Showing posts with label Karimul Hakim. Show all posts
Showing posts with label Karimul Hakim. Show all posts

5 Jan 2016

KARKAS #238: RAHSIA DI TALI GANTUNG


Di hadapanku, tali gantung yang aku tunggu-tunggu setelah sekian lama. Aku mengambil satu langkah ke hadapan. Kini tali gantung itu betul-betul dekat dengan mukaku. Mukaku disarung dengan beg hitam. Menutup mukaku dari dilihat oleh orang ramai ketika aku digantung nanti. Semua memori-memori lama mula menyelinap masuk ke ruang kepala. Entah macam mana semua ini boleh berlaku. Aku rindukan ibu. Entah apa yang dibuatnya sekarang. Adakah dia sedang menangis mengenangkanku yang dituduh membunuh seseorang yang aku gelar bapa dan bakal digantung sebentar sahaja lagi? Sudah tentu ibu sedang menyalahkan dirinya. Dia seorang ibu yang baik. Menyayangi anaknya lebih dari menyayangi dirinya. Aku juga sayangkan ibu. Sebab itu aku harus lakukan semua ini dan tali gantung adalah balasan yang harus aku tanggung untuk ibu.

Kalaulah aku boleh berjumpa dengan ibu buat kali terakhir. Aku mahu memegang pipinya dan katakan padanya betapa aku mencintai dirinya. Oh Tuhan, kau jagalah ibu sebaik-baik dia menjagaku. Tali gantung diketatkan kemas di leherku. Terasa sedikit tercekik. Inilah masanya. Lantai yang aku pijak terbuka dan aku terus jatuh. Aku menutup mata menunggu roh dicabut malaikat. Tapi sudah ditakdirkan badanku bertemu lantai. Beg hitam di kepala tercabut. Aku boleh lihat semula. Di leherku masih tersemat tali gantung yang terputus. Serta-merta aku teringatkan Ibu. Aku terus mencari jalan keluar.  Beberapa orang polis cuba menghalangku melarikan diri. Dengan tubuhku yang besar, aku terus merempuh mereka dan terus lari dari situ.

Aku berlari menuju ke rumah. Disebabkan tanganku masih bergari, aku merempuh masuk rumah. Aku menjerit memanggil ibu. Tapi tiada siapa yang menyahut. Aku terus masuk ke dapur mencari kelibat ibu. Ada satu erangan kecil memecah sunyi. Rupanya suara itu milik adik yang sedang duduk di bawah sinki. Adik duduk memeluk tubuh. Matanya merah dan bengkak seperti dia menangis dengan teruk sebelum aku sampai ke sini. "Kenapa adik menangis ni?" Adik hanya diam membisu. Matanya masih memandang ke lantai. Tapi bila aku menanya tentang ibu, adik terus merenung tajam tepat ke mataku. Cuma, dia masih diam.

Aku dengar bunyi siren polis datang dari jauh. Aku perlu cari ibu dengan segera. Biarlah sebelum aku mati, aku mahu cakap dengan ibu bahawa semua ini bukan salah dia. Aku terus naik ke tingkat atas dan menjerit memanggil ibu. Aku merempuh masuk ke dalam bilik ibu. Kini, baru aku tahu kenapa adik nangis sebegitu. Baru aku tahu kenapa tiada sahutan bila aku menjerit memanggil ibu. Ibu tergantung di hadapanku. Mukanya pucat dan tubuhnya kaku tergantung di siling. Ada satu nota di atas meja berdekatan. Aku tidak perlu baca untuk mengetahui isi kandungan nota itu. Tentu ibu menyalahkan dirinya kerana aku mengambil tempatnya di tali gantung.  Kenapa kau perlu menghukum diri kau juga? Bukankah aku sudah kata yang aku akan tanggung semuanya?

24 Nov 2015

KARKAS #232: KAWAN AKU NAMA DIA JORAN DAN VAN DER SLOOT


Aku menggentel-gentel sekeping kertas di tangan sambil menunggu namaku dipanggil. Setiap bulan, cikgu sains aku akan menyuruh pelajarnya memilih satu tajuk untuk bercakap di hadapan. Aku suka aktiviti ini. Sejak bulan lepas lagi aku telah melakukan kajian tentang tajuk yang aku minati.

Satu persatu nama dipanggil hinggalah tiba giliran aku. Aku yakin satu kelas bakal teruja dengan topik aku ini.

"Otak boleh dikatakan raja dalam tubuh kita. Apa yang otak kita percaya, tubuh badan kita juga akan percaya."

Waktu itu cikgu aku hanya bermain dengan telefon pintar di tempat duduknya. Seperti tak mendengar apa pun yang aku sedang cakapkan di hadapan ini. Namun aku teruskan juga.

"Menurut satu kajian, beberapa orang mabuk selepas meminum air yang disangka alkohol. Sedangkan mereka hanya meminum air kosong sahaja. Oleh itu, tidak mustahil jikalau kita betul-betul percaya, tangan yang lumpuh boleh bergerak kembali. Malah, apa yang kita fikir juga boleh menjadi realiti. Sekian, terima kasih."

Cikguku meletakkan telefon pintarnya di atas meja lalu memandang ke arahku. Terukir senyuman di bibirnya.

"Terima kasih, Murphy. Bagus. Penyampaian yang baik.

Sepatutnya aku gembira kerana cikgu memujiku. Tetapi pujiannya hanyalah penyedap hati semata-mata.

"Urmmm. Mungkin lain kali awak boleh letak tajuk yang lebih logik. Apa yang kita fikir boleh jadi realiti? Mengarut."

"Tapi menurut kajian..."

"Tak ada tapi-tapi. Bulan depan saya nak tengok topik yang lebih logik. Boleh?"

Aku menahan amarahku dalam senyum.

"Boleh cikgu."

Cikgu terus memanggil pelajar seterusnya. Sambil tersenyum aku menyumpah seranah di dalam.

"Wuuu. Nice Murphy. Jangan layan cikgu tu. Power idea kau. Aku suka."

"Thanks, Joe."

Kau pun sama seperti cikgu. Masa aku cakap di depan, kau tak dengar pun. Pandang pun tidak. Penipu!

Bila aku di rumah pula, abah hanya tahu mengarah aku. 24 jam, hanya arahan dia yang aku dengar.

"Ha. Ni da balik, pergi sidai baju sana."

Macam biasa, aku hanya menurut dalam senyum.

"Ya, Abah."

Tapi hanya ada satu suara yang buat aku tenang.

"Murphy. Da balik ya? Jom makan dengan ibu, jom."

Ibu aku. Satu-satunya manusia yang aku percaya. Sebab dia baik denganku. Aku dapat rasakan ikhlas hati dia. Kasih sayang seorang ibu. Bukannya penipu seperti orang lain.

"Okay, ibu." Aku menyahut dengan riang.

*******

Di rumah, aku suka duduk di dalam bilik sahaja. Aku dapat jumpa dengan kawan baik aku. Maksud aku, kawan imaginasi aku.

Joran The God of Time and Space dan juga Van Der Sloot The Beater.

Suka hatilah aku nak cipta dorang ni macam mana. Imaginasi aku.

Mereka berdua sajalah kawan yang aku percaya. Merekalah tempat aku mengadu nasib.

"Joran. Kau tahu tak, cikgu aku boleh cakap tak logik teori aku tu. Aku tak kisah pun, tapi at least dengar la apa yang aku cakap sebelum bantah."

"Hmmm. Teruk cikgu kau ni." Balas Joran dengan suara besarnya. Joran ni besar orangnya. Tingginya sahaja seperti bangunan dua tingkat. Sedangkan Sloot seperti orang dewasa biasa sahaja.

"Bila balik pula nak kena dengar abah membebel. Haish. Kan best kalau aku potong je telinga aku ni pastu tinggalkan je kat bilik kebal. Biar tak payah dengar orang menipu dan membebel lagi." Aku mengadu dekat Joran.

"Aku boleh je bantu. Tiada masalah." Balas Joran. Tiba-tiba sebilah pisau dan sebuah bilik kebal muncul di depan aku.

"Meh sini aku potongkan telinga kau. Aku akan jaga elok-elok. Hehe." Sloot menyampuk.

"Hahahaha. Korang ni. I'm angry. Not crazy."

"Tapi kau masih ada ibu bukan?" Tanya Joran padaku.

"Ya. Ibu sangat baik. Selain korang berdua, aku masih percayakan ibu. Ibu sangat baik. Dia tidak pernah menipu aku."

Joran dan Sloot cuma mengangguk tanda setuju. Mereka masih sebahagian dari diriku. Jadi mereka memahami aku.

"Aku sayang ibu. Yang lain, aku benci." Sedikit perasaan marah aku tekankan.

"Kami boleh bunuh mereka kalau kau mahu." Ujar Sloot. Senyumannya tidak lekang dari tadi.

Joran menambah. "Ya. Kau hanya perlu percayakan kami."

Aku tergelak mendengar ayat mereka berdua.

"Korang ni cuma imaginasi aku. Apa yang korang boleh buat? Haha. Dah la. Aku nak tidur. Esok sekolah. Jumpa esok. Bye."

***********

Aku tak sabar mahu pulang ke rumah. Mengapa tidak boleh aku belajar di rumah sahaja? Kenapa aku mesti datang ke sekolah dan bertemu dengan pelajar yang bodoh dan hipokrit? Gurunya pun sama sahaja.

Bila loceng sekolah berdering, aku terus berlari pulang. Tak sabar nak jumpa Joran dan Sloot.

Aku tiba di depan pintu rumah. Aku terdengar ibu dan abah tengah bergaduh. Secara curi-curi, aku mendengar perbualan mereka.

"Abang! Saya nak cerai. Saya dah tak tahan!" Ibu memekik.

"Habis tu anak kita macam mana?!" Abah juga meninggikan suaranya.

Dalam hati aku berasa seronok. Lepas ni aku boleh tinggal dengan ibu je. Tak ada abah yang kuat bebel lagi.

"Budak bodoh tu abang jagalah! Saya tak nak!" Ibu menjawab kembali.

Aku terkedu. Ibu cakap macam tu? Ibu kata aku bodoh? Kenapa? Bukankah ibuku baik? Habis selama ni semuanya hanyalah satu penipuan?

Aku membuka pintu rumah. Ibu dan abah terkejut. Aku nampak ibu cepat-cepat mengesat air matanya dan senyum padaku.

"Murphy. Da balik ya? Jom makan dengan ibu jom."

Aku hanya diam dan terus naik ke bilikku.

Aku hanya memekakkan telinga apabila ibuku memanggil berkali-kali.

******

Menangis tersedu-sedu aku mengadu pada Joran dan Sloot. Mereka cuba memujuk diriku.

"Joran. Sloot. Betul kau berdua boleh tolong aku bunuh dorang? Korang tak tipu aku kan?" Aku mengesat hingus yang meleleh dari hidung.

"Ya. Kau percayakan kami tak?" Joran menanya kembali.

Aku berdiam. Mereka ni cumalah imaginasi aku. Aku sendiri tahu itu. Tapi kerana terlalu sedih, aku percayakan saja kata-kata Joran.

Aku mengangguk tanda setuju.

"Then, kau tidak perlu risau lagi. Kau pergilah tidur." Kata Sloot.

Mungkin kerana terlalu penat. Aku pun terus tertidur.

*******

Aku terjaga dari tidur. Kepala aku pening. Badan aku juga lenguh-lenguh. Ni mesti sebab tidur posisi tidak betul ni.

Tiba-tiba aku dengar suara Abah menjerit di biliknya. Bergegas aku ke sana.

Pintu bilik abah yang tidak berkunci terus aku buka. Aku lihat Abah terduduk di lantai sambil menjerit.

"Stephany!!!!"

Di pangkuannya ada satu tubuh yang tidak bergerak. Badannya seperti di pukul dengan teruk. Aku kenal empunya tubuh itu. Ibu!

Macam mana ini boleh berlaku? Adakah ini disebabkan...

"Ya Murphy. Kami yang lakukan. Kerana kau percaya." Suara muncul di dalam kepala aku. Itu suara Sloot.

"Inilah hasilnya bila kau percaya dengan kami." Suara Joran pula muncul dalam kepala aku.

"Joran, Van Der Sloot!" Aku terjerit. Abah terus memandang ke arahku.

"Kau! Kau bunuh Stephany. Kau bunuh ibu kau!" Abah menjerit ke arah aku.

"Ha. Mana ada! Kenapa tuduh macam tu?!"

"Kau diam. Jangan nak menipu lagi. Aku dah telefon polis. Kau tunggulah!"

Kata-kata abah itu menghancurkan hati aku. Hati aku sudah tidak mampu menahannya lagi. Apa salah aku?

Seperti biasa, aku hanya menurut.

"Ya, Abah."

Cuma kali ini tiada lagi senyuman di wajahku. Hanya dendam dan sebatang kayu besbol tergenggam erat.

*****

7 Nov 2015

KARKAS #213: SI BONGKOK DAN SI BUTA

Si Bongkok dan Si Buta merupakan kawan baik sejak kecil. Si Buta merupakan seorang yang kuat dan mempunyai tubuh badan yang besar. Manakala, Si Bongkok seorang yang kecil tetapi bijak dan licik. Si Buta akan melakukan segala kerja keras dan berat manakala Si Bongkok yang akan memberi arahan dan membantu Si Buta.

Pada satu hari, mereka berdua mahu pergi berkhemah di dalam hutan. Seperti biasa, Si Buta akan berjalan di hadapan untuk memotong dahan dan semak untuk membuat jalan. Manakala, Si Bongkok di belakang memberi arahan kepada Si Buta. 

Malam kian menjelma, jadi mereka bercadang untuk menangkap seekor rusa sebagai makan malam. Atas kepintaran Si Bongkok dan kekuatan Si Buta, seekor rusa berjaya di tangkap. Tetapi rusa yang ditangkap itu kecil. Sudah pasti tidak cukup untuk mereka berdua. 

Si Bongkok mengambil bahagian yang penuh isi dan hanya memberi bahagian tulang kepada Si Buta. Bukannya Si Buta tahu jika dia menipu, fikir Si Bongkok.

Oleh kerana terlalu lapar, Si Buta dengan gopohnya mengambil bahagiannya yang disangka penuh dengan isi. Dengan seronoknya, dia menggigit tulang rusa itu. Disebabkan Si Buta gigit terlalu kuat, matanya celik! Dia dapat melihat bahagiannya cuma tulang dan bahagian Si Bongkok penuh dengan isi.

"Bongkok! Berani kau menipu aku?!"

"Kau boleh nampak?!" Si Bongkok ketakutan. Dia bangun dan cuba melarikan diri.

Si Buta mengambil tulang rusa yang paling besar dan mengejar Si Bongkok. Dengan mudah Si Buta dapat mengejar Si Bongkok. Si Buta melibas tulang rusa itu ke pinggang Si Bongkok.

"Aduh! Pundi kencing aku!" Si Bongkok menjerit kesakitan.

Air muka Si Buta berubah selepas melihat keadan Si Bongkok. Tiada lagi amarah di raut wajahnya, cuma terkejut.

"Bongkok! Kau sudah boleh berdiri tegak!"

Si Bongkok juga terkejut dengan keadaannya. Dia bukan sahaja boleh berdiri tegak, dia juga boleh berjalan seperti manusia normal.

Mereka memandang satu sama lain dan terus ketawa besar. Mereka menyambung jamuan malam mereka semula.

***

1 Jul 2015

KARKAS #192: SUKAR BENARKAH UNTUK SALING MENCINTAI?

Semenjak ini, aku perasan ada satu gadis sering memerhatiku.

'Gila la mamat tu, boleh tahan kacak juga.' Getus aku dalam hati.

Gadis itu tak adalah lawa mana tapi ada sesuatu tentang dirinya yang buat aku curiga tentang dirinya.

Macam malas je nak approach, nanti kena friendzone, buat malu aje. Nampaknya aku kena cover sikit.

Namun, beberapa hari selepas itu, gadis ini sering hadir dalam mimpiku. Kalau nak ikutkan taraf umur, aku terlalu tua untuk dia, lagipun dia kan belajar lagi. Gadis yang lebih tua memang minat aku. Aku takut kalau hubungan kami tak direstui keluarganya? Tapi apa kata ibu bapaku? Aku risau juga jika mereka tidak restu.

Biar aje lah dia, aku sakat suka-suka je, mungkin nanti dia akan bertemu jodoh dengan lebih baik.

***

KARKAS #191: GORILLA PUJAAN

Pagi itu aku bangun dengan sakit kepala. Mungkin akibat kesan sampingan alkohol yang aku teguk dengan jumlah yang banyak semasa menonton pertunjukan sarkas semalam; pening.

Entah macam mana aku sampai di rumah aku ini pun aku tidak tahu. Yang penting, samada aku sedar, mabuk atau mimpi, semalam aku saksikan mahluk yang seperti aku idam idamkan dalam khayalan zaman kanak kanak aku.

Yang lebih mengejutkan, makhluk itu berada di hadapan pintu sekarang; merenung tajam mataku.

"Mati tak mamat semalam tu?" Soal aku pada dia yang tercongok senyum di hadapan pintu.

"Bakal." Jawabnya mudah.

Dalam selingan jawabnya itu, aku renungkan setiap helai bulu yang melitupi badan dan mukanya, bagai mimpi jadi realiti. Dengan mudah dia merodok pisau ke dadaku; aku terima dengan gembiranya.

Hairannya, tidak aku melenting mahupun mengamuk, tapi aku seolah akur nyawaku berakhir di tangan Gorilla pujaan aku selama ini.

"Untuk kau gorilla. Untuk kau." Aku ucap berkali-kali, tanda setuju.

***

28 May 2015

KARKAS #161: AKULAH PHYSOPATH II

Aku terus berlari ke pejabat boss aku. Aku tidak puas hati. Siapa pula yang menjamin suspek itu tadi? Aku sudah dapatkan pengakuan dari dia. Tapi semudah itu dia melarikan diri. Aku mahukan jawapan. 

Aku terus membuka pintu pejabat dia.

"Jen. Siapa yang mengikat jamin suspek aku? Aku dah dapat pengakuan dari dia."

"Inspektor. Tolong jangan panggil saya macam itu."

Jenny Victoria. Ketua polis di Kota Pheonix. Dia merupakan kawan aku sejak kecil. Kerana keputusan akedemik dia yang cemerlang, memudahkan dia untuk mendapat pangkat yang dia perolehi sekarang.

"Sorry, Rae. Saya pun tak dapat nak buat apa-apa. Saya mendapat panggilan dari pihak atasan untuk membebaskan suspek dengan segera. Saya tahu awak sudah bekerja keras dalam kes ini."

Aku hairan. Panggilan dari siapa yang Jen terima? Kenapa mereka mahu bebaskan suspek itu?

"Pihak atasan? Siapa pula dari pihak atasan yang nak bebaskan suspek tu?"

"Sorry. Itu saya tidak dapat beritahu. Sulit."

"Sulit?! Mengarut! Aku ketua dalam kes ini dan itu suspek utama aku. Jadi aku berhak tahu maklumat itu."

Aku nampak muka Jen mula berubah.  Mukanya yang tenang tadi sudah menjadi sedikit pucat. Namun, sekejap sahaja mukanya terus berubah menjadi marah.

" Inspektor! Saya memang tak dapat beritahu. Apa kamu fikir saya ni siapa? Saya juga mahu menangkap pembunuh itu. Namun, bukan atas kuasa saya untuk menangkap suspek itu sekarang. Jadi, jika kamu betul-betul mahu tangkap suspek itu, tolong saya cari bukti yang lebih kukuh."

Aku terdiam kaku. Dada Jen berombak-ombak mencari nafas. Matanya seakan berkaca. Seperti dia kecewa dengan aku. Aku menahan marah dan terus keluar dari situ. Semua mata-mata memandangku di saat aku keluar dari bilik Jen. Aku terus pergi dari situ.

Sejak dari hari itu, aku tidak putus-putus mencari jejak suspek itu. Sebulan selepas itu, 3 pembunuhan telah dilaporkan. Semuanya telah dilakukan oleh Psychopath itu. Macam mana aku tahu? Sebab semua cara pembunuhannya sama dan semua mangsanya adalah perogol kanak-kanak. 

Kemudian, aku menerima satu panggilan dari nombor yang tidak dikenali.

"Hello, Encik Polis. "

Suara itu! Aku kenal suara itu!

"Psychopath!"

"Wahh. Bijaknya Encik Polis ni. Saya suka saya suka! Haha!"

Ketawa dia masih mengjengkelkan. 

"Apa ni, Encik polis? Dah tiga pembunuhan tapi aku masih bebas. Kalau macam ni, aman la kota ni tanpa perogol kanak-kanak. Haha!"

"Kau tunggu. Aku pasti akan dapat tangkap kau."

"Itu dia. Sedaya upaya Encik Polis! Haha. Bagus. Aku terhibur. Dengan itu, aku ada satu hadiah untuk kau, Encik Polis."

Hadiah apa yang dia maksudkan? Adakah ini perangkap?

"Haaaa. Mesti kau macam suspenkan? Disebabkan kau suspen lebih, aku bagi hadiah tu dalam bentuk teka-teki. Haha."

Aku diam.

"Ala dia ni. Jangan la serius sangat. Haha! Okay ini dia soalannya. 

24082065 - 7862458 - 79874258. 

Haaa. Dapat tak? Aku ulang sekali lagi 

24082065 - 7862458 - 79874258

Haha. Okay. Itu sahaja. Mudah sahaja. Aku pasti kau akan menyukai hadiah ini. Haha. Itu sahaja dari saya. Bye!"

Panggilan diputuskan. Aku masih terpinga-pinga. Apakah maksud nombor-nombor itu? Apa rancangan si gila itu kali ini?

Aku terus membawa maklumat ini kepada Jen. Mungkin dia tahu apa-apa tentang nombor ni. 

"Sorry inspektor. Tapi awak bukan ketua kes ini lagi. Kes ini telah dipindahkan ke Team Alpha. Kini awak ditugaskan kes Roger Watch."

Aku sangka aku akan dapat bergerak maju dalam kes ini. Tapi aku disingkirkan pula.

"Apa ni Jen? Kenapa aku disingkirkan pula? Apa maksud semua ini? Roger Watch perogol kanak-kanak tu? Tak lama nanti mati dibunuh Psychopath juga."

"Sorry. Saya tak boleh bagitahu. Pihak atasan yang berikan ara..."

Belum sempat Jen habiskan ayat itu, aku terus menghentak meja Jen. Jen terkejut dan mukanya pucat. 

"Pihak atasan lagi! Siapa pihak atasan ni? Aku nak tahu. Apa yang susah sangat nak bagitahu?"

"Inspektor. Tolong jangan buat kacau disini. Saya sudah diberi arahan dan saya harap awak patuhi arahan itu."

"Macam mana aku nak patuh kalau aku tak faham arahan tu. Kenapa singgkirkan aku? Apa dia takut aku dapat tangkap si gila tu? Hey, berapa juta si gila tu bayar korang ha?"

Jen seakan terkejut bila aku sebut "bayar" tu. Apakah seperti apa yang aku fikirkan? Tak mungkinlah.

"Please keluar sekarang inspektor. Sebelum saya panggil guard untuk heret awak keluar!"

"Jen. Apa betul si gila tu dah bayar kau?"

Pap!

Satu pelempang hinggap kat muka aku. Aku memandang Jen dan dia sudah mula menangis.

"Tak sangka awak fikir saya macam itu. Kita kawan sejak kecil lagi. Tak akan awak boleh percaya saya akan buat macam tu? Saya ingat kita ni kawan? Rupanya saya silap."

Aku terus bangun dan keluar dari biliknya. Sekali lagi, semua mata-mata sekelilingku memandang. Tapi kali ini, renungan mereka penuh amarah. 

Apakah melampau apa yang aku cakapkan itu? Aku hanya mahukan kebenaran. Mungkin agak kasar soalan aku tadi. Aku tidak patut cakap macam tu. Sudah tiga hari aku ponteng kerja dan balik kampung. Aku mahu berehat. Semuanya terlalu berat untuk aku pikul. 

Selepas seminggu, akhirnya aku mengambil keputusan untuk datang semula ke pejabat dan aku mahu meminta maaf kepada Jen. Aku sebagai kawannya harus percayakan dia. Aku tidak patut cakap macam tu tempoh hari. Agak-agak dia marahkan aku lagi ke?

Bila aku sampai ke biliknya, Jen tiada. Rupanya sudah tiga hari Jen 'outstation'. Kemudian, aku perasan ada satu kertas tertampal di pintu bilik Jen.

123
456
789

Bila aku melihat nombor ini, aku terus teringar akan telefon bimbit lama. Sususan nombornya adalah seperti ini.

Kemudian aku terfikir, adakah ini klu untuk teka-teki Psychopath? Tak mungkin.

Aku terus berlari ke bilik aku. Ada seorang pegawai polis menahan aku.

"Inspektor! Sudah lama saya cari inspektor. Ketua Team Alpha cari ins..."

"Haish diamlah. Aku tak nak dengar cerita pasal mangkuk tu."

Aku terus tolak dia ke tepi dan masuk ke bilik aku. Bila aku cuba selesaikan teka-teki itu, yang aku dapat hanyalah,

24082065 - RUMAHKU - SYURGAKU

Ya. Pada telefon bimbit lama, ada 4 huruf pada pad nombor 7; P Q R S. Jadi aku pilih huruf R. Bila aku terjemahkan nombor-nombor ini, aku dapat "RUMAHKU SYURGAKU". Tapi apa maksud nombor 24082065 ini?

Ah!
Tarikh!

Asallah lembab sangat aku ni? Tu tarikh. Dan tarikh itu jatuh pada hari ini. 24 Ogos 2065. Adakah RUMAHKU SYURGAKU itu bermaksud rumah aku?

Dari kampung aku terus pergi ke pejabat. Adakah "hadiah" aku itu berada di rumah aku?

Aku terus pandu laju menuju ke rumah. Berdebar hati tidak sabar untuk tahu apa yang berada di rumah aku. Debaran ini lain dari terima hadiah hari jadi. Debaran ini lebih kepada ketakutan.

Aku terus membuka kunci pintu rumah aku dan masuk ke dalam. Aku tergamam di pintu rumah aku. Hebat sungguh hadiah psychopath ini.

Di tengah-tengah ruang tamu aku, terduduknya mayat sahabat baik aku, Jen. Disebelahnya, TV masih terbuka dan aku pasti kini seluruh negara sedang menyaksikan video Jen mengambil rasuah dari beberapa orang yang menyebabkan beberapa penjenayah bebas. Segala fail dan dokumen juga disiarkan dalam video itu.

Aku pasti pembunuhan ini dilakukan oleh orang yang sama. Psychopath! Macam mana aku tahu? Walaupun kali ini mangsa bukanlah seorang perogol kanak-kanak. Tapi cara pembunuhannya tetap sama.

Kelopak mata sebelah kanan di potong, semua jari tangan di potong dan satu kelaran besar di leher.

Aku jatuh melutut kaku.

***

KARKAS #159: AKULAH PSYCHOPATH

Sejak kebelakangan ini, Kota Pheonix yang dikatakan kota paling selamat di dunia dikejutkan dengan beberapa kes pembunuhan. Dikatakan semua pembunuhan ini dilakukan oleh seorang; Pembunuh bersiri. Aku ditugaskan untuk mengetuai pasukan memburu pembunuh bersiri ini. Setelah sekian lama mengumpul maklumat, akhirnya pasukan aku berjaya menangkap seorang suspek yang dipercayai pembunuh bersiri tersebut. 

"Adakah kau yang membunuh kelima-lima lelaki ini?" Aku menghulurkan beberapa keping gambar kepadanya. 

Dia memandang gambar tersebut dan menjawab ringkas sambil menganggukkan kepala. "Ya."

Aku nampak ada satu senyuman di akhir ayatnya. Aku bertanya lagi.

"Betul ke? Saya tidak percaya semudah ini awak nak mengaku..."

Belum sempat aku nak habiskan ayat aku, suspek tersebut ketawa dengan terbahak-bahak.

"Haha! Kalau tak percaya kenapa tangkap aku? Haha!"

Celaka. Berani dia permainkan aku. Tak habis lagi dia ketawa tu. Aku merenung tajam.

"Aduh sakit perut aku. Okay okay. Aku 'stop' ketawa. Jangan serius sangat encik polis. Aku bergurau sahaja. Ya. Memang aku yang bunuh kelima-lima lelaki ini. Kot? Haha!"

Dengan penuh perasaan marah aku terus bergerak kearahnya dan tariknya ke dinding. Aku memegang kolar bajunya dan mengangkatnya tinggi.

"Kurang ajar kau! Kenapa kau bunuh mereka semua?!"

"Haha! Kau nak jawapan betul-betul ke main-main?"

Aku mengenggam kuat kolarnya dan menghentak badannya ke dinding.

"Kau lebih baik jawab baik-baik atau aku pukul kau sampai mati."

"Okay okay. Jangan bunuh aku please. Haha. Aku bunuh mereka...."

Dia merapatkan mulutnya ke telinga aku dan berbisik,

"Sebab aku mencari orang macam kau ni. Haha!"

Aku menghentak badannya sekali lagi ke dinding. Kali ini lebih kuat dan kepalanya terhentak sekali ke dinding. Mukanya mengerut menahan sakit tapi senyumannya tetap tidak hilang.

"Aku suruh cakap betul-betul kan?!"

"Aku cakap betul-betul la tu. Sebab jawapan main-main aku bunuh mereka kerana mereka ni perogol kanak-kanak. Eh tapi tu jawapan betul juga. Cuma bukan misi utama aku. Misi utama aku macam yang aku cakap tadi; mencari orang macam kau ni. Haha!"

Aku geram dan mencampaknya jatuh ke lantai. Ketawanya makin kuat dan kesabaran aku makin nipis.

"Apa kau mengarut ni?! Apa maksud kau cari orang macam aku?"

"Kau tak rasa hipokrit ke? Kau yang kononnya seorang pegawai polis yang kononnya menjaga kota paling selamat ini demi keamanan masyarakat, sedangkan masih ramai perogol luar sana masih bebas melakukan jenayah. Berapa ramai pembunuh yang terlepas kerana mereka mampu membayar peguam yang hebat?"

Aku terdiam sebentar. Ada benar dalam kata-katanya. Sistem keadilan di kota ini ada banyak kurangnya. 

"Tapi aku masih cuba sedaya-upaya aku untuk menjaga keamanan kota ini!"

"Haha! Kau ingat "sedaya-upaya" kau tu cukup ke? Aku rasa tidak. Kota ini masih tak aman. Tapi sebab itu aku mencari orang macam kau ini. Orang yang cuba "sedaya-upaya"."

"Kau ni psychopath!" Dia cuba untuk memanipulasi pemikiran aku. Aku tidak boleh percaya kata-katanya.

"A psychopath is better than no path at all. Seperti engkau encik polis. Masih mencari-cari maksud kehidupan. Tapi jangan risau. Sebab itu adanya aku di sini; untuk memberikan kau satu jalan."

Tiba-tiba pintu bilik itu dibuka oleh seorang polis. 

 "Maaf inspektor, suspek ini telah diikat jamin dan harus dibebaskan dengan segera."

"Apa? Siapa yang mengikat jamin dia?"

"Maaf inspektor, saya tidak tahu."

Kedengaran semula gelak ketawa yang mengjengkelkan. Aku melihat suspek itu sudah berdiri dan membetulkan tali leher dia. Dia mula bergerak menuju ke pintu keluar. Di hadapan aku dan berbisik di telingaku.

"First lesson for you, encik polis. Suara besar dan sepak terajang bukanlah benda paling "kuat" dalam dunia ini. Tapi otak dan duit. Haha."

Dia bergerak ke arah pintu keluar semula. Di pintu, dia memusingkan badannya dan berkata,

"Thank you for a lovely talk. Aku seronok sangat. Memang engkaulah orang yang aku cari selama ini. Kalau betul kau mahu selamatkan kota ini, cubalah "sedaya-upaya" kau untuk menangkap aku. Haha!"

Aku marah. Mahu saja aku menembak kepala si bangsat ini. Namun, aku lebih tahu apa akan jadi selepas itu. Jadi aku hanya mampu bersabar. Aku bertanya buat kali terakhir sebelum dia pergi.

"Siapa kau?" Apa pun jawapan dia, aku tidak akan lupa.

Dia tersenyum dan menjawab.

"Akulah Si Psychopath. Haha!"

***

23 Apr 2015

KARKAS #145: CELIK


Aku hairan melihat buku nota anak perempuanku yang baru memasuki darjah dua. Hanya garis lurus yang dilukisnya. Aku pun bertanya,

"Adik. Kenapa tak tulis apa yang cikgu tulis di depan? Kenapa buat garis je ni?"

"Tapi cikgu memang buat garis banyak-banyak je kat depan. Adik ikut la."

"Eh? Adik duduk belakang ke? Tak nampak eh?"

"Tak la. Adik duduk depan sekali."

Selepas mendengar jawapan anak aku itu, aku membuat keputusan untuk berjumpa dengan cikgu tersebut keesokan harinya. Aku menanyakan mengapa dia hanya melukis garisan di hadapan. Akan tetapi, dia mengatakan dia tidak melukis sebegitu. Malah, buku pelajar lain juga cantik tertulis nota-nota seperti yang sepatutnya.

"Adik. Adik tak nampak eh apa yang cikgu tulis di depan?" Aku menyoal anakku.

"Nampak. Cikgu lukis garis garis." Jawab anakku. Senyuman jelas di mukanya. Seakan dia yakin dengan jawapannya.

Aku terus membawa anak aku ke kedai cermin mata. Aku tahu anak aku sebenarnya tidak dapat melihat dengan jelas. Pekerja kedai tersebut mengatakan anak aku memang rabun. Malah, rabunnya agak teruk juga.

Selang seminggu, cermin mata anak aku siap dan ayat yang keluar dari mulut anak aku membuat aku sedar bahawa aku buta selama ini. Celik tapi buta.

"Waahh. Lawanya dunia. Cantiknya mama." Kata anak aku sambil memegang pipiku.


***

24 Mar 2015

KARKAS #127: JASMIN

Nama aku Laila. Siapa yang tidak kenal aku? Murid perempuan yang paling cantik di Sekolah Kebangsaan Chubadak. Rambut kerinting kenyalku yang menjadi idaman setiap gadis. Jelas ternyata perasaan cemburu di mata mereka melihat rambutku melantun-lantun di bahuku bilabaku berlari. Jika dipanah suria, rambutku bersinar keperangan.

Walaupun begitu, aku tetap mencemburui dengan keanggunan Jasmin. Jasmin dan aku merupakan kawan karib sejak tadika lagi. Perwatakan Jasmin yang lemah lembut sering membuat aku mahu menjadi seperti dia.

Aku perasan Jasmin selalu menemani Mustafa mengintai aku di balik pokok ara itu. Mustafa merupakan pelajar contoh di sekolahku. Dia murid yang baik. Hampir semua murid perempuan di sekolah ini menaruh harapan untuk menjadi kekasihnya. Termasuklah aku. Namun, aku simpan sahaja niatku kerana persahabatan aku dan Jasmin lebih berharga.

Pada satu hari, Jasmin datang ke kelasku dan mahu aku mengikutnya ke pokok ara tersebut. Katanya ada seseorang mahu berjumpaku. Bila aku tanyakan siapa, Jasmin hanya menjawab "Mr. M". Aku pasti Mr. M itu merujuk kepada Mustafa.

Perasaan aku bercampur aduk. Gembira kerana Mustafa mahu berjumpa dengan aku. Aku pasti dia mahu meluahkan rasa cintanya terhadap aku. Tetapi terselit juga rasa bersalah terhadap Jasmin. Aku sayangkan Jasmin. Tapi aku juga mencintai Mustafa. Yang mana satu harus aku pilih?

Sengaja aku memberi alasan untuk ke kantin sebentar untuk membeli keropok lekor. Sedangkan aku mahu sedikit masa untuk berfikir dahulu. Dan akhirnya aku membuat keputusan untuk memilih Jasmin. Aku tidak sampai hati untuk mematahkan hati sahabat aku itu.

Aku dan Jasmin tiba di pokok ara itu. Terlihat Mustafa berdiri di bawah pokok itu sambil memegang satu bungkusan putih yang berdarah. Tidak aku sangka Mustafa mahu hadiahkan hatinya kepada aku. Hati yang telah menjadi idaman aku.

Namun aku tetap dengan pendirian aku. Biarlah aku tidak dapat hati lelaki idaman aku, asalkan kawanku bahagia.

Di saat Mustafa mahu melafazkan kata cintanya, aku terus merampas bungkusan putih itu dengan rakus dan mengeluarkan hati Mustafa yang berdebar-debar itu lalu aku memasukkannya ke dalam mulut. Mustafa dan Jasmin tergamam melihat perlakuanku. Aku mengunyah bersungguh-sungguh dengan harapan Mustafa tidak akan menyukai aku lagi. Selepas menelannya, aku terus berpusing dan meninggalkan mereka berdua. Aku tidak mahu mereka melihat air mata aku. Aku tidak mahu Jasmin tahu yang aku buat semua ini untuk dia.

Biarlah Jasmin membenciku. Aku mahu dia bahagia bersama Mustafa.

"Inilah peluang kau Jasmin. Jangan lepaskannya."

***

KARKAS #125: MUSTAFA

Mustafa merupakan murid lelaki tahun enam di Sekolah Kebangsaan Chubadak. Walaupun tidak dikurniakan rupa paras yang handsome, tetapi gaya Mustafa yang baik tetap berjaya memikat hati Jasmin. Jasmin suka menemani Mustafa ke mana sahaja dia pergi. Walaupun menemani Mustafa mengintai Laila, murid perempuan tahun enam di sekolahnya, ketika pendidikan jasmani.

Jasmin sangat menyukai Mustafa. Demi kebahagiaan Mustafa, Jasmin dengan berat hati menolong Mustafa untuk memanggil Laila ke  pokok ara tersebut. Jasmin dengan berat hati menerima duit rasuah yang diberi oleh Mustafa untuk menutup rahsia dia menyukai lelaki itu.  Laila tiba sambil mulut nya mengunyah keropok lekor. Hati Jasmin penuh dengan rasa iri hati dan cemburu. Dia melihat Mustafa seakan tidak sabar untuk memberikan satu bungkusan kepada Laila. Bungkusan yang menjadi idaman Jasmin sejak dulu lagi.

'Ini hati saya.'. Jasmin hanya mampu melihat Mustafa menghulurkan bungkusan itu kepada Laila. Mahu sahaja dia pergi dari tempat itu, tapi entah kenapa dia terpaku sahaja di situ.

'Sudi tak awak..."

Belum sempat Mustafa menghabiskan ayatnya, Laila terus mencelah.

'Tak hingin!" Kata Laila sambil merampas bungkusan putih itu dan mengeluarkan hati Mustafa yang berdebar-debar itu. Tanpa teragak-agak dia memasukkan hati Mustafa ke mulutnya dan mengunyahnya bersungguh-sungguh dan menelannya sebelum berpusing dan meninggalkan Mustafa dan Jasmin di situ.

Jasmin tergamam dan menutup mulutnya dengan kedua belah tangannya. Membuak-buak perasaan marah di hatinya. Mahu sahaja dia menerkam Laila saat itu. Namun, ada sedikit rasa gembira di hatinya dan Jasmin tahu inilah peluang keemasan dia. Jasmin terus mengambil pisau lipat di dalam poketnya dan terus merobek keluar hatinya.

Belum sempat Jasmin memberikan hatinya, Mustafa telah bangun dan meninggalkannya keseorangan di situ. Sempat dia mendengar Mustafa berkata,

'Perempuan cantik memang kejam. Sebab itu saya dah tiada hati lagi.'

Jasmin mengutip kembali hatinya yang jatuh ditolak lelaki tiada hati.

'Tapi hati saya ni macam mana pula? Hati saya sudah mati.' Kata Jasmin. Hatinya yang asalnya merah pekat kini kian pudar. Tiada lagi denyutan padanya. 


***

KARKAS #121: KIAMAT

Baru sahaja aku keluar dari kedai emas. Hari ini sepatutnya merupakan hari paling bahagia aku. Hari ini aku bercadang untuk melamar teman wanita aku. Sudah 10 tahun kami bercinta dan sepanjang itu jugalah aku telah mengumpul duit untuk membeli cincin berlian idamannya. Setelah bersusah payah bekerja, akhirnya aku mampu membelinya. Aku bersungguh mahu melamarya hari ini.

Namun, kita hanya mampu merancang. Sesudah aku keluar dari kedai emas itu, apa yang aku nampak bukanlah bandar yang tenang seperti selalu. Semuanya porak peranda. Orang berlari  mencari orang tersayang masing-masing. Ada yang ke sana, ada yang ke sini. Aku lihat bangunan banyak yang telah hancur.

Aku menahan seorang nenek yang sedang berlari entah mahu ke mana. Aku bertanya apa yang sedang berlaku dan dia hanya menjerit,

"Hari sudah kiamat nak! Lari lah kau!"

Kiamat? Tak mungkin! Hari ini sepatutnya hari bahagia aku. Aku terus berlari mencari kekasih aku. Hampir seluruh pelusuk bandar sudah aku pergi, namun gagal. Aku menjerit sekuat hati aku walaupun aku tahu itu hanyalah usaha yang sia-sia.

Tiba-tiba aku merasa satu gegaran yang kuat. Gempa bumi! Beberapa bangunan mula runtuh. Aku berlari mencari perlindungan. Kemudian, aku nampak beberapa puting beliung yang besar mula menuju ke arah bandar ini. Apa yang aku boleh lakukan sekarang?

Aku melutut pasrah. Aku tidak pernah percaya akan agama. Aku tahu aku silap. Baru sahaja sebentar tadi bandar ini aman damai seperti selalu. Kini, dunia hancur di depan mata aku sendiri. Aku mengangkat kedua belah tangan aku dan cuba membuat sesuatu yang telah lama aku tinggalkan. Berdoa.

"Oh Tuhan, aku memohon belas kasihanMu. Selamatkanlah aku dari malapetaka ini".

Sesudah aku habiskan doa aku itu. Aku mendengar satu suara yang kuat. Bunyi seperti orang sedang mengeluh. Aku lihat sekelilingku, namun seperti tiada siapa mendengarnya. Hanya aku seorang sahaja yang dengar suara itu. Suara itu kedengaran sekali lagi.

"Haih, bosan".

Aku menangis. Adakah ini balasannya? Balasan untuk orang yang kufur? Mana mungkin taubatku akan diterima. Sudah kiamat. Aku menyesal.

****

"Haih, bosan". Aku mengeluh sendirian.

Kemudian satu suara muncul dari tingkat atas.


"Woi Ali. Hang dok main Sim City apa lagi tu? Mai connect DOTA cepat. Tak cukup lagi seorang ni!"

***

14 Mar 2015

KARKAS #102: BUDAK PRAKTIKAL: JAGA MESIN

Hari ini adalah hari ke empat aku praktikal kat sini. Ramai lagi masih aku tak kenal. Dan kerja yang supervisor aku bagi cuma lah trim part part kereta. Layankan aje lah.

Aku kerja di sebuah kilang di shah alam. Dan kebanyakan pekerja kat kilang ni berasal dari Nepal. Pekerja Nepal ni lebih murah berbanding dengan pekerja tempatan. Sebab tu ramai pekerja dari Nepal.

Disebabkan diorang ni murah, cakap melayu memang tak tahu sepatah haram la. Cakap english pon "okay" dengan "yes" je la. Kalau pandai sikit, ada la extra lagi.

Sedang aku trim part ni, ada sorang akak melayu ni tanya aku. " Adik pandai jaga machine?" Sambil tunjuk ke arah machine injection moulding.

"Tak tahu lagi kak." Balas aku.

"Oh, nanti encik sofi kau ajar la tu. Kau tunggu je la."

"Haa. Baiklah kak."

Lepas tu dia blah. Aku pon tak tau apa motif dia. Saje nak sembang la tu. Aku sambung kerja aku lagi. Then selang berapa minit, ada sorang pekerja Nepal datang ke arah aku.

Sampai-sampai je kat aku dia terus tanya. Aku pon dengar je la loghat entah apa dia.

"Jaga machine?"

"Err. Saya tak tahu la. Hee." Jawab aku nak tak nak.

"No no. English please. I'm new."

Ah sudah. Tak melayu plak. Tp not bad english dia. Boleh la tu. Aku pon jawab la.

"Haa. I'm sorry. I dont know how to handle this machine."

"No no. Sikit sikit. I'm new."

Aik. Tu reti bahasa melayu tu. Sikit sikit okay la tu. Aku pon bangang cakap bahasa English mcm ckp dgn lecturer.

"Ha. I don't know."

"Jaga machine? You don't know? " balas nepal tu sambil isyarat tangan yang aku lgsg tak tu apa mksd dia.

"I dont know !"

"Jaga machine? Here here. You dont know."

Cilakak nepal ni. Aku tak tahu tu maksud dia tak tahu la. Aku pon terus la bertekak dengan dia macam ayam dengan itik. Aku tak faham dia tak faham.

Then tiba-tiba ada tgn menyentuh bahu aku. Aku pusing then ada sorang officier kilang tu. Aku rasa dia selalu kerja kat sebelah tempat aku.

"Dia cari saya lah. Apa kamu ni?"

Aku pon pelik. Aku terus tengok name tag dia ada tertulis.

JAGHEMAN SINGH


Celaka tol.

***

11 Mar 2015

KARKAS #91: PERGI JAUH

Aku bancuh kopi aku pelan2. Ratio campuran mestilah kena betul. Barulah "umph". Bila ratio dah betul, aku panaskan pelan2. Berasap. Aku hirup pelan2.  Hmmm. Aku terus hirup sampai hbs. Fuuhh Aku lepaskan rasa lega. Penuh satu bilik bau kopi. Bau wangi. Teko berasap aku letak tepi. Siapa nak boleh lah ambil sana. Self service.

Aku kalau lepas minum kopi mmg jauh fikiran aku melayang. Macam macam aku fikir. Sebab itu aku suka minum kopi sebelum menulis. Macam macam ilham yang datang. Tangan laju je menaip bagai air sungai mengalir. Tapi kadang mengarut juga apa yang ditulis. Jauh sangat perginya.

Aku terus menulis cerpen pertama aku yang bertajuk "Pilihan". Tak pernah-pernah aku menulis, tapi aku gigihkan juga sebab excited cerpen aku bakal dicetak.


Tengah rancak aku menulis, tiba-tiba sangkut sebab idea putus. Tak ada idea pula. Bila idea tak ada, kita minum lagi. Slurp. Hmm. Fuhhh. Ahhh. Tapi yang susah nya kalau minum banyak sgt ni, badan aku jadi berat. Tak larat dah nak menulis. Dah terlampau jauh. So aku decide untuk tidur sahaja. Sambung esok walaupun dateline untuk Bas Tak Bernombor dah dekat.

***

KARKAS #59: PEGUAM

Hari ini adalah antara hari paling sukar buat aku sebagai seorang peguam bela. Aku harus bukti kan seorang pembunuh itu tidak bersalah dan menuduh orang lain. Tapi aku terpaksa kerana anak perempuan ku telah diculik dan hanya selamat jika aku berjaya bebaskan client aku itu. Adakah aku patut pilih keadilan atau kepentingan aku sendiri?

***

KARKAS #44: KAWAN

Aku duduk berseorangan ditengah-tengah bilik berwarna putih yang kosong tanpa sebarang perabot atau apa-apa barang. Sunyinya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Lalu masuk seorang kawan membawa beberapa bekas cat pelbagai warna dan mula menyimbah cat tersebut di setiap sudut bilik itu. Lalu dia pun keluar dari bilik itu tanpa sebarang kata dan aku kembali keseorangan,  tetapi tersenyum.

***

KARKAS #43: DRAMA DUNIA

Sedang aku lepak menyedut nikotin masuk ke dalam ruang paru-paru aku ini, aku lihat ada orang gila yang compang-camping pakaiannya mengambil sebuah botol air plastik yang berbaki separuh dari sebuah tong sampah. Berdekatan dengan kawasan itu, aku lihat seorang pengemis sedang meraih simpati meminta bantuan mahu membeli air. Di saat orang "normal" hanya mendongak kepala tidak menghiraukan pengemis itu, orang gila tadi menghulurkan air yang dijumpainya tadi dan berlalu pergi. Oh drama dunia.

***

Margolas: Karimul Hakim

KARKAS #18: AKU DAN GITAR

Malam jumaat selalunya manusia akan bersama dengan pasangan tersayang mereka, tetapi aku hanya ditemani gitar ku sahaja. Malam yang sunyi itu, aku memetik gitar ku dan tiba-tiba aku terdengar satu bunyi yg pelik. Aku yang kehairanan cuba memetik sekali lagi dan bunyi yang pelik itu keluar lagi. Dam baru aku perasan,

"Oh gitar ni tak tune lagi rupanya."


***

Margolas: Karimul Hakim

KARKAS #11: PAK GUARD DAN MESIN MASA II

Dalam perjalananku ke kantin pekerja, aku bertemu dengan Abg Ali yang merupakan seorang pak guard yang lebih senior daripada aku yang juga sedang menuju ke kantin. Baru sahaja aku ceritakan padanya tentang mesin masa yang aku jumpa tadi, kami dikejutkan dengan ramai pekerja makmal baru datang bekerja sedangkan waktu masuk kerja adalah pukul 6 pagi dan mereka tidak pernah lewat ke tempat kerja. Adakah aku sudah patah balik masa ke 4 jam yang lalu?

***

Margolas: Karimul Hakimi

#KARKAS 10: PAK GUARD DAN MESIN MASA

Hari ini merupakan hari pertama aku bertugas sebagai pak guard dan tugas pertama aku ialah meronda kawasan makmal. Aku cuba masuk sebuah makmal dan aku nampak sebuah mesin pelik yang tertulis mesin masa. Oleh kerana sifat ingin tahu aku sungguh kuat, aku cuba tekan-tekan butang pada mesin itu tapi tiada apa yang berlaku. Aku terus berlalu pergi ke arah kantin pekerja untuk sarapan sebab sudah pukul 10 pagi.

***


Margolas: Karimul Hakim

10 Mar 2015

KARKAS #3: MALAM YANG SUNYI

Biasalah seperti malam-malam sebelum ini, aku hanya bermain telefon pintarku menunggu mata terlelap di buai mimpi. 

Namun malam ini aku terasa lain sikit suasananya. Sunyi dia lain macam. Sejuk dia pun lain macam. Tidak panas seperti selalu. Angin meniup menyapa kakiku, seakan ia bermain-main dengan bulu betis ku. Lama-lama, aku rasa seperti bukan angin yang bermain dengan bulu betis ku. Seperti benda lain. 

Tiba-tiba lampu bilik air ku terbuka. Hairan, tiada bunyi orang memasuki bilik air dari bilik lagi satu. Bilik air ini bilik aku kongsi dengan bilik adik aku. Rasanya adik-adik sudah tidur. Sudah pukul 3 pagi. Esok mahu sekolah. Gila tak tidur lagi. Aku sahaja yang sedang cuti. Bolehlah tidur lambat. 

Lampu bilik air aku tu berkelip-kelip pula. Ah sudah. Rosak pula ke? Aku pun rasa nak terkencing ni. Bangunku dari katil terus ke bilik air. Saat aku buka pintu bilik air ku, lampu bilik air aku mati terus tak bernyala. Ni sudah lebih. Bila aku tekan suis, menyala seperti biasa pula lampu itu. Tanpa buang masa, aku buang apa yang patut dalam bilik air itu. Habis sahaja tanggungjawab aku dalam bilik air, aku terus tutup lampu dan tidur.

Inilah bahana lampu rosak yang tak ditukar-tukar mentolnya.

***

Margolas: Karimul Hakim