7 Nov 2015

KARKAS #200: KERUNTUHAN KUALA LUMPUR

Hari ini aku pulang lebih awal dari biasa, kelas yang sepatutnya berjalan jam dua belas tadi telah dibatalkan secara mendadak. Menurut mulut-mulut murai di kelas aku, tengahari ini akan diadakan satu mesyuarat tergempar lantaran ada beberapa orang pelajar kolej yang terlibat dengan perhimpunan haram serta memijak gambar perdana menteri. Sepatutnya mengikut undang-undang mereka perlu dibuang dari menjadi penuntut tetapi kerana salah seorang dari mereka ialah anak kepada penyumbang dana untuk kolej kami maka besar kemungkinan keputusan itu perlu dipertimbangkan.

Aku tidak menunggu lama di dalam kelas, sejurus sahaja pengumuman dibuat. Aku bingkas bangun, menggalas beg lalu berjalan kaki menuju ke Stesen Taman Maluri. Semasa dalam perjalanan telinga aku dijamu dengan bunyi hon yang sangat kuat dan disulam kata-kata maki seorang lelaki. Hatinya panas apabila kenderaannya dihalang oleh kenderaan lain dan menyebabkan kenderaan tidak boleh keluar. Seorang pak cik tua keluar dari sebuah kedai dan merapati lelaki yang sedang marah tadi. Aku kira dia pemilik kenderaan yang menghalang. Berkali-kali pak cik tua itu memohon maaf namun dia tetap dimaki. Selepas kenderaan tersebut dialihkan pak cik tua itu dihadiahkan pula jari tengah oleh lelaki yang masih marah itu. Aku menggeleng dan mempercepatkan perjalanan.

Selepas membeli token, aku berjalan ke tangga dengan agak laju dan ketika itu bahu aku dilanggar oleh seorang gadis yang sibuk dengan telefon pintarnya. Habis semua buku dan kertas yang aku pegang bertaburan di lantai, aku terus tunduk dan mengutip.

"Lain kali bila berjalan tu, tengok-tengoklah sikit!"

Gadis tadi memberikan aku peringatan tetapi nadanya lebih kepada marah. Aku hanya diam. 

"Sudahlah aku dilanggarnya, jangan kata nak minta maaf atau nak kutip kertas bertabur ni tapi aku pula yang disekolahkan." Rungut aku sendiri.

Semasa di dalam train ada satu hal yang aku perhatikan. Ada sepasang kekasih sedang bermadu asmara tanpa rasa malu dengan orang sekeliling. Mereka saling berpelukan, membalas ciuman dan melakukan aksi ringan-ringan. Banyak mata yang memandang tetapi tidak seorang pun menegur termasuklah aku.

Sampai di rumah aku membuka pintu belakang seluasnya, angin yang bertiup deras turut membawa habuk serta debu-debu. Bunyi bising gerudi serta bunyi tukulan menjadi lagu buat aku hari-hari. Tanah yang dulunya hutan kini telah bertukar wajah, pembangunan giat dijalankan tanpa rasa segan pada bumi. Aku menggeleng lagi.

Aku kemudiannya menuju ke bilik, sebuah buku berkulit tebal aku ambil. Aku buka laman yang kosong lalu sepantas kilat tangan aku yang memegang sebatang pen kini menari di atasnya. Di buku itulah aku mencurahkan segalanya.

*****

Sedar atau tidak kota Kuala Lumpur sedang runtuh dan mungkin tidak lama lagi kota ini akan hilang dari dunia.

Manusia di sini sudah runtuh sosialnya, sudah hilang malunya, budi bahasa juga padam dan paling sedih adab juga sudah mati. Jika tidak pasti semua perkara yang aku lihat tadi tidak terjadi.

Aku juga sedih melihat tanah Kuala Lumpur yang semakin hari semakin sakit terpaksa menampung berat bangunan yang sangat banyak. Kesian Kuala Lumpur makin tenat dek manusia yang rakus.

***

No comments:

Post a Comment