Showing posts with label Mensiour Jasad. Show all posts
Showing posts with label Mensiour Jasad. Show all posts

4 Apr 2018

KARKAS #250 : AKU, KAU & MATAHARI MAC

Aku, Kau & Matahari Mac

Pagi ini aku bangun lebih awal daripada biasa, perkara rutin setiap kali Mac menjelma. Aku akan duduk di balkoni sambil menyaksikan matahari perlahan-lahan mendaki langit.  Gemar aku, menikmati kecantikan warnanya, merasai habanya selesa serta menghirup baunya yang sangat harum. Sungguh, matahari pada bulan Mac ini sangat sempurna.

Jika mampu, mahu saja aku hentikan masa dan terus tinggal dalam suasana begini sampai bila-bila. Tenang dan damai tanpa perlu peduli tentang realiti yang membunuh. Aku tidak mahu meraikan matahari Mac ini sendiri, lalu aku berlari ke kamar dan mengejutkan dia yang sedang lena.

"Selamat pagi, sayang. Jom, kita raikan Mac"

Dia menolak, selimut ditarik hingga kepala. Aku senyum lalu langsir bilik, aku buka luas. Aku tarik selimutnya semula dan aku bisik,

"Mari, teman saya merenung matahari Mac. Cuba awak amati dan dalami, cahaya matahari bulan ini sangat berlainan."

"Lain? Maksud awak?"

"Cahaya matahari bulan Mac ini tidak hadir sendiri, ia hadir dengan limpahan kasih sayang, cinta dan harapan."

"Macam mana?"

"Macam kita, Mac tahun lepas saya sendiri dan Mac tahun ini, awak ada di sisi. Kita berharap agar Mac tahun berikutnya mungkin sehingga tua, kita masih bersama. Begitulah."

"Tapi, awak tahukan itu tak mungkin terjadi?"

"Awak bukan tuhan dan tolong jangan ambil kerja tuhan, biarkan Dia buat kerja dan kita terima seadanya. Kita boleh berharap, tapi biarlah harapan itu kita seiring dengan doa dan usaha. Percayalah pada dia, dan semua akan baik-baik saja."

"Tapi..."

"Jangan ada perkataan 'tapi' yang keluar dari mulut awak, buat masa sekarang kita raikan apa yang kita lalui. Syukur dengan apa saja termasuklah sakit yang awak alami ini. Ingat, jika saya tiada disisi, berbahagialah sebab Dia akan sentiasa menemani dalam apa jua posisi."


Dia mendakap aku erat, terasa hangat air matanya. Matahari Mac kali ini benar-benar berbeza, datangnya membunuh sepi dan menghidupkan cinta serta harapan.

KARKAS #248 : MASIH MENUNGGUMU DENGAN SEKAKI PAYUNG



Bunyi guruh yang berdentum di langit, buat jantung aku berdegup sangat kencang. Nafas jadi sesak dan jika tidak dikawal mungkin aku sudah hilang nyawa. Kalaulah waktu ini, aku berada di rumah, pastinya sudah menyorok di bawah katil sambil menutup telinga. Benar, guruh buat aku rasa terancam dan ketakutan tapi demi dia, aku lawan perasaan takut ini.

Guruh tidak akan datang sendiri, selalu ada hujan yang mememani sama seperti petang ini. Hujan turun dengan lebatnya bagaikan tiada hari esok. Aku sudah basah kuyup biarpun berpayung, tetapi demi dia aku sanggup berbasah.

Hari sudah lewat dan bas juga sudah silih berganti, namun dia tetap tidak kelihatan. Aku sudah mula mundar mandir di stesten bas, tempat aku menunggu dia. Risau mula menghantui dan hati mula diduga dengan pelbagai andaian yang kurang baik. Aku cuba menghubunginya tetapi tiada jawapan, makin bertambah gusar di hati.

"Dik, tunggu siapa ni? Habis basah kuyup."
"Tunggu mak, patutnya dah sampai ni."
"Mak? Kamu patut balik, mandi dan berehat. Nanti kamu demam, berhujan lama-lama"
"Takpe pak cik, adik nak tunggu mak. Mak lagi tak boleh berhujan. Nanti dia demam, macam hari tu"
"Baliklah, mak kamu sudah lama pulang. Bersabarlah dik, ini semua ujian. Baliklah."

Selepas dipujuk, akhirnya aku bersetuju untuk balik ke rumah. Aku berjalan perlahan-lahan, entah kenapa hujan petang itu begitu sayu lantas air mata aku jatuh tiba-tiba dan sebak memenuhi dada. 

"Maafkan adik, mak. Kalau masa hujan lebat hari itu, adik jemput mak mesti mak tak jatuh sakit dan pergi tinggalkan adikkan? "

Sejak kejadian itu, setiap kali hujan, aku akan bergegas menunggu mak dengan sekaki payung di stesten bas itu. Aku berharap, tuhan akan menghantar mak pulang kepada aku.

19 Nov 2015

KARKAS #219: LAUTAN HITAM

Kematian aku ini bagaikan satu misteri. Baru tadi aku dibanggakan di hadapan seorang teman tapi kini aku di dalam lautan hitam yang sedikit demi sedikit melumpuhkan sistem badan aku. Adakah aku mangsa kepada iri hati ataupun mangsa dendam?
 
*********
 
Farok menoleh ke kiri dan kanan. Kemudian perlahan-lahan dirinya merapati mesin ATM. Skrin mesin itu ditatap lama sambil badannya dikembangkan agar tiada orang lain dapat membaca jumlah baki wang yang dia miliki. Termenung seketika tatkala melihat baki yang tertera. Timbul rasa gusar apabila memikirkan tentang semua bil yang perlu dijelaskan.
 
"Cek belum masuk!” Omel Farok sendiri.
 
"Ehem…cepat sikit bro!" Suara yang datang dari arah belakang mengejutkan Farok. Cepat-cepat Farok menyelesaikan urusan dengan mesin ATM dan memberi ruang kepada orang lain untuk menggunakan pula mesin itu. Kemudian Farok duduk di kaki lima, memikirkan sesuatu untuk mendapatkan duit. Dalam kebuntuan, Farok menghabiskan masa memerhati orang yang lalu-lalang.
 
"Farok?"
"Hey, Latip. Lama kita tak jumpa."
 
Mereka bersalaman dan berpelukkan. Hampir berbulan lamanya tak berjumpa. Latip yang berkerja sebagai juru gambar nampak segak dengan kamera yang tergantung di leher. Kerjanya juga kadang-kadang membawanya jauh ke tempat lain. Disebabkan itu juga mereka jarang berjumpa.
 
"Jom minum." Ajak Latip.
 
Asalnya Farok menolak keras kerana memikir duit yang tiada tetapi apabila Latip begitu mendesak akhirnya Farok akur. Tambahan pula Latip menawarkan diri untuk membelanjanya.
 
Mereka duduk di gerai yang berdekatan lalu memesan makanan yang sama iaitu nasi goreng dan kopi ais. Senang hati Farok. Nasi goreng itu mampu menampung makan tengahari bahkan juga makan malamnya.
 
Sedang mereka asyik berborak, tiba-tiba Latip bangun dan meraba-raba koceknya. Farok terkejut dengan  tindakan Latip yang agak mengelabah.
 
"Kau apa hal ni?"
 
"Hehehehe...telefon aku vibrate. Maaflah. Telefon ni limited edition. Tak ada jual kat sini lagi. Power telefon ni." Latip terus memuji telefon barunya yang diletakkan di atas meja.
 
"Wah, hebatlah kau. Mahal tu. Telefon lama mana?"
 
"Rezeki. Bulan lepas aku dapat banyak job, jadi teballah sikit poket ni. Telefon lama tu aku dah jual. Buat apa banyak - banyak telefon. Lagipun aku dah jatuh hati dengan telefon ni."
 
Farok tersenyum. Ini peluang terbaik Farok, barangkali ini cara Allah untuk bantu dia yang sedang kekeringan duit. Terima kasih Tuhan.
 
"Latip, kau ingat tak masa kau beli telefon lama tu? Kau..."
 
Belum sempat Farok menghabiskan percakapannya, sekali lagi Latip bangun dalam keadaan kelam kabut. Farok kehairanan, dahinya berkerut.
 
"Farok, aku nak lekas ni. Ambil RM20.00 ni dan tolong bayarkan makanan ni. Kalau ada baki kau ambillah.” Latip bergegas meninggalkan Farok tanpa sempat menjamah makanan itu.
 
Farok melepaskan nafas kecewa dan dia tahu Latip sengaja mencari alasan lagi. Makanan Latip yang tidak dijamah, dibungkusnya. Manakala air kopi ais itu sengaja dibiarkan saja di atas meja.
 
 
Lima minit berlalu, Farok masih lagi di gerai tadi. Menunggu….
 
"Hey Farok!” Latip berlari-lari anak ke arah Farok. Mukanya agak cemas.
 
"Nampak telefon aku tadi?"
 
"Tu, sedang berenang dalam kopi ais kau tadi."
 
Farok bingkas bangun lalu menepuk bahu Latip.
 
“Lain kali jangan lari dari bayar hutang. Bertabahlah.”
 
Latip tercengang, usahanya menyelamatkan telefon pintarnya di dalam kopi ais tadi terhenti.
 
 
*****

Hanya kerana hutang Latip kepada Farok, maka aku menjadi mangsa. Kopi ais itu meragut nyawa aku.

*****

7 Nov 2015

KARKAS #204: JASAD UNTUK DIJUAL

Aku memicit-micit kepala yang tidak sakit, tapi sebenarnya hati yang mula gundah. Buku akaun tidak menunjukkan sebarang keuntungan yang ada cuma rugi.

Aku bergerak ke bilik penyimpanan produk, secara fizikalnya kesemua produkku adalah paling terbaik, tiada cacat cela terapi entah kenapa jualan masih merudum.

"Mungkin kita perlu buat promosi atau buat jualan murah." Sapa pembantuku dari belakang.

"Abang rasa produk kita ambil ini tak berkualiti, mungkin kita patut cari pembekal lain. Kita kena ada produk yang lebih elok dari segi fizikal, mental dan yang penting dalaman mesti baik." 

Aku memeriksa semua rekod produk yang aku ada, hanya tiga puluh peratus saja yang betul-betul melepasi piawaian. Aku buntu.

"Esok kita buat jualan murah, abang dah asingkan yang mana produk kita yang elok, yang tak berkualiti tu kita jual. Jual sampai tujuh puluh peratus dari harga asal. Tak apalah rugi sikit." 

"Tapi..."

"Dahlah, jangan tapi-tapi lagi. Fikir secara logik, kalau kau nanti disuruh memilih jasad kau yang baru untuk kelahiran kedua takkan kau nak beli jasad yang ada sakit mental, yang buah pinggangnya rosak atau yang jantung berlubang? Tentu tidakkah? Kelahiran kedua ini satu-satunya peluang untuk mereka menjadi lebih baik dari sebelumnya."

Bebelan aku telah mendiamkan pembantuku.

"Jangan membatu, nak tampal kertas ini kat luar."

'JASAD UNTUK DIJUAL, DISKAUN SEHINGGA 70 %'

***

KARKAS #202: GADIS PURDAH

Sudah hampir dua minggu, gadis berjubah dan berpurdah hitam itu tidak aku temui.

Biasanya kami akan menaiki train yang sama dari stesen Wangsa Maju hingga ke Bangsar. Kami tidak pernah berinteraksi cuma aku selalu saja curi pandang padanya.

Matanya yang bulat dan solekan matanya yang nipis benar-benar menambat hatiku. Jadi benarlah kata orang dari mata turun ke hati.

Tapi sinar pada gadis itu makin pudar dan hilang saat kali terakhir aku melihat tempoh hari. Aku lihat ada kesedihan dan kekecewaan jelas di matanya.

Aku berharap, agar aku menemuinya hari ini dan akan aku beranikan diri untuk bertanya khabar. Jika diizinkan mahu aku menjadikan dia temanku.

Aku duduk di kerusi biasa, aku mengintai mata yang mahu aku temui. Hampa. Dia tidak kelihatan.

Sampai di Stesen KLCC, ada seorang gadis duduk di sebelahku. Gayanya persis dia yang aku cari. Aku terus menoleh dan kami bertentangan mata. Tergaris senyuman di pipiku dan aku dapat rasakan dia juga sedang tersenyum.

Aku terus menyapa tanpa malu dan kami panjang berbual dari Stesen KLCC sehingga ke Kelana Jaya patah balik ke Gombak. 

Bermacam-macam yang aku tanyakan pada dia, dari namanya hinggalah ke keluarganya, tidak lupa juga status dan juga kehilangannya selama dua minggu.

Gadis berjubah dan berpurdah itu pada awalnya malu-malu tetapi lama kelamaan dia terus  berkongsi tanpa rasa sangsi.

Selepas pertemuan itu, kami makin kerap bertemu. Kami makin selesa dan sinar di matanya sudah kembali bahkan lebih bahagia dari biasa. Aku telah berjaya membuatkan dia lupa pada bekas kekasihnya yang tidak dapat menerima satu sifat buruknya.

Aku tidak bertanya banyak tentang sifat buruknya, bagi aku teman atau kekasih yang baik harus menerima semua sisi pasangannya tidak kiralah baik atau buruk.

Sedar tak sedar, hampir dua bulan kami berteman. Kami makin mesra, jika tidak dapat berjumpa kami akan habiskan masa di berbual di telefon hingga larut malam.

Secara jujurnya, aku merasakan kami sudah menyukai satu sama lain mungkin sudah hampir kepada sayang dan jika diizinkan maka jatuh cintalah kami.

Malam ini, aku dijemput ke rumahnya untuk makan malam. Asalnya aku sedikit ragu-ragu, tetapi atas desakan aku akhirnya setuju.

Menurutnya, kami tidak makan berdua. Ada rakan serumah dan adiknya turut serta. Jadi tidaklah aku risau untuk ke rumahnya.

Hidangan malam itu nampak cukup enak. Hampir ke semua makan yang terletak di atas meja itu kegemaran aku. Aku teruja.

Setengah jam aku di rumahnya, kelibat teman serumah dan adiknya tidak aku nampak. Bila aku menyoal tentang mereka dia memberikan seribu jawapan. Sedikit gusar hati tetapi layannya yang mesra buat aku tenggelam.

Usai makan, kami duduk di ruang tamu sambil menikmati kopi. Terasa seperti aku sudah pun mengahwininya. Senyum sendiri aku.

Dia mengajak aku bermain satu permainan. Tanpa banyak  membantah aku menurut saja. Dia menutup mataku dengan kain, serta mengikat kedua tanganku di kerusi.

Aneh benar mainannya. Tetapi aku suka. Tiba-tiba aku merasa tubuhku diraba-raba dengan rakus, mukaku dicium-cium tanpa henti. Aku mula meronta. Aku cukup geli diperlakukan begitu.

Ada suara berbisik, suaranya cukup aku kenal. "Maafkan saya, nafsu rakus adalah sifat saya paling buruk. Bekas kekasih saya dulu meninggalkan saya kerana ini. Saya telah cuba menahan nafsu ini tetapi saya tak mampu. Jika saya tidak menyentuh atau meraba tubuh seorang lelaki, saya akan sasau dan murung. Maafkan saya awak, saya bukanlah sebaik yang awak sangkakan. Saya cuma mahukan tubuh ini sahaja."

Aku terpaku.

***

KARKAS #200: KERUNTUHAN KUALA LUMPUR

Hari ini aku pulang lebih awal dari biasa, kelas yang sepatutnya berjalan jam dua belas tadi telah dibatalkan secara mendadak. Menurut mulut-mulut murai di kelas aku, tengahari ini akan diadakan satu mesyuarat tergempar lantaran ada beberapa orang pelajar kolej yang terlibat dengan perhimpunan haram serta memijak gambar perdana menteri. Sepatutnya mengikut undang-undang mereka perlu dibuang dari menjadi penuntut tetapi kerana salah seorang dari mereka ialah anak kepada penyumbang dana untuk kolej kami maka besar kemungkinan keputusan itu perlu dipertimbangkan.

Aku tidak menunggu lama di dalam kelas, sejurus sahaja pengumuman dibuat. Aku bingkas bangun, menggalas beg lalu berjalan kaki menuju ke Stesen Taman Maluri. Semasa dalam perjalanan telinga aku dijamu dengan bunyi hon yang sangat kuat dan disulam kata-kata maki seorang lelaki. Hatinya panas apabila kenderaannya dihalang oleh kenderaan lain dan menyebabkan kenderaan tidak boleh keluar. Seorang pak cik tua keluar dari sebuah kedai dan merapati lelaki yang sedang marah tadi. Aku kira dia pemilik kenderaan yang menghalang. Berkali-kali pak cik tua itu memohon maaf namun dia tetap dimaki. Selepas kenderaan tersebut dialihkan pak cik tua itu dihadiahkan pula jari tengah oleh lelaki yang masih marah itu. Aku menggeleng dan mempercepatkan perjalanan.

Selepas membeli token, aku berjalan ke tangga dengan agak laju dan ketika itu bahu aku dilanggar oleh seorang gadis yang sibuk dengan telefon pintarnya. Habis semua buku dan kertas yang aku pegang bertaburan di lantai, aku terus tunduk dan mengutip.

"Lain kali bila berjalan tu, tengok-tengoklah sikit!"

Gadis tadi memberikan aku peringatan tetapi nadanya lebih kepada marah. Aku hanya diam. 

"Sudahlah aku dilanggarnya, jangan kata nak minta maaf atau nak kutip kertas bertabur ni tapi aku pula yang disekolahkan." Rungut aku sendiri.

Semasa di dalam train ada satu hal yang aku perhatikan. Ada sepasang kekasih sedang bermadu asmara tanpa rasa malu dengan orang sekeliling. Mereka saling berpelukan, membalas ciuman dan melakukan aksi ringan-ringan. Banyak mata yang memandang tetapi tidak seorang pun menegur termasuklah aku.

Sampai di rumah aku membuka pintu belakang seluasnya, angin yang bertiup deras turut membawa habuk serta debu-debu. Bunyi bising gerudi serta bunyi tukulan menjadi lagu buat aku hari-hari. Tanah yang dulunya hutan kini telah bertukar wajah, pembangunan giat dijalankan tanpa rasa segan pada bumi. Aku menggeleng lagi.

Aku kemudiannya menuju ke bilik, sebuah buku berkulit tebal aku ambil. Aku buka laman yang kosong lalu sepantas kilat tangan aku yang memegang sebatang pen kini menari di atasnya. Di buku itulah aku mencurahkan segalanya.

*****

Sedar atau tidak kota Kuala Lumpur sedang runtuh dan mungkin tidak lama lagi kota ini akan hilang dari dunia.

Manusia di sini sudah runtuh sosialnya, sudah hilang malunya, budi bahasa juga padam dan paling sedih adab juga sudah mati. Jika tidak pasti semua perkara yang aku lihat tadi tidak terjadi.

Aku juga sedih melihat tanah Kuala Lumpur yang semakin hari semakin sakit terpaksa menampung berat bangunan yang sangat banyak. Kesian Kuala Lumpur makin tenat dek manusia yang rakus.

***

6 Nov 2015

KARKAS #199: ARMAN

Selepas tiga minggu Arman mengurung dirinya di dalam rumah, akhirnya dia mengambil keputusan untuk memulihkan semangat dengan bersiar-siar di taman KLCC.

Arman mengenakan t-shirt kuning, berseluar biru dan berkaca mata hitam. Lari dari warna kesukarannya iaitu hitam, menurut fikirannya apabila dia memakai baju warna hitam kecendurungan untuk dia murung itu tinggi.

Arman ke KLCC menggunakan LRT sahaja, mudah dan cepat tambahan pula dia mahu mencuci mata dengan melihat karenah orang ramai yang menaiki train tersebut.

Sampai saja di stesen KLCC, Arman tidak turun dia hanya diam membatu melihat semua penumpang berpusu-pusu keluar dari perut train. Kurang lebih enam minit pintu train ditutup dan Arman masih duduk di dalamnya cuma bezanya hanya Arman seorang sahaja di dalamnya.

Arman melontarkan pandangan matanya ke luar cermin, baginya tiada apa yang aneh cuma dia bertuah kerana tidak perlu berhimpit-himpit lagi.

Ayunan train itu lebih kuat dari biasa barangkali mungkin kerana tiada orang maka train lebih ringan, ini yang ditelah oleh Arman apabila train itu bergerak lebih laju dari tadi.

Tiba-tiba train berhenti mengejut di satu stesen yang agak pelik, Arman cuba menjenguk mencari-cari nama stesen itu tetapi hampa. Muncul seorang perempuan yang sarat mengandung di pintu. Mukanya berpeluh tetapi senyum yang tergaris di bibirnya sangat cantik.

Perempuan mengandung itu, duduk di hadapan Arman dan seraya tu bau wangi memenuhi segenap perut train. Arman cuak, mahu berlari ke pintu, pintu sudah tertutup maka bermulalah perjalanan Arman dan perempuan yang sarat mengandung itu.

Kelajuan train itu semakin meningkat, sepertinya train itu akan bergerak dan tidak mahu berhenti. Arman mula risau, jantungnya berdegup kencang. Perempuan yang sarat itu juga pelik tingkah lakunya, sedari tadi mengusap perutnya dan berpeluh-peluh.

Tiba-tiba perempuan itu menjerit, kesakitan yang dirasa sudah tidak dapat di bendungnya. Arman terkejut, langsung panik. Otaknya tidak boleh lagi berfikir dan dia hanya mampu melihat saja perempuan itu mengerang kesakitan.

"Tolong akak, dik. Akak nak duduk di lantai sambil bersandar. Dah tak tahan sangat ni. Masanya dah sampai."

Arman diam, matanya juga langsung tidak berkelip.

"Dik, tolonglah..."

Arman tersentak, bingkas bangun mendapatkan perempuan itu. Selepas semua kemahuan perempuan itu dilaksanakan, Arman duduk di hadapannya. 

"Macam mana ni? Train ni tak berhenti, tak ada orang pula tu. Siapa nak bantu akak?"Arman bersuara.

"Kaulah dik." Perempuan itu memegang tangan Arman lalu di letakkan di atas perutnya. Arman merasakan ada gerakan. Pergerakan terlalu pantas sehinggakan Arman merasa geli dan cepat-cepat menarik tangannya kembali.

"Saya tak nak!" Arman bangun. Dia berlari ke setiap gerabak. Pintu dan tingkap ditendang dan ditumbuk tetapi keputusan gagal.

Perempuan yang sarat tadi makin kuat menjerit. Bajunya sudah lenjun dengan peluh. Atas rasa kasihan Arman mendekati.

"Saya tak tahu nak buat apa!" Arman sudah tidak keruan. Perempuan yang sarat itu terus melalak hingga timbul urat. Matanya terbeliak dan perutnya makin bulat dan membesar.

Pom! Satu letupan kedengaran, bau busuk menusuk hidung, tiada lagi kedengaran suara perempuan menjerit kesakitan.

Habis seluruh badan Arman dipenuhi lendir yang berwarna kuning kehijauan. Arman tidak dapat menahan rasa loya lantas muntah. 

Apabila dia memandang sekeliling, ada benda lain yang di bawa bersama dengan lendir itu. Sejenis binatang berwarna hitam dan panjang.

"Lintah! Perempuan yang sarat tadi mengandungkan lintah!"

Benar sangkaan Arman, perempuan tadi sudah mati dengan perut yang pecah dah dipenuhi ratusan lintah.

Kini lintah-lintah itu mahukan darah Arman untuk hidup.

***

1 Jul 2015

KARKAS #190: HOBI SAYA ADALAH...

Kelas Empat Mawar tiba-tiba bertukar suasana dari gamat dengan jeritan kepada sepi. Kedatangan guru ganti menamatkan pesta mereka.

"Selamat tengah hari, murid-murid. Cikgu Mia ada hal, jadi saya akan ganti tempat dia hari ini." Suara halus itu memecah kesunyian.

Tiga puluh dua pasang mata tertumpu ke arah guru kecil molek berasal dari Melaka.

"Hari ni, kita borak-borak je. Hmm.. Apa hobi awak semua? Kongsilah dengan saya dan kawan-kawan."

Pantas aku bangun sambil mengangkat tangan ke atas. Kini aku pula jadi tumpuan.

Aku membetulkan tali leher sebelum menyambung hujah.

"Hobi saya ni, bahaya tau kena ada orang dewasa teman. Jadi papa akan selalu ada dengan saya." Kembang hidung aku tatkala menyebut perkataan papa. Papa segalanya bagi aku.

"Jadi, apa hobi kau?" Sampuk Jidin.

Aku mengatur langkah ke hadapan kelas dengan penuh gaya. "Saya panggil hobi itu mengeraskan binatang, tapi orang dewasa panggil apa saya tak ingat." Aku menggaru kepala yang tidak gatal, reaksi ini kononnya memberi gambaran aku sedang berfikir, padahal tidak pun.

"Sabtu lepas, saya berjaya keraskan seekor tikus." Nada suara aku sedikit bangga.

"Macam mana awak buat?." Cikgu ganti menyoal seraya melabuhkan punggung comelnya itu di kerusiku. Perubahan tempat berlaku, aku jadi guru dan dia jadi murid.

"Mula-mula, bunuh tikus itu dengan kloroform kemudian cabut sikit demi sikit bulu tikus di bahagian perutnya. Gunakan gunting yang tajam untuk gunting kulit tikus tu." Aku diam, rakan-rakan semuanya fokus mendengar cerita.

"Ingat! Jangan kasar-kasar nanti terburai isi perut tikus tu." Sengaja aku meninggikan suara, rakan-rakan aku sedikit terkejut.

"Papa akan bantu saya untuk buat langkah kedua, iaitu pisahkan kulit dari daging. Buat sampai kat peha. Sementara itu, saya akan taburkan tepung jagung pada badan tikus tu supaya darah berhenti." Aku meluru ke tempat aku, air mineral aku teguk bagi menghilangkan haus.

Kawan-kawan dan guru ganti menanti dengan sabar cerita selanjutnya.

"Lepas tu, saya patahkan tulang paha tikus tu, tarik kakinya dan biarkan tergantung. Papa akan bantu lagi bila melibatkan bahagian otak, kata papa saya belum cukup teliti. Selepas badan dan kaki tikus dipisahkan, ekornya. Kemudian.."

Tak sempat aku menghabiskan cerita guru ganti itu bangun dari bangku.

"Awak buat semua ni, mak awak tak marah?" 

"Marah, tapi dulu. Mulai malam tadi, mama dah tak bising tapi mama asyik senyum saja." Jawab aku.

"Kenapa?" 

"Sebab petang Ahad lepas, saya bantu papa keraskan mama."

***

KARKAS #188: MULUT II

"Kau bunuh dia!" Tengking Pak Ali.

"Tak! Kenapa tuduh aku, apa bukti kau ada?"

"Kalau tidak kerana mulut kau yang kononnya nak bergurau, dia takkan mati!" 

"Tak mungkin dia ambil serius, aku... Aku." Mail tertunduk kesal.

***

Pian seorang pemuda yang lurus bendul, kata orang demam panas yang dialami semasa kecil menyebabkan dia sedikit terencat dan tidak mampu berfikir panjang.

Pada kebiasaannya selepas menoreh getah, Pian akan menikmati kopi panas dan nasi lemak lima puluh sen di gerai tepi sawah namun hari ini Pian kelihatan aneh.

Dia tidak pulang dari menoreh tapi pakaiannya cukup serabai, rambut tidak bersikat serta tidak berkasut.

"Pian, hang ni kenapa?" Tegur Pak Ali.

Pian diam, setelah Pak Ali mahu berlalu baru Pian membuka mulut.

"Pian, banyak masalah. Mak sakit, adik-adik nak bawa mak ke Kolompor berubat tapi nak bawa Pian sekali. Pian tak nak."

Pak Ali duduk di sisi Pian. Ikutlah, bukan lama pun. Nanti diorang hantar balik kampung bila mak sihat."

Pian terdiam, kepalanya menggeleng.

"Kau nak hilangkan masalah senang je, p teguk racun bendang. Kau tenang, adik beradik kau tak susah." Sampuk Mail dari belakang sambil tersengih-sengih.

"Kamu ni Mail, ajar benda bukan-bukan pulak." Butang mata Pak  Ali memarahi Mail.

"Dahlah, Pian pergi balik, jangan dengar cakap Mail ni." Belakang Pian ditepuk dua tiga kali.

Pian mengangguk, tetapi mulutnya asyik mengulangi kata-kata Mail tadi.

Petang itu, langit mendung, tiupan angin yang sejuk seolah cuba menceriakan sesuatu kepada Pak Ali. Entah tiba-tiba, dia teringat pada Pian.

"Pak Ali! Pian..." Jeritan seorang pemuda memeranjatkan Pak Ali.

"Pian minum racun kat kebun getah. Cepat Pak Ali!." Bingkas mereka meluru laju ke kebun getah dan Pian telah selamat ke syurga diiringi tangsan ibunya.

***

13 Jun 2015

KARKAS #179: SAMA RATA

"Anis, jangan pergi. Ini bukan cara terbaik lagi pun buang masa je kau ikut benda ni semua." Aku meninggikan sedikit suara dengan harapan Anis akan takut lalu membatalkan niat untuk menyertai satu perhimpunan yang menuntut hak kesama-rataan antara lelaki dan perempuan. Jangkaan aku meleset, Anis tetap pergi sambil melemparkan kata yang agak kasar. 

"Lelaki pengecut seperti kau hanya layak duduk di rumah dan main bola kocek!" Semua mata yang ada di situ memandang  aku, aku hanya mampu tunduk dan berlalu dari situ. "Inilah perempuan hilang akalnya yang satu, dikuasai oleh sembilan nafsu." Omel aku sendiri.

Bagai nak gugur jantungku, apabila mendapat berita bahawa telah berlaku satu pergaduhan antara pihak polis dengan pendemonstrasi dan polis juga telah menahan beberapa orang peserta yang berperangai keterlauan. Pantas aku mencapai telefon dan mendail nombor Anis berulangkali. Aku hampa. Hampir setengah jam aku mundar-mandir di ruang tamu sambil memikirkan Anis, sembilan akal aku buntu.

"Ida!" Tiba-tiba nama gadis Dusan itu terkeluar dari mulutku. 

Laju tanganku meraba-raba semua kocek yang ada. Tak sempat aku mengesan kedudukannya, telefon aku memekik. "Zam, Anis kena tahan dengan polis. Dia di Balai Polis Bangi sekarang. Polis tak benarkan kami jumpa dia. Kau datanglah ke sini." Pantang diseru, dia pasti muncul. Terima kasih Ida.

Aku bergegas ke IGP Bangi, sambil memandu otak aku ligat mencongak jumlah duit dalam simpanan manalah tahu kalau-kalau Anis boleh diikat jamin, bolehlah aku bayarkan dahulu.

Setiba di IPG Bangi, aku lihat ada sekumpulan anak muda telah mendirikan  perkampungan di situ. "Boleh tahan juga semangat setia-kawan budak-budak  perhimpunan ni. Ini baru betul kawan." Omel  aku sendiri. Keluar dari kereta, mata aku liar mencari Ida. Tubuhnya yang kecil menyukarkan pencarian aku. Aku cuba  menghubunginya, tetapi gagal. 

"Zam! Sinilah!!!" Satu pekikkan kuat  dari sebatang pohon rendang kedengaran. Mata aku halakan ke sana dan aku nampak Ida sedang melambai-lambai. Aku berlari anak untuk menemui Ida.

"Jom, kita sembang kat warung tu, boleh minum sekali. Aku nampak kau letih semacam ni." 

Tanpa membantah Ida membontoti aku. Melihat wajahnya, aku yakin Ida masih belum makan dan sangat kehausan. Jika aku terus serbu dia dengan pelbagai persoalan pasti dia serabut. Jadi, untuk meredakan keadaan, baik minum dulu.

Usai menjamah aku memulakan sesi soal siasat, "Ida, cerita dengan aku macam mana  Anis boleh kena cekup? Aku minta kau jaga diakan tadi?" Ida diam. 

"Maaf Zam, aku gagal jaga Anis. Tadi ada arahan minta kami semua bergerak ke Dataran Merdeka, tapi kami dihalang Polis dan PRU. Anis minta agar pagar itu dibuka  tapi Polis tu buat tak layan. Tiba-tiba ada suara menjerit dengan kuat suruh kami rempuh. Anis pun rempuhlah. Berlaku tolak-menolak dan kat situ aku terpisah dengan Anis. Polis pula sembur pemedih mata, aku pun larilah. Tahu-tahu je Anis dah kat balai." 

Cerita Ida bukan sahaja didengari aku malah  seisi warung turut memberikan seratus peratus tumpuan kepada Ida. Ida ni, kalau dapat bercerita penuh dengan gaya. Maklumlah juara bercerita peringkat Sabah 5 tahun berturut-turut. Ida memandang sekeliling, mukanya merah padam menahan malu, aku gelak besar. 

Untuk memastikan keadaan Anis, aku sendiri menyamar menjadi sepupu dan berbincang  dengan pegawai polis di situ. "Kesalahan dia agak serius, dia menyerang anggota kami. Kami akan tahan dia untuk beberapa hari bagi tujuan siasatan tapi jika dia turut sama dalam  menghasut dan merancang perhimpunan itu maka hukuman yang berat akan dikenalkan." 

Aku angguk tanda faham. "Soal pengajiannya, itu luar bidang  kuasa saya. Mungkin awak boleh rujuk di universiti  tempat dia belajar." Sambung  Pegawai Polis  dengan begitu  jelas. 

"Terima  kasih, Tuan. Kalau macam tu saya beredar dulu." Aku bangun seraya menghulurkan tangan untuk bersalam. 

"Seronok duduk dalam lokap?" Perli aku. Anis memandang tajam ke arahku. Dapat  aku rasakan ledakan amarah yang  mendidih  melalui pandangan matanya. Anis telah dibebaskan selepas tiga hari ditahan. Siasatan mendapati tindakan Anis itu adalah  perbuatan tidak sengaja dan di bawah minda  sedar. Anis dihukum membuat kerja-kerja sosial sahaja. Bagi mengurangkan  kemarahan Anis, aku menghulurkan milo ais kegemarannya. 

"Sorry, nah minum ni. Anis, apa sebenarnya yang kau tuntut? Kesama-rataan apa lagi yang wanita nak? Aku tak fahamlah  dengan kaum perempuan sekarang." Anis diam, soalanku tidak dijawab malah dia mahu beredar. Aku menarik tangannya dan memberi isyarat supaya Anis duduk kembali.

"Sekarang  aku nak kau dengar cakap aku baik-baik. Setiap makhluk itu diciptakan dengan cukup sempurna tiada cacat celanya jika dia tahu fungsi dia dilahirkan. Apa lagi perempuan mahu, dilahirkan dengan naluri  keibuan, disebut sebanyak 3 kali di dalam Al-quran supaya hormati ibu dahulu baru  bapa,  boleh mengandung dan melahirkan serta mudah masuk syurga... Kenapa kau taknak  kejar ini? Tapi sibuk nak tuntut hak kat dunia." Anis membatu. Kelihatan nafasnya laju. Aku sudah mengganggu harimau yang cedera, silap  hari bulan mungkin ini pertemuan  terakhir kami.

"Anis, awak tahu tak bagaimana seorang  lelaki itu boleh berjaya, sebab adanya perempuan yang menjaganya. Sentuhan dan didikan seorang perempuan itu mampu mencorak seorang pemimpin negara yang sangat disegani. Nampak tak kuasa  perempuan itu. Negara kita tak pernah sekat perempuan nak bekerjaya atau memegang  jawatan tinggi cuma kita wujudkan kebatasan supaya perempuan itu tidak lupa tanggungjawab untuk melahirkan lebih ramai  lagi generasi yang berjaya dan elok akhlaknya. Iya, aku tak nafikan ada juga perempuan yang teraniaya tapi kita tak buat bodoh kan? Pihak berwajib tetap membantu dan memberikan  mereka ruang  untuk  hidup  seperti biasa."

"Aku nak balik!!!" Nada suara Anis sedikit menjerit. 

"Anis, bagi aku mudah saja, kejayaan  seorang perempuan itu terbukti apabila dia berjaya menjalankan dua  tugas ini dengan baik, menjadi seorang isteri dan ibu yang sempurna buat keluarganya." Anis memekup  kedua telinganya dan berlari meninggalkan aku dan aku sekadar mengejarnya dengan pandangan sahaja.

Hari ini sudah masuk seminggu, Anis membisukan aku. Panggilan tidak dijawab, mesej tidak dibalas dan paling mengejutkan rumah sewanya turut bermangga. "Barangkali  Anis pergi bercuti." Kata hatiku. Selang beberapa minit, telefon aku menjerit. Tertera nama Anis di skrin, dengan pantas aku menekan punat hijau. 

"Zam, aku kat kampung ni. Pihak Universiti gantung aku satu semester. Jadi aku  balik kampung ni nak 'clear'kan cerita dengan keluarga aku. Alhamdulillah depa boleh terima. Zam terima kasih sebab sedarkan aku." Nada sayu di hujung perbualan itu benar-benar mendebarkan hatiku. 

"Baguslah kau okey, risau aku bila kau diam saja." Balas aku. "Eloklah kalau kau dah faham apa yang aku katakan, jadi bila kau nak sandang dua jawatan tu?" Aku mencuba  nasib. 

"Jawatan apa?" Anis kebingunggan. "Jawatan paling istimewa dan mulia, jadi isteri  dan ibu kepada anak-anak kita." Anis berdekah ketawa, soalan aku dibiarkan mati lantas dia menukar  topik perbualan. Aku menepuk dahi; dalam hati menjerit mengatakan...

"Aku sayang kau, Anis."

***

5 Jun 2015

KARKAS #172: MULUT

"Macam mana boleh jadi macam ni Jah?" Tanya Ani ingin tahu selepas melihat keadaan Jah yang makin teruk.


"Tak tahu nak cakap, puas aku fikirkan puncanya." Jawab Jah perlahan sambil tangannya ligat mengupas mempelam.



"Jah, entah-entah... Ada orang nak dajal kau, manalah tahu. Musuh ni memang kita tak cari tapi datang sendiri."



Jah tersentak, tangannya perlahan mengelap lelehan yang turun dari mulutnya. Jika ditatap lelehan itu pasti menimbulkan rasa loya.



"Aku ada terfikir juga, tapi apa dosa aku. Aku tak campur hal orang." Jah melemparkan wajah kesal.



"Asalnya, aku guna satu produk ni lepas tu kelilling mulut aku gatal. Tak sampai seminggu luka abis mulut aku." Terang Jah.



"Takpe laa, sabarlah Jah." Ani mengurut belakang Jah.



"Eh, kau tahu Ani, anak si Timah tu udah mengandung. Aku bukan nak mengata tapi setahu aku dia tu belum kahwin.."Jah mula membuka gelanggang gosip di bawah pohon rendang sambil ditiup angin petang.



Dalam ketidaksedaran Jah sedang menerima balasan Tuhan atas kepetahan mulutnya.



***

KARKAS #171: PELURU EMAS

Bertemankan nyamuk, aku masih setia di dalam semak samun menanti jawapan kepada masalah yang melanda. Aku terpaksa abaikan masak lemak cili padi yang terhidang semata-mata mencari bukti.

Dua orang lelaki di sebalik pondok bercakap sesuatu yang butir bicara tak jelas di telingaku.

Aku mengatur langkah menghampiri pondok itu, sengaja aku rapatkan telingaku ke dinding agar butir bicaran mereka dapat aku tangkap. Senapang patah aku pegang erat, risau jika ada perkara tak terduga.

"Berapa lama kita nak simpan dia ni?" Soal suara garau.

"Sampai kita dapat apa yang kita naklah!" Balas suara yang lain agak meninggi nadanya. 

Aku intai dari celah-celah dinding, tapi kabur je yang aku nampak. Dada aku berombak, beribu persoalan muncul. Pantas kocek seluar aku raba, peluru tinggal dua butir. Jika tembakan tersasar, mungkin aku yang mati.

Peluru aku masukkan dalam senapang, tangan di picu, perlahan aku menapak ke muka pintu pondok sambil mengacukan mulut senapang ke muka pintu. Daun pintu aku kuak, terbuntang mataku melihat longgok pakaian di lantai.

Lelaki-lelaki itu panik melihat aku muncul dengan senapang patah di tangan.

"Siapa kau?" tanya salah seorang dari mereka.

"Jangan tanya aku siapa, persoalannya apa yang korang buat dengan baju ni, patutlah orang kampung mengadu banyak hilang pakai diampaian."

"Err.." mereka berpandangan sesama sendiri,

Kurang berpuas hati dengan jawapan itu, aku tanpa teragak-agak mengacukan senapang tepat ke muka mereka. 

PANG! 

"Lain kali, kalau nak tidur basuh kaki dulu. Dah lah mengigau lepas tu pijak perut aku pula." Aku terpinga-pinga, tampar abang buat aku berjaga sepanjang malam.

***

28 May 2015

KARKAS #163: PTPTN

Nora bergegas pulang ke rumah, pundi kencingnya sudah tidak lagi mampu menahan takungan air. Sampai sahaja di rumah, dia terus memecut ke tandas tanpa sempat menanggalkan kasut Converse warna kelabu yang baru dibelinya semalam.

Usai menyudahkan niat, Nora keluar dengan senyuman panjang lebar. Dua rakan serumahnya hanya memandang Nora dengan ekor mata sahaja.

"PTPTN dah masuk, esok bolehlah kita berjimba." Suara salah seorang kawan Nora memecah kesunyian.

"Yeah!" Nora melompat kegirangan, sudah terbayang buku biografi penyanyi kesayangan dalam genggaman.

"Kau pehal Nora? Suka sangat tu? Ingat sikit, pointer ko tak lepas sem ni. Mana dapat PTPTN." Jerkah seorang lagi.

Nora tergamam. Suasana sunyi kembali memenuhi ruang.

***

29 Apr 2015

KARKAS #153: RAHSIA

Bukit tinggi belakang sekolah aku daki berlari dengan nafas yang tak teratur, anak mata begitu asik menjeling kebelakang; takut ada yang mengekori aku ke destinasi.

Peluh jantan mengalir keluar, langkah laju tapi berhati-hati. Dalam hati senyum sendiri, puncak makin akan aku tawan.

Sesampai, terus aku campakkan bag galas yang penuh dengan kertas kertas yang telah dibukukan ke dalam belukar tebal dan dengan perlahan pintu pada tanah aku buka; bercahaya.

Wangian bunga cempaka merebakkan baunya. Hati teruja mahu meneroka kawasan baru. Kawasan yang hanya aku tahu.

Sebagai mana perlahan aku bukakan pintu tadinya, perlahan jua aku menapak ke bawah "Hai Chipster, maaf aku lambat dan tak banyak makanan yang aku bawa hari ini"

Chipster menyambut makanan dengan wajah ceria. Cepat-cepat bungkusan dibuka dan disumbat dalam mulut. Lapar sangat barangkali.

Wajahnya aku tatap, bulunya yang hitam memekat panjang aku belai perlahan. Kasihan aku melihat sahabat ku yang asing ini, sampai bila harus aku merahsiakan kewujudannya pada mata dunia.

Chipster aku temui dua minggu lepas, masa itu dia cedera akibat terkena jerat penduduk kampung. Aku rawat dan jaga dia sehingga sembuh.

"Ahmad! Ahmad! Mana kau?? Aku tahu kau dan 'kawan' kau ada di sini! Keluar kau!" Tiba tiba kedengaran suara yang aku kenal; ayah.

Muka aku tiba-tiba jadi pucat, melilau mata mencari jalan untuk menyembunyikan Chipster. "Chipster, dalam bahaya jika ia diketahui umum." Genus aku. Kalau aku boleh jadi halimunan pasti mudah.

***

23 Apr 2015

KARKAS #146: AMANAH


Usai memandikan mayat, sesi mengafankan mayat bermula. Along menghulurkan kain kafan yang sudah kekuning warnanya dan hampir reput. Semua yang di ruang tamu hairan.

"Amanah ayah." Kata Along ringkas seraya mata berkaca.

Tepat jam empat, ayah selamat dikebumikan. Sayu dan sedih menyelubungi saat kami melangkah meninggalkan ayah di rumah barunya.

"Moga ayah baik-baik saja, jawablah pertanyaan dengan tenang dan tunggu doa dari anak-anak ayah, iya." Itu bisikan terakhir aku pada ayah.

Dalam perjalanan pulang, aku mendapatkan Along untuk bertanyakan tentang kain kafan tadi.
"Itu strategi ayah untuk lepas dari soalan-soalan kubur. Bijakkan ayah kita." Jawab Along sambil tersengih dan aku terpinga-pinga.


***

24 Mar 2015

KARKAS #135: CEMPAKA

Turun naik nafsuku, saat mata yang meliar ini tiba-tiba tertumpu pada satu tubuh separa bogel di bawah suluhan lampu.

Aku lihat, mulut lelaki separa bogel itu terkumat kamit seolah-olah membaca sesuatu. Dia menoleh ke kiri dan kanan lantas merapati sebatang tiang lampu lalu mengeluarkan senjata tujuh incinya dan memancutkan air kencing.

"Siot! Sah lelaki ni gila." Omel aku yang berada di sebuah stesen bas. Jarak aku dengan lelaki gila itu tidak jauhlah mana.

Malam itu, tiupan angin tidak seperti biasa. Sejuk hingga menaikkan bulu roma. Sesekali perasaan takut itu hadir tapi cepat-cepat aku tolak.

Hari sudah larut malam, aku sendiri di stesen bas. Lelaki gila itu juga masih di tiang lampu. Aku mula risau, dalam hati berdoa agar adik tidak lupa menjemput aku di sini.

"Kenapa lelaki itu jadi gila?" Soalku dalam hati.

"Sebab dia mungkir janji" Soalan aku dijawab dengan suara ayu di iringi bau wangi bunga cempaka. Aku tidak menoleh, peluh jantan tiba-tiba jatuh seperti hujan.

"Janji apa?" Soal aku lagi, ingin tahu.

"Sumpah mati cinta kami."Jawab suara itu. Suasana jadi sunyi, lelaki separa bogel itu tadi meluru ke arah aku.

"Aku minta maaf, tolonglah. Jangan ganggu aku. Kau hantu, aku orang mana boleh kawin." Lelaki itu merayu-rayu.

Kali ini rasa takut aku naik seganda lagi, pertama takut kerana suara ayu dan bau wangi. Kedua lelaki separa bogel itu, hampir nak terkelur mata ini melihat alat sulitnya, loya pun ada.

Dengan sedikit keberanian, aku berniat untuk lari dari situasi itu. Aku bangun lalu menoleh kebelakangan. Gugur jantung aku apabila melihat sepasang mata merah dengan rambut mengerebang dan wajah yang hodoh.


Aku rebah.

***

KARKAS #133: KUNYAH

Aku merapati satu tubuh yang terbujur kaku, "Sayang, hari ini kita akan bersatu. Kita akan bersama buat selamanya. Sebati menjadi satu macam janji kita dulu."

Romannya yang cantik aku tatap dalam-dalam hingga aku boleh hafal setiap lekuk garis yang terlukis. Cantiknya dia, acapkali memetik suiz nafsuku namun tubuhnya tidak sekali aku jamah tanpa izin.

Aku bukanlah lemah, cuma aku takut pada kehilangan. Pasti celaru hidupku tanpa dia, jadi demi sayang yang sangat mendalam aku tekad untuk menyimpan dia terus untuk aku dan hidup dalam seorang aku.

Dia telah aku tidurkan selepas selesai kami menikmati makanan malam. Sengaja aku masakan makanan yang paling dia sukai agar dia gembira. Minuman istimewa, jus epal bercampur racun tikus aku hidang sebagai penutup makan malam.

Usai racun itu bertindak, tugas aku pula bermula. Sedikit demi sedikit dagingnya aku kunyah dan telan. Darahnya aku hirup penuh nikmat. Aku terus mengunyah tanpa henti.

Padat. Perut aku sedikit membuncit, berjaya juga aku menghabiskan tubuh kekasihku. Enak dan manis rasa dagingnya mungkin kerana itu sebenarnya rasa kasih sayang kami.


Aku senyum sendiri seraya meraba-raba seluruh pelusuk tubuhku. "Sayang, kini kau ada dalam darahku, juga dalam dagingku. Tiada siapa akan pisahkan lagi. Hahaha"

***

17 Mar 2015

KARKAS #111: LAYANG-LAYANG

Petang itu ibu membaca aku ke sawah yang telah kering, perlahan-lahan ibu mengeluarkan sebuah layang-layang yang sederhana besarnya dan sangat cantik. Aku teruja, melompat-lompat ke gembiraan.

Selepas beberapa kali percubaan, akhirnya aku berjaya menerbangkan layang-layang itu dengan sempurna. Gah ia terbang membelah awan. 

Ibu hanya tersenyum, seraya tangannya mengawal layang-layang itu dari jatuh menyembah bumi.

"Adik, mak akan biarkan adik bebas memilih jalan hidup adik, bebas tanpa lepas sama seperti layang-layang itu dan bila adik hilang arah InsyAllah emak akan bantu adik." Aku senyum seakan memahami kata-kata emak tapi hakikatnya aku masih teruja dengan layang-layang itu.

Kini emak telah tiada, aku bagaikan layang-layang putus tali. Tiada arah menanti waktu untuk menyembah bumi.

***

14 Mar 2015

KARKAS #99: INDAH

"Marah lagi ke? Sampai hati awak. Ikutlah mana awak rasa betul." Indah menarik muka, barangkali sudah letih memujuk aku yang dari tadi membatu. Macam-macam cara Indah lakukan untuk menarik perhatian tapi aku hanya bermain telefon.

Suasana sunyi biarpun kami dikelilingi umat manusia lain yang rancak bersembang. Indah menyedut teh o airnya hingga habis seraya itu sempat menjeling aku di hadapan.

Aku masih kaku, tiada segaris senyuman pun terukir di romanku. Sunyi antara kami dipecahkan oleh seorang abang yang datang membawa dulang makanan. "Ni, nasi putih dua, tomyam campur dan telur dadar. Jemput makan iya." Kata abang itu dengan sopan. Aku sekadar senyum.


Tanpa menghiraukan Indah, aku terus menikmati hidangan makanan tadi dengan rakus, setelah habis separuh nasi baru aku perasan yang Indah langsung tidak menjamah makanannya. "Makan atau awak balik jalan kaki." Tegas suara yang keluar dari mulutku. Indah protes, pinggan berisi nasi di tolak. Aku senyum dan kata, "Jamahlah nasi tu, sayang." Satu kenyitan mata aku lepaskan pada indah. Indah tersipu malu dan malam kami kembali bingar seperti manusia lain.

***

KARKAS #97: TIMAH

Kata orang rindu itu indah, tapi bagi aku rindu itu umpama api dalam sekam yang akhirnya membawa celaka dalam diri. Hampir setahun, aku merindukan kisah-kisah kita dulu tapi sayang itu hanya memori yang tak mampu aku padam. Entah kenapa, kau juga yang aku tunggu biar ramai yang menawarkan diri untuk jadi pengganti.
Timah membetulkan kedudukan pinggul, mencari posisi yang lebih baik sebelum dia menyambung pembacaan.

"Frust bercinta rupanya kawan aku ni, patutlah makin kurus." Getusnya dalam hati.

Satu persatu dada diari tu dijamah dengan penuh perasaan dan kesedihan sahabatnya itu dapat dirasai.


Di muka surat terakhir, muka Timah jadi merah padam, sungguh tak disangka nama kekasihnya yang tertulis di situ.

***