24 Mar 2015

KARKAS #122: CINTA PERTAMAKU

Aku usap lembut ubun-ubun nya, aku kucup dahinya, perlahan-lahan aku tanggalkan satu-persatu pakaian ditubuhnya. Aku lihat dia masih pejam terlalu lena tidurnya, aku senyum melihat lelaki yang aku cintai.

Dengan lembut aku ratakan air diseluruh tubuhnya lalu aku menyapu sabun tadi ditubuhnya yang sudah basah, biar wangi lelakiku. Dia masih lagi pejam, mungkin terlalu lena dengan mimpinya.

Aku bantu dia untuk bersiap, helaian demi helaian aku bantu sarungkan. Tetap segak berpakaian putih, nampak tenang diwajahnya. Harum lelakiku, segak seperti selalu.

Usai dia dipersiapkan, aku mengucup lelakiku dengan sepuasnya. Biar dia bisa tahu aku mencintainya, dan itu kali terakhir aku bisa mengucup dia sebelum dia pergi tinggalkan aku. Terlalu tenang dan sepi hingga tiada setitik air mata pun jatuh, aku mahu dia tahu aku relakan dia pergi.

Aku solat bersama meraka dan dia berada dihadapan sekali, aku tersenyum. Ini kali terakhir.

Aku seperti sorang diri walaupun dikelilingi ramai mereka mereka yang dekat dengan aku, aku berbicara dengan lelakiku dalam mulut tertutup rapat dan hati terbang melayang entah kemana. Aku lihat dia disitu masih tenang, wajahnya seperti selalu memandang aku.

Aku menghabiskan semalaman untuk berada disamping dia, sesaat pun aku tak bergerak. Aku tak mahu dia rasa sendiri, aku mahu dia lihat aku orang yang berada bersama dia saat dia mahu pergi.

Aku lihat mereka bermandi air mata,  sedang aku yang akan ditinggalkan ini kemarau sedih. Terlalu tenang, entah kenapa aku seperti tidak rasa apa-apa.

Sudah  tiba masa mereka bawa dia pergi, dan aku turut mengiringinya. Sepanjang perjalanan menghantar dia aku cuma diam dan biar hatiku bermain dengan rasa. Aku ajak dia mengimbau semula pertama kali aku mendengar suara dia, pertama kali dia memandang aku, pertama kali dia menyentuh aku segala yang pertama kali untuk kami dan aku tetap tersenyum.

Setibanya disitu, aku lihat dia pergi. Perlahan-lahan dia tidak kelihatan lagi. Bersama bunga-bunga, semua orang menangisi  pemergiannya  dengan kalimah-kalimah suci yang dibawa untuk bekalannya. Aku lihat mereka memandang aku,memberi aku semangat untuk aku teruskan hidup tanpa dia. Aku biar mereka pergi dahulu, aku tetap mahu berada sebentar ditempat terakhir aku memandang dia.

Lalu aku pulang, bertemu mereka yang membantu aku untuk perjalanan dia. Sungguh aku berterima kasih pada mereka.

Seorang demi seorang pulang dan aku sendiri.

Aku kemaskan semua barang dia, bajunya aku hidu, aku peluk erat. Katilnya aku tukarkan cadar, aku masih tersenyum seakan dia masih disitu memandang aku. Aku lihat foto-foto kami, terlalu berharga untuk aku.

Tiba-tiba aku rasakan pipi aku basah, semakin deras air mata aku turun dan saat itu baru aku rasa dia tiada. Terlalu sunyi, aku takut dia tiada lagi untuk aku. Aku tanya pada tuhan, kenapa dia perlu pergi tinggal aku? Apa salah aku? Kenapa mesti jadi begini? Siapa yang akan mencintai aku seperti dia?

Aku teresak esak,meraung sepuasnya. Terlalu sakit, kenapa tuhan? Kenapa terlalu sekejap masa yang kau beri untuk kami? Aku hilang arah, seperti lumpuh seluruh badan, seperti burung yang patah sayap lalu jatuh terhempas kebumi. Aku menangis sepuas hati hingga aku tertidur.

Lena tidurku hingga saat aku terjaga, aku merasa tenang semula. Aku seperti jasad kosong yang sendiri tanpa ruh.

Rupanya aku telah kuburkan separuh dari diriku dipusara tadi, dipusara cinta pertamaku. Lelaki yang sangat mencintai aku, telah aku biar dia bawa bersama rasa cinta itu.

"Tenanglah kau lelakiku,bersama tuhanmu. Aku akan disini menunggu waktu kau sambut aku bersamamu, dan akan aku capai impian kita. Aku tetap akan bawa memori kita kemana pun aku pergi, kata-kata kau akan selalu berada ditelinga aku. Belaianmu akan sentiasa memeluk aku ketika tidur. Terima kasih untuk cintamu lelakiku.

Kau akan sentiasa dirindu cinta pertamaku,

Al-Fatihah ayah, Anuar bin Ismail"

***

No comments:

Post a Comment