6 Nov 2015

KARKAS #193: BURUNG YANG TERBANG MEMBAWA SANGKAR

Aku duduk termenung, ditemani seekor burung berkicau bahasa sunyi di celah siulan kota besar ini. Di atas puing usang, ia menyanyi riang. Namum riak wajahnya muram. Aku tahu, ia ditawan kerinduan. 

'Aku adalah yang terakhir. Mereka semua  berlalu tinggalkan aku sendiri,ditikam rindu bertubi. Kau tahu?' ujarnya.

Langit kota besar kemerah-merahan. Sepertinya langit juga malu, melihat dosa-dosa bergelimpangan. Burung tidak lagi menyanyi. Laungan azan megah kedengaran. Namun, sepi dan aku--adalah teman rapat, saling tak mahu melepaskan. Aku memandang burung, ia diam menghormati azan. Hanya aku yang jahil. Siualan kecil dari mulut cuba menghiburkan kekecewaan sendiri. Atau mungkin, cuba memanggil syaitan yang lari bertempiaran datang menemani. 

'Kota ini penuh dengan harapan. Mereka datang membawa gunung, lembah, desa dan tanah. Mengharap ada secarik mewah dan sofa selesa...'

Aku ralit memerhatikan butir bicara burung. Atau lebih tepat, paruhnya saja bergerak-gerak dan kata-kata itu datang ke dalam fikiranku. Saat-saat putus asa seperti ini, burung pun mampu jadi lawan bicara.

"Hanya untuk secubit selesa, mereka mengorbankan 90% dari kehidupan mereka sebenarnya." Sambungku.

'Benar.'

Burung itu terbang pergi membawa sangkarnya. Susah-payah. Sedikit sahaja ia menoleh ke arahku, dan menjeling penuh makna. Aku cuma memerhati, melambai dengan pandangan penuh tanda tanya. Walau jasadnya dikurung dan kakinya dipasung namun jiwanya kekal bebas. Terbangnya mungkin mencari kembali teman-teman yang telah pergi. Migrasi. 

Aku memaut pagar besi di sebelah, menopang tubuh bangkit dari duduk. Terhencut-hencut tatkala cuba untuk berjalan. Sebelah kaki yang mati, tidak lagi mematahkan azam. 

Dahulu, kota ini kulihat mewah berjalan di garis masa tuhan. Aku dan dia, gadis berwajah polos dan mata besar sama-sama datang dari desa yang mundur. Sama-sama mahu membina hidup sedikit selesa. Malangnya mungkin cuma aku yang terlebih berharap. Bermimpi untuk menyarung cincin ke jari manisnya. 

Sekian lama sudah aku berputus asa. Sejak dia bercerita tentang jejaka tampan yang pandai berkasih sayang. Dia seperti hilang panduan di hadapan jejaka itu. Juga tak seperti dia yang aku kenali. Khabar terakhir yang kudengar tentangnya; satu nyawa dicabut kejam dari tubuhnya dan dicampak ke tong sampah. 

'Kita sama sahaja. Arah mana atau apa tujuan kita bergerak, selagi kita di dunia ini matlamat kita satu; untuk mati. Cuma yang membezakan adalah cara apa dan usaha kita. Adakah kita bangkit kembali setelah tersadung atau kita terus mengalah dan rebah selamanya.'

Masih bergema butir bicara burung itu di ruang mindaku saat dia hadir semula di hadapanku. Gadis itu. Dia tersenyum tawar. Ada garis bekas linangan air mata di pipinya. Seperti burung yang datang dan pergi secara tiba-tiba, dia pun sama. Cuma kehadirannya kali ini tidak aku mengerti, untuk apa dan berapa lama. 

Teringat kata-kata arwah ayahku. 'Aku suka tinggalkanmu dengan persoalan, agar kamu berfikir dan mencari jawapan. Persoalan hidup ini subjektif. Cuma apapun jawapan kamu terhadap persoalan hidup, jangan lupa berpegang pada tali Tuhan.'

Aku menghulur tangan. Dia sambut perlahan.

Burung yang terbang membawa sangkarnya itu, tidak pernah membiarkan sangkarnya mengawal arah perjalanan hidupnya. 

***

No comments:

Post a Comment