19 Nov 2015

KARKAS #219: LAUTAN HITAM

Kematian aku ini bagaikan satu misteri. Baru tadi aku dibanggakan di hadapan seorang teman tapi kini aku di dalam lautan hitam yang sedikit demi sedikit melumpuhkan sistem badan aku. Adakah aku mangsa kepada iri hati ataupun mangsa dendam?
 
*********
 
Farok menoleh ke kiri dan kanan. Kemudian perlahan-lahan dirinya merapati mesin ATM. Skrin mesin itu ditatap lama sambil badannya dikembangkan agar tiada orang lain dapat membaca jumlah baki wang yang dia miliki. Termenung seketika tatkala melihat baki yang tertera. Timbul rasa gusar apabila memikirkan tentang semua bil yang perlu dijelaskan.
 
"Cek belum masuk!” Omel Farok sendiri.
 
"Ehem…cepat sikit bro!" Suara yang datang dari arah belakang mengejutkan Farok. Cepat-cepat Farok menyelesaikan urusan dengan mesin ATM dan memberi ruang kepada orang lain untuk menggunakan pula mesin itu. Kemudian Farok duduk di kaki lima, memikirkan sesuatu untuk mendapatkan duit. Dalam kebuntuan, Farok menghabiskan masa memerhati orang yang lalu-lalang.
 
"Farok?"
"Hey, Latip. Lama kita tak jumpa."
 
Mereka bersalaman dan berpelukkan. Hampir berbulan lamanya tak berjumpa. Latip yang berkerja sebagai juru gambar nampak segak dengan kamera yang tergantung di leher. Kerjanya juga kadang-kadang membawanya jauh ke tempat lain. Disebabkan itu juga mereka jarang berjumpa.
 
"Jom minum." Ajak Latip.
 
Asalnya Farok menolak keras kerana memikir duit yang tiada tetapi apabila Latip begitu mendesak akhirnya Farok akur. Tambahan pula Latip menawarkan diri untuk membelanjanya.
 
Mereka duduk di gerai yang berdekatan lalu memesan makanan yang sama iaitu nasi goreng dan kopi ais. Senang hati Farok. Nasi goreng itu mampu menampung makan tengahari bahkan juga makan malamnya.
 
Sedang mereka asyik berborak, tiba-tiba Latip bangun dan meraba-raba koceknya. Farok terkejut dengan  tindakan Latip yang agak mengelabah.
 
"Kau apa hal ni?"
 
"Hehehehe...telefon aku vibrate. Maaflah. Telefon ni limited edition. Tak ada jual kat sini lagi. Power telefon ni." Latip terus memuji telefon barunya yang diletakkan di atas meja.
 
"Wah, hebatlah kau. Mahal tu. Telefon lama mana?"
 
"Rezeki. Bulan lepas aku dapat banyak job, jadi teballah sikit poket ni. Telefon lama tu aku dah jual. Buat apa banyak - banyak telefon. Lagipun aku dah jatuh hati dengan telefon ni."
 
Farok tersenyum. Ini peluang terbaik Farok, barangkali ini cara Allah untuk bantu dia yang sedang kekeringan duit. Terima kasih Tuhan.
 
"Latip, kau ingat tak masa kau beli telefon lama tu? Kau..."
 
Belum sempat Farok menghabiskan percakapannya, sekali lagi Latip bangun dalam keadaan kelam kabut. Farok kehairanan, dahinya berkerut.
 
"Farok, aku nak lekas ni. Ambil RM20.00 ni dan tolong bayarkan makanan ni. Kalau ada baki kau ambillah.” Latip bergegas meninggalkan Farok tanpa sempat menjamah makanan itu.
 
Farok melepaskan nafas kecewa dan dia tahu Latip sengaja mencari alasan lagi. Makanan Latip yang tidak dijamah, dibungkusnya. Manakala air kopi ais itu sengaja dibiarkan saja di atas meja.
 
 
Lima minit berlalu, Farok masih lagi di gerai tadi. Menunggu….
 
"Hey Farok!” Latip berlari-lari anak ke arah Farok. Mukanya agak cemas.
 
"Nampak telefon aku tadi?"
 
"Tu, sedang berenang dalam kopi ais kau tadi."
 
Farok bingkas bangun lalu menepuk bahu Latip.
 
“Lain kali jangan lari dari bayar hutang. Bertabahlah.”
 
Latip tercengang, usahanya menyelamatkan telefon pintarnya di dalam kopi ais tadi terhenti.
 
 
*****

Hanya kerana hutang Latip kepada Farok, maka aku menjadi mangsa. Kopi ais itu meragut nyawa aku.

*****

No comments:

Post a Comment