7 Nov 2015

KARKAS #216: BIDIKAN SASAR LELEHAN KUNING

Namaku Forad. Aku Laskar Muda yang berwawasan. Sekarang ini, cuma ada dua kepastian. Bajuku yang amat licin diseterika berbucu-bucu; dan kasut hitamku likat memantulkan sinar mentari terik—di tengah padang kawad membahang. Aku terberahi mengamati diriku. Ah, tampan sekali. Ingin juga aku menjilat-jilat ketampananku sendiri. Dengan kepejalan otot membuak terkekang di kedua-dua belah paha, aku berdiri kaku menunggu teriakan arahan laksamana di hadapan. 

Kepalaku yang berkuping-cabuk sudah digondolkan merapati ubun-ubun. Laskar-laskar di sini tidak ubah gayanya persis seangkatan toyol yang berbalut pakaian seragam. Mendada-dongak dengan senapang panjang tersisip di lengan kanan. Cuaca terik perlahan-lahan termendung diselindung tokoh awan. Aku sesekali mengerling ke kasut laskar di sebelahku. Comot. Kusam benar, cukup pemalas. Mukanya, pucat lesi; nyah-seri bak baru usai berlari balapan acara berganti-ganti. Tidak seperti diriku yang jauh lebih tampan dan rapi. 

Mandat demi mandat ditutur di pentas beratap di hadapan. Panglima bertukar kepada laksamana, bertukar pula kepada syahbandar, masing-masing menjuih berkata-kata. Manakala laskar-laskar lain tercongong di bawah, membodohkan diri, tegak seperti pokok-pokok buluh kekuningan yang sedang mereput. Justeru, petang itu menjadi gelap tiba-tiba. Titik-titik hujan sudah mula menompok di bahuku. Ia menyempitkan lagi alur pundi kencingku yang telah lama kuperam. Lelehan ini nampaknya terpanggil-panggil oleh alam. Tenang, lelehan! Tenang! 

Aku teringat pesan laksamanaku. Katanya, "Biar bumi sekali pun merekah, kaki laskar jangan sedikit pun tergoyah." Mataku mula rebeh. Ibu jari di celahan kasut kilatku terkuis-kuis. Pinggulku sudah tergigil-gigil kecil. Aku ketap bibir serapatnya menahan dada yang tidak henti-henti berombak. Aku mahu pancut! Aku pasti mahu pancut! 

Angin pada ketika itu selayaknya mahu berentap kejantanannya denganku. Dipukul-pukulnya bayu ke pinggangku masuk di celah-celah kancingan pakaian seragam. Ini bukan nyaman. Ini benar-benar mahu aku segera merembeskan lelehan. Aku tidak mahu mengalah. Aku melawan. Aku kembang-kempiskan perutku. Kembang dan kempis, dan kembang dan kempis. 

Seolah ada beberapa titisan sudah membasahkan celana dalamku. Tidak mungkin aku tewas. 

KE KANAN PUSING!!! 

BRRR... TAP!!! 

Ucapan mandat tamat dan kini teriak kawad akan tercetus bila-bila masa sahaja. Lelehan aku rasakan kian rancak menitis. Buah pinggangku sudah terjerit-jerit. Patutkah aku biarkan ia mengalir? Atau lebih baik semasa berkawad kelak, aku lepaskan sedikit demi sedikit? Ah! Aku laskar! Mana mungkin aku kalah hanya kepada seceper air kencing? Peritnya pundi kencingku! 

Langkah kawad telah dimulakan. 

Henti. Kawad. Henti. 

Senapang? Ya, senapang. Semasa kawad 'senapang hentak' ke tanahlah saat paling wajar aku lepaskan ia ke tanah. Semua anak-anak mata tentu tidak berpaling. Tanganku terketar menggalas senapang dek tubuh yang sakan memeram pundi. 

Ada air lelehan, mengalir lesu di tanah mengucup kasutku. Lalu, aku...

BAMMMM!

BAMMMM!!

BAMMMM!!!

Aku bedengus kencang—puas. Laskar di sebelahku pula terkulai-baring ke tanah. 

"Laskar Muda Forad! Apa dah kamu lakukan???" Laksamana di hadapan berlari ke arahku sambil terjerit-jerit mengendong perutnya yang gelebeh. Laskar-laskar lain menjauhiku. 

Lohong senapangku berasap. Aku meraba-raba keras ke dalam celanaku. Titisan tadi, sudah terhenti. Celanaku pula, kering sama sekali. Aku masih tampan dan mewangi. Aku membongkok ke jasad laskar di sebelahku yang dadanya berlubang-lubang, dia ternganga kesuntukan udara. 

Ya, celana laskar itu, hancing sekali. 

***

No comments:

Post a Comment