17 Mar 2015

KARKAS #119: SIRR

Hatinya rasa serba tak kena. Langit yang berbumbungkan pualam itu tidak mampu menenangkannya. Alamat mimpinya semalam akan ada lelaki gagah berhati dura. Kerana mimpi itu akhirnya dia di sini, di bawah air mata Ledang, bersuluk mencapai sukma yang paling tenang. 

Telinganya masih terdengar irama serdam yang ditiup semalam, seolah-olah dia telah dimanterakan dengan syair pengasih ken tambuhan. Tangannya longlai memegang busur, kijang dihadapannya tersenyum mengejek. Buruannya menari dan hilang.

Silanya sudah tidak lagi kemas. Dia pulang ingin mengambil busur namun dia dikejutkan dengan seekor cintamani dan kijang semalam. Mengapa pula siluman cintamani ini mendendami dia? Dan kenapa pula kijang semalam datang dengan selendang sutera bianglala? 

Dia akhirnya jatuh dipatuk cintamani dan kijang itu membawa dia ke sebuah istana yang diperbuat daripada campuran hablur dan pualam. Pendar yang dihasilkan bagaikan muka laut! Indah!

Indah?
Dia kenal perempuan yang duduk di sebalik dupa tembaga suasa itu. 
"Kau datang berlengan Khatamunn Nubuwwah, berkunci Lam Jalalah untuk membunuh aku?" Dan rupanya dialah lelaki berhati dura. Dia menangis semahunya. Adiratna yang ditunggu sudah bertuhankan iblis.

Dia memperkemas sila. Segera air matanya diseka. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembus perlahan-perlahan, seakan ditahan-tahan.  Indah meratib mencapai khusyuk namun dia terkejut dengan serangan Budi. Budi sudah bersatu dengan udara bawaan alam. Saranan angin yang mengena membuatkan telinganya berdesing. Dia menekup telinga, sakit! Ah! Pendengarannya sudah rosak tatkala dia melihat darah di tapak tangannya. 

Nampaknya lelaki dihadapannya sudah 'hilang'. Indah kembali meratib namun dia masih gagal apabila saranan kedua dari Budi adalah 7 kali penutup Kursy. Sarung Taghut tertanggal dari tubuh Indah. Dan sekarang dia hanya perempuan lumpuh di hadapan lelaki ampuh itu.

"Mari pulang." Huluran Budi tidak bersambut. Indah menggeleng.

"Kau masih isteri aku. Aku akan pimpin kau semula." Kali ini Indah bertindak. Dia mencucukkan sebatang jarum beracun ke nadi Budi. Melihat Budi yang kesesakkan nafas, Indah ketawa semahunya. 
"Darah kau sudah mula mengalir terbalik, Budi. Aku menang!" Darah mengalir dari hidung, mata dan telinga Budi. Budi tidak mampu bertahan. Dia menghantar serangan terakhir - mengubah angin menjadi sebilah kerambit yang mencantas tenggorok Indah. Indah mati dengan mata terbelalak celik.

"Aku ingat kau boleh berubah, Indah." Pandangan Budi malap, terus gelap.

***

No comments:

Post a Comment