7 Nov 2015

KARKAS #213: SI BONGKOK DAN SI BUTA

Si Bongkok dan Si Buta merupakan kawan baik sejak kecil. Si Buta merupakan seorang yang kuat dan mempunyai tubuh badan yang besar. Manakala, Si Bongkok seorang yang kecil tetapi bijak dan licik. Si Buta akan melakukan segala kerja keras dan berat manakala Si Bongkok yang akan memberi arahan dan membantu Si Buta.

Pada satu hari, mereka berdua mahu pergi berkhemah di dalam hutan. Seperti biasa, Si Buta akan berjalan di hadapan untuk memotong dahan dan semak untuk membuat jalan. Manakala, Si Bongkok di belakang memberi arahan kepada Si Buta. 

Malam kian menjelma, jadi mereka bercadang untuk menangkap seekor rusa sebagai makan malam. Atas kepintaran Si Bongkok dan kekuatan Si Buta, seekor rusa berjaya di tangkap. Tetapi rusa yang ditangkap itu kecil. Sudah pasti tidak cukup untuk mereka berdua. 

Si Bongkok mengambil bahagian yang penuh isi dan hanya memberi bahagian tulang kepada Si Buta. Bukannya Si Buta tahu jika dia menipu, fikir Si Bongkok.

Oleh kerana terlalu lapar, Si Buta dengan gopohnya mengambil bahagiannya yang disangka penuh dengan isi. Dengan seronoknya, dia menggigit tulang rusa itu. Disebabkan Si Buta gigit terlalu kuat, matanya celik! Dia dapat melihat bahagiannya cuma tulang dan bahagian Si Bongkok penuh dengan isi.

"Bongkok! Berani kau menipu aku?!"

"Kau boleh nampak?!" Si Bongkok ketakutan. Dia bangun dan cuba melarikan diri.

Si Buta mengambil tulang rusa yang paling besar dan mengejar Si Bongkok. Dengan mudah Si Buta dapat mengejar Si Bongkok. Si Buta melibas tulang rusa itu ke pinggang Si Bongkok.

"Aduh! Pundi kencing aku!" Si Bongkok menjerit kesakitan.

Air muka Si Buta berubah selepas melihat keadan Si Bongkok. Tiada lagi amarah di raut wajahnya, cuma terkejut.

"Bongkok! Kau sudah boleh berdiri tegak!"

Si Bongkok juga terkejut dengan keadaannya. Dia bukan sahaja boleh berdiri tegak, dia juga boleh berjalan seperti manusia normal.

Mereka memandang satu sama lain dan terus ketawa besar. Mereka menyambung jamuan malam mereka semula.

***

No comments:

Post a Comment