''Terima kasih, nak. Semoga anak dimurahkan rezeki. Jadi anak yang baik.'' kata pengemis itu sambil mengusap kepala Amni lembut ketika dia meletakkan wang ke dalam bekas nenek tua itu.
''Sama-sama, nek.'' Amni tersenyum kecil lalu berjalan perlahan menuju ke arah ibunya yang menunggu tidak jauh dari situ.
''Nenek tu cakap apa kat Amni tadi?'' ibunya bertanya ingin tahu.
Amni mengulangi semula perbualan ringkasnya bersama pengemis tua itu sambil tangannya menyeluk poket seluar untuk menyembunyikan botol kecil pemberian pengemis tadi yang tertera 'UNTUK KEGUNAAN LUAR SAHAJA. SEKALI SEUMUR HIDUP.'
Dalam kesesakan orang ramai, Amni kembali mencapai tangan ibunya dan bergerak ke lot-lot kedai yang lain untuk mencari beberapa lagi barang yang masih belum ditemukan.
''Amni, Amni tunggu kat sini jap eah. Jangan pergi mana-mana tau! Janji dengan ibu tau! Dalam tu ramai sangat orang. Nanti Amni lemas pulak. Ibu masuk sekejap je.'' pesan ibunya sebelum memasuki lot kedai yang menjual organ-organ dalaman itu.
''Okay ibu. Amni janji tak pergi mana-mana.'' janji Amni sambil mencium pipi kanan ibunya. Setelah itu, ibunya hilang di celahan orang ramai di dalam lot kedai tersebut. Dia menjadi sedikit rimas dan mengharapkan ibunya segera menyelesaikan apa saja urusan.
Sedang Amni leka melihat duyunan manusia, mulutnya tiba-tiba ditampal dengan gam lutsinar selebar dan sepanjang 3 inci. Amni tergamam. Dia kemudiannya didukung oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Kakinya dipegang erat, tangannya diletakkan di antara badannya dengan lelaki itu supaya tidak kelihatan meronta-ronta dan disyaki oleh orang ramai.
Tidak lama kemudian, kelihatan ibunya dari jauh sedang cemas bertanyakan orang di sekeliling berkenaan dirinya. Malah, ibunya semakin jauh ditinggalkan sehingga dia dimasukkan ke dalam sebuah van dan dibawa ke tempat yang tidak diketahui lokasinya.
*****
''Woi! Budak-budak ni bos suruh letak dalam bilik kebal tu lah! Bukan letak dalam bilik kau, gila!'' tengking Kasim yang berang dengan tindakan Fuad kerana tidak mengikut arahan.
Dalam keadaan tergesa-gesa, Fuad memindahkan kanak-kanak yang telah diculik oleh mereka ke dalam bilik kebal itu dengan kadar segera. Bilik kebal tersebut lengkap dengan bilik air, permainan, televisyen dan peti ais yang dipenuhi dengan makanan-makanan lazat kegemaran mereka. Mereka hanya akan dijengah satu jam sekali sahaja untuk tujuan pemantauan keadaan atau kesihatan supaya tidak berlaku sebarang masalah semasa sesi urus niaga dijalankan.
''Nama awak siapa?'' soal Amni ringkas.
''Mi... Mi... ka... el...'' jawab Mikael teresak-esak.
Amni kembali senyap. Dia hanya ingin menghilangkan sedikit ketakutan dengan keramahannya sebentar tadi.
Amni kemudiannya berjalan-jalan ke sekitar bilik kebal yang besar itu sehingga dia berhenti lama di depan sebuah pintu. Telinganya tiba-tiba berdesing sehingga menangkap saraf-saraf di kepalanya. Tubuhnya mengerekot menahan sakit. Telinganya menjadi merah menyala. Dia tidak dapat mendengar sebarang bunyi. Matanya seakan mahu terpejam. Rakan-rakannya yang lain langsung tidak peduli. Dia berusaha untuk bangun tetapi tidak mampu.
Dalam pandangannya yang kabur, fikirannya ligat menyinggahi perbualan dia dan ibunya serta botol kecil yang berisi cecair bauan kasturi pemberian pengemis tadi. Dia serta merta meraba
-raba poket seluarnya. Setelah menjumpai botol tersebut, dia menyapu cecair itu di kedua-dua belah telinganya.
Kesakitannya mula berkurangan sedikit demi sedikit. Lega. Dia perlahan-lahan cuba berdiri semula. Kali ini dia tidak merasa kesakitan seperti kali pertama dia berdiri di situ. Tetapi dia terdengar satu bisikan dan bibirnya terkumat-kamit mengikut sebutan bisikan itu satu per satu. ''4... 1... 5... 2... 2...''
Amni mendongak ke bahagian tepi pintu, ada sekeping pad elektronik yang terlekat pada dinding dan mempunyai butang-butang bernombor. Matanya meliar ke seluruh bilik kebal dan berhenti pada sebuah meja. Dia pantas menolak meja tersebut ke arah pintu dan memanjatnya.
''Ktak!'' pintu bilik kebal itu sedikit terkuak selepas dia menekan butang kata laluan yang bernombor tersebut.
Amni meletakkan jari telunjuknya di bibir sambil memandang rakan-rakannya. Dua orang penculik itu kelihatan sedang nyenyak tidur kepenatan. Amni mengarahkan rakan-rakannya supaya berjalan secara menjengket supaya tidak berbunyi apa-apa.
Sekarang giliran Amni pula untuk keluar dari bilik kebal itu, tiba-tiba kedua-dua telinganya jatuh ke lantai. Amni menyeluk kembali sakunya ''SEKALI SEUMUR HIDUP.'' Amni berlalu meninggalkan telinganya.
*****
''Puan Julia, puan boleh mengambil anak puan di Balai Polis Kuala Sungai Baru. Mereka baru sahaja tiba bersama 10 orang rakan rakan mereka yang lain.'' jelas anggota polis berkenaan.
*****
No comments:
Post a Comment