Aku beri kau beberapa momen untuk duduk diam di bawah pohon rendang di tepi bendang, untuk melihat ke atas, membina bentuk-bentuk di atas awan. Sambil menguis lembut rerumput yang cuba hidup sebalik bayang rendang pohon yang merimbun. Bila mana tiba masa nanti, saat cahaya mentari tidak lagi menjengah ke bawah dikatup bayang, makanya dengan izin Dia, rumput itu hilang untuk memberi manfaat semula kepada sang pohon, dan secara tidak langsungnya kepada kau yang duduk dipayung dari cahaya terik.
Kemudian, kau tersentak 'aduh', pabila tanpa amaran, kaki kau diketip gerombolan semut yang menghurung. Ya, kau marah. Kau bengang kerana kesakitan. Kau kuis ke tepi gerombolan semut itu agar pergi, namun tanpa kau sedari mereka mula menghurung tangan pula. Dalam hati, aduh celakanya. Seekor yang dibunuh, seribu yang datang. Kembali seperti askar-askar yang membalas dendam atas kematian komrad.
Dan tup, Tuhan datangkan ilham kepada kau, tentang konsep berbolak-balik, bila mana tiap-tiap yang berlaku itu punya hikmah dan penyebab yang seringkali dilepas-pandang tanpa ada konsiderasi kedua. Kau fikirkan tentang semut yang menghurung, dan rumput mati sebentar tadi. Tentang apa yang diperkatakan sebagai ambil dan beri. Kau ambil sedikit, kau beri sedikit.
Begitu.
***
Margolas: Ben Syamil
No comments:
Post a Comment