Showing posts with label Fred Qasyira. Show all posts
Showing posts with label Fred Qasyira. Show all posts

12 Jan 2016

KARKAS #244: SEBATANG PENCUNGKIL GIGI DI TANGAN BIDADARI


Hujan semakin lebat di luar. Kamu, petang ini kelihatan lebih cantik dari biasa. Seperti ukiran bidadari yang melenyapkan semua mimpi-mimpi ngeri. Kamu termenung sendirian di kaki lima yang hingar dengan manusia berlalu pantas dan sesak mengejar bayang-bayang mereka. Melihatmu di situ, seakan waktu terhenti dan manusia-manusia lainnya terpadam dari titik fokus mata.

Aku cuma memerhati dari sini. Sudah beberapa hari aku mengintai kamu dari jauh tanpa sedikitpun keinginan untuk menegur. Sememangnya, kamu tidak pernah menyedari kehadiranku malah kamu hilang dari alam nyata, sekadar jasadmu yang kaku di sana. Entah jasad itu atau dirimu sendiri yang kekal cantik, namun kecantikan kamu masih kekal serupa seperti saat pertama kita berkenalan di akademi beberapa tahun lalu.

Tahun-tahun itu adalah tahun yang terbaik sepanjang hidupku.

Malang sekali tahun-tahun itu telah lama lenyap dibawa derasnya arus masa. Ketika kita hampir terjatuh ke lembah emosional, kamu menghilang. Lama sekali jejakmu tidak dapat dikesan. Sehinggalah aku diberitahu akan keberadaan kamu di sini.

Kedatanganku kali ini punya niat yang berbeza. Untuk hari ini sahaja, beberapa kali sudah niatku diset semula. Rasional harus menjadi panduan. Tujuan asalku bukan mahu memperihalkan kecantikanmu. Sungguh, kecantikanmu mampu meruntuhkan tembok akal seorang lelaki. Namun berdirinya aku di sini bukan untuk kembali menagih cintamu, jauh sekali untuk merayu melutut padamu. Aku datang kerana tugas, arahan maha penting dari Majlis Tertinggi.

Kamu, salah seorang daripada 12 elit, pakar di antara pakar Skuadron Tempur Khas sub-unit Skuad Khas yang terlatih dan paling digeruni, lari dari organisasi kerana tidak sependapat dengan Majlis Tertinggi. Secara mudahnya, kamu adalah antara 12 orang terhebat di dunia, yang diiktiraf secara tidak rasmi. Organisasi kita, sebuah Pusat Penyelidikan Manusia Super (Institute of Superhuman Research) merupakan organisasi subversif bawah tanah. Diwujudkan bagi melumpuhkan pentadbiran negara yang menyeleweng namun permainan politik di dalam organisasi sendiri adalah perkara yang benar-benar tidak dapat dielakkan.

Kamu mahu mencipta revolusi sendiri.  Tapi sayangnya, emosimu mempengaruhi setiap keputusan. Kemampuan analitikalmu diragui. Begitulah yang diberitahu kepadaku, tertulis di fail sulitmu berdasarkan statistik tingkahlaku. Namun kemampuanmu membaca fikiran dan emosi orang lain benar-benar menakutkan. Pasti kamu sudah mampu menduga niatku jika kamu terlihat aku di sini. Untungnya aku juga seperti kamu. Bezanya, pengkhususan aku adalah penyamaran, risikan, sabotaj dan serang hendap (espionaj). Sedang kamu, pakar memanipulasi psikologi manusia dan haiwan.

Senja, dan hujan kali ini disertai ribut yang menggila. Manusia-manusia alpa kalut berlari-lari mencari pelindung. Entah mengapa, aku dan kamu tidak pula sibuk seperti manusia-manusia itu. Sekarang hanya kita berdua, di kaki lima saat hujan gila membasahi kita.

Pandangan kita bertaut. Api membakar marak di mata. Visual pertarungan sengit kita terpancar di layar mindaku. Sewaktu di akedemi dahulu, kita adalah dua gergasi yang paling digeruni di gelanggan beladiri. Sentiasa saja, keputusan pertarungan kita menjadi seri gara-gara kita sama-sama rebah di akhir perlawanan--kepenatan. Mungkin hari ini adalah hari, di mana penentuan secara personal antara kita diputuskan--siapa yang lebih layak dinobat sebagai pelatih terbaik sebenarnya.

Jujur aku katakan, jika kamu tidak membeloti organisasi, kamu adalah bidadari paling sempurna di mataku yang pernah wujud. Namun bidadari ini harus mati di tanganku, dan aku tidak akan sekali-kali membunuhmu secara sembunyi-sembunyi seperti tikus yang menyusuri lorong-lorong sunyi.

Kamu di sana sekadar tersenyum sinis. Aku memulakan langkah. Satu tumbukkan kulepaskan namun sia-sia, sepertinya aku sekadar menumbuk illusiku sendiri. Tanpa sempat otakku memproses segala maklumat persekitaran yang diterima, tubuhku lunyai dibelasah bertubi-tubi. Berulangkali tumbukan dan tendanganku berlalu seperti angin yang bertiup kosong. Entah kamu yang semakin licah dan pantas atau aku yang sebenarnya semakin sebu dan lembab.

Aku terdampar longlai. Pelik. Sejak bila kamu menjadi begitu hebat? Kamu berdiri  memerhatiku sambil tersenyum menayangkan sesuatu di tanganmu--berkilauan.

Sebelum pandanganku gelap dan pendengaranku pekak, baru aku sedar bahawa aku hanya seorang 'badut mekanikal' yang tidak punya apa-apa keistimewaan tanpa pencungkil gigi emas yang kamu curi dariku--kunci yang membuka titik kognitifku.

24 Dec 2015

KARKAS #235: MIMPI YANG MEREALISASIKAN IMPIAN

'Izinkan saya merealisasikan impian anda.'

Kau pasti teruja melihat papan tanda di hadapan pintu masuk itu, bukan? Ayuh, apa lagi yang membuatkan kau tercatuk di situ? Usah kau gusar dan ragu. Memang benar inilah tempatnya kau akan mencapai segala yang kau hajati. Mungkin ini sekadar mimpi, namun sebutkan saja impianmu, di sini kami akan berusaha menunaikannya, tanpa prasangka.

Kau tidak percaya? Cukup-cukuplah memerhati sekeliling dengan tanda tanya. Benar, tempat ini sedikit usang dan buruk. Sekadar taman tema yang telah lama ditinggal sepi. Kau mungkin menganggap ayat di papan tanda itu sekadar slogan taman tema untuk kanak-kanak yang datang berhibur di sini suatu ketika dahulu. Tapi bukan. Bukan begitu sebenarnya. Slogan itu adalah untuk kau. Ya, untuk kau seorang! Mereka menjemput kau eksklusif untuk menunaikan segala angan dan khayalan kau yang belum tertunai. Kau perlu tahu, kau terlalu istimewa. Kau insan terpilih. Kau perlu berbangga.

Jadi, sekarang khabarkan impian kau yang masih tersimpan. Oh, sebelum itu pilih salah satu pintu dari tiga pintu berwarna biru, merah atau hijau di hadapanmu itu. Ia akan membawa kau ke tempat yang pasti membuatkan kau terpegun. Benar, kau jangan khuatir. Wah, kau kelihatan teruja. Bagus!

Oh, kau sudah pilih. Pintu berwarna biru? Sudikah kau berkongsi kenapa pintu itu yang kau pilih? Oh, tak mengapa. Tak apa jika kau malu. Baiklah, mari kita lihat apa yang ada di sebalik pintu itu. Di sana nanti, kau ceritakan apa impian kau. Kau tak perlu malu. Tiada siapa yang mendengar. Ah, kau mahu menceritakan impianmu di sini? Boleh, boleh saja.

Baik. Sekarang kita sudah melepasi pintu berwarna biru. Kau nampak seorang gadis berdiri di sana? Gadis sederhana yang menangis seorang diri di pakir rumahnya? Adakah kau kenal gadis itu? Tidak? Baiklah. Mari kita masuk ke dalam rumahnya. Usah khuatir, dia tidak akan nampak kelibat kita.

Kau jangan pelik. Inilah kehidupannya. Ya, memang teruk pada pandangan mata kau. Dinding rumah yang comot dan menggelupas, cermin-cermin tingkap pecah sekadar ditutupi kotak-kotak terpakai. Awas, kerana atap zinknya bocor dan syilingnya pecah sana sini. Lebih baik kau berhati-hati. Bimbang nanti syilingnya runtuh dan menimpamu.

Mahu teruskan ke dapur atau ruang bilik? Ah, mengapa kau enggan? Bukankah sepatutnya pemimpin sepertimu perlu melihat sendiri kehidupan daif rakyatnya? Eh, mengapa kau duduk di sudut itu? Bangunlah. Orang hebat dan penting seperti kau tidak selayaknya duduk di sudut itu. Itu sudut milik gadis yang menangis di luar sana. Tempat kau bukan di sini. Bukankah kau mahu kekayaan yang luar biasa? Jadi untuk apa kau terduduk di sudut itu?

Ah, belakang kau!

–Gelap–

Baguslah kau sudah sedar. Pasti kau pelik bukan? Oh, perkenalkan, gadis yang menggenggam cangkul ini namanya Izzati. Kau ingat? Benar. Dia adalah isteri yang mana suaminya kau sumbat di penjara hanya kerana kau bimbang kedudukan kau terjejas. Maaflah. Kau jangan meronta berlebihan. Kau memang takkan terlepas. Tangan dan kakimu sudah dirantai ke dinding. Kau perlu tahu, rantai itu sangat utuh memasung kau di sini. Ah, darah di kepala kau nampaknya membuak-buak.

Hahaha. Kau mahu menyuap gadis itu? Berapa? $2.6 billion? Kau rasa cukupkah? Kau lupa agaknya. Derita dan azab yang dia rasakan selepas apa yang kau lakukan lebih dari nilai itu. Lebih dari apa yang kau mampu.

Oh, gambar di dinding. Gambar kau bersama mereka, bukan? Itukah yang membuatkan kau terduduk di sudut tadi? Kau tidak perlu risau. Cerita kau, berakhir di sini. Esok, kau takkan bangkit dari lenamu malam ini, selamanya. Ini adalah penghujung jalan, tempat menyaksikan kau rebah.

Cukuplah setakat ini. Biarlah Izzati melaksanakan tugas terakhirnya malam ini. Selamat malam, Tuan Presiden.

*****

Kertas muka depan akhbar atas meja itu melayang-layang dibawa angin kencang, jatuh tepat di hadapan seorang lelaki berkot hitam labuh dan fedora di kepala. Lelaki itu menatap tajuk utamanya. Dia tersenyum, sinis.

PRESIDEN MATI SESAK NAFAS DIHIMPIT ISTERINYA YANG GENDUT.

1 Dec 2015

KARKAS #233: LELAKI SENJA DAN BIDADARI

"Hei orang tua, ceritakan kepadaku riwayat yang banyak dikhabarkan orang di sini!"

Dengan lagak yang angkuh, kau menegur seorang lelaki di tepi surau. Lelaki itu senyum. Senyumannya memukau.

"Baiklah anak muda. Biar aku ceritakan... "

*****

Dia adalah lelaki senja. Usia, wajah, dan peribadinya adalah senja yang terlukis pada seorang manusia. Tubuhnya tak lagi gagah, hanya menanti waktu rebah. Namun rezeki diusaha sendiri dicari seluruh pelusuk desa, meredah segala sungai—hulu ke muara.

Lelaki senja, sepertimana gelarannya, adalah sebuah kesunyian. Sendiri hidup di gubuk buruk dan usang. Pun, lelaki senja tidak pernah lelah dari mendekati Tuhan. Sejadah buruk di ruang gubuk, seakan tidak pernah berganjak. Terbentang kemas menjadi lapik sujudnya setiap masa yang tersisa. Begitulah, lelaki senja terkenal dalam kalangan orang alim desa sebagai al-abid.

Kisah bermula, ketika lelaki senja terserempak seorang gadis di denai hutan. Gadis bermata biru terlantar longlai tidak berpakaian. Lengguk lekuk tubuh gadis itu mengujakan, lelaki senja terkelu tidak keruan. Melihatkan seorang lelaki asing, gadis itu cuba melindungi tubuh, merengkok dengan lengan menutupi lurah.

Lelaki senja tergamam. Segera pandangan dikalih, sebelum nafsunya menggelegak perih. Jubah lusuh, yang koyak bertampal dan kusam, dilucutkan lalu dihulur ke arah gadis. Si gadis menyambut lesu, tersenyum malu dan berterima kasih. Pipinya kemerahan. Pantas, jubah lusuh itu si gadis sarungkan ke tubuh. Dia sedikit selesa.

Dari mata, perkenalan mereka pun bermula. Ada debar di hati lelaki senja, berdegup kencang hampir terbang melayang. Gadis itu, menurut ceritanya adalah mangsa noda. Lelaki senja kasihan, lalu dipapahnya gadis lemah itu pulang ke desa.

Di desa, riuh warganya ketika terlihat kelibat, lelaki senja bersama bidadari syurga. Gadis itu terlihat bersinar, cantik mempersona, memukau tiap mata yang memandang. Mereka disambut mesra penuh ceria, namun di hati sebaliknya. Para jejaka, tua muda mahupun remaja pantas memasang angan. Para wanita, gadis mahupun anak dara, mula terlihat riak kegelisahan. Desas-desus mula tercetus, ada yang mengusulkan, agar lelaki senja dan bidadari syurga segera dinikahkan.

Usul ini dibantah keras kaum adam!

Mereka berbalah, apakah layak lelaki tua uzur mahu menjaga gadis muda berlurah ghairah? Sedang di sisi kaum hawa, mereka melahirkan khuatir akan suami yang matanya mula meliar. Malah, ada yang persoal–siapa sebenarnya gadis itu? Apakah hadirnya mahu memporakperandakan desa?

Akhirnya, si gadis bersuara–'aku menerima lelaki senja sebagai teman hidup, cinta dan setia'. Maka, terkatup-kuncilah mulut warga desa, tanpa pertikaikan apa-apa. Namun masih ada yang menggumam sendiri, berbasa-basi tidak puas hati. Bisik-bisik terdengar,  gadis itu syaitan bertopengkan bidadari syurga.

Malam menjelang pada hari pernikahan, gubuk buruk lelaki senja dibakar, hangus tanpa sisa. Maka rentunglah gadis itu sendirian. Entah siapa punya angkara. Lelaki senja, ketika itu sedang asyik di rumah ibadah tekun mensyukuri nikmat. Hanya sejadah usang yang terselamat, tidak terjejas oleh api marak. Sejadah itu dipeluk erat lelaki senja, amarah mula memijak sabar. Cinta lelaki senja pada gadis telah terputik meliar, berkembang mekar sejak pandangan mata saling bertukar. Kerana itu, memaafkan pengkhiatnatan ini terlalu sukar .

Cinta yang mendalam telah menjelmakan sejadah kepada gadis yang dirindui.

Air mata yang tumpah dari mata lelaki senja berlarutan hingga sebulan lamanya. Sejadah itu, terpeluk erat olehnya. Hingga satu malam, saat pohon-pohon sujud ke bumi, sejadah itu membawa lelaki senja terbang ke 'syurga'. Di sana, dia bertemu gadis tercinta berhias indah terkalah bidadari–sempurna. Namun wajahnya keruh, seakan ada hajat yang belum dilabuh.

"Usah menangis lagi sayang, aku akan sentiasa bersamamu. Sejadah ini, adalah jelmaanku. Kelak, balaslah dendammu untukku." Lelaki senja khusyuk mendengar. Cintanya, melumpuhkan akal dan sabar.

"Seperkara lagi, usah kau biarkan sesiapa jua melihat sejadahmu ini. Kerana nanti, mereka pasti cuba membinasakan kita. Mereka mengatakan aku ialah syaitan. Tolong, hapuskanlah mereka."

Lewat senja itu, seluruh desa musnah terbakar. Dengan sekali hayunan, sejadah berubah menjadi naga yang murka, membaham seluruh desa dengan api marak menyala. Jerit pekik warga desa terdengar sayup, sebelum segalanya tenggelam dalam kobar api menggila.

Kisah terakhir lelaki senja yang diketahui,  dia mengusung sejadahnya ke mana saja. Namun tiada seorang pun yang pasti, ke mana lelaki senja itu pergi. Kerana, setiap mereka yang pernah menemui lelaki itu ditimpa bencana, maut dibaham neraka.

*****

"Begitulah, riwayat yang diceritakan oleh penakanku, anak muda. Riwayat yang diwarisi leluhurku." Lelaki itu tersenyum—manis.

Kau memandang curiga pada lelaki itu. Ya, di bahunya sejadah aneh—bercahaya!

23 Nov 2015

KARKAS #229: CINTANYA YANG PALING AGUNG


'Hatiku tertinggal di Sulawesi.'

Itu nota terakhir yang ditinggalkan Farahannan Nabila di atas meja dapur. Ahmad Fakri termangu. Fikirannya jauh berterbangan bersama kekasihnya ke Sulawesi. Atau sekarang, mantan kekasihnya.

Berkali-kali Ahmad Fakri merenung cermin. Tidak dia fahami, apa lagi yang kurang pada dirinya jika dibandingkan lelaki gasar dari Indonesia itu. Susuk tubuh mereka lebih kurang, tegap dan sasa. Bezanya, lelaki gasar (pada tanggapan Ahmad Fakri) itu berkulit gelap, atau sawo matang dengan jambang yang kelihatan tidak terurus. Ahmad Fakri pula, berkulit cerah dan berwajah licin—jauh lebih kacak. Apatah jika dibandingkan dari segi harta. Sebut sahaja; rumah agam, kereta mewah, gedung-gedung malah estet-estet (lelaki gasar itu bekas pekerja di estetnya, pulang ke Sulawesi menjaga ibu yang sakit)Ahmad Fakri memiliki kesemuanya!

Ah, persetankan mereka! Hari ini, Ahmad Fakri mahu mencari ketenangan. Hanya satu tempat yang pasti—rumah urut.

'Dia boleh membimbingku ke syurga!'
'Syurga? Heh, aku juga punya syurga. Ni, di bawah kakiku ini. Tempat yang kau pijak. Inilah syurga!'
'Ini adalah neraka bagiku. Rumah agammu langsung tidak membahagiakanku! Kau... kau langsung tidak pernah memijakkan kakimu di atas sejadah!'
'Jadi kau mahu katakan, sejadah—tempat lelaki gasar itu menonggeng—boleh bawa kau terbang ke syurga? Hahahahaha. Hei perempuan, dengar sini. Kalau nak ke syurga, naik jet peribadi. Terbanglah kau bebas ke syurga atau neraka. Kau pilih.Baru betul.'

Hari-hari yang dilalui Ahmad Fakri sering dibayangi pertelingkahan malam itu. Malam sebelum nota kecil ditinggalkan atas meja rumah agamnya. Dia masih tidak mampu menjawab, apakah rasional mantan kekasihnya meninggalkannya, mengikut lelaki gasar dan miskin. Dia buntu.

Setiap detik jantung berdetak...

Ahmad Fakri semakin hilang punca. Saban hari wajah Farahannan Nabila selalu bermain di ruang imaginasi. Rindu, ya dia rindukan gadis itu. Dalam setiap detak jantung ada ego dan sayang yang berbalah. Saling tidak bertoleransi. Lagi pun jika mahu dicari, tidak pula Farahannan Nabila tinggalkan alamat atau nombor telefon. Setiap hari, nota yang sama dibaca, mencari rasional dan kepastian. Setiap huruf pada nota seakan not-not elegi yang menyanyi syahdu di jiwanya.

Ahmad Fakri akhirnya nekad. Cuma ada satu cara yang mungkin membawa dia ke sisi gadis yang dirindui—sejadah!

Malam itu, sejadah peninggalan arwah bapa dibentangkan untuk pertama kali di ruang tamu rumah agam. Ahmad Fakri sudah bersedia dengan kain pelikat, berbaju melayu dan kopiah. Jantungnya berdebar. Entah bagaimana nanti, sejadah ini bakal membawanya ke syurga, bertemu kembali Farahannan Nabila yang dirindui. Itu harapannya.

Kaki Ahmad Fakri berpijak di atas sejadah. Dia menonggeng—lama...

Tiga tahun berlalu. Ahmad Fakri kini bahagia. Benarlah, sejadah itu membawanya terbang ke syurga. Walaupun Farahannan Nabila tidak lagi ditemui, namun cinta barunya berputik, kian mekar.

Malam tiga tahun yang lalu, ketika di atas sejadah itu dia terlihat, wajahnya di cermin besar ruang tamu. Malam itu, cintanya serba salah. Malam itu, cintanya menjadi dua. Malah, mulai malam itu cintanya kepada Farahannan Nabila kian pudar.

*****

Ahmad Fakri berbogel memakai kopiah di bilik tidur. Berbekalkan cermin, dia berbaring di katil memeluk erat dirinya dalam cinta yang paling agung.

19 Nov 2015

KARKAS #222: KEMATIAN YANG TIDAK DISAMBUT

Dia berlari tanpa arah tuju. Dari satu lorong ke satu lorong, dari satu kota ke satu kampung. Meredah segala semak, longkang, sungai mahupun bendang. Ketakutan, wajahnya pucat memutih. Dia akhirnya menyusup bersembunyi di sebuah gubuk yang hampir runtuh. Menggigil keseorangan, dia memeluk tubuh.

Semalam polis mencarinya, merata-rata. Cerita mereka, dia terlibat dalam kes pembunuhan seorang gadis desa. Mayat itu ditemui tanpa kepala. Dia gusar sendiri saat mengetahui, cerita yang tersembunyi kini menjadi topik hangat bicara pagi. Perasaan tidak tenteram merajai hati. Tanpa lengah, segera dia melarikan diri ke luar kota.

Namun polis pantas menghidu tindak tanduknya. Jejak kehilangannya tidak sukar dikesan. Hanya diperuntukkan beberapa waktu, sebelum dinihari tempat persembunyiannya dibongkar. Dia terkedu. Masih dia mahu meloloskan diri sebelum polis tiba, namun jalan yang ada seakan tidak mengundangnya. Tertutup segala kemungkinan untuk lari, hanya satu cara yang pasti. Pisau yang di jumpai di gubuk itu, digenggam erat penuh nekad. Bunuh diri!

*****

Dia tersedar. Pandangannya kabur. Matanya melilau cuba mencari kepastian, apakah ini syurga atau neraka?

Beberapa saat kemudian kedegaran siren polis menghampiri. Ada suara memberi amaran, menyerah atau dilawan.

Dia pasti bahawa dia belum mati. Mungkin dengan mengelar tangan kiri tidak cukup membunuhnya. Dia cuba cara lain. Kali ini, nekad menikam pisau di leher. Tenggorokannya dihujani darah. Dia pasti, sebelum segalanya sunyi kembali.

*****

Akhirnya dia akur. Dia tak mampu lari ke mana-mana. Entah bagaimana, saat sedarnya dia sudah digari dan diheret ke kereta polis. Tiada tanda-tanda dia melawan. Diperiksa lehernya sendiri, tiada darah mahupun luka pada pantulan wajahnya di cermin kereta polis. Persoalan demi persoalan terus mengasak minda. Kenapa dia masih tidak mati?

****

"Apa benar kamu nekad mahukan ilmu ini?"

"Benar tok. Aku nekad. Biar apa juga pantang larang mahupun cabaran akanku kuat menghadapinya."

"Baiklah. Persiapkan dirimu. Ingat, hanya buluh runcing ditikam di tapak kakimu, yang bisa meragut nyawamu."

*****

Mahkamah memutuskan dia bersalah. Dia dihukum gantung sampai mati. Saat hukuman dibaca, ada semacam ketakutan menyelubungi. Dia menggigil lagi. Kali ini lebih ngeri.

Dalam kegelisah dia tertanya sendiri; apakah azab di dunia ini nanti lebih menakutkan dari sebuah kematian?

*****

Dia merasa azabnya tidak terhingga; lehernya hampir putus. Nafasnya sukar, tersangkut-sangkut. Tenggorokannya sempit. Seluruh tubuh membiru dan kaku. Pandangannya gelap dilitupi kain hitam. Lidah terjulur menitik air liur--kain hitam itu basah.

Perutnya kian lapar, tekaknya perit membakar--kekeringan.

*****

"Dia masih belum mati, tuan."

"Apa? Gantung dia sekali lagi, dan lagi. Usahakan sehingga dia mati."

7 Nov 2015

KARKAS #209: PERISTIWA DI DALAM TANDAS

Sungguh, hidup ini cuma satu ketakpastian--pilihan antara dua, tiada pertengahan. Pilihan itu pasti, namun kabur kerana tersembunyi di sebalik pintu masa depan. Ini adalah ceritaku, tentang pilihan mudah namun tak semua kita jangka adalah sama. 

Pintu tandas tertutup rapat. Ada erangan kecil di sebaliknya, mengundang tanda tanya. Aku masih di luar, menanti penuh sabar. Namun, lumrah insani, setinggi-tinggi kesabaran teruji apabila tiba hadnya.

Pintu tandas ditendang berkali-kali. Erangan sebalik pintu terhenti. Ada susup-susup pergerakan halus kedengaran di balik pintu. Aku menanti dengan amarah mula mengambil tempat.

Pintu tandas dibuka. Seorang lelaki tua melangkah lemah, perlahan keluar darinya. Aku memerhati tanpa rasa bersalah. Dia menoleh, tersenyum nipis dan berlalu pergi. Aku segera mengambil tempat ke dalam tandas, menggantikan lelaki tua itu. Seluar dibuka pantas. Sedang aku mahu mencangkung di atas mangkuk tandas itu, gerakku terhenti. Ada sesuatu yang menghalang. 

Serentak dengan itu, dompet dari saku belakang seluar jeans meluncur ke dalam lubang tandas tanpa sempat aku tahan.

Sekarang, aku dalam dilema. Ada dua pilihan mudah namun begitu sukar untuk aku laksanakan. Pertama, membiarkan dompet aku di dalam mangkuk tandas atau kedua; cuba mencapai dompet itu. Tetapi, pilihan kedua tidak begitu mudah. Ada 'ular' panjang dan besar berwarna coklat duduk diam di dalam mangkuk tandas, peninggalan orang tua tadi. Aku terkesima.

Celaka, mangkuk tandas ini benar-benar menguji!

***

6 Nov 2015

KARKAS #198: HALUS SI NASI

Lelaki itu merangkak, mengesot perlahan dengan muka membawa beban tubuhnya yang berat. Lidahnya panjang kira-kira sedepa terjelir melilau ke kiri dan kanan; persis biawak. Dia kelihatan sukar. Nafas mendengus kasar. Pun, wajahnya terukir senyum manis. Seperti tidak merasa beban yang ditanggung. 

Jaka, seorang lelaki bersifat anti-hero, keding dan berperut buncit. Dia memerhati gelagat lelaki itu--sinis. Jaka berjalan menghampirinya. Hirisan daging busuk bernanah di tangan Jaka disuakan ke lelaki itu, lalu dilemparkan ke arahnya. Lelaki gempal berkepala botak yang mengesot dengan muka segera mendapatkan daging dilempari Jaka; melahap pantas. Beberapa orang lelaki yang mengesot dengan muka tiba-tiba muncul, merapati lelaki pertama tadi

Mereka cuba merebut daging itu. Jaka tersenyum. Beberapa hiris daging busuk di tangan Jaka dilemparkan satu satu ke tanah. 

Jaka mendongak. Merenung ke atas. Perut yang tadinya buncit, mula menipis setelah daging-daging dihiris. Jaka lega biarpun darah di perutnya memgalir deras. Di atas sana--beberapa orang gadis bogel bersayap putih berlegar-legar riang. Jaka tersenyum.

***

KARKAS #193: BURUNG YANG TERBANG MEMBAWA SANGKAR

Aku duduk termenung, ditemani seekor burung berkicau bahasa sunyi di celah siulan kota besar ini. Di atas puing usang, ia menyanyi riang. Namum riak wajahnya muram. Aku tahu, ia ditawan kerinduan. 

'Aku adalah yang terakhir. Mereka semua  berlalu tinggalkan aku sendiri,ditikam rindu bertubi. Kau tahu?' ujarnya.

Langit kota besar kemerah-merahan. Sepertinya langit juga malu, melihat dosa-dosa bergelimpangan. Burung tidak lagi menyanyi. Laungan azan megah kedengaran. Namun, sepi dan aku--adalah teman rapat, saling tak mahu melepaskan. Aku memandang burung, ia diam menghormati azan. Hanya aku yang jahil. Siualan kecil dari mulut cuba menghiburkan kekecewaan sendiri. Atau mungkin, cuba memanggil syaitan yang lari bertempiaran datang menemani. 

'Kota ini penuh dengan harapan. Mereka datang membawa gunung, lembah, desa dan tanah. Mengharap ada secarik mewah dan sofa selesa...'

Aku ralit memerhatikan butir bicara burung. Atau lebih tepat, paruhnya saja bergerak-gerak dan kata-kata itu datang ke dalam fikiranku. Saat-saat putus asa seperti ini, burung pun mampu jadi lawan bicara.

"Hanya untuk secubit selesa, mereka mengorbankan 90% dari kehidupan mereka sebenarnya." Sambungku.

'Benar.'

Burung itu terbang pergi membawa sangkarnya. Susah-payah. Sedikit sahaja ia menoleh ke arahku, dan menjeling penuh makna. Aku cuma memerhati, melambai dengan pandangan penuh tanda tanya. Walau jasadnya dikurung dan kakinya dipasung namun jiwanya kekal bebas. Terbangnya mungkin mencari kembali teman-teman yang telah pergi. Migrasi. 

Aku memaut pagar besi di sebelah, menopang tubuh bangkit dari duduk. Terhencut-hencut tatkala cuba untuk berjalan. Sebelah kaki yang mati, tidak lagi mematahkan azam. 

Dahulu, kota ini kulihat mewah berjalan di garis masa tuhan. Aku dan dia, gadis berwajah polos dan mata besar sama-sama datang dari desa yang mundur. Sama-sama mahu membina hidup sedikit selesa. Malangnya mungkin cuma aku yang terlebih berharap. Bermimpi untuk menyarung cincin ke jari manisnya. 

Sekian lama sudah aku berputus asa. Sejak dia bercerita tentang jejaka tampan yang pandai berkasih sayang. Dia seperti hilang panduan di hadapan jejaka itu. Juga tak seperti dia yang aku kenali. Khabar terakhir yang kudengar tentangnya; satu nyawa dicabut kejam dari tubuhnya dan dicampak ke tong sampah. 

'Kita sama sahaja. Arah mana atau apa tujuan kita bergerak, selagi kita di dunia ini matlamat kita satu; untuk mati. Cuma yang membezakan adalah cara apa dan usaha kita. Adakah kita bangkit kembali setelah tersadung atau kita terus mengalah dan rebah selamanya.'

Masih bergema butir bicara burung itu di ruang mindaku saat dia hadir semula di hadapanku. Gadis itu. Dia tersenyum tawar. Ada garis bekas linangan air mata di pipinya. Seperti burung yang datang dan pergi secara tiba-tiba, dia pun sama. Cuma kehadirannya kali ini tidak aku mengerti, untuk apa dan berapa lama. 

Teringat kata-kata arwah ayahku. 'Aku suka tinggalkanmu dengan persoalan, agar kamu berfikir dan mencari jawapan. Persoalan hidup ini subjektif. Cuma apapun jawapan kamu terhadap persoalan hidup, jangan lupa berpegang pada tali Tuhan.'

Aku menghulur tangan. Dia sambut perlahan.

Burung yang terbang membawa sangkarnya itu, tidak pernah membiarkan sangkarnya mengawal arah perjalanan hidupnya. 

***

5 Jun 2015

KARKAS #173: ANAK PATUNG

Dia memeluk erat anak patung comel miliknya. Seminggu lepas, suaminya pergi meninggalkan dia selamanya. Cuma anak patung itu, pemberian istimewa suaminya yang tinggal. Dia menjaga anak patung itu penuh perhatian.

Sudah tiga hari jiran-jiran tidak melihat dia, rumahnya sunyi. Sebelum ini, rumahnya agak riuh. Sentiasa saja kedengaran jerit tangis di situ. Ada bisik-bisik mengatakan dia telah pulang ke rumah ibunya di kampung.

Anak patung itu pernah diperlakukan dengan kasar. Adakalanya dihempas ke lantai, ditepuk tampar malah pernah dipijak-pijak gara-gara dia masih tidak mampu menerima hakikat kehilangan suaminya. Namun bila dia sedar, cepat-cepat anak patung itu dibelai dan dipujuk penuh kelembutan.

----

Riuh di taman perumahan itu bila polis menahan seorang ibu muda tersenyum sendirian memangku mayat seorang bayi--punyai kesan lebam dan hentakan--duduk di buaian depan rumah.

"Ini anak patung saya."

***

29 Apr 2015

KARKAS #157: KHIANAT

"Kanda, alangkah baiknya jika kita segera berangkat."

"Nanti dulu dinda. Kanda mahu memastikan duduk sebenar perkara ini. Mustahil semua ini boleh terjadi. Kanda tak percaya."

Mawar kalih pandangan. Sang Arjuna tertunduk. Titis-titis air mata mula membasahi pipi. Manakan mungkin desa yang dahulunya terkenal makmur dan permai kini huru-hara. Perompak berkuasa. Rumah-rumah banyak yang hangus dibakar. Anak dara menjadi mangsa nafsu, mayat bergelimpangan. Kanak-kanak kecil menangis di tepi jalan. Mujur, mereka tidak dimangsakan. Desa ini tidak lagi tenang. Malah, darurat telahpun sepurnama dulu diisytiharkan. 

Anehnya, langsung tiada bala tentera sultan yang kelihatan. Mana pergi panglima, pendekar dan segala macam pahlawan? Itulah yang menjadi persoalan bagi sisa-sisa rakyat yang masih hidup, bersembunyi jauh ke dalam hutan. 

"Kanda mahu siasat."

"Apa lagi yang mahu disiasat wahai kanda. Bukankah telah jelas kesemua pendekar kita mati di medan tempur?"

"Benar dinda. Namun ada perkara yang menimbulkan keraguan kanda."

"Apakah ia?"

"Bukankah pendekar desa kita ini telah terkenal dengan kepahlawanan mereka? Malah sejak berdekad lamanya tiada musuh yang berani menjejak kaki mereka ke sini. Apatah lagi mahu bertempur dan menewaskan pendekar-pendekar kita?"

"Mudah sahaja kanda. Dek kerana mereka itu hanya gah pada nama, maka mereka cuai untuk terus melatih diri. Nah, sekarang terbukti mereka tidak segagah yang dikhabarkan. Bukan?"

"Jadi apalah ertinya kanda diam di sini jika tanah sendiri tak mampu kanda pertahankan?"

"Maksud kanda? Kanda mahu amuk sendirian? Melawan musuh yang tak tentu lagi bilangannya, begitu?"

"Kanda sebagai ketua 13 pendekar harapan desa takkan berdiam lagi. Jika kanda tahu ini semua akan terjadi, tidaklah kanda merantau ke negeri orang sepurnama nan lalu."

"Jika begitu, kanda bersiaplah!" Serentak dengan itu kepala sang arjuna bergolek-golek di lantai. 
______

"Beta cukup berbangga denganmu Mawar. Tidak sia-sia beta memberi kepercayaan kepadamu. Hahahaha..."

Sultan terus sahaja tertawa sambil meratah gadis muda dan darah rakyat dihadapannya, sementara Mawar pula hanya tersenyum gembira. 

***

KARKAS #156: RUMAH SAKIT

Aku bertugas syif malam pada hari ini. Sebelum-sebelum ini aku memang tidak pernah ditugaskan untuk syif malam. Maklum sajalah aku pun baru beberapa bulan menjawat jawatan di rumah sakit ini. Kalau sudah namanya rumah sakit, pasti saja tidak terlepas dari cerita-cerita misteri nusantara, cerita makhluk ghaib dan cerita ngeri yang lain. Begitu jugalah halnya di sini. Cerita-cerita hantu itu sama bergentayangan dengan hantu-hantunya. Bertebaran ke seluruh ceruk rumah sakit ini. Maklumlah cerita panas seperti ini memang pantas sahaja menjadi sebutan.

Berbalik pada kisah aku. Kerja syif malam sangat menuntut kesabaran yang tinggi. Lebih-lebih lagi saat kau terbayang rakan serumah kau sedang enak dibuai mimpi sedang kau pula hanyut dibuai sakit hati. Manakan tidak, waktu tidur kau diganggu dan kau pula dipaksa melaksanakan tugas. Itulah yang aku rasa sekarang. Berjaga malam di antara pukul 11 malam hingga 7 pagi. Sedangkan aku selalu masuk tidur pukul 10 malam. Tepat dan tidak pernah lewat.Inilah bahana berkerja makan gaji. Bertabahlah.

Aku mulakan tugas rondaan tepat pukul 12 tengah malam. Berjalan menuju ke blok Wad X. Wad yang terletak di hujung dan jauh terpencil di kawasan rumah sakit ini. Pintu wad aku tolak perlahan, melangkah masuk dengan kerisauan. Cerita-cerita hantu mula berlegar satu-persatu di ruang ingatan. Pun begitu, aku cuba tenang. Keadaan dalam wad sedikit kelam. Hanya beberapa lampu utama dihidupkan. Suasana sepi. Cuma deru angin kipas jelas kedengaran.

Aku menutup semula pintu wad setelah melangkah masuk. Awal-awal masuk saja aku telah disapa seorang pesakit wanita. Wajahnya kosong tanpa rupa, berbaju putih dengan rambut yang panjang dan lurus. Aku sedikit terkejut. Sangkaku semua pesakit di sini sedang tidur. Wanita itu tersenyum dan perlahan-lahan hilang di sebalik dinding.

Aku terus saja melangkah jauh ke dalam wad. Masih ramai lagi rupanya pesakit yang belum pun tidur. Di katil no. 1- untuk pesakit kritikal, seorang lelaki tua sedang duduk sambil membelakangiku. Aku cuba mengamati apa yang dilakukannya. Aku melangkah mendekatinya. Perlahan-lahan lelaki itu menoleh, jelas terlihat wajahnya yang berkedut seribu dengan mulut yang berdarah-darah sedang menggigit kaki kirinya sendiri. Aku melihat kakinya pula hampir putus digigit. Aku tersenyum. Perlahan menyapanya;

"Pak cik tak tidur lagi ke?"

Hrrrmmm... Hrrrrmmmmm....

"Oh, tak mengapalah pak cik."

Hhhrrmmmm... Hrrmmmmm....

Hanya dengusan saja yang kedengaran. Pak cik itu menoleh semula membelakangiku dan menyambung meratah kaki kirinya.

Aku meneruskan langkah kaki. Di kiri kananku riuh dengan pelbagai aksi pesakit-pesakit di Wad X. Ada yang berjalan tidak jejak bumi, ada yang tercari-cari kepalanya yang tanggal, ada yang berjalan menembusi dinding. Yang berterbangan dan yang mengilai usah diperkatakan lagi. Bersepah. Aku tersenyum sendiri. Kadang-kadang geli hati melihat telatah pesakit di sini. Kadang-kadang kasihan pun ada. Pun, apa lagi yang mampu aku lakukan selain memberi kata-kata semangat kepada mereka.

Sedang aku meneruskan langkah kaki, aku di halang seorang gadis, bertubuh kecil memakai cermin mata. Dia berdiri betul-betul di depan laluanku. Entah bila dan dari mana dia muncul, tidak pula aku sedari. Dia merenungku, tajam. Dari kedua-dua matanya mengalir darah deras ke pipi cengkungnya. Dia tersenyum. Aku turut senyum.

"Tak tidur lagi ke? Dah lewat malam ni. Tak takut ke?" Aku bertanya.

"Andai bidadari terbang ke hulu, dimudiknya senja melurut ke bahu..."

Gadis itu senyum lagi, terlihat taringnya yang tajam dan sisa darah pada celahnya.

"Saat purnama sembunyi, lagu dendang tak lagi berbunyi... Saat gadis ini menyanyi, alam terhias tak lagi sunyi...."

Gadis itu terlihat keriangan. Tangannya diangkat-angkat seperti sedang menari, lembut. Gerak jari jemarinya terasa seperti angin yang bertiup perlahan, badannya mula melintuk-liuk mengikut irama nyanyiannya. Ringan, terlihat seperti kapas terbang di awangan. Aku semakin asyik.
 Melihat si gadis yang juga pesakit di wad ini- menyanyi dan menari tarian yang agak janggal namun harmoni.

Tiba-tiba gadis itu berhenti menyanyi, lalu menangis teresak-esak. Aku bingung seketika.

"Abang... Saya takut... Tsk... Tsk...."

"Adik takut apa dik? Cuba bagitau abang." Aku meminta kepastian.

"Hantu!!!"

Serta merta gadis itu hilang dari pandangan. Aku sedikit resah. Hantu. Ya, hantu. Subjek yang menjadi topik hangat setiap perkerja di rumah sakit ini, setiap hari. Aku mula gentar. Kulihat sekeliling, satu persatu pesakit tadi mulai lenyap ke alam mimpi. Aku semakin takut, bimbang tidak lagi ditemani pesakit-pesakit seperti tadi. Aku mempercepatkan langkah kaki. Baru kusedar, jam telah beranjak ke pukul 3 pagi. 

Aku tiba di pintu wad, saat ingin kubukakan pintu, aku semakin takut. Wajah dan ketiakku mula dibasahi peluh. Aku tahu, ada hantu di luar sana. Menunggu. Penuh setia pada mangsa yang lemah seperti aku. Aku tahu.

Lalu aku ambil keputusan untuk duduk sahaja di dalam wad ini, di temani pesakit-pesakit yang nyenyak tidur. Biarlah, aku rasa lebih selesa. Lebih berani. Kerana aku tahu aku takkan mampu menghadapi hantu-hantu di luar sana.

***

KARKAS #155: ALASAN

'Rintik hujan gugur bersama rindu, 
Lalu aku tersungkur depan pintu hatimu.'

Fatin meneliti semula surat yang ditulisnya itu. Dia gusar. Masih ragu-ragu untuk memberikan surat yang ditulis ringkas kepada si pencuri hati. Kadang-kadang, Fatin tersenyum sendiri, kadang-kadang pula, dia menangis, memikirkan apakah reaksi jejaka yang dipuja. Namun, surat yang terlipat itu masih dipegang kemas.

'Gegar di bumi jejak terasa, 
Debar di hati tak siapa menyangka.'

Jantung Fatin semakin berdebar. Malah, saat dia berdiri bersebelahan jejaka itu, jantung Fatin seakan mahu melompat keluar dari dada. Apatah lagi saat Fatin melihat jejaka itu tersenyum, hampir-hampir saja Fatin pengsan di situ.

'Kupulangkan semula hati ke tanah, 
Kerna di situlah tempat ia rebah.'

Fatin menangis. Dia berlari-lari anak sambil tangannya menyeka bulir-bulir air mata di pipinya. Sungguh tidak disangka, jejaka itu mengecewakannya.

Masih teriang-iang di telinga Fatin kata-kata jejaka tersebut saat surat bertukar tangan. Fatin benar-benar kecewa. Kalau sekadar menolak dengan alasan 'kita masih muda'  atau 'saya sudah berpunya', Fatin masih boleh terima. Namun alasan yang diberi itu sangat tidak logik. Sampai mati pun alasan itu tetap tidak mampu diterima!

"Maaf, saya datang dari masa depan."

***

KARKAS #154: MIMPI 2

"Man bangun Man... Man mimpi eh.... "

Terdengar olehku suara lembut seorang wanita. Aku perlahan-lahan membuka mata. Terlihat di hadapanku, seorang wanita dalam lingkungan usia 30-an. Dia duduk di kerusi sebelah pemandu kereta. Di kananku, terlihat seorang kanak-kanak perempuan sedang lena.

"Ki...ki...kita kat ma...mana ni...ni...." Aku bersuara. Tergagap-gagap.

"Kita kan nak balik kampung. Man dah lupa ke? Itulah, ibu dah pesan sebelum tidur baca doa dulu. Mesti Man mimpi bukan-bukan lagi ni." Wanita itu bersuara. Dia memalingkan sedikit badannya untuk melihat aku. Aku bingung. Bukankah....

"Panggil doktor cepat! Pesakit dah ada tindak balas."

"Anak mata ada reaksi pada cahaya. Tekanan darah meningkat ke 110/80mmHg..."

Aku membuka mata. Pantas aku menoleh ke kanan dan kiri. Aku berada di satu bilik putih. Terbaring di atas sebuah katil. Aku bingung. Kelihatan beberapa orang gadis berpakaian jururawat di sekelilingku. Tubuhku dicucuk beberapa wayar jernih. Aku bangkit dari pembaringan. Jururawat-jururawat tadi menoleh ke arahku. Mereka tersenyum.

"Awak dah sedar. Baguslah."

"Aku kat mana ni?"

"Awak rehatlah dulu. Keadaan awak masih lemah."kata seorang dari jururawat itu. Dia datang menghampiriku. Di tangannya, ada picagari yang sedia untuk disuntik. Dia tersenyum.

"Masa awak masih belum tiba. Kembalilah ke tempat asal awak..." Dengan lembut, picagari tadi dicucuk ke lenganku. Aku membiarkannya. Perlahan-lahan penglihatanku kabur. Bayangan jururawat yang tersenyum itu semakin lama kelihatan semakin menakutkan, seperti sedang mengejekku.

"Man, lori depan tu Maannn!!!"

Farhan menjerit kuat di sebelahku. Aku tersentak. Aku dengan pantas mengalihkan tumpuan ke hadapan semula. Kelihatan lori besar seberat 5 tan di hadapan sedang meninggikan lampunya. Stering kereta aku putarkan ke kiri dengan kedua-dua tangan, cuba mengelak dari bertembung lori di hadapan kami.

HHOOONNNNNN!!!!!

***

23 Apr 2015

KARKAS #147: TANGEN 90°


"Baiklah murid-murid, apa yang penting kamu kena ingat, tangen 90° nilainya adalah infiniti manakala tangen 0° nilainya adalah sifar."

"Baik cikgu."

Loceng berbunyi. Murid-murid di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru bergegas mengemas beg, bersiap untuk pulang. Namun tidak bagi aku, yang masih termenung mengenangkan kata-kata cikgu sebentar tadi.

'Cinta kita sama seperti dua garis selari. Selalu beriringan, selalu di sisi.'

Aku tertunduk hiba. Ada semacam sakit yang menyucuk kuat di dada kiri. Menikam berkali-kali. Pedih. Namun aku terpaksa membiarkan saja. Benar, aku tidak mampu berbuat apa.

'Bila garis itu selari, maka selamanya takkan pernah bersilang. Jarak antara mereka kekal sama, sampai bila-bila.'

Beg, aku kemas perlahan-lahan. Lemah. Usai saja, aku bangun lalu menuju ke pintu kelas, dan dalam setiap langkah itu, masih lagi aku memikirkan namanya...

Lalu dia muncul depan pintu.

Dengan senyum manis terukir, dia menegur. Aku senyum--juga; tapi kosong. Tidak semanis senyumannya.

"Kenapa nampak lemah je?"

"Tak ada apa... "

" Cakaplah. Dengan I pun nak berahsia ke?"

Ada nada merajuk di hujung kata-katanya. Aku merenung; jauh ke hadapan.

"Kita adalah garis selari, sentiasa di sisi namun takkan pernah bersilang sampai mati. Infiniti. Kita takkan dapat bersama. Selamanya. Tak mungkin."

"Kenapa?"

"Sebab awak lelaki, saya pun lelaki."

***

KARKAS #141: MANGSA PEMANGSA


Kilat semakin galak menyambar kaki langit. Hujan menempur singgah menyengit di atas bumbung hentian bas, tempat aku berteduh. Gadis berbaju kurung putih di hujung sana menggigil kesejukan. Hanya kami berdua berteduh di sini.


"Mahu cikedis?"  Aku meramahkan diri menegur gadis itu sambil menghulurkan bungkusan makanan ringan yang kebetulan kubawa dalam beg sandang.



"Maaf, saya tak makan cikedis." Jawapan dia lembut tapi matanya merenung aku seperi harimau lapar.



"Eleh. Sombong. Tak nak sudah. Blahlah. Mentang-mentang cun. Perasan." Aku baru patah hati dan aku sudah tidak meyakini perempuan lagi.



Aku merenung jauh ke dalam hujan, rintik-rintik air itu semakin galak menimpa bumi. Sesekali kukalihkan pandangan pada jam di tangan, masih terlalu awal.Tiba-tiba aku terasa ada sapaan lembut di bahuku. Sejuk ke tulang sum-sum. Aku berpaling. Kata si gadis berbaju kurung putih di belakangku, "Saya tak nak makan cikedis tapi saya nak makan awak!"



"La, kenapa tak cakap awal-awal." Aku yang mulanya terkejut perlahan-lahan mengukir senyuman; menampakkan taring.



Hujan pula, semakin lebat.

***

24 Mar 2015

KARKAS #131: MIMPI

"Man, lori depan tu Maannn!!!"

Farhan menjerit kuat di sebelahku. Aku yang sedari tadi asyik membelek 'handphone' di tangan kiri semasa memandu dengan pantas mengalihkan tumpuan ke hadapan semula. Kelihatan lori besar seberat 5 tan di hadapan sedang meninggikan lampunya. Stering kereta aku putarkan ke kiri dengan kedua-dua tangan selepas 'handphone' yang kupegang tadi aku campakkan ke sisi, cuba mengelak dari bertembung lori di hadapan kami.

HOONNNNNNN!!!

SKREEETTTTCCHHH...

"Aaarrghhhh!!!!"

BAMMM!!

Itu bunyi terakhir yang sempat di tangkap telingaku sebelum segalanya kelam dan semakin gelap.

"Woi Man, bangunlah!"

Aku tersentak. Mata dibuka pantas. Aku menoleh ke kanan, kelihatan Farhan sedang memandangku dengan ekspresi wajah pelik. Tangan Farhan di bahuku, menggoncang-goncang sedikit tubuhku. Melihatkan aku tersedar, Farhan segera mengalihkan tumpuannya ke jalan raya. Tangan Farhan yang memegang bahuku segera dipautkan kembali ke stering kereta.

"Apahal kau?" soal Farhan.

"Mimpi boh. Ambo mimpi ngeri."

"Mu mimpi gapo dio?"

Farhan menoleh ke arahku, meminta kepastian agaknya. Aku yang masih mamai menggosok-gosok mata, menoleh ke arah Farhan, lalu memandang ke hadapan.

"Woi, lori depan tu!"Aku menjerit ke arah Farhan.

HOONNNNNN!!!!

Farhan menoleh semula ke depan. Dia menggelabah dan dengan pantas cuba mengelakkan kereta kami dari dilanggar lori. Aku memejamkan mata dan bertakbir sekuat hati, sebelum segalanya gelap.

" Astagfirullahal Adzim!"

Aku terbangkit dari lena. Ah, mimpi lagi. Aku menoleh ke kanan dan ke kiri. Masih di dalam kereta, yang aku pandu. Tiada watak Farhan di sebelahku. Tanganku di stering menggenggam kuat dan berpeluh. Terasa wajahku juga pucat dan basah. Memang menakutkan. Kereta kupandu perlahan... Sebentar! Aku memandu kereta?

HHOOONNNNN!!!!!!

BAMMMM!!!!


***

KARKAS #129: BAYANG

Lewat pagi ini masa aku bangun tidur,  aku dah menggelabah beruk. Serius. Rutin pagi-pagi aku lepas bangun tidur mesti nak tengok cermin, bukan reti nak solat subuh dulu. Dasar manusia sia-sia aku ni.

Oh, pagi ni masa aku tengok cermin, aku tak nampak apa-apa. Adakah cermin yang rosak? Atau mata aku yang buta? Atau lampu bilik tak terpasang lagi? Tapi dah terang ni jadah apa nak pasang lampu bilik.

Aku belek-belek semula cermin. Mata aku tak buta lagi. Masih nampak batang tubuh aku. Masih nampak betapa bersepahnya bilik aku. Masih nampak, maknanya aku tak buta.

Cermin pun masih elok. Jangankan pecah retak pun tiada. Bayang bilik jelas kelihatan dalam cermin. Tapi bayang aku?

Ya, dari sinilah aku mula gelabah. Aku membelek-belek cermin dari atas ke bawah, dari depan ke belakang, dari kanan ke kiri, dari luar ke dalam. Aku mencari-cari mana pergi bayang aku. Aku panik. Runsing. Menggigil. Dan segala macam perasaan bercampur baur.

Aku lari menyelongkar almari baju. Dari setiap helaian pakaian itu aku selak mengintai, mencari. Tiada. Laci di bawah almari aku buka, aku campak setiap barang yang menyumbat dalam laci. Tiada. Aku beralih ke katil. Bawah katil itu aku intai, jengah-jengah, pun masih tiada. Di antara longgokan baju,  bantal, selimut, seluar dan seluar dalam atas tilam itu pun aku cari. Sama. Masih tiada.

Aku masuk ke tandas. Aku selongkar habis segala barang dan peralatan di tandas. Tak jumpa. Aku ke ruang tamu, sama juga aku selongkar ruang tamu yang sememangnya bersepah menjadi semakin kacau, macam baru lepas dilanda tsunami. Tetap tak jumpa. Hampir seluruh ruang rumah aku cari bayang aku dan jawapannya masih sama. Tiada, tiada dan tiada.

Aku menyelusuri jalan ke dapur dengan langkah longlai. Di atas meja, yang terletaknya di sempadan dapur, aku terjumpa sekeping nota. Tulisannya aku baca perlahan;

SEANDAI NANTI KAU SEDAR BAYANGMU TAK LAGI KAU TEMUI, KETAHUILAH SAAT ITU KAU TELAH MATI.

Aku terduduk. Di ruang dapur, di hadapanku, tergantung satu jasad bergoyang-goyang halus ditiup angin kipas. Dan kini aku telah temui, bukan bayang tetapi jasad sebenarnya yang aku cari. Jasad aku, yang malam tadi aku perlakukan begitu.

Nota itu, aku yang tulis malam tadi sebab aku tau, lepas aku bangun pagi mesti aku nak mengadap cermin muka lagi, setiap hari. Dasar manusia sia-sia aku ni.


***

17 Mar 2015

KARKAS #120: MENTARI

Dia berlari-lari mengejar mentari. Katanya, cintanya ada di sana. Terikat pada mentari dan ya, dia tak bertepuk sebelah tangan. 

Sekejap! Sebab mengejar mentari tu terlalu klise, kita tukar. 

Dia berkata pada mentari,  "jika benar kau rindui aku, marilah kemari wahai mentari." 

Dan mentari pun datang dengan bersusah payah mendekatinya. 

Saat mentari menghampiri dia,  dia dah melebur tak tinggal sisa. Dia lupa, mentari tu bukan sejuk. Bukan. Oh ya, bukan dia saja, mereka disana, kamu kamu semua, yang sedang membaca ni pun turut melebur sama. Semua. Tak tinggal sisa.

***

KARKAS #118: PERDANA MENTERI

Dia menolak daun pintu bilik perlahan. Penat. Seharian sibuk dengan urusan negara, tentang hutang yang semakin melonjak, tentang nilai mata wang yang jatuh, tentang rancangan penggulingan kerajaan, tentang, tentang macam macam lagi lah. Penat dia seharian ini.

Ya, tugas dia sebagai orang nombor satu negara memang tak pernah mudah. Tak pernah ada masa berehat apatah lagi mahu melancong ke luar negara bersuka ria. Tak pernah. Sumpah. Hari ni pun dah cukup baik dia dapat pulang awal ke kediaman rasmi perdana menteri.

Dia menatap cermin. Wajahnya sebagai Perdana Menteri harapan rakyat memang tampak berseri kerana selalu mengamalkan jamu mak dara. Dari belakang kepala dia meleraikan satu simpulan tali. Perlahan lahan wajah itu di tanggalkan. Topeng. Ya, wajah itu hanya topeng. Dari belakang tengkuk pula,  dia membuka satu zip yang ditarik hingga ke punggung.

Dia keluar dari sarung kulit manusia.

Ya,  dia seekor babi yang memakai sarung kulit dan topeng manusia. Lalu babi itu menghempaskan badannya ke tilam berharga RM120 000.

Di atas tilam dia berfikir, alangkah penatnya menjadi Perdana Menteri.

***

KARKAS #117: BAS TERAKHIR

Aku dah lama perhatikan mamat ni. Ada lah dekat setengah tahun. Selalu naik bas ni dari perhentian awal, turun kat perhentian akhir. 

Jap,  kau orang mesti pelik kenapa aku usha pelik mamat ni. Aku jantan okey. Jantan tulen. Walaupun kerja aku konduktor bas mini Kuala Lumpur (sekarang dah tiada. Rugi lah anak anak muda kini tak sempat merasa), tapi tak bermakna aku ni songsang sisi ke songsang sipi. Aku tegak lagi. 

Okey, balik pada point pasal mamat ni, aku usha dia bukan sebab dia naik bas dari perhentian awal sampai perhentian akhir,  tapi sebab dia memang pelik. Bayangkan dia naik bas dengan sepersalinan busana Melayu asli. Siap bertanjak bagai. Ah sial, memang pelik lah! 

"Bang, harini berapa haribulan?" 

Mamat pelik tu tiba tiba tegur aku. Aku terkesima sekejap. 

Er..  24 Ogos. Kenapa bro?" Aku mula perasan riak wajah mamat ni berubah. 

"Bang, hari ni lah bang, pada tahun lepas isteri saya dibunuh bang. Dalam bas ni."

"Okey, lepas tu?" aku tanya dia balik. 

"Lama dah saya tunggu waktu ni bang. Saya nak selamatkan isteri saya bang. Saya mesti dapat selamatkan dia."

"Abis kau ingat bas ni mesin masa ke?" 

Perlahan lahan dia berundur, dan terjun tingkap bas.

***