Showing posts with label AK04. Show all posts
Showing posts with label AK04. Show all posts

5 Jan 2016

KARKAS #239: REBAH DI HUJUNG JALAN

'Lukisan yang sangat cantik dan nampak hidup, biarpun cuma sebatang jalan yang hujungnya ada cahaya, di tengah jalan itu pula ada perempuan terkelempai sayu tanpa seurat benang.'

*******

Saya seorang pengkarya seni. Kebanyakan karya lukisan saya dipamerkan di Galeri Balai Seni Negara. Ramai orang memuji dan mengatakan lukisan saya nampak seakan hidup. Wartawan juga selalu mengajukan soalan yang sama, apakah rahsianya? Saya menjawab rahsia juga.

Saya tinggal di sebuah banglo usang terletak di Bukit Persekutuan. Memang aman, jauh sekali dari kesesakan ibukota. Hanya van Pak Akub sahaja yang sering lalu di hadapan banglo saya. Kalau melihat saya sedang berehat di perkarangan banglo, pasti Pak Akub membunyikan honnya yang suram lagi seram kedengaran.

Pada suatu malam, datang seorang pelacur mengetuk pintu banglo saya. Dia kata dia lari daripada ibu ayamnya. Saya tidak menanyakan sebarang soalan, mungkin dia perlukan perlindungan sementara, menunggu keadaan kembali reda entah bilanya. Katanya mungkin 3 atau 4 hari. Saya hanya diamkan diri, tidak membantah dan membenarkan dia menetap sementara di banglo saya. "Lepas mandi, kita makan malam bersama."

Makan malam sudah saya siapkan, pelacur itu kelihatan segar dan berbau harum, dia memperkenalkan diri sebagai Sherry sambil tersenyum; dengan tubuh genit yang mengiurkan, payudara yang sederhana, putih gebu, mungil, cukup sempurna bagi saya.

Semasa makan, saya perhatikan Sherry asyik memandang kiri kanan. Seperti ada yang mengganggu fikiran dan perasaannya. Resah dan keliru.

"Mengapa? Tidak sedapkah masakkan saya?" saya bertanya.

"Awak ni, pengkarya seni ke? Banyak lukisan dan patung-patung arca manusia di sini dan nampak seakan hidup?" soalan saya tadi tidak dijawab, malah seperti menunggu saya memulakan berbicara.

"Sekadar hobi saja," terlalu segan untuk memberitahu siapa saya sebenarnya.

"Bolehlah lukiskan potret atau arca saya nanti?" permintaan dia kali ini dengan senyuman manis yang diberikan membuat saya yakin, dia cukup sempurna.

"Saya fikirkan kemudian." saya berasa malas untuk berbasa-basi.

Sherry menawarkan dirinya untuk mencuci pinggan mangkuk yang telah digunakan. Saya tidak membantah dan alangkah senangnya jika saya ada isteri. Saya menghampiri Sherry dari belakang dengan perlahan, pada fikiran saya dia seorang pelacur dan dia tidak mungkin marah atau menyesal dengan perbuatan saya nanti. Saya mencapai senduk kayu, dengan sekali hayunan di kepalanya, Sherry pengsan.

Di belakang banglo saya telanjangkan dan menanam Sherry hidup-hidup, cuma kepalanya sahaja yang kelihatan. Tubuhnya pula diikat mengikut struktur liuk tubuh yang saya bayangi untuk karya saya nanti. Kepalanya saya gerudikan hingga menembusi tengkorak, kemudian saya curahkan raksa yang panas pada lubang tengkoraknya. Kerja saya masih belum siap lagi, kena tunggu 4 atau 5 hari dan mengharapkan cuaca panas sepanjang hari.

Selepas 4 hari saya gali kembali, dan dengan mudah saya menarik kulitnya dengan sempurna. Saya perlu kulit Sherry untuk lukisan terbaru saya. Seluruh tubuhnya yang diseluputi raksa sangat sempurna dijadikan patung arca untuk hiasan rumah saya.

*******

Pak Akub memberhentikan vannya di depan rumah saya. Memang selalu saya meminta pertolongan Pak Akub untuk menghantar lukisan saya ke galeri.

"Wah, lukisan baru? Apa tajuknya?"

"Rebah Di Hujung Jalan."

24 Dec 2015

KARKAS #236: MENGUSUNG RINDU

Setiap hari, Aidil akan menunggu dia di simpang jalan. Melihat dia pergi dan pulang dari kerja. Tak pernah lewat. Hal ini menjadi rutin Aidil semenjak tiga bulan yang lalu. Aidil akan berdiri di balik tiang, merenung dia yang menunggu bas di simpang jalan. Bukan Aidil malu atau takut untuk menegur. Tetapi kenangan lalu yang menghentam perasaannya setiap kali merenung gadis itu, menghalang.

Aidil rindu. Rindu padanya takkan pernah berhenti. Sampai mati.

- - - - -

Hujan turun rintik-rintik. Payung ditangan segera dibuka. Tidak mahu kebasahan. Hari masih awal dan Ayuni taknak basah lencun bila sampai di sekolah. Beg yang tergalas dibawa ke depan. Sebelah tangan memegang payung sebelah lagi memeluk beg.

Sekolah hanya 200 meter lagi. Ayuni berlari-lari anak. Elok sampai di depan pintu pagar, loceng sekolah berbunyi. Phew! Sempat!

Ayuni berjalan melepasi pintu pagar sekolah. Ada seorang pengawas lelaki di situ.

"Lain kali jangan lambat, Ayuni."

Ayuni memberhentikan langkahnya. Dia segera berpaling. Pengawas lelaki itu buat-buat sibuk mencatit sesuatu di atas buku notanya.

"Mana awak tahu nama saya"tanya Ayuni. Dia menghampiri pengawas lelaki itu.

"Saya Aidil. Budak kelas sebelah awak."
"Oh. Maaflah. Saya tak tau. Saya pergi dulu ya."
"Next time jangan lambat sebab saya tak janji boleh lepaskan awak sekali lagi atau tak."

Ayuni tersenyum manis. Dia meninggalkan Aidil dengan tugasnya. Entah kenapa hati Ayuni berbunga-bunga pagi itu.

- - - - -

"Saya taknak awak hubungi saya lagi! Kita putus!"

"Tapi saya cintakan awak, Ayuni! Jangan tinggalkan saya. Tolonglah. Saya merayu sangat!"

Ayuni tak mengendahkan kata-kata Aidil. Dia menolak kasar kerusi yang didudukinya. Wang kertas RM10 diletakkan di atas meja

Aidil dipandangnya tanpa perasaan lagi. Sudah tiada cahaya cinta di matanya. Cuma tiga tahun. Dan cinta di hatinya telah mati buat Aidil.

"Ni semua sebab budak tu kan? Budak yang selalu hantar awak balik. Betulkan?"tanya Aidil tiba-tiba. Dia juga turut bangun berdiri. Pandangan mata pelanggan lain tak dihiraukan.

"Apa awak ni! Bukanlah. Saya yang dah bosan dengan awak! Hey, saya dah nak habis belajar. Tapi awak? SPM pun gagal! Saya taknak hidup dengan lelaki macam awak!"

Aidil tertunduk. Malu. Sampai hati Ayuni mengeluarkan kata-kata begitu terhadapnya. Tak apa Ayuni. Hari aku akan tiba nanti.

- - - - - -

Pisau ditangan menitiskan darah merah pekat. Dua jasad yang terbaring di lantai dipandang puas. Dia tersenyum sendiri.

"Bukan salah aku Ayuni. Tapi kau yang buat aku macam ni.  Kau yang salah!"

Aidil menjatuhkan lututnya di sisi jasad kaku Ayuni. Diselak rambut yang menutup wajah gadis yang telah sekian lama mencuri hatinya itu.

"Kau bodoh Ayuni! Kau mainkan perasaan aku. Kau buang aku macam aku tak ada harga. Kau tak pernah nak nampak cinta aku kat kau. Kenapa Ayuni? Kenapa buat aku macam ni?!"ratap Aidil sepenuh hati. Dia benar-benar kecewa dan kekecewaannya dibalas dengan kematian.

Pisau ditangan di angkat tinggi lalu dibenamkan di dada kiri Ayuni. Darah merah memercik ke wajahnya. Selepas itu, dia bangun berdiri lalu berjalan perlahan meninggalkan rumah kosong itu. Sarung tangan yang dipakai ditanggalkan lalu dicampakkan ke kerusi belakang kereta.

Ayuni mati. Mati ditangan bekas kekasihnya sendiri.
- - - - -

Tajuk akhbar hari ini ;

SEPASANG KEKASIH DITEMUI MATI DIBUNUH.
Bersama laporan akhbar, turut disertakan nota yang ditinggalkan oleh pembunuh.

"Setiap detik jantung berdetak,
setiap nota jiwaku berlagu.

Dan,
Bila malam hadir,
Sepi tak pernah pergi.
Memeluk diri, memujuk hati,

Dibilangnya cinta tak mati.
Cinta takkan pernah mati.
Tapi yang mati itu adalah jiwa.

Jiwa yang pernah berjanji."

1 Dec 2015

KARKAS #233: LELAKI SENJA DAN BIDADARI

"Hei orang tua, ceritakan kepadaku riwayat yang banyak dikhabarkan orang di sini!"

Dengan lagak yang angkuh, kau menegur seorang lelaki di tepi surau. Lelaki itu senyum. Senyumannya memukau.

"Baiklah anak muda. Biar aku ceritakan... "

*****

Dia adalah lelaki senja. Usia, wajah, dan peribadinya adalah senja yang terlukis pada seorang manusia. Tubuhnya tak lagi gagah, hanya menanti waktu rebah. Namun rezeki diusaha sendiri dicari seluruh pelusuk desa, meredah segala sungai—hulu ke muara.

Lelaki senja, sepertimana gelarannya, adalah sebuah kesunyian. Sendiri hidup di gubuk buruk dan usang. Pun, lelaki senja tidak pernah lelah dari mendekati Tuhan. Sejadah buruk di ruang gubuk, seakan tidak pernah berganjak. Terbentang kemas menjadi lapik sujudnya setiap masa yang tersisa. Begitulah, lelaki senja terkenal dalam kalangan orang alim desa sebagai al-abid.

Kisah bermula, ketika lelaki senja terserempak seorang gadis di denai hutan. Gadis bermata biru terlantar longlai tidak berpakaian. Lengguk lekuk tubuh gadis itu mengujakan, lelaki senja terkelu tidak keruan. Melihatkan seorang lelaki asing, gadis itu cuba melindungi tubuh, merengkok dengan lengan menutupi lurah.

Lelaki senja tergamam. Segera pandangan dikalih, sebelum nafsunya menggelegak perih. Jubah lusuh, yang koyak bertampal dan kusam, dilucutkan lalu dihulur ke arah gadis. Si gadis menyambut lesu, tersenyum malu dan berterima kasih. Pipinya kemerahan. Pantas, jubah lusuh itu si gadis sarungkan ke tubuh. Dia sedikit selesa.

Dari mata, perkenalan mereka pun bermula. Ada debar di hati lelaki senja, berdegup kencang hampir terbang melayang. Gadis itu, menurut ceritanya adalah mangsa noda. Lelaki senja kasihan, lalu dipapahnya gadis lemah itu pulang ke desa.

Di desa, riuh warganya ketika terlihat kelibat, lelaki senja bersama bidadari syurga. Gadis itu terlihat bersinar, cantik mempersona, memukau tiap mata yang memandang. Mereka disambut mesra penuh ceria, namun di hati sebaliknya. Para jejaka, tua muda mahupun remaja pantas memasang angan. Para wanita, gadis mahupun anak dara, mula terlihat riak kegelisahan. Desas-desus mula tercetus, ada yang mengusulkan, agar lelaki senja dan bidadari syurga segera dinikahkan.

Usul ini dibantah keras kaum adam!

Mereka berbalah, apakah layak lelaki tua uzur mahu menjaga gadis muda berlurah ghairah? Sedang di sisi kaum hawa, mereka melahirkan khuatir akan suami yang matanya mula meliar. Malah, ada yang persoal–siapa sebenarnya gadis itu? Apakah hadirnya mahu memporakperandakan desa?

Akhirnya, si gadis bersuara–'aku menerima lelaki senja sebagai teman hidup, cinta dan setia'. Maka, terkatup-kuncilah mulut warga desa, tanpa pertikaikan apa-apa. Namun masih ada yang menggumam sendiri, berbasa-basi tidak puas hati. Bisik-bisik terdengar,  gadis itu syaitan bertopengkan bidadari syurga.

Malam menjelang pada hari pernikahan, gubuk buruk lelaki senja dibakar, hangus tanpa sisa. Maka rentunglah gadis itu sendirian. Entah siapa punya angkara. Lelaki senja, ketika itu sedang asyik di rumah ibadah tekun mensyukuri nikmat. Hanya sejadah usang yang terselamat, tidak terjejas oleh api marak. Sejadah itu dipeluk erat lelaki senja, amarah mula memijak sabar. Cinta lelaki senja pada gadis telah terputik meliar, berkembang mekar sejak pandangan mata saling bertukar. Kerana itu, memaafkan pengkhiatnatan ini terlalu sukar .

Cinta yang mendalam telah menjelmakan sejadah kepada gadis yang dirindui.

Air mata yang tumpah dari mata lelaki senja berlarutan hingga sebulan lamanya. Sejadah itu, terpeluk erat olehnya. Hingga satu malam, saat pohon-pohon sujud ke bumi, sejadah itu membawa lelaki senja terbang ke 'syurga'. Di sana, dia bertemu gadis tercinta berhias indah terkalah bidadari–sempurna. Namun wajahnya keruh, seakan ada hajat yang belum dilabuh.

"Usah menangis lagi sayang, aku akan sentiasa bersamamu. Sejadah ini, adalah jelmaanku. Kelak, balaslah dendammu untukku." Lelaki senja khusyuk mendengar. Cintanya, melumpuhkan akal dan sabar.

"Seperkara lagi, usah kau biarkan sesiapa jua melihat sejadahmu ini. Kerana nanti, mereka pasti cuba membinasakan kita. Mereka mengatakan aku ialah syaitan. Tolong, hapuskanlah mereka."

Lewat senja itu, seluruh desa musnah terbakar. Dengan sekali hayunan, sejadah berubah menjadi naga yang murka, membaham seluruh desa dengan api marak menyala. Jerit pekik warga desa terdengar sayup, sebelum segalanya tenggelam dalam kobar api menggila.

Kisah terakhir lelaki senja yang diketahui,  dia mengusung sejadahnya ke mana saja. Namun tiada seorang pun yang pasti, ke mana lelaki senja itu pergi. Kerana, setiap mereka yang pernah menemui lelaki itu ditimpa bencana, maut dibaham neraka.

*****

"Begitulah, riwayat yang diceritakan oleh penakanku, anak muda. Riwayat yang diwarisi leluhurku." Lelaki itu tersenyum—manis.

Kau memandang curiga pada lelaki itu. Ya, di bahunya sejadah aneh—bercahaya!