Showing posts with label Pok Pok Kuzawa. Show all posts
Showing posts with label Pok Pok Kuzawa. Show all posts

22 Feb 2023

KARKAS #253 : NASI AYAM JELUTONG

 


Tidak pernah berlaku yang awak bercuti pada hari Jumaat. Maka nasi ayam di hadapan saya sekarang telah pun lenyap kelazatannya. Setelah  lima bulan menyantap di sini, senja ini saya akan beranikan diri mempelawa awak keluar, atau setidaknya saya bertanyakan nama awak apa? Keberanian saya disebabkan oleh, itu, lelaki tua di kaunter bayaran. Semua kata-katanya kekal terkedap dalam kepala saya. 


“Setakat abang yang gemuk ni, jangan kata dia, makcik tua pun tak nak dekat abang!”

“Abang, orderlah nasi dan ayam separuh, lekas sikit kurus, baru boleh dapat dia, dapat marka.”


Keberanian yang menyinggah di bahu saya, ditambah dengan kata-kata bangsat lelaki tua itu, membuatkan saya rajin senaman. Saya tekan-tubi kira-kira 200 kali sehari. Dari hujung lorong kecil di Jelutong ini, saya berlari-pecut setiap kali hendak makan di kedai awak. Hari ini sepatutnya hari kemuncak! Dengan nasi ayam yang tersisa tiga-suku, air sirap limau masih penuh hingga permukaan gelas, saya tangguhkan bibit cinta manis kita. Esok, ya? 


Hari ini, Sabtu, saya tekan-tubi 400 kali. Saya mengenakan kasut larian saya yang baharu. Logo bayang harimau, tidak ubah seperti semangat saya. Saya akan berlari-pecut dari dua lorong sebelum tiba untuk nasi ayam. Saya fikir, usaha yang saya ganda-duakan, pasti didengari oleh Tuhan lalu Tuhan tiada lagi ruang selain memberikan ruang itu kepada limpahan romantis saya dan awak. Ah, baru sahaja selesai satu lorong, saya hilang pernafasan. Sial! 


Ini, bakal Tuhan tutup kembali ruang kita. Saya perlukan pendesak dan pemangkin. Saya jalan ke belakang lorong. Ada dua ekor anjing sedang mengawan. Saya capai batu kerikil bersaiz tiga jari, saya campak tepat ke tubuh anjing yang sedang berdiri dengan dua kaki. Taktik ini ampuh. Anjing itu mengejar saya, seterusnya saya berlari separuh mati tanpa melihat sekeliling, menuju destinasi cinta. 


Setibanya di kedai makan, seperti yang saya duga, anjing itu hanya mampu menyalak di luar kedai. Terima kasih, anjing. Khidmatnya tamat di sini. Anjing! Penat juga saya! Kepenatan terus bertukar menjadi keberanian apabila melihat awak bekerja hari ini.


“Nasi ayam Jelutong, satu! Sirap limau ais, satu!” 


Saya pun duduk. Perwatakan seorang gadis yang pendiam, awak tidak lekang menderma lirikan dan senyuman. Terlenggang-lenggok tubuh kerengga awak menatang dulang hidangan saya. Selesai sahaja awak meletakkan juadah di meja, saya pura-pura tersentuh kelengkeng awak. 


“Maaf, maaf. Nama siapa?” 


Ayam bahagian paha terpelanting ke udara. Nasi bertaburan di lantai. Sirap limau hanya tinggal limaunya di dalam gelas. Awak tidak semena menjerit. 


“ABANGGG!!! Tengok lelaki miang ni. Gatal! Pegang tangan kami!” 


Lelaki tua di kaunter bayaran terus melompat seperti bayang harimau kasut saya. Menerkam saya. 


“Woi gemuk. Hang buat apa ni kacau bini aku?” 


Itu adalah hari terakhir, senaman dan makan nasi ayam, untuk seumur hidup saya. Saya sekarang lebih tenang, membela dua ekor anjing yang pernah mengejar saya. Setiap kali anjing-anjing saya berjalan di hadapan Nasi Ayam Jelutong, saya akan paksa mereka mengeluarkan najis atau setidaknya kencing di sekeliling kedai. Tuhan memberikan saya ruang baharu bahawa menyintai anjing lebih berkuasa daripada bayang harimau, lebih bermakna daripada mengejar wanita. 


*****

20 Nov 2015

KARKAS #225: HUBUNGAN KELAMIN TERAKHIR DI DALAM DUNIA

Kita berdua bersumpah-setia untuk mencintai satu sama lain. Tapi, kau sendiri gemar meniduri jasad lain, sama sepertiku jua. Tidak mengapa; kita sudah pasti menumpahkan syahwat bersama-sama tanpa mengira tahap kesetiaan kita setara mana, walaupun kau jauh di seberang samudera. Apa yang telah diwar-warkan kepadamu tentang enaknya hubungan kelamin, itu dusta belaka. Kononnya, menjamin perkembangan manusia dan ketamadunan. Itu tidak benar. Sudah pasti kau tidak pernah ketahuan bahawa ada sanggama yang membawa kepada lupusnya nyawa-nyawa mereka yang sedang berahi. Kau hanya perlu menunggu kisah gelap itu tiba mendakapmu.

Pada asalnya, kisah gelap ini telah menimpa wilayahku, terjadi ke atas bekas kekasihku. Perihal ini berlaku di sebuah rumah agam di tengah-tengah kota. Rumah agam ini dipunyai oleh pembesar-pembesar dan orang-orang kaya negeri. Rumah ini hanya meriah pada waktu malam. Ketika lampu pertama dinyalakan, maka berbondong-bondonglah wanita menyergah masuk ke dalamnya. Isteri-isteri orang, anak-anak dara, dan wanita lanjut usia. Habuan wang diberikan kepada mereka, sangat sedikit. Kesempitan hidup, memaksa mereka untuk berdagang. Barang dagangan mereka hanya tubuh. Tubuh yang dijual untuk tempoh satu malam.

Khabarnya ada seorang gadis yang digila-gilakan oleh semua pembesar. Namanya Loci. Loci mempunyai dada berlurah nipis. Lengkung gebu pinggulnya menewaskan sabut kelapa. Lesung pipitnya seakan ingin bersambung ke telinga. Kulitnya putih, sebersih mayat. Gadis ini dipaksa hadir atas desakan keluarga. Belum sempat Loci didagangkan pada malam itu, dia telah diculik oleh Aram, pembesar wilayah timur. Aram mengurungnya di kandang kuda di belakang rumah agam. Bertubuh lampai mencecah setengah jengkal dari palang pintu, dengan kumis rapi dan jambang yang didandan teliti, Aram mampu menggoyah setia sebarang wanita pertiwi. Pada mulanya, Loci begitu asyik. Permainan cinta ini difikirkannya adalah jalan singkat ke syurga, rupa-rupanya jambatan terhampir ke neraka. Loci, ditambat selayaknya mirip seekor kuda sebagai hamba abdi kelamin Aram.

"Izinkan aku mengucupmu, sayang." Sebelah tangannya menggarit dada Loci dan sebelah lagi terkocoh-kacah mengepal di dalam celana.

"Lepaskan aku, iblis! Tolong!!! Perogol!!!" Jeritan Loci tidak ubah sama kuatnya dengan nafsu Aram. Aram menggembleng keringat dan Loci semakin longlai. Serpihan relau pedati ditonyoh ke semua rongga terbuka di tubuh Loci. Loci disentak seraya melutut-sujud.

"Eh, mulanya dulu kau suka. Mengapa tidak sekarang?" Aram memulakan lagak binatang mengawan—membidik sabut kelapa gebu Loci. Jeritan Loci, hanya menepu ke udara.

Keluarga Loci diselesaikan oleh Aram dengan peledak. Loci pula dikurung bertelanjang di dalam kamar kecil. Kamar itu dipenuhi darah-darah kuda yang pernah melahirkan anak dan tikus-tikus yang membusuk sebagai teman. Tiada seekor kuda pun yang tinggal, kesemuanya sudah mati kerana tertular hawar dek tikus-tikus di situ.

Loci seperti sebuah patung kelamin. Kakinya dirantai. Lidahnya dikerat. Sudah tiga purnama dia dijamu syahwat Aram. Dadanya menggelebeh, pinggulnya bertompokan darah. Kelangkangnya hanyir. Menjelang malam ini, Loci mahu langsaikan segalanya dengan Aram.

Loci menangkap seekor tikus liar. Dia menggit-gigit belakang badan tikus, hidup-hidup. Lalu disentil perut, jantung, dan lidah tikus itu. Dimamahnya dengan begitu tenang, setenang otaknya memikirkan Aram bakal tidur tidak terjaga-jaga. Mamahan itu tidak memualkan, kerana deria rasanya telah pun pupus. Lendir-lendir bulu, lidah dan kelenjar kencing tikus kemudian diperah-perah masuk ke dalam mulutnya. Kemam—sambil menunggu Aram.

Aram masuk ke kamar. Seperti lazimnya, sebagai pembuka selera, dia akan menjamu bibir Loci sekedapnya terdahulu. Ya! Itu saat yang ditagih Loci! Loci lalu memuntahkan ribut bendalir yang dikemamnya ke dalam mulut Aram ibarat hujan lebat yang rakus ditakung. Hujan perahan sisa-sisa tikus tadi terus diluakkan masuk ke tenggorokan Aram. Dipicitnya lubang nafas Aram, agar hujan itu ditelan-licin. Setelah semalaman menghabiskan pusingan-pusingan penodaan; telinga dan hidung Loci tersembur darah. Dia terkulai hilang daya melawan, membiarkan sahaja tikus-tikus berkeliaran mengunggis liang-liang di mukanya.

Aram, matanya merah, nafasnya resah. Dia berlari terhuyung-hayang kelesuan, lantas terlelap di pondok anjing, betul-betul berhadapan rumah agam. Anjing itu pun bangkit— kehausan, serentak menghirup bekas airnya yang telah penuh dengan muntahan dari tenggorokan Aram. Kepala Aram mengeras, matanya terjegil tidak berkedip lagi.

Keesokannya, anjing itu memanja-manjakan diri bersama pembesar-pembesar lain. Habis dijilat manusia-manusia di dalam rumah agam itu. Air liurnya bertetesan ke sini-sana. Menjelang malam, proses perdagangan tubuh wanita pun berlaku. Pembesar-pembesar yang dijilat anjing tadi terus memulakan selera syahwat bersama wanita dagangan dengan upacara tusuk-menusuk lidah ke lidah— hingga selesai.

Kemudian, wanita-wanita itu pulang ke rumah masing-masing lalu bersanggama dengan para kekasih dan suami mereka. Apabila hari meninggi, kekasih-kekasih dan suami mereka pula pergi menagih cinta di rumah-rumah urut-kelamin. Tukang urut di situ selanjutnya pulang ke rumah-rumah kecil di tepian sawah dan ladang ternakan untuk bermadu-mesra dalam dakapan suami masing-masing. Seterusnya, barangan pukal dari ladang ternakan akan dipikul suami mereka membanting ke atas kapal di pelabuhan; lalu laki-laki itu semua diberikan upah untuk menghabiskan sisa senja— membaham dayang-dayang milik nakhoda kapal.

Sesiapa yang bersetubuh sedari itu, tidak kelihatan muncul di mana-mana lagi. Baik di rumah agam, di ladang, meskipun di desa-desa. Negeri ini semakin sunyi dan tengik. Yang hanya semakin giat membiak, adalah tikus.

Itu yang berlaku di wilayah tempat tinggalku. Sekarang, desas-desus membingar, bahawa hawar itu sedang menular menyeberangi benua. Kau usah risau berlebihan, sayang. Kau hanya perlu tenang menantiku. Aku nekad untuk pergi menemuimu, dan meninggalkan wilayah ini selamanya. Berahi kita akan bertaut  gaya Loci, Aram dan yang lainnya. Akan aku gigit bibirmu dan muntahkan hujan ke tenggorokanmu. Kerana aku pasti yang kau juga gusar. Takut-takut hubungan kelamin kita berdua yang pertama kelak, hubungan kelamin yang terakhir di dalam dunia.

***

7 Nov 2015

KARKAS #216: BIDIKAN SASAR LELEHAN KUNING

Namaku Forad. Aku Laskar Muda yang berwawasan. Sekarang ini, cuma ada dua kepastian. Bajuku yang amat licin diseterika berbucu-bucu; dan kasut hitamku likat memantulkan sinar mentari terik—di tengah padang kawad membahang. Aku terberahi mengamati diriku. Ah, tampan sekali. Ingin juga aku menjilat-jilat ketampananku sendiri. Dengan kepejalan otot membuak terkekang di kedua-dua belah paha, aku berdiri kaku menunggu teriakan arahan laksamana di hadapan. 

Kepalaku yang berkuping-cabuk sudah digondolkan merapati ubun-ubun. Laskar-laskar di sini tidak ubah gayanya persis seangkatan toyol yang berbalut pakaian seragam. Mendada-dongak dengan senapang panjang tersisip di lengan kanan. Cuaca terik perlahan-lahan termendung diselindung tokoh awan. Aku sesekali mengerling ke kasut laskar di sebelahku. Comot. Kusam benar, cukup pemalas. Mukanya, pucat lesi; nyah-seri bak baru usai berlari balapan acara berganti-ganti. Tidak seperti diriku yang jauh lebih tampan dan rapi. 

Mandat demi mandat ditutur di pentas beratap di hadapan. Panglima bertukar kepada laksamana, bertukar pula kepada syahbandar, masing-masing menjuih berkata-kata. Manakala laskar-laskar lain tercongong di bawah, membodohkan diri, tegak seperti pokok-pokok buluh kekuningan yang sedang mereput. Justeru, petang itu menjadi gelap tiba-tiba. Titik-titik hujan sudah mula menompok di bahuku. Ia menyempitkan lagi alur pundi kencingku yang telah lama kuperam. Lelehan ini nampaknya terpanggil-panggil oleh alam. Tenang, lelehan! Tenang! 

Aku teringat pesan laksamanaku. Katanya, "Biar bumi sekali pun merekah, kaki laskar jangan sedikit pun tergoyah." Mataku mula rebeh. Ibu jari di celahan kasut kilatku terkuis-kuis. Pinggulku sudah tergigil-gigil kecil. Aku ketap bibir serapatnya menahan dada yang tidak henti-henti berombak. Aku mahu pancut! Aku pasti mahu pancut! 

Angin pada ketika itu selayaknya mahu berentap kejantanannya denganku. Dipukul-pukulnya bayu ke pinggangku masuk di celah-celah kancingan pakaian seragam. Ini bukan nyaman. Ini benar-benar mahu aku segera merembeskan lelehan. Aku tidak mahu mengalah. Aku melawan. Aku kembang-kempiskan perutku. Kembang dan kempis, dan kembang dan kempis. 

Seolah ada beberapa titisan sudah membasahkan celana dalamku. Tidak mungkin aku tewas. 

KE KANAN PUSING!!! 

BRRR... TAP!!! 

Ucapan mandat tamat dan kini teriak kawad akan tercetus bila-bila masa sahaja. Lelehan aku rasakan kian rancak menitis. Buah pinggangku sudah terjerit-jerit. Patutkah aku biarkan ia mengalir? Atau lebih baik semasa berkawad kelak, aku lepaskan sedikit demi sedikit? Ah! Aku laskar! Mana mungkin aku kalah hanya kepada seceper air kencing? Peritnya pundi kencingku! 

Langkah kawad telah dimulakan. 

Henti. Kawad. Henti. 

Senapang? Ya, senapang. Semasa kawad 'senapang hentak' ke tanahlah saat paling wajar aku lepaskan ia ke tanah. Semua anak-anak mata tentu tidak berpaling. Tanganku terketar menggalas senapang dek tubuh yang sakan memeram pundi. 

Ada air lelehan, mengalir lesu di tanah mengucup kasutku. Lalu, aku...

BAMMMM!

BAMMMM!!

BAMMMM!!!

Aku bedengus kencang—puas. Laskar di sebelahku pula terkulai-baring ke tanah. 

"Laskar Muda Forad! Apa dah kamu lakukan???" Laksamana di hadapan berlari ke arahku sambil terjerit-jerit mengendong perutnya yang gelebeh. Laskar-laskar lain menjauhiku. 

Lohong senapangku berasap. Aku meraba-raba keras ke dalam celanaku. Titisan tadi, sudah terhenti. Celanaku pula, kering sama sekali. Aku masih tampan dan mewangi. Aku membongkok ke jasad laskar di sebelahku yang dadanya berlubang-lubang, dia ternganga kesuntukan udara. 

Ya, celana laskar itu, hancing sekali. 

***

13 Jun 2015

KARKAS #182: SATU PERTANYAAN YANG KUJAWAB PANJANG

Ringkikan kuda membangunkanku, saat mentari sudah agak miring dari garis tegaknya. Sudut punca api setral itu demikian condong hingga membuat bayang kuda tampak lebih agung dari ukuran sebenar.

“Ucap sentosa buat mu, wahai orang tua!” sembari turun seorang pemuda dari kuda dengan suara sedikit menggaung, lalu menyambung, “cakap-cakap di pusat kota mendakwa kau sebagai pendita, katakan kepadaku perihal rahasia kehidupan abadi.”

“Aku yakin kau tidak mampu sabar untuk mendengarkannya,” balasku perlahan, tapi sempurna. 

“Katakan saja orang tua, aku tak punya banyak masa,” ketara keras suaranya serentak melempar satu uncang kain ke tanah. Matanya kurenung lalu kukatakan.

“Di dalam kehidupan, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau waras, atau kedua kau gila. Jikalau kau waras, kau selamat. Sebaliknya jika kau gila, ada dua hal yang wajar ditantang. Pertama samada kau gila harta, atau kedua kau gila perempuan. Jikalau kau gila harta, kau selamat. Namun jika kau gila perempuan, ada dua hal yang wajar ditantang. Pertama samada kau mencintai isteri orang, atau kedua kau mencintai gadis sunti. Jikalau kau mencintai isteri orang, kau selamat. Tetapi jika kau mencintai gadis sunti, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada ia sudah hilang keperawanan, atau kedua ia masih suci. Jikalau ia sudah hilang keperawanan, kau selamat. Sebaliknya jika ia masih suci, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau mengecewakannya, atau kedua kau menikahinya. Jikalau kau mengecewakannya, kau selamat. Namun jika kau menikahinya, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau menikahinya dengan cara kahwin lari, atau kedua kau menikahinya di musim panas. Jikalau kau menikahinya dengan cara kahwin lari, kau selamat. Tetapi jika kau menikahinya di musim panas, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau mengadakan perjamuan makan di gurun tandus, atau kedua kau mengadakan perjamuan makan di tengah lautan. Jikalau kau mengadakan perjamuan makan di gurun tandus, kau selamat. Sebaliknya jika kau mengadakan perjamuan makan di tengah lautan, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau, mempelai perempuan dan tetamu berenang, atau kedua kau, mempelai perempuan dan tetamu menaiki kapal. Jikalau kau, mempelai perempuan dan tetamu berenang, semuanya selamat. Namun jika ada kau, mempelai perempuan dan tetamu menaiki kapal, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau menjadi nakhoda, atau kedua kau menjadi kelasi. Jikalau kau menjadi nakhoda, kau selamat. Tetapi jika kau menjadi kelasi ada dua hal yang wajar kau tantang....”

Pemuda dengan mendadak tertawa, serentak berkata dalam pelat desis seolah mempersenda. “Aneh sekali tuturmu orang tua, apa inti ceritamu sebenarnya?”
“Sudah kukatakan kau tidak akan sabar mendengar pemerihalanku.”

Pemuda lalu memekup mulutnya dengan tangan kiri dan tangan yang satu lagi dipagut-pagut ke udara seolah memberi isyarat akur.

"Baiklah, teruskan dongengmu orang tua!’’

“Jika kau menjadi kelasi, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau membuang sauh ke dasar laut, atau kedua kau mengembangkan layar. Jikalau kau membuang sauh, kau selamat. Sebaliknya jika kau mengembangkan layar, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau belayar ke barat, atau kedua kau belayar ke timur. Jika kau memilih mata angin barat, kau selamat. Namun jika kau memilih mata angin timur, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau berpandukan matahari, atau kedua kau merujuk bintang. Jika kau berpandukan matahari, kau selamat. Tetapi jika kau merujuk bintang, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada kau sendiri mencerap bintang, atau kedua kau meminta budak suruhanmu melakukannya. Jika kau sendiri yang memerhatikan bintang-bintang, kau selamat. Sebaliknya jika budak suruhanmu yang mencerap, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada budak suruhan itu seorang lelaki yang dikembiri, atau kedua ia seorang khunsa. Jika ia lelaki yang dikembiri, kau selamat. Namun jika ia khunsa, ada dua hal yang wajar kau tantang. Pertama samada ia asyik di geladak paling bawah, atau kedua ia lebih banyak membuang waktu di haluan kapal. Jika ia lazim di geladak paling bawah, kau selamat. Tetapi kalau ia terus di haluan kapal, ada dua hal yang wajar kau tantang....”

Aku tidak meneruskan ujaran. Dalam kesenyapan, jemariku cenderung menyelidiki isi uncang yang ‘dihadiahi’ pemuda. Naluri penuh ambiguitiku tak henti menerka, seolah wanita hamil mengusap perut sembari menduga jenis kelamin bayinya ─lelaki, perempuan atau khunsa!

Ringkikan kudanya menggetarkan kebisuan serentak seluruh kumis pemuda ikut bergetar bagaikan memaksa aku lekas membereskan cerita. Aku menanggapi perlakuan kuda dan tuannya itu dengan helaan nafas panjang seolah-olah menjadi lidah yang menasihati agar mereka tidak terburu-buru.

“Ceritalah segera,” pemuda akhirnya tak tertahan lagi.

“Anak muda... jika budak suruhan bahkan diri kau sendiri di haluan kapal, ada dua perihal yang harus kau berkira-kira. Pertama samada kau berubah menjadi gila, atau kedua kau mempercayai rumah api dan kerlipan sinarnya. Jika kau memilih gila, nescaya kau bahagia.”

Pemuda ─tanpa berbicara─ melompat ke pundak binatang tunggangannya, menghentakkan tali yang mengikat leher kuda, hingga ia meringkik keras sambil mengacung kedua kaki depannya, lalu menderap tangkas membelah gurun panas.

***

6 Jun 2015

KARKAS #175: BUNGA

Gigitan tikus semakin berkudis. Kelopak ku gugur bertaburan.

"Ah, warna apa ni?" Sapa ku setelah meraba.

Ada tikus mencicip lagi. Perlahan aku rasakan perih. Jadi benarlah peri alam. Tidak selamanya kita hidup.

"Tanah dan tikus, kau...."

Esoknya, tikus senang lenang.

***

3 Jun 2015

KARKAS #170: NOTA

“Abang langsung tak pernah romantik. Macam kayu. Layan saya tah apa-apa!” Bentak Milah.

‘Dalam peti sejuk ni, buah-buahan kurang. Sayang perlukan buah untuk kekal sihat. Sayang nanti pergi ke kotak peti surat depan rumah.'

“Tolonglah abang. Dah 3 hari macam ni. Saya tak rasa yang abang wujud pun kat dalam rumah ni.”

‘Ambil duit yang abang kepilkan ni. Pergi ke kedai buah di hujung jalan ya Sayang.’

“Akak, apa lagi nota arwah suami akak tu tulis?” Pekedai teresak-esak kesedihan.

“Banyak sangat baca P/S I LOVE YOU. Malaikat tanya lain jawab lain agaknya.” 

***

KARKAS #168: BALDU BIRU

Atap usang di pondok itu meniupkan halwa geselan bingit, setiap kali tibanya musim tengkujuh.

Lantai rumah kebasahan akibat lubang-lubang di bumbung yg bocor

Di celah-celah lubang atap, dia sering merasakan ada mata-mata yang memerhatinya—sejurus dia mula mahu memulakan kerja-kerja menjahit.

Bunyi bising mesin jahit  tak mampu memadamkan rasa tak enak di hati

"Ah! Bodoh..." Jari manis Marionette berdarah, tercucuk jarum dek paluan perasaan yang memikirkan jasad yang samar-samar di atas atap.

Habis baldu biru itu terkena tompokan darah, walau apapun terjadi, baldu biru ini harus segera dijahit.

TAK! 
TAK!! 
TAK!!!

Ada bunyi ketukan yang semakin kuat datangnya dari arah pintu pondok, lantas Marionette mengibas-ngibaskan baldu biru di atas mesin jahit.

Hati marionette kegelisahan. "Dia dah datang ke?" marionette menghabiskan saki baki kerja yang belum selesai.

Bombik akhirnya muncul di pintu pondok dan sebagai seekor ulat sutera gergasi, dia mahukan baldu itu dipulangkan segera.

Mujur saja saat Bombik muncul, persalinan pernikahan Bombik sudah Marionette siapkan. Dia menarik nafas lega lantas menyerahkan kain baldu biru itu kepada Bombik.

***

KARKAS #166: TALIAN HAYAT CINTA

Derasnya kemarahan Eva tak sederas pecutan keretanya. Tiupan angin subuh memecut lebih laju daripada trafik di atas jalan raya. Cekang kemarahan Eva bukanlah pada kelajuan kereta-kereta yang menyiput, dia meledak dek dikasari suara pemyampai radio yang memilih topik 'bekas kekasih' untuk segmen pagi. Senyum dan tawanya bersilih ganti. Matanya sering menjegil ke arah radio setiap kali perkataan 'bekas' itu ditutur si DJ. Jika Eva diberikan pisau, nescaya ditorehnya roman bekas kekasih yang satu lagi—selumat mungkin. 

Namun, talian hayat cinta Eva tidak kekal. 

Setibanya di selekoh paling tajam, kereta Eva dilanggar kuat dari arah hadapan. Eva tercampak keluar dari jendela pemandu serentak dilenyek lori kontena. Otak, jantung, hati; menyembur di atas jalan, kemerah-merahan. Lori kontena tenang bergerak terus. Sebagai pemandu lori, Digta menyanyi kegembiraan bertemankan alunan lagu di radio. Tiada yang lebih ceria pada pagi itu, seceria melihat bekas kekasih sendiri, dilenyapkan nyawa oleh tayar-tayar lorinya yang lebih memahami akan perasaan Digta. 

Bunyian hon yang bergelegak di stesen minyak tidak dipedulikan Digta. Lori kontena diletakkan betul-betul di bahu jalan tanpa meninggalkan sedikit ruang bagi kereta lain yang mahu lolos. Sedang asyik dia membasuh muka di sinki tandas, ada derapan kaki gadis seolah mendekati. 'Kasut tumit tinggi'. Ah, itu pasti seorang gadis genit yang pundi kencingnya telah penuh. Gadis itu membuka paip di sinki sebelah. Mahu sahaja Digta bermain ayat cinta di dalam tandas. 

Namun, talian hayat cinta Digta tidak kekal. 

Belum sempat Digta menoleh hendak mengamati wajah wanita di sisi, penglihatannya terus kabur. Bibirnya terasa dikoyak-koyak. Biji matanya dikorek sedalamnya. Jeritan Digta ditenggelamkan bunyi hon membingit di luar tandas. Kasut tumit tinggi yang berdarah itu, dilalukan air dan ditonyoh bersih dengan tisu. Sofi memakai kasutnya semula dan memandang wajah sendiri di cermin sinki. Ya, dia puas, dan masih genit. Bekas kekasihnya kini lenyap untuk selama-lamanya.

Sofi melangkah perlahan ke luar tandas agar tidak terpijak tompokan darah dan bebola mata jijik di lantai. Beberapa jam lagi pertunjukkan fesyen akan bermula, Sofi perlu memastikan dia masih memegang takhta model tercantik kota. 

"Mana baju I?" Tanya Sofi kepada penjaga baju di belakang pentas lantas diberikan baju gaun berbulu biru. 

"Bodoh! Baju ni nampak macam aku jahat sangat! Tak ada baju yang nampakkan aku gadis pecinta yang baik ke? Tolol!" 

Dengan mulut terkumat-kamit penuh makian sambil memakai barut ketat, dia mencari-mencari pin kecil di atas meja solek. Tidak semena, ada pembantu yang datang mendakap pinggangnya dari arah belakang. 

Namun, talian hayat cinta Sofi tidak kekal.  

"Cukup ketat ke barut ni Cik Sofi?" Pembantu itu menarik barut sekuat hati lantas tangannya menutup mulut Sofi yang terkial-kial menjerit sepi. Ukuran barut di perut Sofi disentak hingga sebesar saiz lehernya. Ronta Sofi semakin sunyi—kepalanya terlentok ke kerusi. 

Air liur Sofi di jari-jemari Radir dikesat dengan tuala kecilnya. Radir menanggalkan barut perlahan-lahan, lantas kesan lebam kebiruan membengkak terlihat di bahagian perut bekas kekasihnya itu. Radir menyalakan sebatang rokok lalu meninggalkan bilik persalinan di belakang pentas dengan langkahan pantas. 

Radir duduk di tepi hiasan bingkai berkaca di penjuru kafe. Usai memesan minuman, dia merapatkan kerusinya ke meja. Kafe mewah ini menyediakan logam-logam berkilat, sehebat harga santapan di menunya. Sudu besar, sudu teh, garfu besar, garfu ikan, pisau pemotong, dan pinggan kecil; semuanya berkilat—menjadi perhiasan elit di atas meja. Pilihan hati Radir adalah sudu teh. Dia menggenggam sudu teh kerana firasatnya logam ini yang paling tumpul, jadi hatinya tidak terlalu sakit.

Genggaman sudu teh diangkat separas dada, kemudian ditikam-tikam dadanya di bahagian hati, berkali-kali. Darah memancut perlahan membasahkan kemejanya. Nafasnya tercungap, dan... Dia belum mati. Ditikamnya lagi sederas mungkin. Kali ini tikamannya berselang-seli dengan torehan. Dia terbatuk-batuk menyemburkan kahak berdarah, dan... Dia masih belum mati. 

Sudu teh yang berlumat darah diletakkan semula di atas meja. Dia menyandar keletihan dan dicapainya pisau pemotong seraya melafaz tenang. "Eva, terima kasih."

Talian hayat cintanya, kekal.

***

23 Apr 2015

KARKAS #151: KEPAK-KEPAK KEKASIH


Petang itu cuacanya mendamaikan. Aku mengalas punggungku di atas bangku usang. Di hadapanku, terbentang sebuah tasik yang jernih airnya. Paluan angin utara dingin, dan kocak-kocak kecil air tasik, langsung menyerap segala tekanan emosiku. Di seberang tasik, gaya seorang perempuan mimiknya, turut asyik sepertiku; memerhatikan tasik.


Perhatilah pula aku ke tengah-tengah tasik, kelihatannya seperti ada seekor itik. Ah, ya—memang itik. Itik itu berenang-renang riang. Senyum simpul aku kepadanya seolah-olah dibalas ria. Ada pun itik itu rancak kepaknya menguak ke arah aku. Semakin lama, semakin menghampiri tebing.

Aku lantas tersentak diperlihatkan itik itu. Dia mempunyai paruh runcing dan sepasang mata, mirip bekas kekasihku. Dalam ingatanku, setiap inci dan rona roman si binatang itu—masih segar. Bekas kekasihku adalah jenis binatang yang tiada dalam kamus fauna.

Oh, perempuan di seberang tasik tadi, telah tiada. Kini, tinggallah aku seorang diri menemankan itik dan tasik.

"Awak, lamanya awak tengok tasik?" Tidak semena-mena aku disapa dari arah belakang. Aku menoleh. 'Mengapa tiba-tiba dia datang?'

"Hari-hari saya teman tasik ni. Awak... Buat apa kat sini?" Balasku kepada bekas kekasihku yang muncul tak terduga. Dihulurnya sebuah kad undangan perkahwinan berwarna merah hati kepadaku lalu dia berbisik.

"Saya datang nak ajak awak datang resepsi saya, tapi kalau awak masih boleh buka hati untuk terima saya, kita sama-sama lari dari dunia realiti ni." Aku terdiam. Sambungnya lagi.

"Awak....." Dia memegang tanganku. Segera aku tepis cubaannya untuk merapatiku.

Perlahan-lahan kepak di rusuk belakangku tumbuh dan membesar—berwarna putih. Tapak kakiku melebar dan bibir merahku beransur-ansur bertukar menjadi paruh.

Aku terjun ke dalam tasik, menguak-nguakkan kepakku dengan deras. Aku berenang menemani seekor itik di dalam tasik yang sedari tadi riang memandangku. Kami berdua berenang menjauhkan diri dari tebing.

Angin utara yang mendingin itu, mengocakkan permukaan tasik, menghanyutkan kami berdua ke arah laut.

***

p/s: pemurnian oleh pengarang lanjutan garapan idea di DBP kelolaan Saifullizan Yahaya. 

KARKAS #143: ULTRAMAN AKHIRNYA TEWAS

Nyalaan saganya berkelip-kelip, melemahkan tempurung lutut sambil berdiri tempang di depan Raksasa Ketam.

Hati Ultraman Tora cuma mengidamkan teman seperjuangnya hadir, Ultraman Siput yang telah lama hilang untuk mempertahankan negara Ikan.

Selain telah memusnahkan tukun-tukun Ikan Talapia, Sembilang dan Patin, Raksasa Ketam menepuk-nepuk perutnya bersaksikan Ultraman Tora yang tak henti-henti bersyahadah, menahan lapar.

Namun Ultraman Tora tetap mengerahkan kuasanya hingga ke penghujung walaupun perutnya berbunyi lagu deathmetal, dia lantas bangun dan mula bertafakur, mengumpulkan Cakura Musang Durjana.

PIUUUUU!!! PIUUUUUU!!

"Ambik kau Ketam Batu cilaka! Rasakan Cakura Musang Durjana!" 

Jerit Ultraman Tora selepas selesai bertafakur sambil mengunyah-nguyah Jamu Mak Dara.

Raksasa Ketam mengelak dengan jurus Orang Minyak Tanah, mula menyerang Ultraman Tora yang semakin lemah dengan jurus Poseidon Langit tepat ke arah punggung Ultraman Tora yang terdahulu cedera akibat digigit Raksasa Ketam di awal pertarungan.

"Aduhhhhhh! Tak aci lah sodok bontot! Makkk... Tora sakittttt...."

Ketawa besar Raksasa Ketam sambil melihat Ultraman menangis teresak-esak terlompat-lompat memegang punggungnya itu.

PELEPAPP!!! 

Melekap satu pelempang deras ke muka Padhil dengan tidak semena-mena; dan kedengaran suara ibunya, "Kau dengan adik pun tak boleh mengalah sikit pun kan?"

Pojan keriangan melihat 'Raksaksa Ketam' ditampar penghulu segala alam, sambil lidah dijelirkan dan pelbagai bunyi dikeluarkan. 

"Wekk... Hahaha! Boooo... Hahahaha!"

Tamatlah riwayat kedua Ultraman Tora dan Raksaksa Ketam pada hari ini, mungkin esok, mereka akan menggegarkan bumi sekali lagi.

Ibu memimpin tangan Pojan yang berbaju Ultraman Tora meninggalkan dapur; sambil abangnya, Padhil, masih menahan amarah melihat mangkuk Coco Crunch yang telah licin di atas meja.

***

KARKAS #142: PUTERI KEJORA

Muncullah puteri berkepak yang hanya akan keluar pada malam bulan mengambang.

Saat itu aku mengerti, endapan aku padanya haruslah dijelmakan menjadi aktiviti intaian malam yang berterusan.

Malam ini aku sudah tidak boleh bertahan lagi. Kami harus bersapa. Aku tahu dia sedar akan kehadiran ku.


Hingga suatu hari, tepatnya di hari yang ketiga puluh dua aku menyorok-intai, tibalah masa aku menyapanya—menyembunyikan sisik-sisik di lenganku dengan berbaju lengan panjang.

Sebaik aku dengar ranting patah, petanda jasad ditunggu sudah tiba aku segera keluar dari persembunyianku dan kudapati dia....tiada. Ada bunyi debur air dan ketawa kecil. "Kau lewat", katanya.

Aku keliru. Suara siapa yang membisik. Ah! Persetankan penyamaran! Aku melompat dan terjun ke dalam tasik, sisikku membelah air, menyusup di bawah riak menghampirinya yang sedang didakap erat jasad tidak bermuka.


Si jasad menoleh, menampakkan wajahnya yang kosong--putih, serentak itu juga kakiku ditarik lebih maju ke dalam air.

🙈
Tiba masanya aku menyelamatkan puteri berkepak terus menuju ke bintang Kejora. Keharmonian bahagia kami tidak kesampaian ke penghujungnya setelah mendapati di bintang Kejora, tiada sekelumit air pun, lalu...


Aku terbang semula ke bumi, memandikan sisik-sisikku untuk ia kekal bernafas. 

***

30 Mar 2015

KARKAS #139: EKSTASI SOLUSI

Perlahan aku alihkan ia dari tepi rak buku masuk ke dalam kereta. Keyboard Korg M3 ini adalah melodi kehidupan aku. Aku selalu meribakannya dan memicit-micit tombol-tombol di badannya mengacah bermanja tika bersama berdua. Ada pun instrumen muzik kegilaan aku ini, namanya Nazof. Nazof dan aku sudah ibarat Iblis dan Syaitan, ibarat Caklempong dan Gamelan, sukar dipisahkan. 

Aku tenung Nazof rapat-rapat, memerhatikannya agar ia bersandar empuk pada baldu kerusi hadapan keretaku. Aku tak mahu secebis calar merobek kecantikannya. Dia selesa. Aku gembira. Kami bakal berhibur sebentar lagi. Dalam perjalanan menuju ke gig Indie-Fest di Batu Pahat, ada getus panik menunjal saraf tunjangku. 

Gig akan bermula 4-5 jam lagi dan aku sekarang meluncur di atas lebuh raya tanpa solusi ultimaku. Aku meraba di poket kiri bersambung pula ke poket kanan, ke poket belakang, ke dalam beg biru di kerusi belakang, ke dalam ruang kecil di sebelah stereng.... Jadi solusi, memang tiada. 

'Babi! Mana ekstasi aku ni! Babi!' 

Aku tidak boleh malah tidak punya se-badang kekuatan untuk terkinja di atas pentas memetik Nazof tanpa ekstasi. Aksi aku bakal hambar, melodi aku bakal buruk bergetar. Ekstasi bagiku solusi. Ekstasi tuhan melodi. 

Kepala aku bertambah denyut, hanyut di belakang pentas gig. Komeng dan Buzo datang menempik. Aku faham, tiba giliran kami untuk naik ke pentas tatkala orang ramai sudah mula bersorak dengan nama kumpulan kami. 

OLIE WALKS!!! OLIE WALKS!!! 

"Zan, apa kau tunggu lagi?" 
"Buzo, aku tak boleh main lah hari ni. Solusi aku habis."
"Kau merepek apa ni Zan? Dah jum naik cepat!"
"Tak boleh Buzo. Aku kena ada ekstasi. Aku tak tau main kalau takde ekstasi." 
"Kau mabuk ke mende ni?"

Aku palingkan badan menunduk seolah mahu mengikat tali kasut lalu aku cepat-cepat larikan diri ikut pintu belakang. Berjaya aku loloskan diri sendiri, aku kini masuk berdiri bersama orang ramai yang masih bersorak memanggil kumpulan muzik aku. Aku lihat pentas di depanku dengan kelibat Komeng, Buzo dan...aku? 

Kenapa aku ada di atas pentas? Mimpi apakah ini? Aku masih memegang Nazof erat di tanganku tetapi aku melihat diri aku sendiri di atas pentas bersama Nazof. Aku jadi serba kalut sambil memiut perutku sekuat hati kerana aku mahukan situasi ini bertukar menjadi mimpi.

Realiti. Ya, ini sah realiti. Aku melihat diri aku yang satu lagi itu rancak bermain lagu 'To Emily' di atas pentas. Aku cuit bahu kanan jejaka di sebelahku. 

"Bro, siapa yang main keyboard tu bro?"
"Oh, itu Fauzan."
"Fuck off lah. Aku lah Fauzan! Dia tu siapa?"
"Dia tu Fauzan yang tanpa ekstasi bro."

Hatiku berdegup sekencang desibel corong bunyi di belakangku. Aku cepat-cepat melutut di tengah-tengah orang ramai lalu membuka sarung yang membalut Nazof. 

Nazof tiada. 

***

24 Mar 2015

KARKAS #130: MERATAH

"Adik... Karang mak lalu masuk pintu ni... Kau lompat tau!"

"Alaaaa... Nanti aku yang kena lah Along! Kita lompat sekali lah!"

"Ahh! Kau ni dik!"

Adik dan Along memerhati sesama sendiri, mencangkung di dapur mempersiapkan diri. Mereka memasang telinga mencongak derapan tapak kaki Mak Poh, ibu mereka. Dalam keadaan menikus—seperti tikus, mereka menyorokkan diri di celahan rak pinggan-mangkuk yang terletak di balik pintu dapur. Medan itu adalah kubu. Kubu hamparan kejutan kegemaran. Detik selepas lompatan menyergah itu lah yang ditagih seharian. Tatkala sergahan mengejut itu dilakukan sebentar lagi, reaksi Mak Poh pasti memercik kelucuan.

Adik dan Along punya rancangan baharu. Kali ini, topeng Incredible Hulk disarung keduanya. Telah digodek bersama sewaktu bergolek di atas katil semalaman, Incredible Hulk adalah watak yang bakal dimainkan untuk mencungkil keletah terhebat ibu mereka.

Keletah Mak Poh, tiada tolok-tandingnya. Petah keletahnya adalah latah yang azali, bukan direka, ia seolah disampuk saka. Sekali dia melatah, tuturnya bikin humor merebah. Carut—maki—tampar—nyanyi—silat—tergeliat berjam lamanya.

Seluruh penduduk kampung berkongsi satu hiburan sohor yang sama, mengusik Mak Poh. Ada sekali Mak Poh pengsan kerana bersilat sambil menjerit "kote babi besar babi!" 3 jam tanpa henti—mujur tidak mati.

Ada pun kali ni, giliran anaknya, Along dan Adik, mengidam memecah rekod peribadi ibu mereka. Kain gebar putih terselubung di badan, bertopengkan Hulk, tersiap-siaga di celah rak pingan-mangkuk di dapur. 'Rasakan mak... rasakan.....'

Saat rekod bakal dipecah, semakin hampir. Runut derapan tapak kaki semakin kuat menuju ke arah mereka. Semakin kuat, dan kuat....

Krakk....
Krakkk....
Krakkkk....

HULKKKK!!! HUWARGHHH!!!

"Opocottt mak kau hijau dinding pecah..."
—Darah dari buah pinggang Along memancut ke pojok kiri rak pinggan.

"Amboiiii setan hijau badan putih cilaka..."
—Perut Adik terburai isinya; berselirat usus perut terawang lalu melantun-lantun ke lantai.

"Ewaaaahhhh pontianak muka hijau ewaahhh..."
—Leher Along tertusuk lantas menyembur darah menderu-deru menempias ke muka Mak Poh.

"Aceyy ceyy ceyy hijau putih muka buruk..."
—Adik rebah ke lantai sambil biji mata kiri dicungkil hingga terbonjol keluar.

"Hohh...hohhh...." dengus ngauman nafas Mak Poh membuak-buak. Pisau di tangannya, merah pekat dibalut darah. Pesona yang ditagih semua dek henyak beliau melatah, kini telah meratah.


***

17 Mar 2015

KARKAS #115: MEMULAKAN MULA

Terik matahari membahang memancar ke rumput-rumput padang. Tanah padang yang panas ini menjadi penghibur sejati aku. Terperuk aku di belakang tiang gol mempersiapkan diri untuk sesi latihan sebentar lagi. Aku menyimpul tali kasut di kaki kanan sambil melihat sekeliling padang kalau-kalau ada gadis yang memerhati. 

Ada, Temah. 'Adoi! Balik-balik muka makcik ni' Mak Temah selaku Pengawal Keselamatan tak pernah alpa meniup-niup wisel dan menghayun kedua-dua belah tangan; menjaga lalu-lintas di pintu masuk padang kampus ini. Aku pernah cuba mendapatkan nombor telefon Farhana Arshad, anak gadis Mak Temah, tapi dihambatnya dengan cota keliling padang suatu ketika dahulu sambil menjerit "Main bola rajin, belajar malas!! Nak bercinta pulak dgn anak aku!" 

Aku menyimpul tali kasut kaki kiri pula. Kasut dan kaki hidup berpasangan. Ada kanan dan ada kiri. Aku? Hanya ada aku. 

Sedang aku menepuk-nepuk punggung membersihkan kesan tanah yang terlekat pada seluar, Yon menjerit di tangga astaka di alik kanan padang setelah melihat kelibat aku berseorangan di belakang tiang gol. 

"Woi Mat Wan! Awat hang mai awai sangat ni? Hang ni kapten bola UTM ka hang ni Ustad baca doa? Ustad baca doa ja yang gila nak pi majlis awai bak ang."

Yon adalah seorang penyerang yang baik. Bukan sahaja bijak menyerang di padang, malah bijak menyerang hati gadis-gadis junior kampus yang rapuh tak bertempat. Aku mengesat peluh di dahi lalu membalas, 

"Pelaq hang. Mai deghaih tughun. Budak-budak lain pi mana? Dok dating dengan junior lagi ka? Nahareyyyy! Training la woi! Training!" 

"Mat Wan, aku dah putuih dengan Mira."

"Awat? Dia semak perut dok tengok rambut badut sarkis hang ka?"

"Hang sembang kemaih sikit Mat Wan. Aku putuih dengan dia sebab aku la ni dok couple dgn Sophie pulak. Hang apa tau? Hang loser!"

Rakan-rakan pasukan pun mula berpusu-pusu masuk ke padang dan menyarung kasut masing-masing. Yon berjaya menjengkelkan aku dengan kata-kata beliau tadi. 'Babi Yon babi! Ah, aku bukan loser!' Aku tahu sekejap lagi si Aceh pula akan dimarahi oleh Coach Armadi kerana Aceh ada perangai bodoh. 

Terlalu sayangkan Nurul yakni siswi tahun tiga jurusan senibina, kekasih hatinya. Kata Aceh, Nurul adalah segalanya. Pemangkin semangat belajar, peneman hati mekar, pengubat lara—tak pernah ingkar. Tatkala sedang menjalani latihan pun, Aceh sering membalas SMS Nurul. Manakala sepanjang waktu rehat atau tamat sesi latihan, gegendang telinga beliau tak lekang bersetubuh dgn speaker telefon. 'Sayang', katanya. 

PRITTTT!!! 

Coach Armadi menggetarkan bebola kecil, dalam wisel. Latihan hari ini tamat seperti biasa. Aku meneguk air glukosa sambil melihat sepasang pipit berterbangan beriringan. Pasangan pipit itu mendarat betul-betul di hadapan aku. 

"Cipp cippp.." keluh seekor pipit, aku kira yang ini jantan. 

"Cilicipp.. Cilicipp.." cicip si pipit betina menjawab. 

Aku tahu bukan niat burung untuk memerli dan mengajar aku tentang hidup berpasangan. Aku manusia. Aku tak boleh mencicip—bak pipit, kerana wanita sekarang berkacip—nak duit. 

6 tahun hidup di SK Sultan Ahmad Tajuddin, 3 tahun di SMK Jitra, 2 tahun di SBP Sultan Abdul Halim, dan sekarang, 4 tahun di Universiti Teknologi Malaysia— aku menyaksikan pasangan bercinta di sekelilingku, tapi malang, aku sendiri tak pernah merasa makna perkataan 'kekasih'. 

Aku meninggalkan astaka di padang. Aku berjalan longlai merapatkan diri ke motosikal.  Ada bungkusan hadiah berbalut warna merah-keemasan, di atas tempat duduk motosikalku. Saiznya, muat-muat tangan. 'Ini pelik. Ini sumpah pelik' Hati mengerbangkan kepak-kepak girang sebuasnya. Semacam tidak percaya, fenomena hadiah misteri bertitik-tolakkan cinta sedang menghujani aku. Aku mula bersiul lagu 'Dancing Queen' yang aku tidak berapa hafal liriknya. 

Detik yang dinanti sepanjang perjalanan ke kolej telah tiba. Aku berseorangan di bilik. Rakan sebilik tinggalkan nota di atas meja. 

'Wan, aku keluar dengan awek aku. Kau tinggalkan kunci kat tempat biasa. Sayang kau. XoXo'

Pergi mampus sama kau lah setan. Aku pun bakal ada kekasih! Bunyi kipas yang bingit membikin perasaan ingin tahu aku menjadi semakin membibit. Bungkusan ini bakal menjelma sebagai permulaan garis masa cinta pertama aku. Pertanyaan 'apa dan siapa' berpusing di sekeliling bilik membentuk corak hati. Aku buka lipatan bungkusan hadiah itu—rakus. 

'Pen?' 

Ia adalah sebatang ball-pen berwarna biru, tercetak tulisan halus di badannya: 

TEMPAT KE-3 PERTANDINGAN FUTSAL TERBUKA ANTARA UNIVERSITI-UNIVERSITI

"BABI!! NAHARAMM!!" 

'Ini bukan hadiah! Ini bikin marah!' Pusaran hati di bilik sedari tadi, bertukar menjadi pintu neraka; seraya aku melempar pen tersebut ke luar jendela—geram. 

SRETTTTT !! 

Lemparan tidak sengaja terkena badan penunggang motosikal yang terus menekan brek secara mengejut. Dia membuka topi keledar, lantas pundi takutku, menggeletar. Dia memandang tepat ke jendela, tempat kaki aku dipaku ke lantai, ketat. Wajah mulus itu memulakan bicara...

"Eh! Hai Nazwan! Eh..awak Nazwan..kan?"

Farhana Arshad, menyapa aku. 

***

KARKAS #112: DENGAR TAK DENGAR

Hujan turun tanpa teduh, kini telah melangkaui tempoh tiga hari berturut-turut. Sedikit sebanyak titis yang berjurai membentuk takik di tanah azali—merodok buku hati serba lali. Musim tengkujuh tatkala separanya purnama adalah perihal kelaziman di Kampung Cermin. Beratnya kendongan sang awan menumpahkan muntahnya ke tanah; berat lagi mata melihat tanaman ternakan serba musnah. 

Ada pokok-pokok menjalar mirip kekacang memeluk-litup pohon ara di hadapan rumah penghulu. Jejaka yang berkaki ayam dan melilit kepalanya dengan batik-lepas, tenang memetik kekacang dalam keadaan kebasahan. Ada pun tuaian kekacang itu berlaku di tengah-tengah kampung. Maka dalam suasana yang lewat senja, berpusu-pusulah orang-orang Kampung Cermin memenuhi beranda rumah masing-masing. Mereka bingung. Suasana yang tadinya meriah dengan derap hentakan kaki di atas lantaian kayu rumah, kini sunyi sepi berteman irama rintikan hujan. Ini bukan perkara gurau-gurau, otak mereka seolah disuntik santau. 

Mereka kebingungan memandang jejaka si pengutip kekacang. Tidak pernah bersusur-galur daripada nenek datok moyang mereka di Kampung Cermin ini yang berani meredah hujan. Tiada seorang jantan yang memiliki cukup kejantanan untuk berdiri kuyup di tengah gerimis sekali pun. 

Ada seorang, sebenarnya. Tapi itu mungkin dua dekad yang lalu. Yang mana selepas dia mengikat tali perahu di batang tonggak tepian tebing sungai, hujan turun tiba-tiba. Kaget untuk ke mana-mana, dia kebasahan. Keesokan hari, orang kampung menemukan mayatnya membisul dengan tompok kebiruan di dada dan perut. Di sisi mayat, terpacak berdiri adinda kepada si mayat, ternganga mengeluarkan kata-kata, "aaa..aaa..ooo..".

"Hujan pembunuh! Hujan pembunuh!" Teriak-telolong segenap penduduk kampung di tepi sungai. Bertitik-tolak kejadian itu, seluruh penduduk tidak berani meredah hujan. Dan setiap kali hujan merintik jatuh ke bumi, bergema berbukit bersemi, laungan "Hujan Pembunuh! Hujan Pembunuh! Hujan berhenti!"

Mereka amat benci dengan air itu malah menyelubung perasaan takut akan bendalir misteri dari langit yang menoda rakan mereka sehingga mati. Bendalir itu—hujan. 

"Woi kau yang di sana! Ayuh berlari ke sini jika tidak mahu mati!" Pekik penghulu berteduhan di beranda rumah bersaksikan beberapa rumah yang lain. Jejaka yang mengutip kekacang tadi menjengket-jengketkan bahu, membalas pekikan melulu. 'Apa yang kau mahu?', cuba dikhabarkan kembali kepada penghulu. Tapi tidak kedengaran. 

"Jangan jadi dungu! Lekas! Lekas selamatkan diri mu! Hujan itu pembunuh! Kamu akan mati!" Penghulu kelihatan menambah aras ketegangan pada pekikan selanjutnya. Selang beberapa detik, jejaka tadi berjalan menghampiri penghulu lalu ditarik dengan rakus oleh penduduk kampung, masuk ke bawah ruangan beranda beratap nipah yang terjulur-julur. 

Jejaka basah kuyup. Penghulu mulut terkatup. Orang kampung mata menyusup-nyusup. "Orang muda, barangkali kamu sudah hilang akal?" Kata penghulu. Lalu jejaka itu mengensot ke muka pintu perlahan-lahan. Menggigil kesejukan si jejaka dek bajunya yang lunyai dibantai hujan. Pantas dia membuka baju memperlihat badannya...

Terbelalaklah seantero manusia di bawah atap itu melihat. Ada penduduk yang berbuih mulutnya. Ada yang mencekik leher sendiri hingga sangkat nafas. Ada juga yang terpercik darah menghentak-hentak kepala ke bucu tiang seri beranda. Penghulu menggeletar seluruh badan ingin memulakan sekali lagi bicara. 

"Kau...kau...anak muda...." Tersekat-sekat rongga kotak suaranya. Dia menggagahkan raga dan cuba lagi menghabiskan kata. "Kau cuba cakap kau siapa?!" 

Jejaka mengulangi perilaku, menjengket-jengketkan bahu, juga menggoyang-gerakkan dagu. Terang dan nyata si jejaka itu, pekak dan bisu. Pekaknya, tuli. Bisunya, abadi. Dan tanda lahir tompok biru, di dada dan perutnya; memukul-mukul memori ceritera dulu-dulu. 

Penghulu terduduk kaku sambil mengusap-usap air mata di muka. "Hah..hah..fooh.." Dengus dadanya berombak. Dia menelanjangkan dirinya tergesa-gesa, membuang semua utas benang yang terzahir di badan—berlipas kudung ke arah pohon ara di tengah hujan dalam keadaan bogel bulat.an turun tanpa teduh, kini telah melangkaui tempoh tiga hari berturut-turut. Sedikit sebanyak titis yang berjurai membentuk takik di tanah azali—merodok buku hati serba lali. Musim tengkujuh tatkala separanya purnama adalah perihal kelaziman di Kampung Cermin. Beratnya kendongan sang awan menumpahkan muntahnya ke tanah; berat lagi mata melihat tanaman ternakan serba musnah. 

Ada pokok-pokok menjalar mirip kekacang memeluk-litup pohon ara di hadapan rumah penghulu. Jejaka yang berkaki ayam dan melilit kepalanya dengan batik-lepas, tenang memetik kekacang dalam keadaan kebasahan. Ada pun tuaian kekacang itu berlaku di tengah-tengah kampung. Maka dalam suasana yang lewat senja, berpusu-pusulah orang-orang Kampung Cermin memenuhi beranda rumah masing-masing. Mereka bingung. Suasana yang tadinya meriah dengan derap hentakan kaki di atas lantaian kayu rumah, kini sunyi sepi berteman irama rintikan hujan. Ini bukan perkara gurau-gurau, otak mereka seolah disuntik santau. 

Mereka kebingungan memandang jejaka si pengutip kekacang. Tidak pernah bersusur-galur daripada nenek datok moyang mereka di Kampung Cermin ini yang berani meredah hujan. Tiada seorang jantan yang memiliki cukup kejantanan untuk berdiri kuyup di tengah gerimis sekali pun. 

Ada seorang, sebenarnya. Tapi itu mungkin dua dekad yang lalu. Yang mana selepas dia mengikat tali perahu di batang tonggak tepian tebing sungai, hujan turun tiba-tiba. Kaget untuk ke mana-mana, dia kebasahan. Keesokan hari, orang kampung menemukan mayatnya membisul dengan tompok kebiruan di dada dan perut. Di sisi mayat, terpacak berdiri adinda kepada si mayat, ternganga mengeluarkan kata-kata, "aaa..aaa..ooo..".

"Hujan pembunuh! Hujan pembunuh!" Teriak-telolong segenap penduduk kampung di tepi sungai. Bertitik-tolak kejadian itu, seluruh penduduk tidak berani meredah hujan. Dan setiap kali hujan merintik jatuh ke bumi, bergema berbukit bersemi, laungan "Hujan Pembunuh! Hujan Pembunuh! Hujan berhenti!"

Mereka amat benci dengan air itu malah menyelubung perasaan takut akan bendalir misteri dari langit yang menoda rakan mereka sehingga mati. Bendalir itu—hujan. 

"Woi kau yang di sana! Ayuh berlari ke sini jika tidak mahu mati!" Pekik penghulu berteduhan di beranda rumah bersaksikan beberapa rumah yang lain. Jejaka yang mengutip kekacang tadi menjengket-jengketkan bahu, membalas pekikan melulu. 'Apa yang kau mahu?', cuba dikhabarkan kembali kepada penghulu. Tapi tidak kedengaran. 

"Jangan jadi dungu! Lekas! Lekas selamatkan diri mu! Hujan itu pembunuh! Kamu akan mati!" Penghulu kelihatan menambah aras ketegangan pada pekikan selanjutnya. Selang beberapa detik, jejaka tadi berjalan menghampiri penghulu lalu ditarik dengan rakus oleh penduduk kampung, masuk ke bawah ruangan beranda beratap nipah yang terjulur-julur. 

Jejaka basah kuyup. Penghulu mulut terkatup. Orang kampung mata menyusup-nyusup. "Orang muda, barangkali kamu sudah hilang akal?" Kata penghulu. Lalu jejaka itu mengensot ke muka pintu perlahan-lahan. Menggigil kesejukan si jejaka dek bajunya yang lunyai dibantai hujan. Pantas dia membuka baju memperlihat badannya...

Terbelalaklah seantero manusia di bawah atap itu melihat. Ada penduduk yang berbuih mulutnya. Ada yang mencekik leher sendiri hingga sangkat nafas. Ada juga yang terpercik darah menghentak-hentak kepala ke bucu tiang seri beranda. Penghulu menggeletar seluruh badan ingin memulakan sekali lagi bicara. 

"Kau...kau...anak muda...." Tersekat-sekat rongga kotak suaranya. Dia menggagahkan raga dan cuba lagi menghabiskan kata. "Kau cuba cakap kau siapa?!" 

Jejaka mengulangi perilaku, menjengket-jengketkan bahu, juga menggoyang-gerakkan dagu. Terang dan nyata si jejaka itu, pekak dan bisu. Pekaknya, tuli. Bisunya, abadi. Dan tanda lahir tompok biru, di dada dan perutnya; memukul-mukul memori ceritera dulu-dulu. 

Penghulu terduduk kaku sambil mengusap-usap air mata di muka. "Hah..hah..fooh.." Dengus dadanya berombak. Dia menelanjangkan dirinya tergesa-gesa, membuang semua utas benang yang terzahir di badan—berlipas kudung ke arah pohon ara di tengah hujan dalam keadaan bogel bulat.

***

14 Mar 2015

KARKAS #105: POSTER

"Cepat sikit gantung poster tu!"

"Nak cepat macam mana YB? 15,000 keping semuanya. Takkan nak siap malam ni jugak?"

"Kau gunalah apa cara sekali pun. Yang aku nak tau, benda kena siap. Siap! Siap! Kau paham tak siap?"

"Ok. Nanti saya kumpul budak-budak YB."

"Good dog. I mean..dogs. U all, stinky."

YB sebenarnya belum lagi YB. Tapi bakal menjadi YB. Dia duduk di atas sofa ditengah-tengah bilik kempen sambil mengirup Slurpee hijau. Menggelegak otaknya seketika.
'Stim slurpee dah aku ni! Hehehehe' kata hatinya.

BAMM!!

Pintu dibuka deras.

"YB. Poster dah habis semua orang gantung. Setel dah semua! Amacam?"

Pooffffff... Terkeluar Slurpee di celah hidung YB. Terkejutnya, bukan main-main.

"Dah setel?? Korang ni stim ganja ke? Aku belum habis sedut Slurpee, korang dah habis tampal?"

"YB..budak kita kan ramai. Semuanya mana ambil upah. Ini naluri sebenar anak muda lah YB!"

YB memandang sekeping poster yang digantung di hadapan pintu bilik kempen sambil ragu-ragu mahu berperasaan yang sebagaimana. Marah pun bukan. Gembira pun bukan.

'UNDILAH AZHAR: YB penulisan dan persembahan Indie se-Malaya'

Ahh, dia kini tahu apa sebenarnya perasaan teka-hati yang memulas-mulas, mewakili segerombolan anak muda yang waras—


Merdeka dan puas.

***

11 Mar 2015

KARKAS #84: ONAR

Pitak mula merasa perutnya sakit dan mual-mual. Lalu dia teringat akan perbuatannya bersama Abul tempoh hari. Di sudut gelap bertatahkan lampu kekuningan itu menjadi penyuluh onar mereka. Apa yg diratah oleh Abul, dinikmati bersama Pitak — nasi briyani mamak yg hampir basi, 2 hari lepas.

***

KARKAS #46: PELANGI INTAN

Ada pun dunia buntu apabila OPEC mengumumkan sumber simpanan petroleum dunia sudah hampir mencecah peratusan kritikal 0.28%. Srikandi terakhir wanita Malaya, Intan, adalah solusi ulung khusus menentukan kawasan simpanan petroleum yg dicari-cari oleh Raja Permaisuri Saudi, Balqis; Presiden USA; Zainatun, dan Perdana Menteri Malaysia; Nurul Nuha. Terdahulu, Intan pernah dicop gila meroyan  menyelam berseorangan di selatan Lautan Hindi dek membantu Coast-Guard Australia mencari bangkai MH370; sebaliknya beliau tidak mati malah telah menemukan titik simpanan minyak baharu. Sehingga simpanan minyak dunia semakin merudum drastik, seluruh kuasa besar dunia masih menggerudi menikmati titik minyak yang Intan temui—terpancut minyak berwarna pelangi.

***

KARKAS #29: LARI

Dalam keadaan yang berangin, memang sukar untuk mereka meneruskan perjalanan. Diminta ampun dan simpati daripada tuhan; agar jangan pula menurunkan hujan. Micheal yang sibuk mengendong barang buruan terserempak dengan Roderigo di tengah-tengah perjalanan. Micheal pantas menyapa, 

“Rod, kau ni aku tengok makin malas.”
“Bukan aku yang malas, tapi kau yg bodoh.” Balas Roderigo. 
“Cubalah tolong angkat barang-barang. Nanti istana agih-agihkan. Mana kesetiaan kau?”

Roderigo tenang menyalakan sebatang rokok daun kering tanpa mengendahkan Micheal yang tidak tahu membaca. Beliau menempik ke Micheal si hitam.

“Mike! Tadi aku dari barisan belakang sekali. Dah 37 kali aku buat kerja lari-lari ni. Tak payah angkat barang pun kita confirm dapat makan lah!”
“Mentang-mentang kau tahu membaca, kau berlagak pulak! Babi!”
“Kita kena mula lari laju dah Mike. Kita sampai dulu. Kita makan dulu. Kau ingat istana peduli ke kau angkut barang-barang ni?”
“Aku sebenarnya jatuh hati dgn Permaisuri.”
“Kau ni banyak minum Heineken aku rasa. Mabuk troxx. Mike, aku pernah sampai dulu potong semua orang jauh tertinggal kat belakang. Line clear, aku terus bersenggama dengan Permaisuri. Dia ok.”

Belum sempat Micheal berfantasi, taufan gas beracun melumpuhkan batalion pemburu.

“Along! Dah spray Ridsect kat depan belum?”
“Dah mak. Mati dah semua semut.”

***

Margolas: Pok Pok Kuzawa

KARKAS #25: DUGAANKU BENAR BELAKA

Semakin hari semakin tidak keruan haluan emosi Nora. Dikendongnya emosi hiba ke mana-mana, lebih-lebih lagi tatkala bertentang bidik mata ke mata dengan manusia. Bagi Nora, hanya binatang menjadi kamus penyeri emosi diri. Ada masanya Nora mengelak terserempak dgn rakan-rakan baru. Nora lebih rela bergaul dgn itik-itik angsa nenek atau memukul lipas-lipas yg aktif berterbangan di dalam bilik.

Sesekali Nora bertelepati dgn jiwa sendiri—lesu. Hendak ditangisi—kaku. 1001 cara beliau cuba khusus untuk menutup-ketat emosi hiba ini. Melompat 79 kali ketika mandi pagi, sudah dicuba. Mengunyah taugeh dan meratah soya mentah 10 malam berturut-turut selepas datang bulan, sudah dicuba. Memasuki kelas-kelas kaunseling dan zumba juga, sudah dicuba. Hasilnya? Setakik paku pun tidak berubah.

Nora jadi benci pada manusia. Benci semuanya. Dialog yg bisa diruntun tepat ke muka mahupun digelodak ria di belakangnya, tetap sama. Malah makin berjujuk kuantitinya. Hendak sahaja diikutkan hati Nora utk menjahit mulut-mulut manusia puaka yg mencurahkan hiba ke atap kepalanya.

Tok! Tok! Tok!

"Siapa kat luar?" Teriak nora. Tiada jawapan dibunyikan.

Tok! Tok! Tok!

Alun muka pintu bilik diketuk lagi. Nora menyambung, "Nyah kau dari sini! Aku tak suka manusia!"

"Nora, ni mak ni. Sepupu Nora dtg. Bukaklah pintu ya syg..."

Dgn berbekalkan harapan setinggi puncak Himalaya, Nora berharap dialog puaka yg menghantui beliau bakal dimeteraikan oleh sepupunya yg terpisah 20 tahun itu, Qelda.

Krekkk...

Pintu dibuka perlahan. Mata Nora meninjau-ninjau Qelda yg mana emosi hiba di dalam hati Nora masih merobek membuku. 'Qelda, mungkin kau lain dari manusia yg lain.' Bentak hati Nora.

"Noraaa!!! Kau dah besarr dahh!!" Nora tersenyum simpul, sedikit sebanyak emosi hiba bertiup meninggalkan mindanya.

"Hai Qelda. Comelnya awak!"
"Erpp. Nora, kau umur berapa eh? Kenapa tinggi kau macam budak darjah tiga?"

Nora terus menghalau Qelda keluar lalu mengetap daun pintu sederasnya. Beliau mencapai tali skipping di tepi katil, dan beliau terus memulakan kiraan skippingnya.

Saatuu..fuuh..fuuhh..
Duuua..fuuh..fuuhh..
Tiiiigaaaa...

"Cepatlah tinggi wahai badan!"


***

Margolas: Pok Pok Kuzawa