30 Mar 2015

KARKAS #139: EKSTASI SOLUSI

Perlahan aku alihkan ia dari tepi rak buku masuk ke dalam kereta. Keyboard Korg M3 ini adalah melodi kehidupan aku. Aku selalu meribakannya dan memicit-micit tombol-tombol di badannya mengacah bermanja tika bersama berdua. Ada pun instrumen muzik kegilaan aku ini, namanya Nazof. Nazof dan aku sudah ibarat Iblis dan Syaitan, ibarat Caklempong dan Gamelan, sukar dipisahkan. 

Aku tenung Nazof rapat-rapat, memerhatikannya agar ia bersandar empuk pada baldu kerusi hadapan keretaku. Aku tak mahu secebis calar merobek kecantikannya. Dia selesa. Aku gembira. Kami bakal berhibur sebentar lagi. Dalam perjalanan menuju ke gig Indie-Fest di Batu Pahat, ada getus panik menunjal saraf tunjangku. 

Gig akan bermula 4-5 jam lagi dan aku sekarang meluncur di atas lebuh raya tanpa solusi ultimaku. Aku meraba di poket kiri bersambung pula ke poket kanan, ke poket belakang, ke dalam beg biru di kerusi belakang, ke dalam ruang kecil di sebelah stereng.... Jadi solusi, memang tiada. 

'Babi! Mana ekstasi aku ni! Babi!' 

Aku tidak boleh malah tidak punya se-badang kekuatan untuk terkinja di atas pentas memetik Nazof tanpa ekstasi. Aksi aku bakal hambar, melodi aku bakal buruk bergetar. Ekstasi bagiku solusi. Ekstasi tuhan melodi. 

Kepala aku bertambah denyut, hanyut di belakang pentas gig. Komeng dan Buzo datang menempik. Aku faham, tiba giliran kami untuk naik ke pentas tatkala orang ramai sudah mula bersorak dengan nama kumpulan kami. 

OLIE WALKS!!! OLIE WALKS!!! 

"Zan, apa kau tunggu lagi?" 
"Buzo, aku tak boleh main lah hari ni. Solusi aku habis."
"Kau merepek apa ni Zan? Dah jum naik cepat!"
"Tak boleh Buzo. Aku kena ada ekstasi. Aku tak tau main kalau takde ekstasi." 
"Kau mabuk ke mende ni?"

Aku palingkan badan menunduk seolah mahu mengikat tali kasut lalu aku cepat-cepat larikan diri ikut pintu belakang. Berjaya aku loloskan diri sendiri, aku kini masuk berdiri bersama orang ramai yang masih bersorak memanggil kumpulan muzik aku. Aku lihat pentas di depanku dengan kelibat Komeng, Buzo dan...aku? 

Kenapa aku ada di atas pentas? Mimpi apakah ini? Aku masih memegang Nazof erat di tanganku tetapi aku melihat diri aku sendiri di atas pentas bersama Nazof. Aku jadi serba kalut sambil memiut perutku sekuat hati kerana aku mahukan situasi ini bertukar menjadi mimpi.

Realiti. Ya, ini sah realiti. Aku melihat diri aku yang satu lagi itu rancak bermain lagu 'To Emily' di atas pentas. Aku cuit bahu kanan jejaka di sebelahku. 

"Bro, siapa yang main keyboard tu bro?"
"Oh, itu Fauzan."
"Fuck off lah. Aku lah Fauzan! Dia tu siapa?"
"Dia tu Fauzan yang tanpa ekstasi bro."

Hatiku berdegup sekencang desibel corong bunyi di belakangku. Aku cepat-cepat melutut di tengah-tengah orang ramai lalu membuka sarung yang membalut Nazof. 

Nazof tiada. 

***

26 Mar 2015

KARKAS #138: SE-DARAH

Aku yang terawang diulit mimpi dijagakan dengan api diri dia yang marak membakar entah kenapa. Dengan mata yang separuh buka, aku dilempar dan diterajang bagai anjing yang hina. Terpinga, ternganga, tidak tahu apa punca serta mana silapnya.


Aku terus diperlaku bagai binatang, selama itu aku terus mempertanyakan diri sendiri "Apakah aku bukan darah daging mu ayah?"

Selama itu juga aku sakit, tapi mata ini menyeka airnya sendiri dari melimpah keluar, aku pertahankan.

Hingga satu masa, datang satu berita, darah yang tadi memperlaku aku seperti binatang itu mati, lantas hilang dari permuka dunia. Darah daging yang lain sibuk menangis menggila, mungkin berpura-pura. Tapi tidak aku, aku sendiri bingung, samada untuk menyahut berita itu dengan tawa atau duka.

Aku mandikan, aku kucup dahinya, aku sembahyangkan, aku usungkan. Selama itu jua air mata tidak pernah sekali untuk muncul, tidak sesekali hingga tiba tanah pertama aku timbuskan. Saat itu aku kalah, air mata tidak keruan berlumba-lumba untuk keluar.

Ayah, aku pohon kau hentikan kebingungan ini. Tolong. 


***

25 Mar 2015

KARKAS #137: MUSIM PANAS

“Panas sungguh kedai kamu ni Husin. Nak duduk mengopi pun tak senang dibuatnya.” Keluh Leman sambil mencicip sedikit teh tarik yang baru dipesan. Husin hanya menggeleng dengan senyuman sambil membancuh air untuk pesanan seterusnya. 

“Betullah tu Husin. Zaman sekarang ni orang tak pakai zink dah Husin. Panas merelit bahang zink ni haaa.” Tambah Mael yang duduk semeja dengan Leman. 

“Nak buat macam mana. Dah nak panas. Tak baik mengeluh bebanyak ni.” Husin bersuara sambil menghulurkan sebungkus teh ais kepada seorang budak lelaki yang sedari tadi menunggu pesanannya siap. 

“Bukan mengeluh Sin. Ini untuk keuntungan kedai kamu jugak. Kedai sejuk, pelanggan pun ramai ye dak?” Jawab Mael sebelum dia mencapai surat khabar percuma di atas meja. 

“Mudah-mudahanlah hujan petang ni. Sedap sikit nak tido.” 

“Amboi, sedap betul kau Leman. Aku ni kau tak pikir pulak. Petang ni aku ada keja kat kebun tu haaa. Kau mintak hujan habislah keja aku kena tangguh. Duit pun lambat masyuk. Doa tu agak-agaklah. Taulah kau tu penganggur terhormat dalam kampung ni.” Surat khabar kembali Mael letakkan di atas meja. Panjang lebar dia membebel ke Leman. Leman hanya mencebik malas mahu melayan. Hanya orang gila yang tidak mahukan hujan ketika cuaca dilanda terik sebegini. 

“Woi!” Terkejut ketiga-tiga mereka apabila mendengar jeritan dari arah belakang. Segera mereka berpaling. 

“Sorang mintak hujan. Sorang lagi taknak hujan. Kalau aku jadi tuhan pun entah doa yang mana satu aku nak makbulkan. Sebab manusia tamak macam hangpa ni la yang menjahanamkan muka bumi. Mintak itu ini. Semua benda nak mintak kat tuhan. Manja!” 

BAMMM!! 

Lelaki berambut panjang berkenaan menepuk meja sekuat hati sebelum beredar dari warung tersebut sambil menghayunkan kepala ke kiri dan kanan dengan tangan yang ditadah seolah-olah sedang berdoa.

***

24 Mar 2015

KARKAS #136: TANGGA

Beban kerja buat aku sesak nafas lalu aku di sini, di tangga pejabatku menghisap rokok sambil memandang sisa hutan yang bakal ditarah lagi untuk meluaskan parkir kereta. Ada pelbagai jenis kereta terkini, aku jugalah yang berkancil merah.

Haaa. Lega. Rokok, aku cucuh ke tong sampah untuk memadamkan baranya. Aku naik ke tingkat atas, tidak terus ke stesen kerjaku. Aku ingin meregangkan tulang belakangku seketika. Aku capai tombol pintu, ah, berkunci pula. Aku naik lagi dan memulas tombol yang masih lagi berkunci. Terpaksa pula bersenam petang-petang ni! Aku naik dan naik lagi, kenapa semua pintu berkunci? Aku mula tak sedap hati. Aku menjenguk ke luar. Tiada sebiji kereta pun di parkir! Aku memandang jam tanganku, pukul 7! Aku jadi bingung, ketika aku keluar tadi belum pun pukul 5.

Aku memanjat naik dan terus naik. Sekejap! Kali ini aku panik. Bangunan ini hanya ada 5 tingkat dan aku pasti aku sudah naik lebih daripada 5 tingkat. Aku tarik nafas dalam-dalam. Baik! Aku akan turun ke tingkat 1 dan terjun daripada situ kalau perlu.

Di luar semakin gelap dan aku masih lagi menuruni anak tangga sambil memeriksa kalau-kalau ada pintu yang tidak berkunci. Aku semakin cemas-aku masih tidak sampai ke tingkat 1 dan jam sudah menunjukkan pukul 9. Lampu berkelip-kelip seperti ingin padam. Ah! Apa pula kali ini?

Ya, lampu betul-betul padam dan aku bersuluhkan telefon bimbit nokiaku. Aku terdengar tombol pintu di tingkat bawah dipulas kasar. Aku segera turun.

"Allahuakbar! Tolong! Tolong!"

"Amin, kau kenapa?" Aku menggigil lantas memeluk Azri.
"Pintu...tangga..."

--

Lelaki di hadapanku ini bercerita dengan bersungguh-sungguh.

"Masa Azri jumpa dia tu pukul berapa?"

"Pukul 4.30. Selepas daripada itu, Amin tak kerja lagi di sini. Mungkin trauma."

"Afsham Rahman."

"Eh, nama saya dah dipanggil. Doakan saya berjaya dalam temuduga ni dan saya doakan awak juga." Aku bersalam dengan lelaki itu dan pergi ke kaunter.

"Awak berbual dengan lelaki berbaju biru, berseluar hitam dan berkaca mata, kan?" Aku senyum canggung. Iyalah, dengan siapa lagi. Kami berdua sahaja yang ada di ruang menunggu.


"Arwah Amin tu. Dia meninggal kerana jatuh dari tingkat 5. Ok, awak masuk bilik nombor 2 tu ya." Aku terpempan.

***

KARKAS #135: CEMPAKA

Turun naik nafsuku, saat mata yang meliar ini tiba-tiba tertumpu pada satu tubuh separa bogel di bawah suluhan lampu.

Aku lihat, mulut lelaki separa bogel itu terkumat kamit seolah-olah membaca sesuatu. Dia menoleh ke kiri dan kanan lantas merapati sebatang tiang lampu lalu mengeluarkan senjata tujuh incinya dan memancutkan air kencing.

"Siot! Sah lelaki ni gila." Omel aku yang berada di sebuah stesen bas. Jarak aku dengan lelaki gila itu tidak jauhlah mana.

Malam itu, tiupan angin tidak seperti biasa. Sejuk hingga menaikkan bulu roma. Sesekali perasaan takut itu hadir tapi cepat-cepat aku tolak.

Hari sudah larut malam, aku sendiri di stesen bas. Lelaki gila itu juga masih di tiang lampu. Aku mula risau, dalam hati berdoa agar adik tidak lupa menjemput aku di sini.

"Kenapa lelaki itu jadi gila?" Soalku dalam hati.

"Sebab dia mungkir janji" Soalan aku dijawab dengan suara ayu di iringi bau wangi bunga cempaka. Aku tidak menoleh, peluh jantan tiba-tiba jatuh seperti hujan.

"Janji apa?" Soal aku lagi, ingin tahu.

"Sumpah mati cinta kami."Jawab suara itu. Suasana jadi sunyi, lelaki separa bogel itu tadi meluru ke arah aku.

"Aku minta maaf, tolonglah. Jangan ganggu aku. Kau hantu, aku orang mana boleh kawin." Lelaki itu merayu-rayu.

Kali ini rasa takut aku naik seganda lagi, pertama takut kerana suara ayu dan bau wangi. Kedua lelaki separa bogel itu, hampir nak terkelur mata ini melihat alat sulitnya, loya pun ada.

Dengan sedikit keberanian, aku berniat untuk lari dari situasi itu. Aku bangun lalu menoleh kebelakangan. Gugur jantung aku apabila melihat sepasang mata merah dengan rambut mengerebang dan wajah yang hodoh.


Aku rebah.

***

KARKAS #134: TANDA KOMA

Perlahan Caca menurunkan cermin matanya ke tepi, diambil sehelai tisu lalu diseka air mata yang hampir semahunya ingin memuntahkan isi. Lantas, dia mengukir sebuah senyuman kelat. Keluahan demi keluhan terhasil tanpa sedar.

“Kenapa apa yang aku jangka mesti terjadi, lagi?”

Caca mengeleng-geleng kepala seperti tak percaya.

Namun, itulah hakikatnya. Itulah jalan ceritanya. Dikerling telefon bimbitnya disisi, sepi. Ini bukan kebiasaannya, dahulunya dia akan sibuk bergarikan telefon bimbit miliknya, kemana sahaja tidak akan lekang telefon bimbitnya disisi. Bimbang jika kekasih hatinya tertanya-tanya kemana gerangan dirinya jika lewat membalas pesanan ringkas. Itu semua dulu. Kenangan yang akan dirindui, kebiasaan yang bakal dipandang sepi oleh dirinya sendiri. Caca memilih untuk berdikari semula. Sendiri lagi.

---

Kau itu kiriman tuhan pada aku,
Tatkala aku berdoa diminta kamu,
DIA memberi kamu pada aku,
Untuk kita menjadi satu,
Sayangnya kamu cuma ujian buat aku,
Kerna DIA memilih menarik kamu, PERGI.

Pesanan ringkas itu dilayangkan terus kepada mantan yang pernah beraja dihati. Caca menarik nafas sedalamnya sebelum menghembusnya keras.

“You got to be more strong then a year ago.... Anyway, this is not your first time....”

Bisik suara kecil.

---

Andai ini pengakhiran kita,
Aku masih tidak bersedia,
Aku sedar akan kecelakaan yang menimpa,
Bertahan kasih demi kita,
Satu hari pasti kita bersama,

Itulah balasan terakhir dari Si Mantan untuk dirinya. Caca hanya mampu mengelengkan kepala.

“Perbuatanmu penentu segalanya, sayang. Pada saat ini kau hanya kenangan, aku beri kamu tanda koma.…”


***

KARKAS #133: KUNYAH

Aku merapati satu tubuh yang terbujur kaku, "Sayang, hari ini kita akan bersatu. Kita akan bersama buat selamanya. Sebati menjadi satu macam janji kita dulu."

Romannya yang cantik aku tatap dalam-dalam hingga aku boleh hafal setiap lekuk garis yang terlukis. Cantiknya dia, acapkali memetik suiz nafsuku namun tubuhnya tidak sekali aku jamah tanpa izin.

Aku bukanlah lemah, cuma aku takut pada kehilangan. Pasti celaru hidupku tanpa dia, jadi demi sayang yang sangat mendalam aku tekad untuk menyimpan dia terus untuk aku dan hidup dalam seorang aku.

Dia telah aku tidurkan selepas selesai kami menikmati makanan malam. Sengaja aku masakan makanan yang paling dia sukai agar dia gembira. Minuman istimewa, jus epal bercampur racun tikus aku hidang sebagai penutup makan malam.

Usai racun itu bertindak, tugas aku pula bermula. Sedikit demi sedikit dagingnya aku kunyah dan telan. Darahnya aku hirup penuh nikmat. Aku terus mengunyah tanpa henti.

Padat. Perut aku sedikit membuncit, berjaya juga aku menghabiskan tubuh kekasihku. Enak dan manis rasa dagingnya mungkin kerana itu sebenarnya rasa kasih sayang kami.


Aku senyum sendiri seraya meraba-raba seluruh pelusuk tubuhku. "Sayang, kini kau ada dalam darahku, juga dalam dagingku. Tiada siapa akan pisahkan lagi. Hahaha"

***

KARKAS #132: MEMORI

Lewat malam kelmarin, aku ditidurkan dengan suaramu lagi yang mengucapkan, "Mimpikan aku, sayang. Moga-moga malam ini aku bisa mendapatkan kamu di ruang mimpiku juga".

Aku tersenyum saat teringat gelak manjamu yang tidak habis-habis mentertawakan kisah lucu di wayang tempoh hari. Bahagianya kamu ketika itu aku fikir bukan cuma digeletek lucu saja, aku juga bisa melihat ekor matamu asyik melirik ketawa kecilku. Dan bila mata kita bertaut, ketawa kita segera mati, pantas aku tersipu malu lalu berpura-pura menatap skrin kembali. Saat itu aku mula merasakan cinta aku kepadamu bercambah, tidak terlalu banyak, namun tidak juga terlalu nipis.

Kemudian kita berjalan keluar dari panggung dengan sedikit rasa getaran di dada. Sengaja aku biarkan satu dua saat kita dicuri sang bisu, supaya getaran itu tidak terlalu ketara kedengaran. Asyik sekali waktu itu.

Orang bilang, apa pun dalam hidup biarlah bersederhana, lebih-lebih lagi bila ianya melibatkan cinta. Tenang aku katakan dari dalam hati, aku mencintaimu duhai kekasih. Namun biarlah rasa ini kekal diam tidak bersuara, cukup cuma bunyinya saja kuat ketika aku meraup mukaku usai memohon kepada Tuhan, agar Kamu tenang di sana.


Dan tetaplah suaramu yang terakhir itu menjadi peneman aku selamanya. 

***

KARKAS #131: MIMPI

"Man, lori depan tu Maannn!!!"

Farhan menjerit kuat di sebelahku. Aku yang sedari tadi asyik membelek 'handphone' di tangan kiri semasa memandu dengan pantas mengalihkan tumpuan ke hadapan semula. Kelihatan lori besar seberat 5 tan di hadapan sedang meninggikan lampunya. Stering kereta aku putarkan ke kiri dengan kedua-dua tangan selepas 'handphone' yang kupegang tadi aku campakkan ke sisi, cuba mengelak dari bertembung lori di hadapan kami.

HOONNNNNNN!!!

SKREEETTTTCCHHH...

"Aaarrghhhh!!!!"

BAMMM!!

Itu bunyi terakhir yang sempat di tangkap telingaku sebelum segalanya kelam dan semakin gelap.

"Woi Man, bangunlah!"

Aku tersentak. Mata dibuka pantas. Aku menoleh ke kanan, kelihatan Farhan sedang memandangku dengan ekspresi wajah pelik. Tangan Farhan di bahuku, menggoncang-goncang sedikit tubuhku. Melihatkan aku tersedar, Farhan segera mengalihkan tumpuannya ke jalan raya. Tangan Farhan yang memegang bahuku segera dipautkan kembali ke stering kereta.

"Apahal kau?" soal Farhan.

"Mimpi boh. Ambo mimpi ngeri."

"Mu mimpi gapo dio?"

Farhan menoleh ke arahku, meminta kepastian agaknya. Aku yang masih mamai menggosok-gosok mata, menoleh ke arah Farhan, lalu memandang ke hadapan.

"Woi, lori depan tu!"Aku menjerit ke arah Farhan.

HOONNNNNN!!!!

Farhan menoleh semula ke depan. Dia menggelabah dan dengan pantas cuba mengelakkan kereta kami dari dilanggar lori. Aku memejamkan mata dan bertakbir sekuat hati, sebelum segalanya gelap.

" Astagfirullahal Adzim!"

Aku terbangkit dari lena. Ah, mimpi lagi. Aku menoleh ke kanan dan ke kiri. Masih di dalam kereta, yang aku pandu. Tiada watak Farhan di sebelahku. Tanganku di stering menggenggam kuat dan berpeluh. Terasa wajahku juga pucat dan basah. Memang menakutkan. Kereta kupandu perlahan... Sebentar! Aku memandu kereta?

HHOOONNNNN!!!!!!

BAMMMM!!!!


***

KARKAS #130: MERATAH

"Adik... Karang mak lalu masuk pintu ni... Kau lompat tau!"

"Alaaaa... Nanti aku yang kena lah Along! Kita lompat sekali lah!"

"Ahh! Kau ni dik!"

Adik dan Along memerhati sesama sendiri, mencangkung di dapur mempersiapkan diri. Mereka memasang telinga mencongak derapan tapak kaki Mak Poh, ibu mereka. Dalam keadaan menikus—seperti tikus, mereka menyorokkan diri di celahan rak pinggan-mangkuk yang terletak di balik pintu dapur. Medan itu adalah kubu. Kubu hamparan kejutan kegemaran. Detik selepas lompatan menyergah itu lah yang ditagih seharian. Tatkala sergahan mengejut itu dilakukan sebentar lagi, reaksi Mak Poh pasti memercik kelucuan.

Adik dan Along punya rancangan baharu. Kali ini, topeng Incredible Hulk disarung keduanya. Telah digodek bersama sewaktu bergolek di atas katil semalaman, Incredible Hulk adalah watak yang bakal dimainkan untuk mencungkil keletah terhebat ibu mereka.

Keletah Mak Poh, tiada tolok-tandingnya. Petah keletahnya adalah latah yang azali, bukan direka, ia seolah disampuk saka. Sekali dia melatah, tuturnya bikin humor merebah. Carut—maki—tampar—nyanyi—silat—tergeliat berjam lamanya.

Seluruh penduduk kampung berkongsi satu hiburan sohor yang sama, mengusik Mak Poh. Ada sekali Mak Poh pengsan kerana bersilat sambil menjerit "kote babi besar babi!" 3 jam tanpa henti—mujur tidak mati.

Ada pun kali ni, giliran anaknya, Along dan Adik, mengidam memecah rekod peribadi ibu mereka. Kain gebar putih terselubung di badan, bertopengkan Hulk, tersiap-siaga di celah rak pingan-mangkuk di dapur. 'Rasakan mak... rasakan.....'

Saat rekod bakal dipecah, semakin hampir. Runut derapan tapak kaki semakin kuat menuju ke arah mereka. Semakin kuat, dan kuat....

Krakk....
Krakkk....
Krakkkk....

HULKKKK!!! HUWARGHHH!!!

"Opocottt mak kau hijau dinding pecah..."
—Darah dari buah pinggang Along memancut ke pojok kiri rak pinggan.

"Amboiiii setan hijau badan putih cilaka..."
—Perut Adik terburai isinya; berselirat usus perut terawang lalu melantun-lantun ke lantai.

"Ewaaaahhhh pontianak muka hijau ewaahhh..."
—Leher Along tertusuk lantas menyembur darah menderu-deru menempias ke muka Mak Poh.

"Aceyy ceyy ceyy hijau putih muka buruk..."
—Adik rebah ke lantai sambil biji mata kiri dicungkil hingga terbonjol keluar.

"Hohh...hohhh...." dengus ngauman nafas Mak Poh membuak-buak. Pisau di tangannya, merah pekat dibalut darah. Pesona yang ditagih semua dek henyak beliau melatah, kini telah meratah.


***

KARKAS #129: BAYANG

Lewat pagi ini masa aku bangun tidur,  aku dah menggelabah beruk. Serius. Rutin pagi-pagi aku lepas bangun tidur mesti nak tengok cermin, bukan reti nak solat subuh dulu. Dasar manusia sia-sia aku ni.

Oh, pagi ni masa aku tengok cermin, aku tak nampak apa-apa. Adakah cermin yang rosak? Atau mata aku yang buta? Atau lampu bilik tak terpasang lagi? Tapi dah terang ni jadah apa nak pasang lampu bilik.

Aku belek-belek semula cermin. Mata aku tak buta lagi. Masih nampak batang tubuh aku. Masih nampak betapa bersepahnya bilik aku. Masih nampak, maknanya aku tak buta.

Cermin pun masih elok. Jangankan pecah retak pun tiada. Bayang bilik jelas kelihatan dalam cermin. Tapi bayang aku?

Ya, dari sinilah aku mula gelabah. Aku membelek-belek cermin dari atas ke bawah, dari depan ke belakang, dari kanan ke kiri, dari luar ke dalam. Aku mencari-cari mana pergi bayang aku. Aku panik. Runsing. Menggigil. Dan segala macam perasaan bercampur baur.

Aku lari menyelongkar almari baju. Dari setiap helaian pakaian itu aku selak mengintai, mencari. Tiada. Laci di bawah almari aku buka, aku campak setiap barang yang menyumbat dalam laci. Tiada. Aku beralih ke katil. Bawah katil itu aku intai, jengah-jengah, pun masih tiada. Di antara longgokan baju,  bantal, selimut, seluar dan seluar dalam atas tilam itu pun aku cari. Sama. Masih tiada.

Aku masuk ke tandas. Aku selongkar habis segala barang dan peralatan di tandas. Tak jumpa. Aku ke ruang tamu, sama juga aku selongkar ruang tamu yang sememangnya bersepah menjadi semakin kacau, macam baru lepas dilanda tsunami. Tetap tak jumpa. Hampir seluruh ruang rumah aku cari bayang aku dan jawapannya masih sama. Tiada, tiada dan tiada.

Aku menyelusuri jalan ke dapur dengan langkah longlai. Di atas meja, yang terletaknya di sempadan dapur, aku terjumpa sekeping nota. Tulisannya aku baca perlahan;

SEANDAI NANTI KAU SEDAR BAYANGMU TAK LAGI KAU TEMUI, KETAHUILAH SAAT ITU KAU TELAH MATI.

Aku terduduk. Di ruang dapur, di hadapanku, tergantung satu jasad bergoyang-goyang halus ditiup angin kipas. Dan kini aku telah temui, bukan bayang tetapi jasad sebenarnya yang aku cari. Jasad aku, yang malam tadi aku perlakukan begitu.

Nota itu, aku yang tulis malam tadi sebab aku tau, lepas aku bangun pagi mesti aku nak mengadap cermin muka lagi, setiap hari. Dasar manusia sia-sia aku ni.


***

KARKAS #128: DRAMA SNAKEHEAD GERGASI

Sudah 2 minggu aku 'kumpau' dengan Padil. Jiwa aku tak tenteram. Deruan arus Sungai Riau selalu masuk dalam mimpiku. Aku pasti Padil turut memimpikan Sungai Riau juga. Kami berdua 2 minggu tewas disitu. Esok aku harap akan Strike untuk renew 'lesen' dari bulan lepas. Masalah 'kumpau' memang tak mampu kami bendung. Padil lesu macam ayam berak kapur. 'Mama' yang selalu digembar-gemburkan pemancing handalan sudah patah-duakan Rod Abu Vengeance Padil. Serentak mematahkan hatinya sehingga lesu. Aku bertekad dengan Padil akan Strike esok.

Anak keli dan segala senjata kami dah siapkan. Tinggal mulut comel 'Mama' sahaja yang perlu meragut rakus anak keli yang menggedik manja mengumpan nafsu 'Mama'. Sepatah haram perkataan tiada dikeluarkan oleh aku dengan Padil. hanya letupan kecil cengkih rokok Gudang Garam sahaja yang kedengaran.

"Kurfffff"

Sambaran pertama kedengaran. Drag menjerit minta dikunci. Tangsi sudah kekiri dan kekanan. Rokok dimulut aku ludah ke tanah. Satu sentapan maha padu aku lakukan. Berdebar jantung aku macam nak roboh. Padil laju menaikkan umpan takut berbelit tangsi aku dengan dia nanti.

"Naharam ni kuat gila babi." Omel aku sendirian.

Padil senyum sambil bola matanya bulat memerhati tangsi.

Pinggang aku mulai berdenyut. sudah 5 minit aku bergelut. 'Mama' tetap belum mahu menyerah. Padil aku lihat sudah sedia dengan Gripfish di tangan. Perlahan aku memujuk 'Mama' supaya hampir ke tebing. Aku hanya mampu berdoa supaya tangsi aku tak meletup. Kalau meletup kemarau 'kumpau' berlanjutan.

Akhirnya,hasil aku turun ke dalam air. 'Mama' 8kg berjaya aku naikkan. Airmata aku macam nak mengalir. Padil berpaling. Aku tahu dia menangis dalam kegembiraan,cuma malu nak berkongsi dengan aku. Kemarau 'kumpau' dan lesen untuk bulan ini dah berjaya kami langsaikan.

*WeAreSnakeheadHunters

*** 

KARKAS #127: JASMIN

Nama aku Laila. Siapa yang tidak kenal aku? Murid perempuan yang paling cantik di Sekolah Kebangsaan Chubadak. Rambut kerinting kenyalku yang menjadi idaman setiap gadis. Jelas ternyata perasaan cemburu di mata mereka melihat rambutku melantun-lantun di bahuku bilabaku berlari. Jika dipanah suria, rambutku bersinar keperangan.

Walaupun begitu, aku tetap mencemburui dengan keanggunan Jasmin. Jasmin dan aku merupakan kawan karib sejak tadika lagi. Perwatakan Jasmin yang lemah lembut sering membuat aku mahu menjadi seperti dia.

Aku perasan Jasmin selalu menemani Mustafa mengintai aku di balik pokok ara itu. Mustafa merupakan pelajar contoh di sekolahku. Dia murid yang baik. Hampir semua murid perempuan di sekolah ini menaruh harapan untuk menjadi kekasihnya. Termasuklah aku. Namun, aku simpan sahaja niatku kerana persahabatan aku dan Jasmin lebih berharga.

Pada satu hari, Jasmin datang ke kelasku dan mahu aku mengikutnya ke pokok ara tersebut. Katanya ada seseorang mahu berjumpaku. Bila aku tanyakan siapa, Jasmin hanya menjawab "Mr. M". Aku pasti Mr. M itu merujuk kepada Mustafa.

Perasaan aku bercampur aduk. Gembira kerana Mustafa mahu berjumpa dengan aku. Aku pasti dia mahu meluahkan rasa cintanya terhadap aku. Tetapi terselit juga rasa bersalah terhadap Jasmin. Aku sayangkan Jasmin. Tapi aku juga mencintai Mustafa. Yang mana satu harus aku pilih?

Sengaja aku memberi alasan untuk ke kantin sebentar untuk membeli keropok lekor. Sedangkan aku mahu sedikit masa untuk berfikir dahulu. Dan akhirnya aku membuat keputusan untuk memilih Jasmin. Aku tidak sampai hati untuk mematahkan hati sahabat aku itu.

Aku dan Jasmin tiba di pokok ara itu. Terlihat Mustafa berdiri di bawah pokok itu sambil memegang satu bungkusan putih yang berdarah. Tidak aku sangka Mustafa mahu hadiahkan hatinya kepada aku. Hati yang telah menjadi idaman aku.

Namun aku tetap dengan pendirian aku. Biarlah aku tidak dapat hati lelaki idaman aku, asalkan kawanku bahagia.

Di saat Mustafa mahu melafazkan kata cintanya, aku terus merampas bungkusan putih itu dengan rakus dan mengeluarkan hati Mustafa yang berdebar-debar itu lalu aku memasukkannya ke dalam mulut. Mustafa dan Jasmin tergamam melihat perlakuanku. Aku mengunyah bersungguh-sungguh dengan harapan Mustafa tidak akan menyukai aku lagi. Selepas menelannya, aku terus berpusing dan meninggalkan mereka berdua. Aku tidak mahu mereka melihat air mata aku. Aku tidak mahu Jasmin tahu yang aku buat semua ini untuk dia.

Biarlah Jasmin membenciku. Aku mahu dia bahagia bersama Mustafa.

"Inilah peluang kau Jasmin. Jangan lepaskannya."

***

KARKAS #126: LAILA II

Laila merupakan murid perempuan tahun enam dia Sekolah Kebangsaan Chubadak. Rambut Laila kerinting kenyal. Melantun-lantun dia bahunya bila dia berlari. Jika dipanah suria ia bersinar keperangan. Dia tahu, ramai yang menyimpan hati terhadapnya tetapi hatinya hanya setia pada seorang. Seorang yang belum ditemuinya.

Dia sedar, ada seorang murid lelaki, kalau tak silap, namanya Mustafa suka mengintainya tiap kali kelas pendidikan jasmani. Mana mungkin dia tak perasan kalau setiap minggu pun muka dia dan seorang murid perempuan bertenggek di balkoni blok A berhadapan padang sekolah.

Pada suatu hari, dia menerima sepucuk surat yang diletakkan di bawah mejanya. Surat itu berbunyi 'jika awak tak keberatan, sila jumpa saya di bawah pokok ara. Saya tunggu awak.' Begitulah isinya. Laila mencebik apabila melihatkan 'initial' M di hujung surat itu.

Seperti yang diminta, Laila pun pergilah ke pokok ara untuk bertemu si M yang dia tahu adalah Mustafa. Sebelum ke tempat yang dijanjikan, dia sempat singgah membeli keropok lekor dari mak cik kantin memandangkan dia lapar.

Setibanya di pokok ara itu, dia nampak susuk tubuh Mustafa sedang bersandar pada batang pokok tersebut. Langkah kaki diatur menghampiri Mustafa sambil mengunyah keropok lekor. "Apahal?" Laila bertanya sedikit kasar sambil mulutnya masih mengunyah keropok lekor. Wajah Mustafa hanya dipandang sipi. Entah kenapa timbul rasa jelek di hatinya.

"Ini hati saya." Mustafa menyerahkan satu bungkusan putih yang masih berdarah. "Sudi tak awak..."

"Tak hingin!" Laila merampas bungkusan putih itu dengan rakus dan mengeluarkan hati Mustafa yang berdebar-debar itu lalu memasukkan hati Mustafa ke mulutnya dan mengunyahnya bersungguh-sungguh. Darah merah pekat menjejeh-jejeh keluar dari celahan bibirnya. Hati yang sudah lumat dikunyah ditelan sebelum Laila berpusing dan meninggalkan Mustafa.


"Hati aku juga sudah tiada. Jadi biarlah ada yang merasa apa yang aku rasa. Rasa bagaimana hidup tanpa hati." Bisiknya perlahan.

KARKAS #125: MUSTAFA

Mustafa merupakan murid lelaki tahun enam di Sekolah Kebangsaan Chubadak. Walaupun tidak dikurniakan rupa paras yang handsome, tetapi gaya Mustafa yang baik tetap berjaya memikat hati Jasmin. Jasmin suka menemani Mustafa ke mana sahaja dia pergi. Walaupun menemani Mustafa mengintai Laila, murid perempuan tahun enam di sekolahnya, ketika pendidikan jasmani.

Jasmin sangat menyukai Mustafa. Demi kebahagiaan Mustafa, Jasmin dengan berat hati menolong Mustafa untuk memanggil Laila ke  pokok ara tersebut. Jasmin dengan berat hati menerima duit rasuah yang diberi oleh Mustafa untuk menutup rahsia dia menyukai lelaki itu.  Laila tiba sambil mulut nya mengunyah keropok lekor. Hati Jasmin penuh dengan rasa iri hati dan cemburu. Dia melihat Mustafa seakan tidak sabar untuk memberikan satu bungkusan kepada Laila. Bungkusan yang menjadi idaman Jasmin sejak dulu lagi.

'Ini hati saya.'. Jasmin hanya mampu melihat Mustafa menghulurkan bungkusan itu kepada Laila. Mahu sahaja dia pergi dari tempat itu, tapi entah kenapa dia terpaku sahaja di situ.

'Sudi tak awak..."

Belum sempat Mustafa menghabiskan ayatnya, Laila terus mencelah.

'Tak hingin!" Kata Laila sambil merampas bungkusan putih itu dan mengeluarkan hati Mustafa yang berdebar-debar itu. Tanpa teragak-agak dia memasukkan hati Mustafa ke mulutnya dan mengunyahnya bersungguh-sungguh dan menelannya sebelum berpusing dan meninggalkan Mustafa dan Jasmin di situ.

Jasmin tergamam dan menutup mulutnya dengan kedua belah tangannya. Membuak-buak perasaan marah di hatinya. Mahu sahaja dia menerkam Laila saat itu. Namun, ada sedikit rasa gembira di hatinya dan Jasmin tahu inilah peluang keemasan dia. Jasmin terus mengambil pisau lipat di dalam poketnya dan terus merobek keluar hatinya.

Belum sempat Jasmin memberikan hatinya, Mustafa telah bangun dan meninggalkannya keseorangan di situ. Sempat dia mendengar Mustafa berkata,

'Perempuan cantik memang kejam. Sebab itu saya dah tiada hati lagi.'

Jasmin mengutip kembali hatinya yang jatuh ditolak lelaki tiada hati.

'Tapi hati saya ni macam mana pula? Hati saya sudah mati.' Kata Jasmin. Hatinya yang asalnya merah pekat kini kian pudar. Tiada lagi denyutan padanya. 


***

KARKAS #124: LAILA

Laila murid perempuan tahun enam tercantik di Sekolah Kebangsaan Chubadak. Rambut Laila kerinting kenyal. Melantun-lantun di bahunya bila dia berlari. Jika dipanah suria ia bersinar keperangan. Mustafa suka intai Laila ketika pendidikan jasmani dari balik pokok ara tepi padang. Mustafa kasmaran inginkan Laila menjadi kekasihnya.

Pada satu pagi yang bersejarah Mustafa menunggu Laila di bawah pokok ara. Dia sudah merasuah seorang pengawas dengan separuh duit tabungnya untuk memanggil Laila ke situ.  "Apahal??" Laila bertanya bila dia tiba sambil mulutnya mengunyah keropok lekor. Matanya yang sedikit sepet memandang sipi sahaja kepada Mustafa. Bagi Mustafa itulah mata paling cantik pernah dia lihat.

"Ini hati saya." Mustafa menyerahkan satu bungkusan kain putih yang masih berdarah. Hatinya berdebar-debar hingga tapak tangannya menggeletar. "Sudi tak awak..."

"Tak hingin!" Laila rakus merampas bungkusan putih itu dan mengeluarkan hati Mustafa yang berdebar-debar itu. Tanpa teragak-agak dia memasukkan hati Mustafa ke mulutnya dan mengunyahnya bersungguh-sungguh dan menelannya sebelum berpusing dan meninggalkan Mustafa.

"Perempuan cantik memang kejam. Sebab itu saya dah tiada hati lagi."

Mustafa bangun dan meninggalkan Jasmin di hujung kantin. Jasmin mengutip kembali hatinya yang jatuh ditolak lelaki tiada hati.


***

#KARKAS 123: KEPUASAN

Matanya memicing meneliti mata pisau yang tajam berkilat. Dell memperkemaskan pegangan pisau di genggaman. Di hadapannya terdapat tiga manusia. Masing-masing dengan tangan yang terikat, duduk melutut dengan kepala setiap daripada mereka disarungkan kain hitam.

Perlahan-lahan Dell melangkah membuat beberapa pusingan sebelum berhenti di belakang mereka bertiga. Bermula dari kanan, Dell mendongakkan kepala salah seorang daripada mereka. Dell menusuk pisau tepat pada bahagian kanan rengkung.

“Ini untuk orang yang dah tahu tapi masih berlagak tak tahu dan terus-terusan buat seperti dia tidak tahu.” Ujarnya perlahan. Perlahan-lahan dia menoreh dari kanan hingga ke kiri rengkung. Darah memancut keluar. Pisau masih kemas di genggaman. Jatuh terjelepok lelaki berkenaan. Kini matanya beralih kepada lelaki di tengah-tengah.

“Ini untuk yang dah tahu tapi simpan sorang-sorang dan rendah-rendahkan orang yang tidak tahu.” Dengan cara yang sama, Dell mengelar leher lelaki berkenaan tanpa sebarang masalah. Kini tumpuan sepenuhnya diberikan kepada lelaki terakhir.

“Ini untuk yang dah tahu. Untuk yang dah sebar pengetahuan semata-mata nak orang tahu yang dia tahu. Nak orang tunduk dengan apa yang dia tahu.” Dell mencucuk terus pisau berkenaan ke tengah halkum. Terdengar bunyi tulang-tulang kecil berlaga. Direntapnya ke atas namun tersekat dek tulang-tulang halus. Darah memercik hebat. Naik dan turun pisau itu diperlakukan oleh Dell. Menghancurkan rengkung lelaki berkenaan sebelum dilepaskan menyembah lantai.

“Dan ini, untuk orang yang sering tak puas hati dengan semua benda.” Pantas Dell menikam perutnya sendiri. Menghamburkan sisa-sisa yang ada sebelum mati terduduk melutut.

***

KARKAS #122: CINTA PERTAMAKU

Aku usap lembut ubun-ubun nya, aku kucup dahinya, perlahan-lahan aku tanggalkan satu-persatu pakaian ditubuhnya. Aku lihat dia masih pejam terlalu lena tidurnya, aku senyum melihat lelaki yang aku cintai.

Dengan lembut aku ratakan air diseluruh tubuhnya lalu aku menyapu sabun tadi ditubuhnya yang sudah basah, biar wangi lelakiku. Dia masih lagi pejam, mungkin terlalu lena dengan mimpinya.

Aku bantu dia untuk bersiap, helaian demi helaian aku bantu sarungkan. Tetap segak berpakaian putih, nampak tenang diwajahnya. Harum lelakiku, segak seperti selalu.

Usai dia dipersiapkan, aku mengucup lelakiku dengan sepuasnya. Biar dia bisa tahu aku mencintainya, dan itu kali terakhir aku bisa mengucup dia sebelum dia pergi tinggalkan aku. Terlalu tenang dan sepi hingga tiada setitik air mata pun jatuh, aku mahu dia tahu aku relakan dia pergi.

Aku solat bersama meraka dan dia berada dihadapan sekali, aku tersenyum. Ini kali terakhir.

Aku seperti sorang diri walaupun dikelilingi ramai mereka mereka yang dekat dengan aku, aku berbicara dengan lelakiku dalam mulut tertutup rapat dan hati terbang melayang entah kemana. Aku lihat dia disitu masih tenang, wajahnya seperti selalu memandang aku.

Aku menghabiskan semalaman untuk berada disamping dia, sesaat pun aku tak bergerak. Aku tak mahu dia rasa sendiri, aku mahu dia lihat aku orang yang berada bersama dia saat dia mahu pergi.

Aku lihat mereka bermandi air mata,  sedang aku yang akan ditinggalkan ini kemarau sedih. Terlalu tenang, entah kenapa aku seperti tidak rasa apa-apa.

Sudah  tiba masa mereka bawa dia pergi, dan aku turut mengiringinya. Sepanjang perjalanan menghantar dia aku cuma diam dan biar hatiku bermain dengan rasa. Aku ajak dia mengimbau semula pertama kali aku mendengar suara dia, pertama kali dia memandang aku, pertama kali dia menyentuh aku segala yang pertama kali untuk kami dan aku tetap tersenyum.

Setibanya disitu, aku lihat dia pergi. Perlahan-lahan dia tidak kelihatan lagi. Bersama bunga-bunga, semua orang menangisi  pemergiannya  dengan kalimah-kalimah suci yang dibawa untuk bekalannya. Aku lihat mereka memandang aku,memberi aku semangat untuk aku teruskan hidup tanpa dia. Aku biar mereka pergi dahulu, aku tetap mahu berada sebentar ditempat terakhir aku memandang dia.

Lalu aku pulang, bertemu mereka yang membantu aku untuk perjalanan dia. Sungguh aku berterima kasih pada mereka.

Seorang demi seorang pulang dan aku sendiri.

Aku kemaskan semua barang dia, bajunya aku hidu, aku peluk erat. Katilnya aku tukarkan cadar, aku masih tersenyum seakan dia masih disitu memandang aku. Aku lihat foto-foto kami, terlalu berharga untuk aku.

Tiba-tiba aku rasakan pipi aku basah, semakin deras air mata aku turun dan saat itu baru aku rasa dia tiada. Terlalu sunyi, aku takut dia tiada lagi untuk aku. Aku tanya pada tuhan, kenapa dia perlu pergi tinggal aku? Apa salah aku? Kenapa mesti jadi begini? Siapa yang akan mencintai aku seperti dia?

Aku teresak esak,meraung sepuasnya. Terlalu sakit, kenapa tuhan? Kenapa terlalu sekejap masa yang kau beri untuk kami? Aku hilang arah, seperti lumpuh seluruh badan, seperti burung yang patah sayap lalu jatuh terhempas kebumi. Aku menangis sepuas hati hingga aku tertidur.

Lena tidurku hingga saat aku terjaga, aku merasa tenang semula. Aku seperti jasad kosong yang sendiri tanpa ruh.

Rupanya aku telah kuburkan separuh dari diriku dipusara tadi, dipusara cinta pertamaku. Lelaki yang sangat mencintai aku, telah aku biar dia bawa bersama rasa cinta itu.

"Tenanglah kau lelakiku,bersama tuhanmu. Aku akan disini menunggu waktu kau sambut aku bersamamu, dan akan aku capai impian kita. Aku tetap akan bawa memori kita kemana pun aku pergi, kata-kata kau akan selalu berada ditelinga aku. Belaianmu akan sentiasa memeluk aku ketika tidur. Terima kasih untuk cintamu lelakiku.

Kau akan sentiasa dirindu cinta pertamaku,

Al-Fatihah ayah, Anuar bin Ismail"

***

KARKAS #121: KIAMAT

Baru sahaja aku keluar dari kedai emas. Hari ini sepatutnya merupakan hari paling bahagia aku. Hari ini aku bercadang untuk melamar teman wanita aku. Sudah 10 tahun kami bercinta dan sepanjang itu jugalah aku telah mengumpul duit untuk membeli cincin berlian idamannya. Setelah bersusah payah bekerja, akhirnya aku mampu membelinya. Aku bersungguh mahu melamarya hari ini.

Namun, kita hanya mampu merancang. Sesudah aku keluar dari kedai emas itu, apa yang aku nampak bukanlah bandar yang tenang seperti selalu. Semuanya porak peranda. Orang berlari  mencari orang tersayang masing-masing. Ada yang ke sana, ada yang ke sini. Aku lihat bangunan banyak yang telah hancur.

Aku menahan seorang nenek yang sedang berlari entah mahu ke mana. Aku bertanya apa yang sedang berlaku dan dia hanya menjerit,

"Hari sudah kiamat nak! Lari lah kau!"

Kiamat? Tak mungkin! Hari ini sepatutnya hari bahagia aku. Aku terus berlari mencari kekasih aku. Hampir seluruh pelusuk bandar sudah aku pergi, namun gagal. Aku menjerit sekuat hati aku walaupun aku tahu itu hanyalah usaha yang sia-sia.

Tiba-tiba aku merasa satu gegaran yang kuat. Gempa bumi! Beberapa bangunan mula runtuh. Aku berlari mencari perlindungan. Kemudian, aku nampak beberapa puting beliung yang besar mula menuju ke arah bandar ini. Apa yang aku boleh lakukan sekarang?

Aku melutut pasrah. Aku tidak pernah percaya akan agama. Aku tahu aku silap. Baru sahaja sebentar tadi bandar ini aman damai seperti selalu. Kini, dunia hancur di depan mata aku sendiri. Aku mengangkat kedua belah tangan aku dan cuba membuat sesuatu yang telah lama aku tinggalkan. Berdoa.

"Oh Tuhan, aku memohon belas kasihanMu. Selamatkanlah aku dari malapetaka ini".

Sesudah aku habiskan doa aku itu. Aku mendengar satu suara yang kuat. Bunyi seperti orang sedang mengeluh. Aku lihat sekelilingku, namun seperti tiada siapa mendengarnya. Hanya aku seorang sahaja yang dengar suara itu. Suara itu kedengaran sekali lagi.

"Haih, bosan".

Aku menangis. Adakah ini balasannya? Balasan untuk orang yang kufur? Mana mungkin taubatku akan diterima. Sudah kiamat. Aku menyesal.

****

"Haih, bosan". Aku mengeluh sendirian.

Kemudian satu suara muncul dari tingkat atas.


"Woi Ali. Hang dok main Sim City apa lagi tu? Mai connect DOTA cepat. Tak cukup lagi seorang ni!"

***

17 Mar 2015

KARKAS #120: MENTARI

Dia berlari-lari mengejar mentari. Katanya, cintanya ada di sana. Terikat pada mentari dan ya, dia tak bertepuk sebelah tangan. 

Sekejap! Sebab mengejar mentari tu terlalu klise, kita tukar. 

Dia berkata pada mentari,  "jika benar kau rindui aku, marilah kemari wahai mentari." 

Dan mentari pun datang dengan bersusah payah mendekatinya. 

Saat mentari menghampiri dia,  dia dah melebur tak tinggal sisa. Dia lupa, mentari tu bukan sejuk. Bukan. Oh ya, bukan dia saja, mereka disana, kamu kamu semua, yang sedang membaca ni pun turut melebur sama. Semua. Tak tinggal sisa.

***

KARKAS #119: SIRR

Hatinya rasa serba tak kena. Langit yang berbumbungkan pualam itu tidak mampu menenangkannya. Alamat mimpinya semalam akan ada lelaki gagah berhati dura. Kerana mimpi itu akhirnya dia di sini, di bawah air mata Ledang, bersuluk mencapai sukma yang paling tenang. 

Telinganya masih terdengar irama serdam yang ditiup semalam, seolah-olah dia telah dimanterakan dengan syair pengasih ken tambuhan. Tangannya longlai memegang busur, kijang dihadapannya tersenyum mengejek. Buruannya menari dan hilang.

Silanya sudah tidak lagi kemas. Dia pulang ingin mengambil busur namun dia dikejutkan dengan seekor cintamani dan kijang semalam. Mengapa pula siluman cintamani ini mendendami dia? Dan kenapa pula kijang semalam datang dengan selendang sutera bianglala? 

Dia akhirnya jatuh dipatuk cintamani dan kijang itu membawa dia ke sebuah istana yang diperbuat daripada campuran hablur dan pualam. Pendar yang dihasilkan bagaikan muka laut! Indah!

Indah?
Dia kenal perempuan yang duduk di sebalik dupa tembaga suasa itu. 
"Kau datang berlengan Khatamunn Nubuwwah, berkunci Lam Jalalah untuk membunuh aku?" Dan rupanya dialah lelaki berhati dura. Dia menangis semahunya. Adiratna yang ditunggu sudah bertuhankan iblis.

Dia memperkemas sila. Segera air matanya diseka. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembus perlahan-perlahan, seakan ditahan-tahan.  Indah meratib mencapai khusyuk namun dia terkejut dengan serangan Budi. Budi sudah bersatu dengan udara bawaan alam. Saranan angin yang mengena membuatkan telinganya berdesing. Dia menekup telinga, sakit! Ah! Pendengarannya sudah rosak tatkala dia melihat darah di tapak tangannya. 

Nampaknya lelaki dihadapannya sudah 'hilang'. Indah kembali meratib namun dia masih gagal apabila saranan kedua dari Budi adalah 7 kali penutup Kursy. Sarung Taghut tertanggal dari tubuh Indah. Dan sekarang dia hanya perempuan lumpuh di hadapan lelaki ampuh itu.

"Mari pulang." Huluran Budi tidak bersambut. Indah menggeleng.

"Kau masih isteri aku. Aku akan pimpin kau semula." Kali ini Indah bertindak. Dia mencucukkan sebatang jarum beracun ke nadi Budi. Melihat Budi yang kesesakkan nafas, Indah ketawa semahunya. 
"Darah kau sudah mula mengalir terbalik, Budi. Aku menang!" Darah mengalir dari hidung, mata dan telinga Budi. Budi tidak mampu bertahan. Dia menghantar serangan terakhir - mengubah angin menjadi sebilah kerambit yang mencantas tenggorok Indah. Indah mati dengan mata terbelalak celik.

"Aku ingat kau boleh berubah, Indah." Pandangan Budi malap, terus gelap.

***

KARKAS #118: PERDANA MENTERI

Dia menolak daun pintu bilik perlahan. Penat. Seharian sibuk dengan urusan negara, tentang hutang yang semakin melonjak, tentang nilai mata wang yang jatuh, tentang rancangan penggulingan kerajaan, tentang, tentang macam macam lagi lah. Penat dia seharian ini.

Ya, tugas dia sebagai orang nombor satu negara memang tak pernah mudah. Tak pernah ada masa berehat apatah lagi mahu melancong ke luar negara bersuka ria. Tak pernah. Sumpah. Hari ni pun dah cukup baik dia dapat pulang awal ke kediaman rasmi perdana menteri.

Dia menatap cermin. Wajahnya sebagai Perdana Menteri harapan rakyat memang tampak berseri kerana selalu mengamalkan jamu mak dara. Dari belakang kepala dia meleraikan satu simpulan tali. Perlahan lahan wajah itu di tanggalkan. Topeng. Ya, wajah itu hanya topeng. Dari belakang tengkuk pula,  dia membuka satu zip yang ditarik hingga ke punggung.

Dia keluar dari sarung kulit manusia.

Ya,  dia seekor babi yang memakai sarung kulit dan topeng manusia. Lalu babi itu menghempaskan badannya ke tilam berharga RM120 000.

Di atas tilam dia berfikir, alangkah penatnya menjadi Perdana Menteri.

***

KARKAS #117: BAS TERAKHIR

Aku dah lama perhatikan mamat ni. Ada lah dekat setengah tahun. Selalu naik bas ni dari perhentian awal, turun kat perhentian akhir. 

Jap,  kau orang mesti pelik kenapa aku usha pelik mamat ni. Aku jantan okey. Jantan tulen. Walaupun kerja aku konduktor bas mini Kuala Lumpur (sekarang dah tiada. Rugi lah anak anak muda kini tak sempat merasa), tapi tak bermakna aku ni songsang sisi ke songsang sipi. Aku tegak lagi. 

Okey, balik pada point pasal mamat ni, aku usha dia bukan sebab dia naik bas dari perhentian awal sampai perhentian akhir,  tapi sebab dia memang pelik. Bayangkan dia naik bas dengan sepersalinan busana Melayu asli. Siap bertanjak bagai. Ah sial, memang pelik lah! 

"Bang, harini berapa haribulan?" 

Mamat pelik tu tiba tiba tegur aku. Aku terkesima sekejap. 

Er..  24 Ogos. Kenapa bro?" Aku mula perasan riak wajah mamat ni berubah. 

"Bang, hari ni lah bang, pada tahun lepas isteri saya dibunuh bang. Dalam bas ni."

"Okey, lepas tu?" aku tanya dia balik. 

"Lama dah saya tunggu waktu ni bang. Saya nak selamatkan isteri saya bang. Saya mesti dapat selamatkan dia."

"Abis kau ingat bas ni mesin masa ke?" 

Perlahan lahan dia berundur, dan terjun tingkap bas.

***

KARKAS #116: ISNIN

Isnin. Aku bangun seawal pagi untuk bersiap-siap memulakan perjalanan menuju ke tempat kerja. Walaupun malam semalam aku tidur agak lambat. Lambat kerana aku tidak suka hari Isnin makanya aku cuba untuk melambatkan proses bertukar hari dengan berjaga hingga lewat malam. Aku tahu aku bodoh. Tetapi itulah aku, seorang budak pejabat yang tidak sukakan hari Isnin. 

Dari rumah aku berjalan kaki ke stesen LRT Tasik Selatan. Dari situ aku terus menuju ke Masjid Jamek untuk membuat pertukaran laluan menuju ke Bangsar. Sedang kesemuanya beratur panjang untuk menggunakan 'escalator', tiba-tiba aku dirempuh dari belakang. Rempuhan itu menyebabkan aku tertolak seorang makwe di depan yang juga mengakibatkan tolakan demi tolakan berlaku hingga ke baris yang paling depan. 

Aku yang hampir jatuh terduduk lekas menoleh ke belakang mencari punca. Dapat aku lihat seorang Bangla dengan sebuah beg besar tenang memotong barisan. Aku jadi marah. Marah aku tanpa kata-kata sebaliknya sebuah penerajang singgah ke rusuk kanan Bangla tadi. Dia hanya tertunduk menahan sakit. Dalam dia tertunduk, aku sempat menujah satu lagi sepakan tepat pada kepala. Mujurlah waktu itu dia menunduk maka memudahkan aku untuk menyasarkan pada bahagian berkenaan. Dan mujur juga aku hanya mengenakan kasut Converse pada pagi itu. Dia mengerang kesakitan, aku menahan sakit pada kaki. Mungkin jari-jari kaki tersalah urat ketika membuat aksi sepakan sebentar tadi. Orang ramai mula riuh. Ada yang menarik aku, ada juga yang cuba memapah Bangla tadi untuk kembali bangkit.

Aku bertambah geram. Barisan yang tadi terbentuk kemas kini mula berpecah kekalutan. Semuanya gara-gara aku. Aku rentap tanganku yang dipegang oleh seorang Mat Saleh dan terus aku berlari anak untuk melompat sambil melakukan sepakan sekali lagi. Tetapi kehadiran sekumpulan Bangla yang entah dari mana datangnya memaksa aku berhenti dari meneruskan niat tadi. Sepuluh orang berkumpul menuju ke arah aku. Ada boroi, ada kurus, ada tegap. Tiada siapa pun yang berani menahan kemaraan mereka waktu itu. 

Aku sangkut tak boleh lari. Rasa marah yang membuak sebelumnya kini hilang serta merta. Kedua belah tanganku dipegang sebelum satu tumbukan padu ditujah ke muka. Sakit macam babi. Tulang pipi sebelah kanan rasa macam nak hancur. Kulit muka rasa berdesing. Rasanya tiga empat kali aku kena dekat muka sebelum aku tersembam dilepaskan ke lantai. Sepertinya ada darah yang hadir di tepi bibir. Aku dapat rasakan ia mengalir perlahan tapi aku tak mampu untuk mengesat. Malahan tiada siapa pun yang datang mengangkat aku. Sekumpulan Bangla masih ada di sekeliling. Bangla yang aku kerjakan tadi kini berdiri gah sambil tersenyum ke arah aku. Aku dapat rasakan, dia ingin menghayun satu sepakan ke muka aku. Aku pejamkan mata menanti kesakitan yang bakal tiba. 

Dua tiga minit terpejam sebelum aku membuka mata berpisat-pisat. Di sebelahku ada Angah sedang tidur. Aku perhatikan jam yang mula menggenap ke angka enam. Pagi Isnin. Aku benci Isnin.

***

KARKAS #115: MEMULAKAN MULA

Terik matahari membahang memancar ke rumput-rumput padang. Tanah padang yang panas ini menjadi penghibur sejati aku. Terperuk aku di belakang tiang gol mempersiapkan diri untuk sesi latihan sebentar lagi. Aku menyimpul tali kasut di kaki kanan sambil melihat sekeliling padang kalau-kalau ada gadis yang memerhati. 

Ada, Temah. 'Adoi! Balik-balik muka makcik ni' Mak Temah selaku Pengawal Keselamatan tak pernah alpa meniup-niup wisel dan menghayun kedua-dua belah tangan; menjaga lalu-lintas di pintu masuk padang kampus ini. Aku pernah cuba mendapatkan nombor telefon Farhana Arshad, anak gadis Mak Temah, tapi dihambatnya dengan cota keliling padang suatu ketika dahulu sambil menjerit "Main bola rajin, belajar malas!! Nak bercinta pulak dgn anak aku!" 

Aku menyimpul tali kasut kaki kiri pula. Kasut dan kaki hidup berpasangan. Ada kanan dan ada kiri. Aku? Hanya ada aku. 

Sedang aku menepuk-nepuk punggung membersihkan kesan tanah yang terlekat pada seluar, Yon menjerit di tangga astaka di alik kanan padang setelah melihat kelibat aku berseorangan di belakang tiang gol. 

"Woi Mat Wan! Awat hang mai awai sangat ni? Hang ni kapten bola UTM ka hang ni Ustad baca doa? Ustad baca doa ja yang gila nak pi majlis awai bak ang."

Yon adalah seorang penyerang yang baik. Bukan sahaja bijak menyerang di padang, malah bijak menyerang hati gadis-gadis junior kampus yang rapuh tak bertempat. Aku mengesat peluh di dahi lalu membalas, 

"Pelaq hang. Mai deghaih tughun. Budak-budak lain pi mana? Dok dating dengan junior lagi ka? Nahareyyyy! Training la woi! Training!" 

"Mat Wan, aku dah putuih dengan Mira."

"Awat? Dia semak perut dok tengok rambut badut sarkis hang ka?"

"Hang sembang kemaih sikit Mat Wan. Aku putuih dengan dia sebab aku la ni dok couple dgn Sophie pulak. Hang apa tau? Hang loser!"

Rakan-rakan pasukan pun mula berpusu-pusu masuk ke padang dan menyarung kasut masing-masing. Yon berjaya menjengkelkan aku dengan kata-kata beliau tadi. 'Babi Yon babi! Ah, aku bukan loser!' Aku tahu sekejap lagi si Aceh pula akan dimarahi oleh Coach Armadi kerana Aceh ada perangai bodoh. 

Terlalu sayangkan Nurul yakni siswi tahun tiga jurusan senibina, kekasih hatinya. Kata Aceh, Nurul adalah segalanya. Pemangkin semangat belajar, peneman hati mekar, pengubat lara—tak pernah ingkar. Tatkala sedang menjalani latihan pun, Aceh sering membalas SMS Nurul. Manakala sepanjang waktu rehat atau tamat sesi latihan, gegendang telinga beliau tak lekang bersetubuh dgn speaker telefon. 'Sayang', katanya. 

PRITTTT!!! 

Coach Armadi menggetarkan bebola kecil, dalam wisel. Latihan hari ini tamat seperti biasa. Aku meneguk air glukosa sambil melihat sepasang pipit berterbangan beriringan. Pasangan pipit itu mendarat betul-betul di hadapan aku. 

"Cipp cippp.." keluh seekor pipit, aku kira yang ini jantan. 

"Cilicipp.. Cilicipp.." cicip si pipit betina menjawab. 

Aku tahu bukan niat burung untuk memerli dan mengajar aku tentang hidup berpasangan. Aku manusia. Aku tak boleh mencicip—bak pipit, kerana wanita sekarang berkacip—nak duit. 

6 tahun hidup di SK Sultan Ahmad Tajuddin, 3 tahun di SMK Jitra, 2 tahun di SBP Sultan Abdul Halim, dan sekarang, 4 tahun di Universiti Teknologi Malaysia— aku menyaksikan pasangan bercinta di sekelilingku, tapi malang, aku sendiri tak pernah merasa makna perkataan 'kekasih'. 

Aku meninggalkan astaka di padang. Aku berjalan longlai merapatkan diri ke motosikal.  Ada bungkusan hadiah berbalut warna merah-keemasan, di atas tempat duduk motosikalku. Saiznya, muat-muat tangan. 'Ini pelik. Ini sumpah pelik' Hati mengerbangkan kepak-kepak girang sebuasnya. Semacam tidak percaya, fenomena hadiah misteri bertitik-tolakkan cinta sedang menghujani aku. Aku mula bersiul lagu 'Dancing Queen' yang aku tidak berapa hafal liriknya. 

Detik yang dinanti sepanjang perjalanan ke kolej telah tiba. Aku berseorangan di bilik. Rakan sebilik tinggalkan nota di atas meja. 

'Wan, aku keluar dengan awek aku. Kau tinggalkan kunci kat tempat biasa. Sayang kau. XoXo'

Pergi mampus sama kau lah setan. Aku pun bakal ada kekasih! Bunyi kipas yang bingit membikin perasaan ingin tahu aku menjadi semakin membibit. Bungkusan ini bakal menjelma sebagai permulaan garis masa cinta pertama aku. Pertanyaan 'apa dan siapa' berpusing di sekeliling bilik membentuk corak hati. Aku buka lipatan bungkusan hadiah itu—rakus. 

'Pen?' 

Ia adalah sebatang ball-pen berwarna biru, tercetak tulisan halus di badannya: 

TEMPAT KE-3 PERTANDINGAN FUTSAL TERBUKA ANTARA UNIVERSITI-UNIVERSITI

"BABI!! NAHARAMM!!" 

'Ini bukan hadiah! Ini bikin marah!' Pusaran hati di bilik sedari tadi, bertukar menjadi pintu neraka; seraya aku melempar pen tersebut ke luar jendela—geram. 

SRETTTTT !! 

Lemparan tidak sengaja terkena badan penunggang motosikal yang terus menekan brek secara mengejut. Dia membuka topi keledar, lantas pundi takutku, menggeletar. Dia memandang tepat ke jendela, tempat kaki aku dipaku ke lantai, ketat. Wajah mulus itu memulakan bicara...

"Eh! Hai Nazwan! Eh..awak Nazwan..kan?"

Farhana Arshad, menyapa aku. 

***