Skrin semakin menerang saat lampu kamar dimatikan dan dia masih setia menanti curahan idea di hadapan komputer demi sebuah cerita. Namun setiap abjad bagai dilaknat Tuhan, terapung-apung seakan roh yang tidak tenteram. Dalam zulmat, tanpa muzik yang melatari jari-jemarinya cuba mengatur tari menulis kisah-kisah bohong agar tercipta lorong pada plot-plot yang kosong.
‘Sejujurnya menipu itu indah. Mampu mengubat resah dan menghilang gundah. Asalkan kau tahu...’ Taipannya terhenti. Sejenak tubir matanya ditutup.
Memori lama kembali menerjah tentang kejadian pada suatu malam di mana dia sedang berhempas pulas menyiapkan cerita tentang si buta. Tiba-tiba serentak kesemua empat sisi dinding di kamarnya berkata dia sama sekali tidak layak menjadi pengarang. Tulisan-tulisannya lebih layak dijamah anai-anai dan dibiar reput tidak dikenang. Suara-suara itu bergema memenuhi ruang.
Spontan secangkir kopi hangat yang pekat disimbah ke salah satu dinding. Dinding berasap-asap dan menggelembung. Dengan sendirinya ia terkopek menjadi keping-keping lalu tertanggal tiap satunya. Perkakas di atas meja berhamburan di lantai. Kebecokan dinding serta-merta bertukar bisu. Tiga rakannya saling pandang diikuti bisik-bisik tanpa serik.
“Hanya orang yang betul-betul buta layak menulis tentang perihnya hidup tanpa mata. Usah dibohongi pembaca dengan tulisan-tulisan reka.” Jelas terdengar bisik-bisik mereka yang keras. Menggelupur hatinya dek darah muda sepertinya dia yang dijirus air panas.
Marahnya meledak. Tanpa fikir dia mencungkil sebelah biji matanya hingga terkeluar bergolek di atas meja. Darah merembes laju membasahi sebelah pipi. Perlahan dia menyandar dan mendongak menahan sakit. Kesemua dinding terkesima. Tidak menyangka akan tindakannya sejauh itu.
Bertakung darah di liang matanya yang lohong. Dalam sakit setitis air jernih tumpah di dahinya. Sebelah mata yang terpejam, dibuka perlahan-lahan. Mendadak dia sebak. Sakit yang ditanggung semakin berkurang. Seolah ada malaikat yang datang membawa kesakitan itu terbang sebelum menghilang tanpa bayang-bayang.
Bersaksikan dinding, dia menatap siling yang sedang menangis kesedihan. Katanya, pengarang yang baik tidak mudah berang kerana pengarang seharusnya pemikir panjang. Dia tersentak. Dinding-dinding bungkam. Rasa bersalah mula berkepung di dada sebelum kata-kata maaf berlantun sesama mereka.
“Siapa aku pada hari ini semuanya kerana kamu.” Dia mengelus lembut dinding yang dahulunya pernah melepuh kepanasan. Hari ini ia cantik dihiasi lukisan tangan.
Malam itu jarinya lincah menaip sampaikan papan kekunci berketik tanpa henti hingga terbitnya pagi. Berbekalkan satu mata dia menyiapkan satu cerita tentang dinding-dinding yang bersuara.
“Sejujurnya menipu itu indah. Mampu mengubat resah dan menghilang gundah. Asalkan kau tahu bila waktunya untuk berhenti.” Ucapnya saat menaip penutup cerita.
Di dalam kamar, berenam mereka tersenyum nyaman.
***
No comments:
Post a Comment