Lagu See You Again yang diulang putar berkali-kali dimatikan. Plug wayar speaker jenama Altec Lansing dicabut dari port jack iPhone miliknya. Dinyalakan sebatang rokok sebelum dia duduk bersandar merenung kosong pada meja yang di atasnya terdapat novel yang baru habis dibacanya malam semalam. Dia menolak naskhah novel berkenaan ke tepi. Beg galas yang terletak di kaki kerusi dicapainya sebelum sebuah komputer riba dikeluarkan lalu diletak di atas meja.
Komputer riba dihidupkan. Disambungkan wifi dari iPhone miliknya sendiri. Hanya tethering yang mampu dilakukan tatkala kos sara hidup semakin meningkat saban tahun. Hendak melanggan modem wifi terlalu mahal baginya. Lagi pula, dirinya telah pun disenarai hitamkan oleh salah satu syarikat telco —Celcom.
Pantas jari jemari menaip laman sesawang untuk melihat kembali tragedi yang telah meragut nyawa seseorang yang dia kagumi. Segala maklumat tentang insiden berkenaan dicatat pada sekeping kertas. Beberapa minit masa dihabiskan di hadapan komputer riba sebelum dimatikan lalu bersandar sambil menghembus asap rokok ke atas. Sekali lagi jam yang tergantung di hadapannya menjadi tumpuan. 'Boleh ke aku buat ni?'
Ringo memejamkan mata. Rokok yang hampir habis dihisap diludahnya ke tepi tanpa risau akan bara yang masih berbaki. Kedua belah tangannya memegang erat pada bucu kiri dan kanan meja. Dia menarik nafas panjang sebelum dihembus keluar perlahan-lahan. Genggamannya semakin kuat. Degupan jantung semakin kencang. Meja bergegar menyebabkan novel terjatuh ke lantai. Komputer riba turut bergerak akibat gegaran yang terhasil pada meja. Ya, hanya pada meja gegaran itu berlaku.
Dalam pejam bebola matanya liar bergerak ke serata arah. Sesaat bertukar dua. Dua menginjak tiga. “Ahhh!”
—PUUFFF!!
***
Degupan jantung kembali normal. Ringo membuka mata perlahan-lahan. Pandangannya sedikit berbalam. Di hadapannya terdapat novel bertajuk Punah manakala sebungkus milo ais kosong tergantung elok pada bucu meja. Matanya melirik ke atas melihat jam yang baru menginjak ke dua pagi. Dia menghela nafas lega. Bersama anggukan kecil terlakar segaris senyuman —puas.
“I knew it! I knew it, I can do it! Let's do it more. Wait for me...Pablo.”
***
No comments:
Post a Comment