Desir angin yang menghanyutkan haruman nektar kau telah
membawa aku ke sini, entah dari mana datang dan ke mana perginya, tidak lagi
aku persoalkan. Yang penting, aku telah ketemu empunya diri. Kau di situ, berdiri
anggun, gah jelita dilimpahi cahaya suria yang memancar terang, menjadikan kau
ketara berserinya.
Tanpa segan silu, kau depakan tangan ingin menyambut aku
mesra. Seolah kita telah lama kenalnya. Jarak yang memisahkan kita hanyalah
sekadar ukuran relatif yang tidak sesekali memungkinkan penghalang hubungan
yang platonik sebegini.
Tanpa rasa malu, kau suakan tubuh, menjemput aku jamah
sebaiknya. Umpama jiwa kita telah lama menyatu dalam satu ikatan kasih sayang
yang tidak terluah tetapi hati masing-masing tidak pernah berhenti berbicara
tentang betapa aku memerlukan kau dan betapa kau mendambakan aku.
Ya, aku keliru. Tidak banyak; sedikit cuma. Sedikit yang
signifikan. Tetapi kekecelaruan itu pantas sahaja menghilang bersama
sepoi-sepoi bahasa angin yang melintas sesekali. Membuaikan tubuh kau meliuk
lentok. Dan aku – goyang semahunya. Ada satu kapal besar sedang merempuh
ketulan ais kewarasan yang terapung di lautan pertimbangan. Tidak
seperti Titanic yang menurutkan nasib malang meski diwar-war sebagai
kapal yang tidak mungkin tenggelam, ketulan ais kewarasan tadi kini bersepai
menjadi longgokan kecil lalu dicedok masuk ke dalam dua gelas lemonade,
siap terhidang di atas meja kecil di sisi kau.
Telah diabaikan begitu sahaja pembasah tekak sebaik kita
bersentuhan. Kau alu-alukan aku di dalam diri, mencetus imaginasi tentang
betapa liarnya aku akan memperlakukan kau usai pusingan pertama. Aku mahu ia
jadi istimewa. Aku mahu ia mencambah keintiman yang terdalam buat kita.
Selepas segenap inci tubuh kau puas aku teroka, aku berehat
sebentar meneguk lemonade yang masam-masam manis. Ketika itulah aku
melihatkan insiden yang merabakkan aku.
Kau sambut kumbang lain bagai aku tiada makna. Seronok bukan
menjadi sesuatu yang memperalatkan pihak lain tanpa sedikit pun rasa peduli
dalam mencapai apa jua keinginan kau?
***
No comments:
Post a Comment