"Adik... Karang mak lalu masuk pintu ni... Kau lompat
tau!"
"Alaaaa... Nanti aku yang kena lah Along! Kita lompat
sekali lah!"
"Ahh! Kau ni dik!"
Adik dan Along memerhati sesama sendiri, mencangkung di
dapur mempersiapkan diri. Mereka memasang telinga mencongak derapan tapak kaki
Mak Poh, ibu mereka. Dalam keadaan menikus—seperti tikus, mereka menyorokkan
diri di celahan rak pinggan-mangkuk yang terletak di balik pintu dapur. Medan
itu adalah kubu. Kubu hamparan kejutan kegemaran. Detik selepas lompatan
menyergah itu lah yang ditagih seharian. Tatkala sergahan mengejut itu
dilakukan sebentar lagi, reaksi Mak Poh pasti memercik kelucuan.
Adik dan Along punya rancangan baharu. Kali ini, topeng
Incredible Hulk disarung keduanya. Telah digodek bersama sewaktu bergolek di
atas katil semalaman, Incredible Hulk adalah watak yang bakal dimainkan untuk
mencungkil keletah terhebat ibu mereka.
Keletah Mak Poh, tiada tolok-tandingnya. Petah keletahnya
adalah latah yang azali, bukan direka, ia seolah disampuk saka. Sekali dia
melatah, tuturnya bikin humor merebah. Carut—maki—tampar—nyanyi—silat—tergeliat
berjam lamanya.
Seluruh penduduk kampung berkongsi satu hiburan sohor yang
sama, mengusik Mak Poh. Ada sekali Mak Poh pengsan kerana bersilat sambil
menjerit "kote babi besar babi!" 3 jam tanpa henti—mujur tidak mati.
Ada pun kali ni, giliran anaknya, Along dan Adik, mengidam
memecah rekod peribadi ibu mereka. Kain gebar putih terselubung di badan,
bertopengkan Hulk, tersiap-siaga di celah rak pingan-mangkuk di dapur. 'Rasakan
mak... rasakan.....'
Saat rekod bakal dipecah, semakin hampir. Runut derapan
tapak kaki semakin kuat menuju ke arah mereka. Semakin kuat, dan kuat....
Krakk....
Krakkk....
Krakkkk....
HULKKKK!!! HUWARGHHH!!!
"Opocottt mak kau hijau dinding pecah..."
—Darah dari buah pinggang Along memancut ke pojok kiri rak
pinggan.
"Amboiiii setan hijau badan putih cilaka..."
—Perut Adik terburai isinya; berselirat usus perut terawang
lalu melantun-lantun ke lantai.
"Ewaaaahhhh pontianak muka hijau ewaahhh..."
—Leher Along tertusuk lantas menyembur darah menderu-deru
menempias ke muka Mak Poh.
"Aceyy ceyy ceyy hijau putih muka buruk..."
—Adik rebah ke lantai sambil biji mata kiri dicungkil hingga
terbonjol keluar.
"Hohh...hohhh...." dengus ngauman nafas Mak Poh
membuak-buak. Pisau di tangannya, merah pekat dibalut darah. Pesona yang
ditagih semua dek henyak beliau melatah, kini telah meratah.
***
No comments:
Post a Comment