Showing posts with label Soldadu Square. Show all posts
Showing posts with label Soldadu Square. Show all posts

14 Mar 2015

KARKAS #108: JATUH

Sudah terlalu lama rasanya aku tidak kejatuhan.

Di balik tabir imaginasi, walau dari setinggi mana sekalipun aku jatuh, aku pasti akan cuba bangkit kembali, menyapu pergi debu-debu pada tubuh dan menapak perlahan selepas beberapa regangan otot dan memastikan tulang-tulang terletak pada tempat seasalnya.Di atas pentas kesedaran diri pula, pada setiap kali kejatuhan, pasti langit akan bergema dengan lagu Bangkit hasil komposisi trio D.J. Fuzz, Altimet, dan Salam yang datangnya entah dari mana.

Tetapi, mungkin sahaja kerana sudah lama aku tidak berasa "jatuh" -- lupa pada setiap tertib seadanya; kesan dan akibat di sebelum, semasa, dan selepas. Lupa pada segala hukum fizik dan hukum alam; graviti, inersia, daya, dan seangkatan. Lupa pada qada' dan qadar; jaluran kemungkinan yang pelbagai.

Lupa yang selama ini, aku mungkin sahaja meniti kepulan awan yang indah -- berlatar-belakangkan kepingan pelangi Xbertujuh warna cantik melengkung -- tetapi sebenarnya cukup rapuh.

Saat segalanya melerai ke bawah kerana tidak tertampung segala berat yang disusun bertimpa-timpa ke pundak (dan badan yang sedia berat), terhumbanlah aku dari taman permainan jiwa rasa nun jauh di atas sana, menjunam ke permukaan bawah, disusuli gema muzik ♪ bangkit! bila ditolak jatuh, bangkitlah semula, bangkit! bila diluka nanti, pulihlah semula, bangkit! biar bersusah dulu, nanti senang semua, sakit pada luka, akan pulih semula ♫

Sedang aku di udara, mata tertutup rapat namun ada airmata yang tidak sempat diseka melayang terbang kerana arus deras udara menerjah bagai gila pada kelajuan yang tidak tercatat sementelahan otak berkira-kira ini semua sudah dijangka, mengabaikan aku pada satu lagi keadaan, permukaan yang bakal dihempas tidak semestinya rata. Nah, di bawah sana, berceracak tiang-tiang setajam pisau tinggi belaka, bersedia menghunus tubuh badan lalu menceraikan setiap bahagian menjadi ketulan yang tidak mungkin bercantum kembali.


Aku, cubalah bangkit semula (?)

***

KARKAS #106: DOMINO

Perihal domino yang sulit disetkan tetapi dengan mudah, dijatuhkan untuk persembahan

Kakinya melangkah lemah menaiki anak tangga ke tingkat teratas menuju ke satu unit teratak batu yang menjadi tempat teduhan selama ini. Ada dibilang jumlah anak tangga yang diinjak tetapi kiraannya luput di tengah jalan mengenangkan hiba yang tidak mahu diusir keluar oleh distraksi yang dibuat-buat.

Selepas memastikan bahawa keadaan selamat untuk masuk ke dalam rumah, disua kunci ke dalam setiap mangga dan pintu yang setia menjaga kediamannya walhal dia sangat berharap akan ada penjenayah yang menyusup keluar dari mana-mana unit rumah kosong di sekeliling datang menerkam dan menamatkan riwayatnya yang sememangnya sedari dahulu amat menyedihkan. Untung nasib bisa jadi peneman roh seorang India yang mati mabuk di unit bertentangan dan bersahabatkan kegelapan yang selama ini menyelubungi hidup secara kiasan. Oh, dan juga roh seorang opah yang selalu berlegar-legar di tingkat teratas ini.

Seketika kemudian, dia duduk di hadapan komputer selepas selesai menanggalkan topeng muka berlabel 'gembira' dan melucutkan sarung badan berjenama 'hamba kapitalis' dan berbogel seperti mahunya. Bebas. Malam ini, teman serumah berada di Kuching, Sarawak menunaikan tuntutan tugas dan lain-lain, jika ada. Perkara pertama yang dibuat sebaik sahaja berada di atas talian adalan menonton sebuah video rakaman jatuhan domino yang paling 'awesome' di dunia, dicatat ke dalam Buku Rekod Dunia Guinness.

Ralit dia memerhatikan kepingan-kepingan domino itu jatuh menyembah lantai dalam pelbagai formasi, menjemput sorakan dan tepukan ramai penonton di dalam dewan. Begitu teruja. Selepas beberapa minit, video itu tamat serentak dengan tamatnya tempoh putaran mesin basuh yang sempat dia aktifkan sebelum duduk tadi untuk membilas baju-baju yang tidak pernah berkesudahan diulang-basuh.

Dia bingkas bangun. Air harus disaling sebelum diputar sekali lagi untuk mengelakkan pakaiannya berbelak sisa sabun. Saat melangkah ke balkoni belakang yang menempatkan mesin basuh usang itu, dia terdengar seperti ada kepingan-kepingan domino jatuh menyembah lantai rumahnya. Difikirkan video tadi secara tidak sengaja diulang main tetapi tiada pula bunyi sorakan dan tepukan gegak gempita. Dia melangkah lagi dan bunyinya makin galak.


Ditoleh ke belakang dan dilihat ada kepingan-kepingan hati yang sisinya bergerigi dan kelihatan buruk sekali, tersusun di atas lantai, bertimpa-timpa setiap satunya. Ah, ini domino yang dipersembahkan dari hatinya yang melerai. Ada juga dicatat rekodnya yang tersendiri. Dia pemegang rekod si patah hati yang paling kecewa di dalam dewan (rumah) sendiri. Tiada penonton, tiada laungan semangat, tiada sorak, tiada tepuk, tiada liputan, tiada apa-apa. Cuma hantu-hantu di luar rumah menjengah dari pintu yang terbuka dan kegelapan yang bakal menyatu saat lampu rumah dipadamkan.

***

KARKAS #104: KITA

Desir angin yang menghanyutkan haruman nektar kau telah membawa aku ke sini, entah dari mana datang dan ke mana perginya, tidak lagi aku persoalkan. Yang penting, aku telah ketemu empunya diri. Kau di situ, berdiri anggun, gah jelita dilimpahi cahaya suria yang memancar terang, menjadikan kau ketara berserinya.


Tanpa segan silu, kau depakan tangan ingin menyambut aku mesra. Seolah kita telah lama kenalnya. Jarak yang memisahkan kita hanyalah sekadar ukuran relatif yang tidak sesekali memungkinkan penghalang hubungan yang platonik sebegini.


Tanpa rasa malu, kau suakan tubuh, menjemput aku jamah sebaiknya. Umpama jiwa kita telah lama menyatu dalam satu ikatan kasih sayang yang tidak terluah tetapi hati masing-masing tidak pernah berhenti berbicara tentang betapa aku memerlukan kau dan betapa kau mendambakan aku.


Ya, aku keliru. Tidak banyak; sedikit cuma. Sedikit yang signifikan. Tetapi kekecelaruan itu pantas sahaja menghilang bersama sepoi-sepoi bahasa angin yang melintas sesekali. Membuaikan tubuh kau meliuk lentok. Dan aku – goyang semahunya. Ada satu kapal besar sedang merempuh ketulan ais kewarasan yang terapung di lautan pertimbangan. Tidak seperti Titanic yang menurutkan nasib malang meski diwar-war sebagai kapal yang tidak mungkin tenggelam, ketulan ais kewarasan tadi kini bersepai menjadi longgokan kecil lalu dicedok masuk ke dalam dua gelas lemonade, siap terhidang di atas meja kecil di sisi kau.


Telah diabaikan begitu sahaja pembasah tekak sebaik kita bersentuhan. Kau alu-alukan aku di dalam diri, mencetus imaginasi tentang betapa liarnya aku akan memperlakukan kau usai pusingan pertama. Aku mahu ia jadi istimewa. Aku mahu ia mencambah keintiman yang terdalam buat kita.


Selepas segenap inci tubuh kau puas aku teroka, aku berehat sebentar meneguk lemonade yang masam-masam manis. Ketika itulah aku melihatkan insiden yang merabakkan aku.



Kau sambut kumbang lain bagai aku tiada makna. Seronok bukan menjadi sesuatu yang memperalatkan pihak lain tanpa sedikit pun rasa peduli dalam mencapai apa jua keinginan kau?

***

KARKAS #103: TANPA TAJUK

Pulangnya ketika embun jantan sedang galak dirembes langit, menjemput dingin malam nan syahdu sebaik enjin kereta dimatikan. Yang kedengaran hanyalah bunyi unggas yang setia menjadi bunyi latar alam di kawasan bukit persendirian di pinggir kota di mana banglo empat tingkat ini tersergam indah.

Di dalam persekitaran itu, aku menjadi satu bersama alam. Memerhati gerak-geri sasaran dari kejauhan menerusi lensa binokular mod malam, di antara pepohon hutan sekunder yang masih terpelihara di sekeliling banglo ini.

Selepas seketika, lampu rumah yang tadinya menyala satu persatu menyambut kepulangan sasaran mula dimatikan berperingkat. Suasana malam terus menghambur keseluruhan banglo tersebut, menjadikan ia seperti satu set filem seram dengan kabus yang tiba-tiba kelihatan jelas menyeliputi seluruh kawasan bukit itu. Aku keluar dari persembunyian dan menyusup perlahan menuju ke laman rumah. Di dalam pandangan yang berbalam itu, aku ketemukan pintu belakang untuk menyelinap masuk menerusi dapur.

Profesion ini sudah pasti menjadikan aku seorang pemecah rumah paling ampuh. Tiada satu pun sistem keselamatan yang tidak dapat aku atasi. Saat pintu terkuak, tangan sudah siap-siaga menggenggam sepucuk Walther PPK bersuakan peredam bunyi. Aku tuju sahaja ke tingkat atas di dalam rumah yang bercahaya malap di beberapa bahagian. Ketika aku menolak perlahan pintu bilik tidur utama dan tangan sudah sedia menarik picu untuk memuntahkan peluru menembusi tengkorak sasaran, tiba-tiba langkah aku mati, kejap pada lantai ibarat dipakukan.

Sasaran sedang lena terlentang dipeluk isterinya dari sisi kanan sementara sisi kirinya pulanya dipeluk seorang anak lelaki kecil, mungkin berusia antara tiga ke empat tahun. Seorang lagi anak perempuan kecil berpaut pada pinggang di celahan ruang antara sang isteri dan sasaran.


Aku mungkin seorang pembunuh profesional. Tetapi aku masih ada kod yang aku turutkan. Jari di picu berdenyut perlahan. Muncung pistol meleret turun dan naik dalam kegeletaran. Malam ini, segalanya tampak tidak jelas.

***