Menjadi Buah Hati Rakyat Malaysia tidaklah semanis seperti yang semua orang lihat. Sedekad sudah berlalu, dari beribu-ribu pujian kepada berjuta-juta makian sudah dia hadam. Namun dia masih mampu berdiri dan melangkah setiap hari dengan senyuman, dan terus mengekalkan status penyanyi nombor satu terbaik di Malaysia.
Terbaharu, seorang Datin dalam lingkungan lewat usia 40-an membuat kenyataan di Melodi (dengan namanya dihitamkan) bahawa suaminya sedang menjalin cinta dengan seorang penyanyi terkenal (juga identiti penyanyi itu dihitamkan) sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Apabila ditanya apakah motif kenyataan ini dibuat, wanita itu mendedahkan yang penyanyi itu merancang untuk berkahwin dengan suaminya sedangkan dia tidak bersetuju untuk berpoligami. Akibatnya dia diminta untuk memilih samada berpoligami mahupun berpisah. Pilihan yang diberikan sangatlah berat sebelah dan langsung tidak memihak kepada dirinya sedikit pun.
Lalu wanita ini menggunakan medium 'Melodi' untuk meraih simpati jutaan rakyat Malaysia agar keadilan berpihak kepadanya.
Skuad Melodi yang terkenal dengan 'Terjah!' mencari penyanyi yang dimaksudkan akan tetapi sudah beberapa kali terjahan mereka terganggu kerana ketiadaan penyanyi itu di Malaysia ketika ini. Menurut sumber yang boleh dipercayai, penyanyi itu sedang bercuti di London sehingga minggu hadapan.
Segelintir manusia yang bersembunyi di sebalik identiti Pahlawan Kekunci dengan mudahnya dapat menebak siapkah penyanyi yang dimaksudkan setelah mereka menonton Melodi dan mengikuti perkembangan penyanyi itu di Instagram. Lalu muncullah gossip di blog-blog hiburan dengan tajuk sensasi:
‘Mariyyah punca keretakan rumah tangga orang.’
‘Mariyyah bakal berkahwin dengan suami orang.'
‘Mariyyah bakal menamatkan zaman bujang.’
Seluruh rakyat Malaysia menantikan kepulangan Mariyyah, penyanyi nombor satu Malaysia itu untuk memberi kenyataan balas bagi pertuduhan dan gosip yang telah tersebar ini. Berita perkahwinan Mariyyah adalah satu hal yang paling dinanti-nantikan oleh semua peminatnya dari luar dan dalam negara.
***
Mariyyah sedar yang rahsia besarnya telah terbongkar. Sebentar lagi pihak wartawan akan mengejarnya sehingga ke lubang cacing. Dia akan dicincang dengan soalan-soalan yang bisa memuaskan hati-hati seluruh rakyat Malaysia. Di dalam bilik kebal itu, dia tanggalkan telinganya dan disimpannya di dalam peti besi. Diambilnya rambut yang paling mengerbang, lalu disarung ke kepalanya. Kelihatan di depan cermin, membiaskan rupa Buah Hati Rakyat Malaysia yang anggun. Tiada siapa yang pernah tahu rahsia ketenangannya tika berhadapan amukan manusia-manusia di luar sana.
***
“Mariyyah, betul ke dakwaan mengatakan you akan berkahwin dengan suami orang?” Tanya wartawan yang bertudung dengan rokok di tangan.
“Adakah lelaki itu akan menceraikan isterinya?” Tanya wartawan botak bertatu di lengan, yang macam pondan.
“Mariyyah, apa pendapat awak tentang poligami?” Tanya wartawan wanita tua yang berskirt-mini kemanja-manjaan.
Dia dikeremuni lebih daripada sepuluh orang wartawan dan diajukan soalan bertalu-talu namun dia masih mampu tersenyum, riak wajahnya langsung tidak menampakkan garis-garis kelelahan mahupun tekanan.
“Mariyyah apa istimewanya Datuk J?"
Mariyyah langsung tidak mendengar setiap satu soalan yang diajukan, dia cuma melihat kumat-kamit wartawan.
“Hehe. No komen.” Jawabnya, mudah...
...senyuman manis terus terlukis di bibirnya, mengekalkan status Buah Hati Rakyat Malaysia, selagi belum melepasi tarikh luput status itu yang ditentukan oleh Melodi dan Pahlawan Papan Kekunci.
***
No comments:
Post a Comment