Terik matahari membahang memancar ke rumput-rumput padang. Tanah padang yang panas ini menjadi penghibur sejati aku. Terperuk aku di belakang tiang gol mempersiapkan diri untuk sesi latihan sebentar lagi. Aku menyimpul tali kasut di kaki kanan sambil melihat sekeliling padang kalau-kalau ada gadis yang memerhati.
Ada, Temah. 'Adoi! Balik-balik muka makcik ni' Mak Temah selaku Pengawal Keselamatan tak pernah alpa meniup-niup wisel dan menghayun kedua-dua belah tangan; menjaga lalu-lintas di pintu masuk padang kampus ini. Aku pernah cuba mendapatkan nombor telefon Farhana Arshad, anak gadis Mak Temah, tapi dihambatnya dengan cota keliling padang suatu ketika dahulu sambil menjerit "Main bola rajin, belajar malas!! Nak bercinta pulak dgn anak aku!"
Aku menyimpul tali kasut kaki kiri pula. Kasut dan kaki hidup berpasangan. Ada kanan dan ada kiri. Aku? Hanya ada aku.
Sedang aku menepuk-nepuk punggung membersihkan kesan tanah yang terlekat pada seluar, Yon menjerit di tangga astaka di alik kanan padang setelah melihat kelibat aku berseorangan di belakang tiang gol.
"Woi Mat Wan! Awat hang mai awai sangat ni? Hang ni kapten bola UTM ka hang ni Ustad baca doa? Ustad baca doa ja yang gila nak pi majlis awai bak ang."
Yon adalah seorang penyerang yang baik. Bukan sahaja bijak menyerang di padang, malah bijak menyerang hati gadis-gadis junior kampus yang rapuh tak bertempat. Aku mengesat peluh di dahi lalu membalas,
"Pelaq hang. Mai deghaih tughun. Budak-budak lain pi mana? Dok dating dengan junior lagi ka? Nahareyyyy! Training la woi! Training!"
"Mat Wan, aku dah putuih dengan Mira."
"Awat? Dia semak perut dok tengok rambut badut sarkis hang ka?"
"Hang sembang kemaih sikit Mat Wan. Aku putuih dengan dia sebab aku la ni dok couple dgn Sophie pulak. Hang apa tau? Hang loser!"
Rakan-rakan pasukan pun mula berpusu-pusu masuk ke padang dan menyarung kasut masing-masing. Yon berjaya menjengkelkan aku dengan kata-kata beliau tadi. 'Babi Yon babi! Ah, aku bukan loser!' Aku tahu sekejap lagi si Aceh pula akan dimarahi oleh Coach Armadi kerana Aceh ada perangai bodoh.
Terlalu sayangkan Nurul yakni siswi tahun tiga jurusan senibina, kekasih hatinya. Kata Aceh, Nurul adalah segalanya. Pemangkin semangat belajar, peneman hati mekar, pengubat lara—tak pernah ingkar. Tatkala sedang menjalani latihan pun, Aceh sering membalas SMS Nurul. Manakala sepanjang waktu rehat atau tamat sesi latihan, gegendang telinga beliau tak lekang bersetubuh dgn speaker telefon. 'Sayang', katanya.
PRITTTT!!!
Coach Armadi menggetarkan bebola kecil, dalam wisel. Latihan hari ini tamat seperti biasa. Aku meneguk air glukosa sambil melihat sepasang pipit berterbangan beriringan. Pasangan pipit itu mendarat betul-betul di hadapan aku.
"Cipp cippp.." keluh seekor pipit, aku kira yang ini jantan.
"Cilicipp.. Cilicipp.." cicip si pipit betina menjawab.
Aku tahu bukan niat burung untuk memerli dan mengajar aku tentang hidup berpasangan. Aku manusia. Aku tak boleh mencicip—bak pipit, kerana wanita sekarang berkacip—nak duit.
6 tahun hidup di SK Sultan Ahmad Tajuddin, 3 tahun di SMK Jitra, 2 tahun di SBP Sultan Abdul Halim, dan sekarang, 4 tahun di Universiti Teknologi Malaysia— aku menyaksikan pasangan bercinta di sekelilingku, tapi malang, aku sendiri tak pernah merasa makna perkataan 'kekasih'.
Aku meninggalkan astaka di padang. Aku berjalan longlai merapatkan diri ke motosikal. Ada bungkusan hadiah berbalut warna merah-keemasan, di atas tempat duduk motosikalku. Saiznya, muat-muat tangan. 'Ini pelik. Ini sumpah pelik' Hati mengerbangkan kepak-kepak girang sebuasnya. Semacam tidak percaya, fenomena hadiah misteri bertitik-tolakkan cinta sedang menghujani aku. Aku mula bersiul lagu 'Dancing Queen' yang aku tidak berapa hafal liriknya.
Detik yang dinanti sepanjang perjalanan ke kolej telah tiba. Aku berseorangan di bilik. Rakan sebilik tinggalkan nota di atas meja.
'Wan, aku keluar dengan awek aku. Kau tinggalkan kunci kat tempat biasa. Sayang kau. XoXo'
Pergi mampus sama kau lah setan. Aku pun bakal ada kekasih! Bunyi kipas yang bingit membikin perasaan ingin tahu aku menjadi semakin membibit. Bungkusan ini bakal menjelma sebagai permulaan garis masa cinta pertama aku. Pertanyaan 'apa dan siapa' berpusing di sekeliling bilik membentuk corak hati. Aku buka lipatan bungkusan hadiah itu—rakus.
'Pen?'
Ia adalah sebatang ball-pen berwarna biru, tercetak tulisan halus di badannya:
TEMPAT KE-3 PERTANDINGAN FUTSAL TERBUKA ANTARA UNIVERSITI-UNIVERSITI
"BABI!! NAHARAMM!!"
'Ini bukan hadiah! Ini bikin marah!' Pusaran hati di bilik sedari tadi, bertukar menjadi pintu neraka; seraya aku melempar pen tersebut ke luar jendela—geram.
SRETTTTT !!
Lemparan tidak sengaja terkena badan penunggang motosikal yang terus menekan brek secara mengejut. Dia membuka topi keledar, lantas pundi takutku, menggeletar. Dia memandang tepat ke jendela, tempat kaki aku dipaku ke lantai, ketat. Wajah mulus itu memulakan bicara...
"Eh! Hai Nazwan! Eh..awak Nazwan..kan?"
Farhana Arshad, menyapa aku.
***
No comments:
Post a Comment