24 Nov 2015

KARKAS #232: KAWAN AKU NAMA DIA JORAN DAN VAN DER SLOOT


Aku menggentel-gentel sekeping kertas di tangan sambil menunggu namaku dipanggil. Setiap bulan, cikgu sains aku akan menyuruh pelajarnya memilih satu tajuk untuk bercakap di hadapan. Aku suka aktiviti ini. Sejak bulan lepas lagi aku telah melakukan kajian tentang tajuk yang aku minati.

Satu persatu nama dipanggil hinggalah tiba giliran aku. Aku yakin satu kelas bakal teruja dengan topik aku ini.

"Otak boleh dikatakan raja dalam tubuh kita. Apa yang otak kita percaya, tubuh badan kita juga akan percaya."

Waktu itu cikgu aku hanya bermain dengan telefon pintar di tempat duduknya. Seperti tak mendengar apa pun yang aku sedang cakapkan di hadapan ini. Namun aku teruskan juga.

"Menurut satu kajian, beberapa orang mabuk selepas meminum air yang disangka alkohol. Sedangkan mereka hanya meminum air kosong sahaja. Oleh itu, tidak mustahil jikalau kita betul-betul percaya, tangan yang lumpuh boleh bergerak kembali. Malah, apa yang kita fikir juga boleh menjadi realiti. Sekian, terima kasih."

Cikguku meletakkan telefon pintarnya di atas meja lalu memandang ke arahku. Terukir senyuman di bibirnya.

"Terima kasih, Murphy. Bagus. Penyampaian yang baik.

Sepatutnya aku gembira kerana cikgu memujiku. Tetapi pujiannya hanyalah penyedap hati semata-mata.

"Urmmm. Mungkin lain kali awak boleh letak tajuk yang lebih logik. Apa yang kita fikir boleh jadi realiti? Mengarut."

"Tapi menurut kajian..."

"Tak ada tapi-tapi. Bulan depan saya nak tengok topik yang lebih logik. Boleh?"

Aku menahan amarahku dalam senyum.

"Boleh cikgu."

Cikgu terus memanggil pelajar seterusnya. Sambil tersenyum aku menyumpah seranah di dalam.

"Wuuu. Nice Murphy. Jangan layan cikgu tu. Power idea kau. Aku suka."

"Thanks, Joe."

Kau pun sama seperti cikgu. Masa aku cakap di depan, kau tak dengar pun. Pandang pun tidak. Penipu!

Bila aku di rumah pula, abah hanya tahu mengarah aku. 24 jam, hanya arahan dia yang aku dengar.

"Ha. Ni da balik, pergi sidai baju sana."

Macam biasa, aku hanya menurut dalam senyum.

"Ya, Abah."

Tapi hanya ada satu suara yang buat aku tenang.

"Murphy. Da balik ya? Jom makan dengan ibu, jom."

Ibu aku. Satu-satunya manusia yang aku percaya. Sebab dia baik denganku. Aku dapat rasakan ikhlas hati dia. Kasih sayang seorang ibu. Bukannya penipu seperti orang lain.

"Okay, ibu." Aku menyahut dengan riang.

*******

Di rumah, aku suka duduk di dalam bilik sahaja. Aku dapat jumpa dengan kawan baik aku. Maksud aku, kawan imaginasi aku.

Joran The God of Time and Space dan juga Van Der Sloot The Beater.

Suka hatilah aku nak cipta dorang ni macam mana. Imaginasi aku.

Mereka berdua sajalah kawan yang aku percaya. Merekalah tempat aku mengadu nasib.

"Joran. Kau tahu tak, cikgu aku boleh cakap tak logik teori aku tu. Aku tak kisah pun, tapi at least dengar la apa yang aku cakap sebelum bantah."

"Hmmm. Teruk cikgu kau ni." Balas Joran dengan suara besarnya. Joran ni besar orangnya. Tingginya sahaja seperti bangunan dua tingkat. Sedangkan Sloot seperti orang dewasa biasa sahaja.

"Bila balik pula nak kena dengar abah membebel. Haish. Kan best kalau aku potong je telinga aku ni pastu tinggalkan je kat bilik kebal. Biar tak payah dengar orang menipu dan membebel lagi." Aku mengadu dekat Joran.

"Aku boleh je bantu. Tiada masalah." Balas Joran. Tiba-tiba sebilah pisau dan sebuah bilik kebal muncul di depan aku.

"Meh sini aku potongkan telinga kau. Aku akan jaga elok-elok. Hehe." Sloot menyampuk.

"Hahahaha. Korang ni. I'm angry. Not crazy."

"Tapi kau masih ada ibu bukan?" Tanya Joran padaku.

"Ya. Ibu sangat baik. Selain korang berdua, aku masih percayakan ibu. Ibu sangat baik. Dia tidak pernah menipu aku."

Joran dan Sloot cuma mengangguk tanda setuju. Mereka masih sebahagian dari diriku. Jadi mereka memahami aku.

"Aku sayang ibu. Yang lain, aku benci." Sedikit perasaan marah aku tekankan.

"Kami boleh bunuh mereka kalau kau mahu." Ujar Sloot. Senyumannya tidak lekang dari tadi.

Joran menambah. "Ya. Kau hanya perlu percayakan kami."

Aku tergelak mendengar ayat mereka berdua.

"Korang ni cuma imaginasi aku. Apa yang korang boleh buat? Haha. Dah la. Aku nak tidur. Esok sekolah. Jumpa esok. Bye."

***********

Aku tak sabar mahu pulang ke rumah. Mengapa tidak boleh aku belajar di rumah sahaja? Kenapa aku mesti datang ke sekolah dan bertemu dengan pelajar yang bodoh dan hipokrit? Gurunya pun sama sahaja.

Bila loceng sekolah berdering, aku terus berlari pulang. Tak sabar nak jumpa Joran dan Sloot.

Aku tiba di depan pintu rumah. Aku terdengar ibu dan abah tengah bergaduh. Secara curi-curi, aku mendengar perbualan mereka.

"Abang! Saya nak cerai. Saya dah tak tahan!" Ibu memekik.

"Habis tu anak kita macam mana?!" Abah juga meninggikan suaranya.

Dalam hati aku berasa seronok. Lepas ni aku boleh tinggal dengan ibu je. Tak ada abah yang kuat bebel lagi.

"Budak bodoh tu abang jagalah! Saya tak nak!" Ibu menjawab kembali.

Aku terkedu. Ibu cakap macam tu? Ibu kata aku bodoh? Kenapa? Bukankah ibuku baik? Habis selama ni semuanya hanyalah satu penipuan?

Aku membuka pintu rumah. Ibu dan abah terkejut. Aku nampak ibu cepat-cepat mengesat air matanya dan senyum padaku.

"Murphy. Da balik ya? Jom makan dengan ibu jom."

Aku hanya diam dan terus naik ke bilikku.

Aku hanya memekakkan telinga apabila ibuku memanggil berkali-kali.

******

Menangis tersedu-sedu aku mengadu pada Joran dan Sloot. Mereka cuba memujuk diriku.

"Joran. Sloot. Betul kau berdua boleh tolong aku bunuh dorang? Korang tak tipu aku kan?" Aku mengesat hingus yang meleleh dari hidung.

"Ya. Kau percayakan kami tak?" Joran menanya kembali.

Aku berdiam. Mereka ni cumalah imaginasi aku. Aku sendiri tahu itu. Tapi kerana terlalu sedih, aku percayakan saja kata-kata Joran.

Aku mengangguk tanda setuju.

"Then, kau tidak perlu risau lagi. Kau pergilah tidur." Kata Sloot.

Mungkin kerana terlalu penat. Aku pun terus tertidur.

*******

Aku terjaga dari tidur. Kepala aku pening. Badan aku juga lenguh-lenguh. Ni mesti sebab tidur posisi tidak betul ni.

Tiba-tiba aku dengar suara Abah menjerit di biliknya. Bergegas aku ke sana.

Pintu bilik abah yang tidak berkunci terus aku buka. Aku lihat Abah terduduk di lantai sambil menjerit.

"Stephany!!!!"

Di pangkuannya ada satu tubuh yang tidak bergerak. Badannya seperti di pukul dengan teruk. Aku kenal empunya tubuh itu. Ibu!

Macam mana ini boleh berlaku? Adakah ini disebabkan...

"Ya Murphy. Kami yang lakukan. Kerana kau percaya." Suara muncul di dalam kepala aku. Itu suara Sloot.

"Inilah hasilnya bila kau percaya dengan kami." Suara Joran pula muncul dalam kepala aku.

"Joran, Van Der Sloot!" Aku terjerit. Abah terus memandang ke arahku.

"Kau! Kau bunuh Stephany. Kau bunuh ibu kau!" Abah menjerit ke arah aku.

"Ha. Mana ada! Kenapa tuduh macam tu?!"

"Kau diam. Jangan nak menipu lagi. Aku dah telefon polis. Kau tunggulah!"

Kata-kata abah itu menghancurkan hati aku. Hati aku sudah tidak mampu menahannya lagi. Apa salah aku?

Seperti biasa, aku hanya menurut.

"Ya, Abah."

Cuma kali ini tiada lagi senyuman di wajahku. Hanya dendam dan sebatang kayu besbol tergenggam erat.

*****

No comments:

Post a Comment