7 Nov 2015

KARKAS #202: GADIS PURDAH

Sudah hampir dua minggu, gadis berjubah dan berpurdah hitam itu tidak aku temui.

Biasanya kami akan menaiki train yang sama dari stesen Wangsa Maju hingga ke Bangsar. Kami tidak pernah berinteraksi cuma aku selalu saja curi pandang padanya.

Matanya yang bulat dan solekan matanya yang nipis benar-benar menambat hatiku. Jadi benarlah kata orang dari mata turun ke hati.

Tapi sinar pada gadis itu makin pudar dan hilang saat kali terakhir aku melihat tempoh hari. Aku lihat ada kesedihan dan kekecewaan jelas di matanya.

Aku berharap, agar aku menemuinya hari ini dan akan aku beranikan diri untuk bertanya khabar. Jika diizinkan mahu aku menjadikan dia temanku.

Aku duduk di kerusi biasa, aku mengintai mata yang mahu aku temui. Hampa. Dia tidak kelihatan.

Sampai di Stesen KLCC, ada seorang gadis duduk di sebelahku. Gayanya persis dia yang aku cari. Aku terus menoleh dan kami bertentangan mata. Tergaris senyuman di pipiku dan aku dapat rasakan dia juga sedang tersenyum.

Aku terus menyapa tanpa malu dan kami panjang berbual dari Stesen KLCC sehingga ke Kelana Jaya patah balik ke Gombak. 

Bermacam-macam yang aku tanyakan pada dia, dari namanya hinggalah ke keluarganya, tidak lupa juga status dan juga kehilangannya selama dua minggu.

Gadis berjubah dan berpurdah itu pada awalnya malu-malu tetapi lama kelamaan dia terus  berkongsi tanpa rasa sangsi.

Selepas pertemuan itu, kami makin kerap bertemu. Kami makin selesa dan sinar di matanya sudah kembali bahkan lebih bahagia dari biasa. Aku telah berjaya membuatkan dia lupa pada bekas kekasihnya yang tidak dapat menerima satu sifat buruknya.

Aku tidak bertanya banyak tentang sifat buruknya, bagi aku teman atau kekasih yang baik harus menerima semua sisi pasangannya tidak kiralah baik atau buruk.

Sedar tak sedar, hampir dua bulan kami berteman. Kami makin mesra, jika tidak dapat berjumpa kami akan habiskan masa di berbual di telefon hingga larut malam.

Secara jujurnya, aku merasakan kami sudah menyukai satu sama lain mungkin sudah hampir kepada sayang dan jika diizinkan maka jatuh cintalah kami.

Malam ini, aku dijemput ke rumahnya untuk makan malam. Asalnya aku sedikit ragu-ragu, tetapi atas desakan aku akhirnya setuju.

Menurutnya, kami tidak makan berdua. Ada rakan serumah dan adiknya turut serta. Jadi tidaklah aku risau untuk ke rumahnya.

Hidangan malam itu nampak cukup enak. Hampir ke semua makan yang terletak di atas meja itu kegemaran aku. Aku teruja.

Setengah jam aku di rumahnya, kelibat teman serumah dan adiknya tidak aku nampak. Bila aku menyoal tentang mereka dia memberikan seribu jawapan. Sedikit gusar hati tetapi layannya yang mesra buat aku tenggelam.

Usai makan, kami duduk di ruang tamu sambil menikmati kopi. Terasa seperti aku sudah pun mengahwininya. Senyum sendiri aku.

Dia mengajak aku bermain satu permainan. Tanpa banyak  membantah aku menurut saja. Dia menutup mataku dengan kain, serta mengikat kedua tanganku di kerusi.

Aneh benar mainannya. Tetapi aku suka. Tiba-tiba aku merasa tubuhku diraba-raba dengan rakus, mukaku dicium-cium tanpa henti. Aku mula meronta. Aku cukup geli diperlakukan begitu.

Ada suara berbisik, suaranya cukup aku kenal. "Maafkan saya, nafsu rakus adalah sifat saya paling buruk. Bekas kekasih saya dulu meninggalkan saya kerana ini. Saya telah cuba menahan nafsu ini tetapi saya tak mampu. Jika saya tidak menyentuh atau meraba tubuh seorang lelaki, saya akan sasau dan murung. Maafkan saya awak, saya bukanlah sebaik yang awak sangkakan. Saya cuma mahukan tubuh ini sahaja."

Aku terpaku.

***

No comments:

Post a Comment