19 Nov 2015

KARKAS #218: MANUSIA VS SYAITAN

Satu persatu fail yang berselerak di atas meja, dikemas semula. Buku-buku juga diletakkan semula di tempat asalnya di tepi tingkap. Sejenak dia termenung melihat pemandangan malam dari balkoni. Dia sukakan kehidupannya sekarang. Walaupun tampak mudah namun hanya dia yang tahu betapa gementarnya dia untuk melakukan tugas setiap hari.

Dalam pekat malam, tiba-tiba ada satu tahi bintang yang melintas. Tetapi kali ini ia seolah-olah terlalu hampir di ruang udara kediamannya bagaikan kapal terbang sedang melintas dengan kelajuan yang maksimum. Jelas terlihat ekor api yang membiru melatari langit untuk beberapa saat. Hampir berputar kepalanya untuk menyaksikan tahi bintang yang lalu di atas kepala. Pantas dia memejamkan mata, meminta hajat di dalam hati.

“Makotooo...” Satu suara tiba-tiba muncul di telinganya. Entah kenapa seluruh anggota seakan lumpuh. Dia terhuyung hayang masuk ke bilik sebelum rebah ke lantai. Pandangannya gelap serta merta.

***

Matanya ditenyeh-tenyeh. Pedih. Berpinar matanya dek cahaya silau di dalam bilik. Matanya dipejam semula.

“Makotooo...” Cekap telinganya menangkap satu suara memanggil namanya. Matanya dibiar pejam. Berharap yang itu adalah mimpi belaka.

“Bukaklah mata kau, Makoto. Ini bukannya mimpi.” Dahinya berkerut. Dia membuka mata perlahan. 

Seketika dia mendongak ke belakang. Dapat dia lihat meja kerjanya dengan pandangan yang terbalik dan di atasnya terdapat makhluk berambut rapi tanpa sehelai pakaian sedang mencangkung memandangnya dengan mata yang bersinar kebiruan. Makoto bingkas duduk menyandar pada dinding. Dadanya kembang kempis.

Diamati makhluk tersebut. Luarannya hampir sama seperti manusia. Kulitnya cerah tetapi menggerutu. Berjanggut sejemput tanpa hidung. Sesekali dia menyeringai hingga ke telinga menampakkan taring-taring kecil. Di belakangnya terdapat ekor yang melilit ke tengkuknya sendiri. Dari muka turun ke badan, dari badan beralih ke tangan. Dari tangan terus ke tempat sulit.

Bahagian kemaluannya rata tanpa ada tanda lelaki mahupun perempuan. Kakinya hanya terdapat ibu jari manakala yang lain melekat menjadi satu. Kembali mereka bertentang mata. Saling serius sebelum makhluk itu tersenyum lebar tiba-tiba.

“Puas dah menilai? Jadi, apa keputusan kau?”

“Keputusan apa?”

“Tentang aku.”

“Kenapa tentang kau?” Makoto tidak mengerti. Makhluk itu bangkit berdiri di atas meja sambil menepuk tangan perlahan.

“Manusia memang hidup dia penuh persoalan, kan? Apa kata kau jawab dulu soalan aku yang awal tadi. Manusia. Hanya tahu soal, soal, soal...” Makoto kelu. Cuba menghadam tiap butir kata yang keluar dari mulut makhluk aneh itu. Susah untuknya berfikir secara rasional apabila pertama kali berdepan dengan makhluk yang dia sendiri tidak tahu jenis apa.

“Jadi, dah ada jawapan?” Sekali lagi dia bertanya. Kepalanya diteleng ke kiri dan kanan.

“Kau ni makhluk apa sebenarnya? Kau nak apa dari aku? Aku tak kacau kau, kenapa kau kacau aku?” Bertalu Makoto bertanya.

“Hehehe...soalan lagi. Aku tak kacau kau pun.”

“Dahtu ni semua apa benda? Gurau?” Spontan soalan tersebut terpacul dari mulutnya. Bagaikan bersembang dengan manusia.

“Aku nak main dengan kau je."

“Kenapa aku?" Makoto tidak puas hati. Bertimpa persoalan sedang bermain di fikiran. Pandangannya sedikit pun tidak beralih dari makhluk itu. Hendak bangkit melawan, dia tahu itu bukanlah lawannya. Hendak keluar melarikan diri, sudah pasti pintu terkunci.

Tiba-tiba...

PAAFFF!

“Kau jangan banyak tanya boleh ke, wahai presiden?" Terbeliak matanya melihat makhluk itu menyeringai dengan kening terangkat-angkat tiba-tiba berada di sebelah mukanya. Hampir terkucil dia saat itu. Entah bila dia berubah tempat. 

“Hehehe...bukan kau ke yang seru aku tadi?" Sekali lagi Makoto terdiam. Ada saja jawapan balas dari makhluk tersebut. 

“Bila?” Soal Makoto masih tidak faham. Makhluk itu kekal merenungnya.

“Tadi. Hajat di dalam hati. Kau lupa?”

“Bukan kau yang aku hajatkan! Gila!”

“Tapi kau berhajat pada aku. Heh! Manusia ni bodoh, tahi bintang yang kau tengok tu adalah aku, dan itu bukanlah tahi bintang tetapi penanggal! Manusia ni pantang nampak benda cantik sikit, terus buat hajat. Hahaha!” Berdekah makhluk itu hingga tersembur air liurnya yang melekit.

“Jadi macam mana? Aku boleh tunaikan apa yang kau hajatkan asalkan kau sanggup berjanji dengan aku. Kalau kau nak tahu, aku ni makhluk yang berpegang dengan janji. Hehehe...” Makoto semakin jengkel dengan tingkah makhluk tersebut.

“Janji apa? Pergi mampuslah kau setan!”

“Kau ni memang dari tadi asyik bertanya je kan. Bagus. Aku suka manusia yang macam ni. Kau suka aku tak, wahai presiden?"

“What the fff!"

“Hehehe...aku kena pulang ke tempat asal aku sekarang. Harapnya takde manusia lain yang seru aku. Tapi kalau kau nak seru aku sekali lagi pun apa salahnya. Kita kan jadi kawan.” Makin lebar dia menyeringai. Lidahnya menjilat hujung telinga Makoto. Makoto cuba menepis dalam ketar.

Tidak semena-mena dia hilang, bertukar tempat, dari satu penjuru ke satu penjuru yang lain.

PAFFF! PAFFF! PAFFF! PAFFF!

Akhirnya dia berhenti betul-betul di hadapan muka Makoto. Kesekian kalinya dia mencangkung. Matanya bertukar merah. Ekornya kembali terlilit kemas pada tengkuk.

“Kau nak tak?”
“Nak apa?”
“Hadiah."
“Hadiah? Dari syaitan macam kau?! Pergi jahanam la!”
“Anggap je pemberian dari seorang kawan. Siapa tahu kalau satu hari nanti kita jumpa lagi, kan?” Semakin meleret senyumannya. Ringo panas hati. Mahu juga dia bangkit menghayun penendang namun mengenangkan dia hanyalah manusia biasa, lagi sekali niatnya terbantut.

“Bak sini tangan kau.” Makhluk tersebut menghulurkan tangan. Ternyata Ringo tidaklah mudah untuk diperdaya. Tetapi tetap saja makhluk itu menyeringai.

“Jual mahal? Takpe. Kita ni sebenarnya takde beza pun, kan? Sama-sama sombong. Hehehe...”

“Bahalol! Aku taknak berurusan dengan syaitan la bangang! Kau carilah mangsa lain. Aku bukan makanan kau la!” Tempik Makoto menghasilkan gema di dalam bilik. Sebolehnya dia tidak mahu mempamerkan ketakutannya ketika itu. Tetap dia menggagahkan diri untuk terus tampak berani. Tajam dia memandang makhluk di depannya yang menyeringai tak henti-henti.
“Okey, takpe. Aku kena pergi sekarang,” Makhluk itu bangun melihat jam yang tergantung di atas pintu. “Ingat, jangan sia-siakan hadiah yang aku bagi.” Sambungnya lagi dengan tawa kecil.

“Hadiah apa lahanat?!” Ringo memeriksa di sekelilingnya untuk melihat hadiah apa yang ditinggalkan. Tiada.

“Tenang, hadiah tu dah ada dalam badan kau. Hehehe...”

“Jahanam! Bila masa kau masukkan ni?!”

“Hehehe...apa guna kau pengsan lima minit tadi? Ingat aku ni sama macam manusia ke yang suka sia-siakan masa? Hehehe...” Gelaknya semakin galak. Taring-taring bersama lelehan air liur mula kelihatan.

“Argghhh! Setan betul!” Sambil meraung Ringo cuba mengorek dadanya sendiri. “Nanti dulu!” Teriak Makoto. Langkah makhluk itu terhenti di hujung balkoni.

“Kau ingat aku bodoh ke, ha?! Penanggal konon. Penanggal apa ada kaki semua ni. Kau la sebenarnya yang bodoh! Nak menipu manusia konon. Hahaha!” Makoto serta merta menjadi berani. Dia bangkit berdiri tanpa ada secebis pun ketakutan. Di hujung balkoni makhluk itu berpaling memandangnya. Tetap dengan senyuman. Perlahan dia menggeleng kepala.

“Aku syaitan la. Aku syaitan! Ikut suka aku la nak berpenampilan macam mana pun. Kahkahkah!” Serta merta dia hilang dari pandangan. Hanya tinggal gema tawa yang panjang. Makoto kembali serabut. Kepalanya berdenyut hebat. Pandangannya bertukar gelap. Sekali lagi dia rebah.

No comments:

Post a Comment