kalau perlu.

Di luar semakin gelap dan aku masih lagi menuruni anak tangga sambil memeriksa kalau-kalau ada pintu yang tidak berkunci. Aku semakin cemas-aku masih tidak sampai ke tingkat 1 dan jam sudah menunjukkan pukul 9. Lampu berkelip-kelip seperti ingin padam. Ah! Apa pula kali ini?

Ya, lampu betul-betul padam dan aku bersuluhkan telefon bimbit nokiaku. Aku terdengar tombol pintu di tingkat bawah dipulas kasar. Aku segera turun.

"Allahuakbar! Tolong! Tolong!"

"Amin, kau kenapa?" Aku menggigil lantas memeluk Azri.
"Pintu...tangga..."

--

Lelaki di hadapanku ini bercerita dengan bersungguh-sungguh.

"Masa Azri jumpa dia tu pukul berapa?"

"Pukul 4.30. Selepas daripada itu, Amin tak kerja lagi di sini. Mungkin trauma."

"Afsham Rahman."

"Eh, nama saya dah dipanggil. Doakan saya berjaya dalam temuduga ni dan saya doakan awak juga." Aku bersalam dengan lelaki itu dan pergi ke kaunter.

"Awak berbual dengan lelaki berbaju biru, berseluar hitam dan berkaca mata, kan?" Aku senyum canggung. Iyalah, dengan siapa lagi. Kami berdua sahaja yang ada di ruang menunggu.


"Arwah Amin tu. Dia meninggal kerana jatuh dari tingkat 5. Ok, awak masuk bilik nombor 2 tu ya." Aku terpempan.

***

No comments:

Post a Comment