1 Dec 2015

KARKAS #233: LELAKI SENJA DAN BIDADARI

"Hei orang tua, ceritakan kepadaku riwayat yang banyak dikhabarkan orang di sini!"

Dengan lagak yang angkuh, kau menegur seorang lelaki di tepi surau. Lelaki itu senyum. Senyumannya memukau.

"Baiklah anak muda. Biar aku ceritakan... "

*****

Dia adalah lelaki senja. Usia, wajah, dan peribadinya adalah senja yang terlukis pada seorang manusia. Tubuhnya tak lagi gagah, hanya menanti waktu rebah. Namun rezeki diusaha sendiri dicari seluruh pelusuk desa, meredah segala sungai—hulu ke muara.

Lelaki senja, sepertimana gelarannya, adalah sebuah kesunyian. Sendiri hidup di gubuk buruk dan usang. Pun, lelaki senja tidak pernah lelah dari mendekati Tuhan. Sejadah buruk di ruang gubuk, seakan tidak pernah berganjak. Terbentang kemas menjadi lapik sujudnya setiap masa yang tersisa. Begitulah, lelaki senja terkenal dalam kalangan orang alim desa sebagai al-abid.

Kisah bermula, ketika lelaki senja terserempak seorang gadis di denai hutan. Gadis bermata biru terlantar longlai tidak berpakaian. Lengguk lekuk tubuh gadis itu mengujakan, lelaki senja terkelu tidak keruan. Melihatkan seorang lelaki asing, gadis itu cuba melindungi tubuh, merengkok dengan lengan menutupi lurah.

Lelaki senja tergamam. Segera pandangan dikalih, sebelum nafsunya menggelegak perih. Jubah lusuh, yang koyak bertampal dan kusam, dilucutkan lalu dihulur ke arah gadis. Si gadis menyambut lesu, tersenyum malu dan berterima kasih. Pipinya kemerahan. Pantas, jubah lusuh itu si gadis sarungkan ke tubuh. Dia sedikit selesa.

Dari mata, perkenalan mereka pun bermula. Ada debar di hati lelaki senja, berdegup kencang hampir terbang melayang. Gadis itu, menurut ceritanya adalah mangsa noda. Lelaki senja kasihan, lalu dipapahnya gadis lemah itu pulang ke desa.

Di desa, riuh warganya ketika terlihat kelibat, lelaki senja bersama bidadari syurga. Gadis itu terlihat bersinar, cantik mempersona, memukau tiap mata yang memandang. Mereka disambut mesra penuh ceria, namun di hati sebaliknya. Para jejaka, tua muda mahupun remaja pantas memasang angan. Para wanita, gadis mahupun anak dara, mula terlihat riak kegelisahan. Desas-desus mula tercetus, ada yang mengusulkan, agar lelaki senja dan bidadari syurga segera dinikahkan.

Usul ini dibantah keras kaum adam!

Mereka berbalah, apakah layak lelaki tua uzur mahu menjaga gadis muda berlurah ghairah? Sedang di sisi kaum hawa, mereka melahirkan khuatir akan suami yang matanya mula meliar. Malah, ada yang persoal–siapa sebenarnya gadis itu? Apakah hadirnya mahu memporakperandakan desa?

Akhirnya, si gadis bersuara–'aku menerima lelaki senja sebagai teman hidup, cinta dan setia'. Maka, terkatup-kuncilah mulut warga desa, tanpa pertikaikan apa-apa. Namun masih ada yang menggumam sendiri, berbasa-basi tidak puas hati. Bisik-bisik terdengar,  gadis itu syaitan bertopengkan bidadari syurga.

Malam menjelang pada hari pernikahan, gubuk buruk lelaki senja dibakar, hangus tanpa sisa. Maka rentunglah gadis itu sendirian. Entah siapa punya angkara. Lelaki senja, ketika itu sedang asyik di rumah ibadah tekun mensyukuri nikmat. Hanya sejadah usang yang terselamat, tidak terjejas oleh api marak. Sejadah itu dipeluk erat lelaki senja, amarah mula memijak sabar. Cinta lelaki senja pada gadis telah terputik meliar, berkembang mekar sejak pandangan mata saling bertukar. Kerana itu, memaafkan pengkhiatnatan ini terlalu sukar .

Cinta yang mendalam telah menjelmakan sejadah kepada gadis yang dirindui.

Air mata yang tumpah dari mata lelaki senja berlarutan hingga sebulan lamanya. Sejadah itu, terpeluk erat olehnya. Hingga satu malam, saat pohon-pohon sujud ke bumi, sejadah itu membawa lelaki senja terbang ke 'syurga'. Di sana, dia bertemu gadis tercinta berhias indah terkalah bidadari–sempurna. Namun wajahnya keruh, seakan ada hajat yang belum dilabuh.

"Usah menangis lagi sayang, aku akan sentiasa bersamamu. Sejadah ini, adalah jelmaanku. Kelak, balaslah dendammu untukku." Lelaki senja khusyuk mendengar. Cintanya, melumpuhkan akal dan sabar.

"Seperkara lagi, usah kau biarkan sesiapa jua melihat sejadahmu ini. Kerana nanti, mereka pasti cuba membinasakan kita. Mereka mengatakan aku ialah syaitan. Tolong, hapuskanlah mereka."

Lewat senja itu, seluruh desa musnah terbakar. Dengan sekali hayunan, sejadah berubah menjadi naga yang murka, membaham seluruh desa dengan api marak menyala. Jerit pekik warga desa terdengar sayup, sebelum segalanya tenggelam dalam kobar api menggila.

Kisah terakhir lelaki senja yang diketahui,  dia mengusung sejadahnya ke mana saja. Namun tiada seorang pun yang pasti, ke mana lelaki senja itu pergi. Kerana, setiap mereka yang pernah menemui lelaki itu ditimpa bencana, maut dibaham neraka.

*****

"Begitulah, riwayat yang diceritakan oleh penakanku, anak muda. Riwayat yang diwarisi leluhurku." Lelaki itu tersenyum—manis.

Kau memandang curiga pada lelaki itu. Ya, di bahunya sejadah aneh—bercahaya!

No comments:

Post a Comment