Pernah duduk diam di balik bangunan tinggi di kantor-kantor
sibuk, di balik bangunan pencakar langit yang tidak punya signifikasi kepada
kita-kita yang hanya ibarat debu berterbangan ditiup angin liar yang bertiup
kencang? Bila mana tibanya momen-momen yang membuatkan kau berfikir tentang
kisah-kisah yang dibawa oleh deru perlahan bayu waktu senja, atau cerita-cerita
yang dibisik halus oleh angin laut yang membawa bau garam yang mengintoksikasi?
Aku selesa untuk duduk diam apabila minda aku terlampau
berat untuk diasing-sisihkan perkara yang perlu aku jadikan sebagai prioriti
dan sebaliknya. Dan masa-masa sebegini, apresiasi aku jatuh semuanya pada sang
angin. Pada semua yang bertumpang harap padanya untuk bergerak. Burung-burung yang
berterbangan bebas, debunga yang mencari ruang untuk bercambah; perkara-perkara
sebegitu.
Kerana, kadangkala perkara yang bermain dalam minda aku
pabila aku perlu berhadapan dengan karenah manusia yang mencengkam, adalah
manusia itu tak ubah seperti angin. Ada masanya berubah haluan mengikut apa
yang telah Tuhan tetapkan. Ada kalanya setenang-tenang ciptaan, dan ada masanya
penghancur segala.
Dan ingatlah, kerana aku juga tergolong dalam golongan
sebegitu. Aku juga seperti sang angin yang boleh berubah haluan bila-bila masa
sahaja. Dan suka untuk aku khabarkan, jangan dicabar tenangnya angin, kerna
angin yang tenang itu juga boleh menjadi seliarnya.
***
No comments:
Post a Comment