19 Nov 2015

KARKAS #223: WARKAH SANG MANTAN

"Kalau memang cinta tak lagi wujud dalam hatimu, dan kalau memang kau memang mahu aku segera pergi, tak mengapa. Aku kini sedar siapa aku dalam hatimu. Seorang perempuan yang bodoh dan terlalu mengejar cintamu. Aku ini perempuan yang kau pijak hatinya berkali-kali dan tetap aku berdiri teguh di sisimu. Tak apa. Aku pergi. Dan kali ini pergi aku takkan pernah kembali lagi untukmu. Selamat tinggal, Malik."

Surat itu saya lipat lalu saya masukkan ke dalam sampul berwarna biru. Warna kegemaran dia. Di atas sampul itu telah saya tulis siap-siap alamat rumahnya. Surat yang hanya mengandungi beberapa baris ayat tetapi itulah isi hati saya. Bukan tidak boleh saya menghubunginya di sana, Tltetapi saya tidak punya kekuatan.

Seperti semalam rasanya dia mengatakan cintanya kepada saya. Berjanji setia. Janji apa saja halangan dan cubaan, dia berusaha untuk menang. Dan saya inilah pingatnya. Dan hari ini saya ditinggalkan sendiri. Mengenang kembali cinta kami. Mengumpul semula perca mimpi yang diracik tanpa ihsannya.

Segalanya bermula hampir dua bulan yang lalu. Ketika sedang saya duduk di anjung rumah sambil membaca buku, seorang gadis manis datang menegur. Tidak saya perasan kehadirannya.
Wajahnya manis sekali tetapi terlihat kesedihan di matanya. Lalu saya mempelawanya masuk dan menjemputnya di kerusi yang dipisahkan oleh sebuah meja kopi.

"Siapa namamu dan apa tujuanmu datang ke rumahku?"tanya saya. Jika tidak ada hal yang mustahak, tak mungkin dia ada di sini.

Dia tersenyum. Memperlihatkan lesung pipit di pipi kirinya.

"Saya Fatimah. Saya tunangnya Malik."
"Tunang?"

Fatimah mengangguk. Waktu itu saya terasa seolah hati saya dihiris-hiris. Empangan di tubir mata saya ini, bila-bila masa saja boleh pecah.

"Sejak bila? Malik tidak ada memberitahu saya apa-apa. Menyebut namamu juga tidak pernah? Bagaimana kalian boleh bertunang?"tanya saya bertalu-talu.

Fatimah mengeluarkan sepucuk surat lalu dihulurkan kepada saya. Saya ambil dan kemudian saya selitkan di dalam buku tadi.

"Nanti saya baca. Fatimah pulanglah dulu."

"Kakak bacalah surat itu nanti. Segalanya ada Malik terangkan di dalamnya."

Dia bangun berdiri. Tangannya dihulur. Lambat-lambat saya menyambut. Kepergian dia saya hantar dengan linang air mata.

Buku di atas meja saya capai lalu saya menuju ke kamar saya. Kemudian buku itu saya letakkan di atas meja kecil bersebelahan katil dan surat tadi saya ambil.

Sampulnya yang berwarna merah, sana seperti darah yang terhasil daripada kelukaan di hati saya. Saya koyak sampulnya dan surat itu saya keluarkan. Melihatkan tulisan tangan Malik, meyakinkan saya bahawa surat ini sememangnya daripadanya.

"Menemuimu Khadijah. Aku bukanlah lelaki yang hebat. Yang berani berhadapan dengan masalah yabg diciptanya sendiri. Maka biarlah surat ini menjadi pengganti diriku. Maafkan aku di atas perkhabaran yang dibawa oleh Fatimah. Dia tunanganku sejak empat bulan yang lalu dan jika diizin Tuhan, pernikahan kami akan berlangsung pada bulan hadapan. Pertunangan ini sememangnya atas kehendak kami. Kehendakku terutamanya. Cintaku pada Fatimah berputik sewaktu aku menjagamu ketika kau sakit di hospital. Dia jururawat di situ. Maafkan aku Khadijah. Aku tidak mampu menafikan rasa yang mula tumbuh di hatiku ini. Maafkan aku Khadijah. Kumohon kau lupakanlah segala tentang kita. Sekiranya kau mahu aku ini dianggap sudah mati, aku faham. Kudoakan kebahagiaanmu. Yang benar,MALIK."

Sejak dari hari itu, setiap hari saya menangis berterusan. Saya mengadu pada Tuhan. Tangis menghujani dari wajah hingga ke tenggorokkan. Membuat saya lemas dengan tangis saya sendiri.

Saya tidak tahu apa kesudahan cinta saya. Saya bukanlah seorang peramal. Cuma jika masih ada cinta Tuhan kepada saya, sudilah kiranya menghadirkan seorang lelaki yang tulusnya dia hanya mencintai saya seorang. Agar hujan ditenggorok saya ini pergi diganti dengan cerahnya hari.

Matahari itu walau panasnya menyengat, hadirnya tetap membawa rahmat.

No comments:

Post a Comment