23 Apr 2015

KARKAS #140: GAGAL

Sunyi. Bunyi kipas berpusing mampu aku dengar dengan peka. Kertas di hadapan muka lencun dek peluh yang berjurai.

Aku hairan, ke mana perginya semua yang aku rancangkan sedari aku memulakan langkah mengejar perkara ini, yang secara harfiahnya tidak aku yakin akan berjaya.

Jarum saat bagai kilat bergerak walhal ia bergerak dalam detik perlahan dan suara garau bagai Azazil mula berkata, "Masa menjawab tinggal 30 minit sahaja lagi."


Aku semakin kaget, bilamana peluh dingin mula memercik di dahi, sambil benak mula ligat memikirkan jawapan kepada soalan-soalan yang tidak punya signifikasi kepada aku yang ketika itu buntu.

Belakang pensel aku gigit kuat, sesekali ada juga aku jelingkan anak mata pada meja sebelah yang khusyuk menulis semacam sebentar lagi akan kiamat.

Aku hairan, apa bezanya aku dan mereka? Hinggakan aku tenang seperti ozon sebelum ribut; diam, tetapi pada masa yang sama bakal membawa kemusnahan besar-- kepada diri sendiri.

Ah! Aku makin gabra dan dengan fikiran yang bercelaru, aku tamatkan menjawab dengan ayat biasanya anak darjah dua sahaja yang melakukannya, sedang aku di tingkatan lima, "Assalamualaikum cikgu, saya anak yatim cikgu, tolong saya ya, Allah sendiri mengarahkan hamba-Nya menolong satu sama lain."


***

No comments:

Post a Comment